15 September 2011

Mengetuk Gerbang Impian


Pic by ~Ageel on DeviantArt
Sambungan dari: 

Mentari menjalankan tugasnya dengan sempurna. Rembulan tidak pernah ingkar menerangi alam buana. Musim luruh telah mula mempamerkan pesonanya. Bahang soifi sudah tidak lagi memijar suasana. Haba sahrawi dari Sahara Kinanah pula disusut angin selebu Mediteranean. Berhembus dari Iskandariah lalu ke Kaherah.
Kira-kira tiga musim panas telah berlalu sejak aku mula menjejak Ummud Dunya. Sungguh tak sangka. Masa memang benar-benar takkan menunggu kita..

Di sisi jendela, aku merenung purnama itu dengan penuh mesra. Sangat jarang untuk kutemui purnama melalui jendela kamarku. Seolah-olah hari ini ia datang ingin membawa berita gembira setelah lama menghilang. Aku terus merenungnya. Keagungan Yang Esa meresap ke dalam jiwa, menyusup ke setiap sendi dan anggota, mengalir deras memberi tenaga pada iman untuk menambah pancarannya, terus menjana lidah melonjak euforia menari-nari bertasbih pada Sang Penciptanya.

Aku terimbau akan sebuah hadith, ketika Rasulullah dan para sahabat merenung purnama, Baginda pernah memberitahu para sahabat bahawa kita akan benar-benar melihatNya di syurga nanti sepertimana kita dapat menatap bulan ini. Ohh... Sungguh indahnya saat itu... Ya Allah, kurniakan aku syurga!! Aku ingin bertemu denganMu!!

Itulah impian utama ragaku.

..........

Petang tadi, baru saja selesai urusan kemasukanku di Al-Azhar. Setelah keluarnya keputusan ujian tahun akhirku di Maahad, aku mengambil masa hampir sebulan untuk berfikir, berbincang dan beristikharah dalam memilih kuliyah yang paling sesuai. Dalam 20 pilihan bidang, aku akhirnya bertekad untuk memilih fakulti Dirasat Islamiyah. Antara fakulti yang paling payah di Al-Azhar, gabungan cabang-cabang bidang Usuluddin, Syari’ah dan Lughah.

Aku tertarik untuk memilih kuliyah tersebut kerana aku sangat obses untuk menguasai pelbagai bidang. Aku ingin mempelajari ketiga-tiga bidang tersebut secara rambang dahulu. Aku merancang untuk belajar secara mendalam di peringkat Master nanti. Di samping ingin membasmi waktu-waktu kosong yang bermaharajalela, aku memang jenis yang sukakan cabaran. Buat pengetahuan semua, tidak ramai yang lulus kuliyah ini pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Mahasiswa kita pun tak ramai yang sanggup menceburi kuliyah ini. Sebilangan kecil sahaja berbanding kuliyah-kuliyah lain. Cabaran di kuliyah Dirasat Islamiyah agak berat.

Gabra dan sangsi pernah sesekali menerjah benakku. Mampukah aku? Bagaimana jika aku kewalahan di tengah jalan? Namun aku serta-merta menepis kisikan-kisikan peluntur aspirasiku. Aku tidak seperti mahasiswa tahun 1 yang biasa. Aku telah membuat persediaan, mengumpul bekal lebih dua tahun sebelumnya. Apa salahnya aku mencuba? Apa salahnya aku ingin jadi luar biasa? Mengapa takut untuk rebah? Orang berjaya mana yang tidak pernah rebah?

Segala puji bagi Allah yang sentiasa memberiku kejayaan. Jika dihisab kembali, sejak dari aku mula bersekolah, aku tak pernah mengenal erti gagal. Pada waktu sekolah rendah, aku sentiasa menjadi pelajar terbaik dalam kelas. Pelajar terpantas dalam menghafal Al-Quran. UPSR ditempuhku dengan cemerlang. Aku bahkan menjadi satu-satunya pelajar yang meraih semua A dalam PMR, di sekolah lamaku. Aku mengecap pelbagai piala dan anugerah kecemerlangan. Tak kira dari segi apa bidang sekalipun, aku sering menjadi yang terbaik. Sama ada akademik, agama, sukan.. Aku dikurniakan nikmat kejayaan yang tak terkira. Keputusan peperiksaan akhir tahun di Maahad juga sangat memberangsangkan..

Aku tahu itu semua kurniaan Tuhan. Tetapi aku kadangkala lupa bahawa kejayaan juga merupakan satu ujian. Bersyukurkan aku? Makin dekatkah aku padaNya atau makin menjauh? Tidak merasai kegagalan juga adalah satu tamparan. Aku yakin, kemanisan kejayaan bagi orang yang pernah merasai kegagalan belum pernah dinikmatku. Jiwa dan mental mereka yang pernah dilanda kegagalan lebih pesat membangun dan terdidik. Dahulu aku pernah takut untuk merasai kegagalan. Aku pernah menganggap kegagalan itu adalah azab. Namun setelah aku dididik bumi Musa ini. Aku mula mengerti.

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu dengan apa-apa yang diberikanNya kepadamu....”(6:165)

Semuanya tidak dapat lari dari diuji. Allah menduga setiap hambaNya berbeza-beza. Ada yang diuji dengan kurniaan kejayaan, ada yang diuji dengan kegagalan. Allah mengetahui keadaan dan tahap kekuatan kita. Dengan ujian-ujian itulah kita boleh jadi makin dekat dengan Tuhan atau sebaliknya. Barangkali dengan Allah memberikan kegagalan, kita menjadi lebih dekat denganNya. Barangkali juga dengan Allah memberikan kejayaan baru kita dapat mendekatiNya.

“Antara hamba-hambaku yang mukmin, ada sebahagiannya yang melalaikan urusan agama kecuali diberikan kekayaan, kesenangan, dan kesihatan tubuh badan. Maka Kami menguji mereka dengan kekayaan kesenangan, dan kesihatan tubuh badan sehingga baiklah urusan agama mereka. Antara hamba-hambaKu yang mukmin juga, ada sebahagiannya yang melalaikan urusan agama kecuali diberikan kekurangan, kemiskinan dan penyakit sehingga baiklah urusan agama mereka. Aku mengetahui dengan apa hambaKu yang mukmin menjadi baik dalam urusan agamanya.” {Hadis Qudsi}

Ya. Kerana itulah aku tidak rasa takut lagi untuk merasai kegagalan. Aku perlu bersedia untuk menghadapinya. Aku sentiasa cuba untuk redha dengan segala kurniaan Tuhan. Kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik bagiku..

Lantaran itu, aku hanya berharap dan berdoa agar diberikan kekuatan untuk menempuh ujian ini. Aku perlu terus berjuang dan berjuang. Sehingga segala impianku tercapai.

Kini, aku telah berhasil. Aku telah tiba di gerbang impian. Impian yang telah lama kusimpan. Lima tahun ke belakang, aku mula mengenali gudang ilmu Al-Azhar. Makin lama, makin banyak tarikan-tarikan yang menawan menyusup ke dalam telingaku. Sehingga suatu hari aku dihadiahkan sebuah buku tentang kisah kehidupan seorang azhari.. Sejak itu, aku berkobar-kobar untuk menjadi mahasiswa Al-Azhar dan terus membina azam serta membenam impian ke dalam jiwa.

Aku ingin menjejak Universiti Al-Azhar...
Aku ingin menjadi mahasiswa Al-Azhar..
Aku ingin menjadi peneguk ilmu Al-Azhar yang cemerlang..
Aku ingin menjadi ulama yang luar biasa!..

Sekarang aku telah benar-benar sampai di gerbang impian ini.. Aku telah sah bergelar mahasiswa Al-Azhar hari ini. Namun aku tidak boleh berhenti lagi.. Impian besarku masih jauh..Impian utamaku itu juga penuh pancaroba.. Dan aku merasakan bahawa aku perlu membina impian-impian yang dapat memberi jalan dan panduan untuk aku mencapai impian besar tersebut. Aku merasakan dengan adanya impian, segalanya akan menjadi lebih teratur dan lancar. Hidup akan lebih terarah.. Aku perlu terus membina lagi impian dan berusaha mencapainya..

Khatimahnya, aku perlu sentiasa ingat. Sebelum membina impian, sebelum melangkah menuju impian dan sebelum aku mengetuk gerbang impian, aku perlu kembali memurnikan keikhlasan. Aku tidak ingin terpesong dari impian utama disebabkan impian-impian sampingan.. Aku perlu singkirkan segala karat dalam matlamat dan baikpulih kembali tujuan yang sesat.. Kerana gerbang impian hanya terbuka bagi mereka yang mengetuknya dengan hati yang murni..

Semua manusia akan hancur, kecuali orang yang berilmu..
Semua orang berilmu akan hancur, kecuali orang yang beramal dengan ilmunya..
Semua orang yang beramal dengan ilmunya akan hancur, kecuali orang yang ikhlas..
Sesungguhnya orang yang ikhlas itu berada dalam bahaya dan perlu berhati-hati dalam perjalanannya.. -dipetik dari kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali

Ya Allah.. Aku adalah kepunyaanMu.. pasakkanlah keikhlasan ke dalam atmaku.. Kuatkanlah aku dengan taufiqMu..Bantulah aku mencapai impianku.. Aku hanya mengharapkan redhaMu.. Ya Robbi.. Ya Hayyu Ya Qayyum..

Aku mengetuk gerbang ini dengan bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah...

Doakan agar gerbang impian ini terbuka untukku dalam naungan redhaNya, wahai sahabatku semua..

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails