26 December 2010

Bencana 26 Disember: Sudah lupakah?

Bismillah..
Sebahagian dari kepulauan ini musnah dilanda bencana ngeri 26 Disember

Maaf sebab lambat post. Sebenarnya nak post semalam, tapi sebab kesibukan menghimpit, tertangguh sehari pun takpa lah.. 

Waktu tengah kelas pagi tadi, saya salin nota yang ustaz tulis kat papan hijau depan.. Tapi bila mana pen mencoret 26 Disember, saya terpaku...

Hari ni 26 Disember.. macam ada satu peristiwa penting... 

Apa ya?

Oh ya lah... takkan dah lupa kot!

Peristiwa dahsyat 6 tahun lalu....

Pada 26 Disember 2004 apakah yang berlaku?

Pada pagi selepas hari Krismas, ketika ramai yang masih bersuka ria menghabiskan cuti mereka, ketika ada yang membuat parti bogel di pantai-pantai, ketika ada juga yang masih terlena dalam dakapan pasangan tidak halal masing-masing(na'uzubillah)....Ketika itulah bala yang tak disangka-sangka menghancurkan mereka...dalam keadaan yang sungguh menyayatkan..

Ya...inilah tarikh di mana dunia dikejutkan dengan bencana ngeri Tsunami. Aceh merupakan yang terparah dan lebih 200 000 insan terkorban...Tsunami ini merupakan antara bencana yang terdahsyat dalam sejarah.

Mana boleh lupa tarikh ni...Lebih-lebih lagi sebab saya pernah ke sana setahun selepas Tsunami berlaku..

Biar saya kongsi sedikit pengalaman saya ketika ke Banda Aceh pada 2005..

Ketika itu saya baru habis peperiksaan UPSR apabila ayah saya mengajak saya untuk menemani beliau yang merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab untuk membangunkan semula negara Aceh sebagai negara Islam. 

Walaupun hampir setahun berlalu, Banda Aceh, kawasan paling parah ditimpa Tsunami ini tetap kelihatan menyedihkan. Bumi di sini masih punah. Mayat masih banyak bergelimpangan di jalanan hinggakan bila saja tingkap kereta di buka, bau meloyakan menusuk hidung. Hampir saja termuntah...

Sungguh ngeri dan menyedihkan. Seolah-olah baru semalam berlakunya Tsunami..Ini sudah setahun, saya tak boleh bayang bagaimana keadaan di sini pada awal-awal kejadian...

Tujuan kami adalah ke sebuah masjid yang dikatakan masih teguh berdiri sedangkan di sekelilingnya ranap dihancur badai Tsunami..

Jalanan masih banyak yang rosak dan ditutup kerana masih dibaik pulih.. Kesan bencana yang begitu dahsyat menyebabkan kerja-kerja baik pulih dan pembangunan semula mengambil masa yang lama..

Jadi kami terpaksa melalui jalanan yang masih rosak. Dengan kereta pacuan empat roda, jalan yang penuh dengan sisa-sisa Tsunami tetap kami rempuh..

Pokok-pokok yang tercabut dari akarnya, sisa-sisa rumah-rumah yang hancur, kenderaan-kenderaan yang tayarnya di atas, mayat-mayat, besi-besi bangunan dan harta benda yang telah musnah menghiasi pemandangan. Malah saya tergamam seketika apabila terlihat sebuah kapal yang besar berada jauh dari pantai..

Sayu.

Setelah berjam-jam lamanya, akhirnya saya sampai ke masjid yang sebelum ini hanya saya lihat di tv sahaja. Bagai tidak percaya. Benar-benar berlakukah bencana ini? Jika tidak mengapa saya sudah menjejak di sini kan...huhu

Saya pernah jejak masjid ni. Pengalaman yang tak terlupa~

Saya lihat sekeliling... benar-benar ngeri.. lebih ngeri dari yang saya bayangkan..lebih teruk dari yang terpapar di televisyen..

Walaupun sudah ada sedikit pembangunan dan perubahan, sekeliling masjid ini masih benar-benar bagai padang jarak pandang tekukur..

Subhanallah...Apabila Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya, tiada yang mustahil, namun berapa ramai sangat insan yang berfikir? Kita malah terus membuat dosa, tidak mengambil iktibar atas bencana yang telah berlaku..

Begitulah...waktu kejadian, ramai yang lari ke rumah Allah selamat, kerana rumah Allah yang paling selamat...

Ketika semuanya ranap di serang badai yang mengganas
Rumah Sang Kuasa masih tersergam gah
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang ambil iktibar
Apabila kuasa Allah jelas terserlah...

Jadi, mengapakah bala menggerunkan ini menimpa negara Islam seperti Aceh, tetapi bukan negara kafir seperti Amerika? Tidak adilkah Allah?

Saya nak cerita panjang lagi, dan nak kupas juga tentang hikmah di sebalik bencana ini sebenarnya... tapi masa tak mengizinkan...jadi, bagi sesiapa yang ada banyak masa, cubalah buat entri tentang persoalan ini...saya paskan kepada kalian..

insyaAllah kalau saya ada masa, saya sambung lagi...

Marilah sama-sama kita bertafakur insafi diri, muhasabah, ambil iktibar atas bencana menyayat hati ini dalam memperingati tragedi 26 Disember 2004 ini serta insan-insan yang tekorban dan yang kehilangan ahli keluarga...

Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah dan janganlah Engkau matikan kami dalam su'ul khatimah..

Ameen...

Jangan pernah lupakan mereka..
Mari ambil iktibar supaya bencana yang menimpa mereka tidak menjadi sia-sia.. 


Nota tambahan: 
-Antara sebab saya tak dapar lupakan peristiwa ini juga adalah kerana saya berdarah Aceh..
-Sebenarnya banyak gambar waktu saya ke Aceh yang nak dikongsi, tapi semuanya tertinggal kat komputer di rumah saya di Tanah Melayu sana.. :(


Sambung Bacaan>>>

23 December 2010

Hikayat Aneh: Analogi dari Allah

Bismillah..
Seperti ulama'-ulama' dulu, daripada menceritakan kisah-kisah dongeng barat, lebih baik kita ceritakan kisah-kisah Islami untuk adik-adik kita..

Abu Laits As-samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur pada kurun ke-9 masihi. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin(Peringatan bagi orang-orang yang lalai).

Beliau berkata, suatu ketika dahulu ayahku pernah menceritakan padaku bahawa antara para nabi yang bukan Rasul, ada yang menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi pada suatu malam bermimpi diperintahkan Allah:

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat pada lima peristiwa yang engkau akan lihat dan hadapi, pertama: engkau makanlah. Kedua: engkau
sembunyikan. Ketiga: engkau terimalah. Keempat: jangan engkau putuskan harapan. Yang kelima: larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan yang pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh, sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan."

Demi menta'ati perintah Allah, maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Namun anehnya tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahMu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung Helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku!"

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat
daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan lagi perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ karena tidak tahan menghidu bau yang menusuk hidungnya.

Setelah menempuhi kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa:

"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku ertinya."

Dalam mimpi, beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Yang kedua, semua amal kebaikan (budi), walau disembunyikan, ia tetap akan ternampak jua.

Yang ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika seseorang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuk membantunya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat/gosip). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."


Para pembaca yang dikasihi, kelima-lima peristiwa ini hendaklah kita semaikan pengajarannya dalam diri kita sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari... 



Sambung Bacaan>>>

12 December 2010

Ibrah Kisah Nabi Yunus: Jangan Putus Asa

Bismillah..
Nabi Yunus berada dalam tiga kegelapan: Kegelapan dalam perut ikan, kegelapan di dasar laut dan kegelapan malam. ~pic by DJ-91 on deviantArt

Kita masih ingat bukan? Tentang kisah Nabi Yunus Alaihissalam ditelan ikan..

Ya, jika baca dan fikir kembali, banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tersebut.
(Bagi sesiapa yang belum pernah tahu tentang kisah Nabi Yunus, saya ada nukilkan ringkasan kisah di hujung entri ini)

Putus asa membawa kegelapan hidup

Cuba bayangkan kita sendiri berada di dalam tempat yang sangat sempit dan gelap pekat hingga tubuh kita sendiri pun sukar digerakkan selama berminggu-minggu...

Fuhh.. Tak boleh saya bayangkan, betapa beratnya ujian yang menimpa Nabi Yunus..

Jadi, adakah Allah sengaja memberi dugaan kepada Nabi Yunus tanpa hikmah dan pengajaran? Kenapa pula Allah sebutkan kisah Nabi Yunus di dalam Al-Quran? Sia-sia saja tanpa ada pengajaran untuk kita fikirkan?

Maka, cuba kita tafakur sejenak, teliti Al-Quran, apa hikmah disebalik ujian Allah ke atas Nabi Yunus.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang Rasul, (ingatlah) ketika ia lari (meninggalkan tanggungjawab) ke kapal yang penuh muatan. Kemudian ia ikut berundi*, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari dibangkitkan(kiamat). Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit.” (Al-Saffat: 139-145)

* Undian itu diadakan karena muatan kapal itu sangat penuh. Kalau tidak dikurangkan mungkin akan tenggelam. Justeru diadakan undian, siapa yang kalah dalam undian itu dilemparkan ke laut. Nabi Yunus termasuk orang-orang yang kalah dalam undian tersebut sehingga ia dilemparkan ke laut.

Apa yang saya dapat, kisah Nabi Yunus ditelan ikan sebenarnya merupakan didikan dan iktibar dari Allah untuk kita, betapa pentingnya bersabar dalam berdakwah dan padahnya meninggalkan tanggungjawab menyeru kepada Allah. Kalau tidak kerana dakwah Nabi Yunus, hancurlah semua kaumnya.

Allah juga ingin mengajar kita bahawa putus asa dan berhenti dari melangkah tidak memberi apa-apa natijah yang baik. Malah ianya sangat dibenci Allah.

Jika kita berhenti dari terus berjuang, kegelapan pasti akan menyelubungi diri kita. Ibarat seseorang yang berputus asa, hidupnya resah, terasa dunia ini hitam dan sempit seperti berada di dalam perut ikan..

Dalam segala aspek kehidupan pun, sama ada pelajaran atau perniagaan, semuanya perlu untuk kita bersabar dan terus melangkah dalam berjuang. Tiada sebab untuk terdetik dalam jiwa kita ‘putus asa’. Malah kita seperti merosakkan diri kita jika berputus asa.

Lebih-lebih lagi dalam berdakwah, menyeru kepada Allah, jika kita berhenti, bukan saja kita yang musnah ditelan kegelapan, bahkan masyarakat juga kan punah ditelan kejahilan.

Sebab itu, cuba kita bayangkan betapa gelapnya dunia ini tanpa dakwah apabila kita berhenti dari menegur, berhenti dari nasihat-menasihati, berhenti dari amar makruf nahi mungkar..

Kita pewaris kerja Nabi

Persoalannya, siapa pula yang perlu berdakwah dan berpesan-pesan? Nabi mana pula?

Setelah Nabi Muhammad menjadi penutup bagi para Nabi dan Rasul, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat Baginda?

Ya, kitalah pewarisnya, kitalah yang menyambung kerja para Nabi. Seperti sebuah syarikat yang dibina ayah kita sendiri, kita sebagai anaknyalah yang mewarisinya. Kita perlu menyambung kerja ayah kita, jika tidak, syarikat akan tergendala dan musnah.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?'" (Fushilat: 33)

Kita sebagai umat Rasulullah wajib menyambung kerja Baginda agar umat ini tidak musnah ditelan kegelapan jahiliyyah. Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menyeru kepada Allah, amar makruf nahi mungkar. Bukankah kita diciptakan sebagai khalifah dunia?

Jadi, mari kita sama-sama terus melangkah..

Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang.

Jangan berhenti melangkah, jangan berhenti berjuang, jangan berhenti berdakwah, jangan biar dunia ditelan kegelapan, ummah perlukan kita!


Bonus: Kisah nabi Yunus

Setelah begitu lama berdakwah, begitu lama bersabar dengan dugaan, begitu lama berjuang, hanya sebahagian kecil sahaja yang menerima dakwah Nabi Allah Yunus. Oleh kerana rasa marah dan kecewa membuak-buak, terdetik dalam sanubari Nabi Yunus untuk berhenti sebentar dalam berjuang menyeru kaumnya kepada Allah.

Maka dengan menumpang sebuah kapal yang penuh, Nabi Yunus pergi meninggalkan kaumnya sebentar. Seolah-olah gejolak kemarahan Nabi Yunus mengaburi tanggungjawabnya sebagai utusan Allah.

Oleh kerana kapal terlalu penuh sehingga boleh menyebabkannya karam, undian perlu dibuat untuk mengurangkan muatan, sesiapa yang kalah akan dibuang ke laut.

Dengan takdir Allah, Nabi Yunus dibuang ke laut setelah kalah undian di kalangan penumpang. Lalu Nabi Yunus ditelan ikan Nun. Nabi Yunus sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan.

Ikan Nun itu membawanya ke dasar lautan dan lautan membawanya ke kegelapan malam. Tiga kegelapan: kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan, dan kegelapan malam. Nabi Yunus merasakan dirinya bagai telah mati. Nabi Yunus akhirnya sedar dan bertaubat atas kesilapannya meninggalkan kaumnya dan redha dengan dugaan Allah.

Di dalam perut ikan, Nabi Yunus tetap bertasbih memujiNya, zikir seolah-olah menjadi makanannya..

Akhirnya, Allah menerima taubatnya dan mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan besar tersebut lalu terdampar di sebuah pulau.

Tidak lama kemudian, Nabi Yunus Alaihissalam kembali kepada kaumnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Nabi Allah..

Sambung Bacaan>>>

07 December 2010

Salam Maal Hijrah

We are closer and closer to DEATH..


Salam Maal Hijrah 1432

Taqabbalallahuminna waminkum.
Moga Allah terima setiap amalan kita.

Sertakan doa untuk saya di dalam doa kalian.
Entah apa dah jadi dengan saya.

Tiada apa untuk dikongsikan kali ini.
Jiwa ini kosong.

Saya takut
Untuk tulis apa yang belum berjaya saya lakukan.

Azam saya bagi Maal Hijrah 1432 ini:

ISTIQAMAH DALAM SETIAP AMALAN
dan
'MENDARAH DAGINGKAN' Al-QURAN



قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Salam Ma'al Hijrah +_+

Sambung Bacaan>>>

03 November 2010

Ujian: Anugerah Istimewa dari Tuhan

Bismillah.
Mirwana: Anugerah Istimewa~ untuk menambah feeling, biarlah lagu ini berputar dahulu mengalunkan nada syahdu sebelum membaca.. ;D

Sebelum ditatapi setiap rangkuman aksara rumi tafakur diri ini yang bakal dibaca, biar aku nyatakan dahulu, ini adalah catatan hati, ditulis daripada hati menggunakan bahasanya. Sebelum ia mengetuk minda, biarlah ia berteleku di jiwa dahulu. Agar tenangnya bersimpuh dan damainya merengkuh sukma. Hayatilah..

Tika ini kamarku sepi, bayu awal musim sejuk menerobos jendela, lalu menabrak pipiku. Nyaman nian terasa menyelubungi jasadku. Aku memaling ke jendela, menyambut sapaan malam yang kelihatan sungguh bahagia. Aku terpesona melihat suasana angkasa, malam yang menyimpan sejuta rahsia. Benakku mengimbau sesuatu, tentang travelog diriku. Aku terasa ingin meluahkan sesuatu. Komputer riba di atas meja kubuka.

Lalu jemariku menari menaip sesuatu buat tatapan minda.

Hampir dua tahun aku terkapar di sini. Kota Fustat makin mesra menerimaku. Bumi ini seolah-olah seronok mentarbiah dan mengajarku.

Aku memang sedar, kita semua ada permulaan. Bermula dari kita dilahirkan ke dunia ini. Ketika itu kita semua dalam keadaan jahil dan dungu, tidak berdaya dan daif. Kurang segala-galanya. Alam yang menyambut kita akan mengatakan.

‘Jika mahu hidup di dimensiku, kamu harus sabar. Jika mahu raih impian yang sederhana, kamu tidak perlu berbuat banyak. Jika kamu mahu meraih impian yang besar, kamu harus berjuang keras. Jika kamu mahu dunia menerimamu, maka kamu harus menjadi luar biasa. Lain dari yang lain.’

Bermakna, hayat manusia berbeza-beza mengikut kadar ujian. Jika berat cubaan dan tekanan, dia akan menjadi lebih berkualiti. Itulah sunah kehidupan.

Lalu kita diberi tempoh waktu untuk kita mengejar mimpi. Jika kita mahu mengejar sesuatu yang besar, kita akan dikurniakan ujian. Ketika itu, jiwa dijentik, hati ditekan, fikiran dihentak, perasaan bahkan memberontak. Itulah proses untuk meraih kebijaksanaan, membina kematangan dan ketabahan. Ia pasti akan memakan waktu untuk menikmati hasil. Lama atau sebentar bergantung kepada ‘cara’ dan ‘persepsi’ yang mampu menyelamatkannya daripada huru-hara itu.

Selepas itu, kita akan lahir sebagai manusia baharu yang memiliki suatu nilai baharu. Pilihan di tangan kita untuk memilih ‘cara’ dan ‘persepsi’ dalam setiap proses.

Ia persis sebuah pertarungan, ia berlangsung sehingga diri sendiri memilih sama ada untuk berhenti, berundur dan tewas dalam proses itu, atau memilih tahan, mara dan menang! Atau paling tidak, dia boleh memilih berhenti dan bertahan. Bererti, pilihan di tangan kita untuk berada di takat mana.

Begitu juga aku, sedaya mungkin, aku memilih untuk tahan, mara dan menang. Ya, manusia mana yang tidak pernah gagal? Manusia mana yang tidak pernah kecewa? Manusia mana yang tidak ada pasang surutnya? Kita bukan malaikat. Jika ada manusia hari ini yang mendabik dada mengatakan dia adalah manusia sempurna, maka aku berani katakan bahawa dia berbohong.

Hidup sering berputar, dari bawah ke atas dan dari atas ke bawah. Sedangkan gelap juga ada waktu cerahnya dan cerah akan ada waktu mendungnya. Perubahan akan berlaku. Cuma soal waktu menjadi tanda tanya.

Orang yang tidak diuji, tidak tahu tinggi rendah langit di atasnya. Orang yang hidup dalam kemewahan akan mudah karam, tambahan pula jika kemelaratan tidak pernah menyentuh atmanya. Mana mungkin dia tahu nilai sesuap nasi.

Oleh itu, apabila Tuhan berikan ujian bererti Tuhan mahu mengajarkan sesuatu. Bila adanya gelap, sebatang lilin jadi sangat berharga. Apabila Tuhan bawa sengsara dan lara, erti bahagia jadi berjuta-juta. Siapakah yang mampu memberi nilai selain Tuhan? Syukurlah pada Tuhan jika diri dilanda ujian, kerana hakikatnya, setiap ujian itu adalah satu anugerah. Cuma manusia sahaja yang berpersepsi salah. Ujian dianggapnya bebanan...

Baru-baru ini, ujian demi ujian menimpa. Aku sering belajar melalui setiap dugaan. Jika selama ini sara hidupku ditampung keluargaku, hidup kurasakan sungguh selesa, namun kini, semua wangku hilang bersama kad bank serta kantung wangnya sekali. Hidupku sempit, jiwaku tertekan. Baru aku rasa secubit bagaimana hidup melarat dan susah. Sudah sebulan aku hidup begini. Kini baru aku tahu erti 1 genih Mesir, baru aku tahu nilai sebuku roti, baru aku tahu sengsaranya hidup tanpa wang, tanpa makanan, tanpa bantuan. Baru aku tahu walaupun sedikit. Aku tersentak.

Bagaimanapun kini aku makin bahagia. Aku telah faham. Ujian ini adalah satu didikan yang dikurniakan Tuhan, yang membuka mataku. Lalu kuhadirkan kesedaranku ini di dalam ruangan pena ini, yang telah terhasil menjadi abjad-abjad kata. Untuk dikongsikan bersama..

“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah: 155)

Dari Abu Yahya, yaitu Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Amat menghairankan sekali keadaan orang mu'min itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak ada pada sesiapa melainkan hanya pada orang beriman, iaitu apabila ia mendapatkan kesenangan hidup, ia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa kesukaran, ia pun bersabar dan hal ini juga adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)


Pendamba kasih Ilahi ~Al-Faqir Azam Husni.
03/11 Bilik yang sepi, seorang diri, kamar tingkat 6, Kaherah, Mesir.

Sambung Bacaan>>>

12 October 2010

Ikhtilat Alam Maya

Bismillah..
 -Haiwan memang bebas ikhtilat, tetapi manusia tidak, kerana kita bukan haiwan! ~gambar hiasan~

Huuh, lama tak buat penulisan fakta.

Post kali ni saya cuba-cuba berlatih menulis fakta. Biar bahasa Melayu tidak pudar dan hilang ditelan bahasa Arab. Huhu.. Maklumlah, terpaksa menangguhkan SPM yang sepatutnya kena ambil tahun ni kerana masih lagi perlu berjuang di Bumi Pyramid yang berdebu ni.

Ya, walaupun tak sehebat penulisan Saiful Islam mahupun Langit Ilahi, paling kurang ada juga latih tubi kan, dalam usaha bersaing mengatasi mereka. Hehe.

Practices make perfect, so I can surpass anyone! :D

Banyak juga kelebihan bila ada blog. Boleh berlatih menulis dan kongsi-kongsi ilmu.

Bagaimanapun, post kali ini sangat sangat sangat penting untuk dibaca dan diambil pedoman, apalagi diamalkan dan disebarkan...

Takrif Ikhtilat

Ikhtilat adalah kalimah bahasa arab yang menjadi masdar(kata dasar) bagi fiil madhi(perbuatan lalu) ikhtalata, dan mudhari’(perbuatan kini) yakhtalitu.

Ikhtilat dari segi bahasa dapat didefinasikan sebagai percampuran ataupun pergaulan sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Namun sebagaimana yang kita faham melalui tajuk di atas, Ikhtilat yang saya maksudkan di sini adalah dari segi syarak, iaitu Ikhtilat yang membawa takrif pergaulan bebas sesama manusia yang berlainan jantina.

Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam ( Awdah al-Hijab : 3/52) mentakrifkan Ikhtilat sebagai:


"Perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram baginya yang mana perhimpunan tersebut membawa prasangka, atau perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat yang memungkinkan interaksi di kalangan mereka dengan pandang memandang atau isyarat atau perkataan atau jasad yang tanpa dinding, batas dan penghalang yang mampu menolak prasangka dan kerosakan".

Islam begitu adil dalam menangani naluri seks manusia terhadap jantina yang berbeza.Tidak dinafikan bahawa lelaki yang normal berkeinginan kepada wanita untuk dijadikan teman hidup dan begitulah sebaliknya bagi wanita.

Namun begitu, masih juga ramai yang tidak tahu dan faham betapa indahnya Islam yang telah menggariskan panduan dalam segala aspek kehidupan untuk kita ikut termasuk dalam bergaul sesama insan. Semuanya adalah demi menjaga maruah, kebaikan dan kemuliaan kita sendiri.

Oleh itu, mereka yang tidak menjadikan hukum Islam sebagai panduan hidup akan sentiasa berada dalam kedaan yang hina. Saya sangat hairan, ada juga manusia yang sukakan kehinaan malah seronok menjauhi kemuliaan. Mereka itu ditipu syaitan. Sesat lagi menyesatkan.

Ikhtilat Syari’e

Dalam bergaul, terutamanya antara kaum adam dan kaum hawa yang bukan mahram, Islam meletakkan batas-batas yang sangat penting untuk kita jaga.

Islam bukanlah melarang sepenuhnya untuk kita bergaul berlainan jantina, kita boleh bergaul, tetapi ada hadnya, ada batasnya, ada pagarnya. Bukan ikut suka hawa sahaja.

Ikhtilat Syari’e ialah percampuran lelaki dan perempuan yang mengikut ketetapan-ketetapan syara’ seperti berikut:

1. Ikhtilat yang dilakukan atas dasar darurat.

Contohnya, terpaksa melakukan ikhtilat di tempat awam yang terbuka, sibuk dan tidak membawa sebarang fitnah seperti jalan raya yang sesak, pusat membeli-belah, kenderaan awam dan sebagainya.

2. Ikhtilat yang dilakukan atas dasar keperluan.

Contohnya, ikhtilat bersama tamu, mahkamah, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis ilmu, medan jihad, medan dakwah, semasa menunaikan haji dan umrah, semasa ziarah orang sakit dan seumpamanya.

Namun begitu, tidak dinafikan kita perlu juga menjaga adab-adab pergaulan seperti tidak bersentuhan, menjaga aurat, menjaga pandangan, menjaga percakapan, asingkan tempat lelaki dan perempuan, tidak menimbulkan fitnah yang boleh menghilangkan maruah dan kehormatan, dan sebagainya.

Sebaliknya ikhtilat tidak syari’e ialah ikhtilat yang tidak memenuhi kriteria-kriteria ikhtilat syari’e sebagaimana yang telah dinyatakan.

Ikhtilat Alam Maya

Jelas kepada kita bahawa dunia siber bukan penghalang kepada berlakunya khulwah dan ikhtilat tidak syari’e.

Boleh dikatakan khulwah dan ikhtilat moden adalah lebih bahaya kerana kedua-duanya berlaku dalam bentuk yang amat terancang, rahsia, tertutup, bebas dan tanpa kawalan sehingga begitu sukar untuk dibendung melainkan dengan kekuatan iman individu itu sendiri atau perasaan takut kepada Allah SWT yang mengatasi segalanya.

Antara ikhtilat yang sedang parah merebak di alam maya adalah:

1) Budaya forum dan chatting sama ada di YM, Facebook, Myspace dan lain-lain yang tidak syari’e dengan menggunakan bahasa kotor dan lucah sehingga membangkitkan gejolak nafsu dan menjurus ke arah maksiat.

2) Salah guna web cam dengan mendedahkan aurat sebagai tontonan teman alam maya hingga tidak ambil peduli tentang siapa teman forum atau chattingnya, apa status dan jantinanya, isteri orang ke dan sebagainya.

Salah guna siber membawa kepada zina hati

Penyalahgunaan tersebut sememangnya mengundang segala macam unsur maksiat alam maya, jauh dari fungsi sebenarnya yang banyak manfaat.

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: ”Tidaklah laki-laki dan perempuan berkhalwah(berdua-duaan)kecuali yang ketiganya adalah syaitan”. (HR Tirmidzi).

Selain haram mengucapkan kata-kata kotor, haram juga mendekati zina dengan menulis atau menuturkan kata-kata yang kotor, lunak, manja dan gedik atau berupa rayuan antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya.

Sebenarnya itulah zina hati.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya.Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.” Hadis Riwayat Muslim.

Menjadi trend remaja masa kini mencari pasangan hidup dengan chatting tanpa mengira apakah batas yang ditetapkan oleh Islam sehingga aspek moral dan akhlak diabaikan.

Sifat malu sebagai benteng telah terlerai dan terhakis sedikit demi sedikit sehingga berlaku interaksi antara dara dan teruna dalam jangka masa yang panjang dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan.

Sedangkan Al-Quran telah mengingatkan kita berulang kali bahawa semua perkataan akan dicatat oleh para malaikat dan kita akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap perkataan kita kelak.

Dalam berchatting,seharusnya kita menyedari bahawa segala percakapan atau tulisan kita tetap diperhati oleh Allah SWT dan juga malaikatNya Raqib dan Atid.

"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan kecuali ada dekatnya malaikat pengawal yang selalu hadir”(Surah Qaaf: 18) (Sila rujuk juga Al-Ahzab ayat 70)

Wujudnya khulwah virtual

Sekiranya perlu sangat untuk berchatting dengan berlainan jantina, bukankah lebih baik jika chatting itu ditemani orang lain? Islam mengharamkan khulwah (duduk berdua-dua bersunyian) di antara muslimin dan muslimah yang bukan mahram. Dalam hal ini, khulwah secara virtual boleh terjadi dengan perbualan melalui internet ataupun berchatting.

Sebagaimana diharamkan bersunyi-sunyian dalam keadaan fizikal, begitu juga dari segi virtual. Lebih-lebih lagi interaksi itu berkaitan perkara yang peribadi. Jadi chatting boleh jadi halal dan juga menjadi haram, ianya bergantung pada cara kita menggunanya.

Semoga kita berwaspada dan lebih berhati-hati, sehingga chatting yang kita lakukan senantiasa dalam landasan syariat, ibadah dan zikrullah.

Penyelesaian: Jadikan Internet sebagai suatu manfaat untuk menuju akhirat

Akhir kata, dalam kita melayari dunia cyber, hendaklah kita sedar bahawa kita masih terikat dengan tuntutan syariat Allah SWT. Jangan sampai kita melupakan matlamat kejadian manusia diciptakan Allah untuk menjadi hamba Allah yang mengabdikan diri kepadaNya dan menjadi khalifah Allah SWT untuk mentadbir dunia ini dengan hukum syariat yang telah diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Dalam kita bergelanggang di dunia cyber, hakikatnya kita telah menyahut tuntutan fardhu kifayah iaitu menyediakan wadah yang bermanfaat di dunia cyber dalam mencapai kedua-dua matlamat tersebut.

Jadi, gunakanlah bakat dan kepakaran yang ada untuk mencapai kedua-dua matlamat tersebut.

Letaklah Al-Quran dan Sunnah sebagai pemimpin kita dalam melaksanakan tuntutan tersebut.

Letakkan kepentingan agama di hadapan. Kepentingan nafsu, singkirkan terus dari dalam diri.

Jadikan dunia cyber sebagai alat untuk menuju ke akhirat. Jangan sama sekali menjadikan dunia cyber sebagai alat untuk memenuhi tuntutan nafsu ammarah yang akhirnya akan meranapkan diri kita sendiri.
Na’uzubillah.

Wallahu Ta’ala A’la Wa A’lam..


Rujukan:

Fiqh Kontemporari- Dr. Yusuf Al-Qardhawi
iluvIslam.com
http://hatinurani86.blogspot.com/2009/12/ikhtilat-menurut-islam.html
http://ms.langitilahi.com/perkongsian-bila-kamu-bising-fasal-zina-hati/

Majalah Suara Kampus edisi September 2008

Sambung Bacaan>>>

06 October 2010

Sebaik-baik Pelancongan

Bismillah..

-Sempat tangkap: Pintu bilik pilot yang terbuka, bila giliran saya pula?

Terngiang-ngiang.

Sekembalinya saya di bumi Nabi Musa ini, rindu pada bumi Ashabul Kahfi terus menyergah.

Memang sukar dilupakan perantauan ke Jordan walaupun telah tiga minggu berlalu. Saya rasa seperti baru saja melalui sebuah pelancongan yang paling bermakna selama hampir dua bulan.

Bagaimanapun ini bukan pelencongan ataupun pelancongan biasa-biasa untuk rehat-rehat membuang masa, tetapi dalam mengaplikasikan pelancongan para sahabat yang dikatakan Nabi di dalam hadis berikut:

Dari Abu Umamah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, berikanlah izin kepada saya untuk melancong ke negeri orang lain,”

Nabi Sallallahualaihiwasallam lalu bersabda: "Sesungguhnya cara pelancongan untuk umatku ialah berjihad di jalan Allah 'Azzawajalla." (HR Imam Abu Dawud dengan isnad yang baik)

1. Pelancongan perlu ada tujuan Jihad

Di dalam kitab Nuzhatul Muttaqin, syarah Riadhus Solihin, para ulama menghuraikan hadis ini bahawa:
Kita tidak boleh merantau ke negeri orang lain ataupun bermusafir tanpa tujuan yang betul serta tanpa berjihad di jalan Allah. Jihad berbentuk pelancongan ke negeri orang lain boleh dilakukan sama ada jihad melawan hawa hafsu, menginfakkan harta di jalan Allah, menuntut ilmu atau berdakwah di jalan Allah kerana sesungguhnya perkara tersebut merupakan jihad dan menjulang kalimah Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69)

Oleh itu, baru-baru ini saya cuba mengamalkan hadis dan ayat ini sewaktu ke Jordan, di sana saya i'tikaf untuk islah diri dan belajar cara berdakwah untuk ummah ini dalam melamar redha Ilahi.

Saya rasa kisah saya di Jordan sangat panjang untuk dicoretkan di sini. Entah bila nak post. Moga Allah bagi masa lapang..

2. Jihad itu luas

Justeru kita perlu faham, jihad ini sebenarnya luas, tidak terkunci dengan perang dan senjata sahaja. Selagi mana kita ada usaha dan berjuang demi agama dalam mencari keredhaan Allah, itulah jihad.

Berikut saya nyatakan antara hadis Nabi yang menunjukkan jihad bukan hanya dengan senjata:

1) Rasulullah pernah bersabda ketika pulang daripada sebuah peperangan, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi rahimahullah, dengan sanad dari Jabir ra, katanya:

"Nabi Sallallahualaihiwasallam ketika kembali dari suatu peperangan berkata:

"Kamu sekalian telah kembali kepada sebaik-baik tempat kembali, dan kamu telah kembali dari jihad asghar (jihad yang lebih kecil) menuju kepada jihad akbar (jihad yang lebih besar).”

Para sahabat bertanya: "Apakah jihad akbar itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Jihadnya seseorang melawan nafsunya." (Tarikh al-Baghdadi, 13/493)

2) Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Barangsiapa keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan)

Penutup: Melancong itu digalakkan

Melancong, merantau atau bermusafir ke tempat yang baik tidak salah, malah ianya digalakkan selagi tiada tujuan maksiat, tetapi jangan jadikan ianya sia-sia.

Sebab itu, adalah lebih baik jika kita menjadikan pelancongan kita diredhai Allah kerana itulah sebaik-baik pelancongan dan moga dengan tujuan dan niat yang betul, pelancongan kita juga akan menjadi ibadah yang mendapat pahala di sisi Allah.

Akhir kata, jadikanlah setiap pelancongan kita sebaik-baik pelancongan seperti mana yang dianjurkan Nabi dan saya yakin anda pasti sukar melupakan setiap pelancongan anda...

Imam As-syafi’ie Rahimahullah ada menukil sebuah syair tentang galakan untuk kita merantau:

ما فى المقام لذى عقل وذى ادب              من راحة فدع الأوطان واغترب
سافر تجد عوضا عمن تفارقه          وانصب فان لذيذ العيش فى النصب
انى رأيت وقوف الماء يفسده           ان ساح طاب وان لم يجر لم يطب
والأسد لولا فراق الأرض ما افترست            والسهم لولا فراق القوس لم يصب

Tiadalah ketenangan di tempat kediaman bagi orang yang cerdik dan berpekerti. Maka tinggalkanlah tanah air dan merantaulah..

Bermusafirlah, kamu akan peroleh pengganti bagi sesiapa yang kamu berpisah. Bersungguh-sungguhlah kerana kemanisan hidup itu ada pada kesungguhan..

Sungguh kulihat air yang bertakung itu mengeruhkan. Sekiranya ia mengalir, ia menjadi jernih. Sekiranya tidak mengalir ia menjadi keruh..

Sang Singa jika tidak meninggalkan tempatnya, ia tidak akan dapat membaham mangsa. Dan anak panah pula jika tidak meninggalkan busurnya, ia tidak akan mengenai sasaran..

Sambung Bacaan>>>

24 September 2010

Puisi: Dimensi Baru

 
Perjalanan masih jauh, dan aku baru mula melangkah.


Tandus bumi ini tak berubah
Kontang tanah ini terserlah
Gersang tempat ini penuh sejarah
Begitu sempurna ciptaan Allah

Rona di bumi Ashabul Kahfi
Menyihir jiwaku
Menggamit ragaku
Memaut atmaku

Mersik jiwaku
Melagukan melodi syahdu
Menghakis memori pilu
Menghambat rasa rindu

Karat hatiku tercuci
Dek suasana iman yang murni
Ghairah dunia sirna pergi
Rindu akhirat tumbuh meninggi

Tadhiyah* mengajarku
erti kejayaan
Ukhuwwah  mengajarku
erti kehidupan

Wahai bulan saksikanlah
Wahai bintang perhatikanlah
Malam ini aku kan pergi
Menjengah sebuah dimensi.

-Karya Azam Husni, 10:44 pm, tika bulan mengambang di langit dunia.

* Tadhiyah : Pengorbanan

Sambung Bacaan>>>

04 August 2010

Membina Diri Membangun yang Lain

Bismillah..


Tema blog ini berasaskan ayat Al-Quran:

"...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..."  (ar-Ra'd: 11)

“Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengannya ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim”.  (At-taubah:109)

Dalam membangun sesebuah bangunan, kita memerlukan asas yang kukuh agar ianya kukuh dan selamat. Individu itu sendiri merupakan batu pertama dalam pembangunan masyarakat, dan batu pertamalah yang menentukan kekukuhan bangunan tersebut.

Jadi, sebelum kita membina sesebuah bangunan, kita perlu membuat permulaan yang tepat. Struktur asas yang kukuh akan menghasilkan bangunan yang kukuh, justeru akan dijadikan contoh untuk membina bangunan yang lain.

Sesebuah pembangunan perlu berdasarkan kekukuhan bangunan yang pertama. Jika bangunan yang pertama tidak kukuh, bagaimana untuk membangun bangunan yang lain? Dan bagaimana sesebuah kawasan itu akan membangun?

Kita perlu memulakan pembangunan masyarakat dan umat dengan pembinaan individu yang kukuh dan mantap secara menyeluruh agar individu itu tidak goyah dan runtuh walaupun pelbagai rintangan dan cabaran datang menyerang.

Bukanlah bermakna saya ini telah kukuh untuk membangun masyarakat, akan tetapi saya ingin menjadikan pembangunan itu satu cermin untuk menjadikan diri ini sebuah binaan yang sentiasa perlu dibaikpulih, dikoreksi ditingkatkan dan dibaiki. Dalam membaiki diri sendiri dan dalam masa yang sama membangun yang masyarakat.

Bukankah kita juga dapat membina diri dengan menyeru dan membangun yang lain?

Bagaimana?

Iaitu dengan membangun yang lainlah kita semakin meningkat.

Sebab itu, kedua-duanya sangat berkait, ianya perlu berjalan serentak. Tidak mugkin kita dapat membina diri dengan sempurna dulu baru menyeru yang lain.

Jika sesebuah pembangunan yang baik memerlukan permulaan yang baik dan kukuh serta tepat dengan struktur asas yang tidak akan mudah runtuh dan jatuh, begitu juga kita, kita perlu menjadi ‘struktur asas itu’. Kita perlu menjadi individu yang sentiasa terbina dengan paksi iman yang kukuh, sebelum membangun umat dan masyarakat yang baik, dalam mencetak dan melahirkan generasi rabbani yang soleh wal musleh.....

Inilah sebenarnya yang menjadi dasar bagi setiap usaha perbaikan, perubahan, dan pembinaan sosial. Iaitu usaha yang dimulai dari individu, yang menjadi fondasi bangunan secara menyeluruh. Kerana kita tidak mampu untuk mendirikan sebuah bangunan yang selamat dan kukuh jika batu-batu fondasinya reput dan rosak.

Individu manusia merupakan batu pertama dalam bangunan masyarakat. Oleh sebab itu, setiap usaha yang diupayakan untuk membentuk manusia menjadi muslim yang sejati dan mendidiknya dengan pendidikan Islam yang sempurna harus diberi prioriti mengatasi usaha-usaha yang lain. Kerana sesungguhnya usaha pembentukan manusia menjadi muslim yang sejati sangat diperlukan bagi segala macam pembinaan dan perbaikan yang seterusnya. Itulah pembinaan yang berkaitan dengan diri manusia.


Tugas terpenting yang mesti kita lakukan pada hari ini apabila kita hendak melakukan perbaikan terhadap keadaan umat kita ialah melakukan permulaan yang tepat, iaitu membina manusia dengan pembinaan yang hakiki dan bukan hanya dalam bentuk luarnya saja.

Kita harus membina dalaman, akal, rohani, jasmani, dan perilakunya secara seimbang. Kita membina akalnya dengan ilmu pengetahuan, membina rohnya dengan ibadah, membina jasmaninya dengan riadhah, dan membina perilakunya dengan akhlaq yang mulia.

Kita harus melaraskan agama dan dunia secara seimbang agar menjadi manusia yang baik, justeru dapat mempengaruhi orang untuk berbuat baik, sehingga kita terhindar dari kerugian di dunia dan akhirat..


Rujukan: Fiqh al-Awlawiyat, karya Dr. Yusuf Al-Qardhawi

Sambung Bacaan>>>

02 August 2010

Manhaj Pengabdi : Muqaddimah

Bismillah..


Sebagai insan yang bertaraf hamba dan pengabdi kepada Al-Jabbar, kita tidak boleh lari dari manhaj ataupun cara-cara yang telah digariskan oleh Sayyidul Khalq(Penghulu segala makhluk) Sallallahu’alaihiwasallam untuk menjadi seorang hamba yang benar-benar mempunyai arah tuju dan destinasi dalam melayari bahtera kehidupan.

Manhaj-manhaj ini adalah sebagai kompas bagi setiap hamba yang ingin menuju Sang Pencipta dengan cara yang benar. Kita tidak boleh mengikut kehendak dan benak sendiri dalam memainkan peranan kita sebagai hamba kepada Allah dan khalifah kepada dunia.

Memandangkan zaman makin maju, manusia yang lemah seperti kita mula disibukkan dengan dunia, urusan agama pula terus mundur, umur manusia pula terlalu pendek, maka para ulama’ yang merupakan pewaris anbiya’ telah berpenat lelah untuk menyajikan pada umat cara dan manhaj terbaik yang tersusun dan teratur mengikut peringkat-peringkatnya dalam mengabdikan diri kepada Allah.

 -Pic by erfan91 of deviantArt-

Imam Abu Hamid Al-Ghazali telah menyusun manhaj, cara dan jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam 7 peringkat mengikut tertib yang berikut:


  1. Peringkat Ilmu dan Ibadah
  2. Peringkat Taubat
  3. Peringkat Godaan
  4. Peringkat Rintangan
  5. Peringkat Dorongan
  6. Peringkat Hinaan
  7. Peringkat Puji dan Syukur
Bersambung..

Sambung Bacaan>>>

27 July 2010

Wali Band: Bukan Kumpulan Muzik Biasa

Bismillah.
Wali Band: Mereka mempunyai cara tersendiri

Jika kumpulan Ungu dari Indonesia merupakan sebuah kumpulan muzik yang menyampaikan mesej-mesej Islam di dalam kebanyakan lagunya, kini Wali Band pula mengikut jejak langkah mereka dengan cara tersendiri. Mana tahu barangkali nama band mereka itu(Wali) diambil dari perkataan bahasa arab yang bermaksud rakan, pemimpin, ataupun orang yang dekat dengan Allah(yang biasanya digelar wali Allah).

Saya mula tertarik dengan kumpulan ini setelah mendengar sebuah lagu yang berjudul 'Aku Cinta Allah'. Sebelum itu, saya memang sering terdengar tentang kumpulan dari negara seberang ini, namun saya tidak berapa ambil peduli tentang mereka kerana menyangka mereka hanya sebuah kumpulan biasa-biasa seperti kumpulan-kumpulan muzik yang lain.


Lagu Aku Cinta Allah: Sedap dan Islami.

Pada hemat saya, muzik-muzik dan lagu-lagu pop lebih diminati ramai berbanding lagu-lagu nasyid. Lagu-lagu tentang cinta juga merupakan antara yang paling disukai ramai. Justeru, Wali Band ini mengambil kesempatan ini untuk turut berperang muzik dengan ahli muzik lain menggunakan bakat hebat yang mereka ada.

Bagi saya juga, mereka merupakan sebuah kumpulan muzik yang bagus kerana ada menyampaikan mesej-mesej agama di dalam lagu-lagu mereka. Walaupun jenis muzik seperti mereka kurang bagus untuk didengari orang Islam, namun saya rasa mereka mempunyai cara mereka tersendiri untuk menyampaikan agama.

Sesuai dengan arus kemodenan zaman ini, mungkin mereka mempunyai matlamat tersendiri melalui penglibatan mereka dalam industri muzik. Mungkin juga mereka mensasarkan para penggemar-penggemar muzik pop sebegini di kalangan remaja yang mana lebih ramai dari penggemar lagu-lagu nasyid untuk menyampaikan mesej agama melalui muzik.

Sepeti mana yang kita maklum, masyarakat juga boleh rosak dengan mendengar muzik-muzik yang tidak elok dan yang bukan-bukan. Lantaran itu, Wali Band ini mengambil langah untuk terjun dalam peperangan muzik ini untuk menumbangkan muzik-muzik yang merosakkan tersebut dengan cara tersendiri.

Wali Band kini mendapat tempat yang sangat luar biasa di kalangan penggemar muzik sama ada di Indonesia dan Malaysia. Kemasyhuran mereka itu semestinya memudahkan mereka untuk menyampaikan mesej-mesej yang baik dan bermakna di kalangan masyarakat.

Antara lagu-lagu mereka yang popular adalah lagu ‘Baik-baik Sayang’ dan ‘Tomat’(Tobat Maksiat). Lagu Baik-baik Sayang adalah antara lagu kesukaan saya. Lagu tersebut nampak seperti lagu cinta yang mengarut, namun sebenarnya lagu itu adalah lagu sedih tentang cinta suami dan isteri.

Saya harap band, ahli muzik dan para artis di Malaysia yang menceburi bidang muzik pop ini mencontohi Wali Band dalam menyampaikan hiburan berbentuk muzik daripada menyampaikan lagu-lagu yang mengarut dan tidak bermakna yang sering kita dengar kala ini.

Sambung Bacaan>>>

25 July 2010

Cerpen: Aku Bukan Zafira

Bismillah.
Eye On Malaysia tersergam gah di Taman Tasik Titiwangsa ~gambar hiasan~

Saban waktu, internet menjadi salah satu medan dakwah yang kian pesat. Bagaimanapun, dakwah tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghalalkan kita untuk bebas bergaul berlainan jantina di dunia siber ini.

Lantaran itu, cerpen picisan ini dinukil untuk memberi sedikit kesedaran tentang risiko chatting dan pergaulan bebas di alam siber walaupun untuk sekadar berdakwah.

Nukilan ini ditujukan khasnya kepada diri sendiri dan amnya kepada para remaja dan pembaca sekalian.

Terimalah cerpen pertama saya ini yang bertemakan persahabatan, dakwah dan pembohongan.

Barangkali ini merupakan kisah benar? Entahlah..

Baca baca dan senyum.. ^_^



Aku Bukan Zafira



Zafira: Hye, boleh saya kenal..?

-Send-

Ianya adalah kata yang sering wujud ketika ingin memulakan sebuah persahabatan.
Dikirimkan dengan niat ‘saja-saja’ ataupun mungkin sekadar mencari sahabat untuk mengusir kesepian yang bertakung dijiwa kebelakangan ini. Kuhantarkan mesej itu kepada seorang pemilik e-mail elisya89@yahoo.com.

Tiada apa yang aku boleh terangkan mengenainya, bagaimana rupanya? Usianya? Sikapnya? Cantikkah dia?

Entah mengapa, aku tidak berapa kisah tentang soalan-soalan itu. Kadangkala, di dunia maya ini, perkara-perkara sebegitu tidak berapa penting untuk diambil tahu, asalkan dia menerimaku sebagai sahabatnya dengan baik, saling bertukar-tukar fikiran, ilmu dan nasihat, itu sudah cukup.

E-mail elisya89@yahoo.com secara tidak sengaja kutemui di dalam sebuah novel yang terkenal, dia bukanlah penulisnya, tetapi hanya salah seorang daripada beberapa pembaca yang ulasannya dipaparkan di ruang khas para pembaca dan peminat di permulaan lembaran novel tersebut. Aku tertarik dengan komennya..

‘Buku ini adalah satu lagi novel tentang Islam itu adalah Indah, namun saya tetap merasakan bahawa Islam juga merupakan agama yang mengongkong dan mengekang penganutnya terutamanya wanita’

Aneh. Tuhan sememangnya mengekang diri kita sebagai hamba yang diciptakan hanya untuk beribadah kepadaNya. Meraih syurga juga bukan mudah, pasti perlu ada cabaran dan dugaannya.
Kita tidak boleh hidup bebas sesuka hati di dunia kerana setiap manusia itu adalah hamba kepada Sang Pencipta yang wajib menurut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Setelah aku add e-mailnya dan beberapa hari kemudian dia approve, aku mula ingin berkenalan dengannya.

Tiga hari kemudian, offline message yang dihantarku di Yahoo Messenger itu berbalas. Aku lalu membalasnya.

Elisya: Hye.. ^_^ Ya. Bersahabat itu indah, bukankah begitu..

-reply-

Zafira: Teruja awak balas mesej saya, nampaknya dunia maya ini memberiku seorang lagi sahabat. Saya fikir ini permulaan yang baik bagi sesebuah persahabatan. Apa yang saya boleh tahu lebih lanjut tentang diri awak?


-send-

Keesokan harinya, Elisya membalas,

Elisya: Saya Elisya Emelda, Female, asal Selangor, semester 3 Fakulti Kejuruteraan Mekatronik, German Malaysian Institute, Bangi, KL. You?

-reply-

Zafira: Saya Nur Zafira Naqiyyah, female, Selangor, semester 2 Fakulti Undang-undang, UKM, Bangi juga. Kita study di bandar yang sama, boleh saya tahu alamat awak?

-send-

Elisya: Saya tinggal di Ukay Perdana..

Hanya itu. Tiada butiran lain. Tak ada nombor rumah, Apa lagi nombor telefonnya. Tapi tak mengapa, boleh berhubung melalui aplikasi chatting ini, walaupun secara offline saja sudah merupakan permulaan yang cukup baik.

-reply-

Zafira: saya tinggal di Beverly Height.

-send-

Hari-hari seterusnya berjalan dengan baik sekali. Ternyata Elisya adalah seorang sahabat yang baik dan luar biasa. Sedikit demi sedikit dia mula terbuka tentang dirinya padaku. Menerusi Yahoo Mesengger, kami berdua hangat bersembang tentang apa sahaja termasuk masalah-masalah sensitif kaum hawa. Hatta rahsia-rahsia hidupnya juga dikongsikan denganku. Kami seperti sangat akrab walaupun tidak pernah bersua. Elisya ada mengatakan bahawa aku telah menjadi sahabat yang paling penting dalam hidupnya, malah sahabat sibernya yang paling dia percaya.

Aku tidak menyangka persahabatan kami akan menjadi begitu erat dalam masa yang singkat, aku rasa sangat bahagia.


****

Elisya: Terima kasih kerana banyak bagi nasihat pada saya dan menyarankan untuk bertudung. Tapi, bukankah kita perempuan akan lebih menarik bila tampil seksi?

Zafira: Menarik menurut siapa Elisya?

Elisya: Di kalangan lelaki tentunya.

Zafira: Bukankah itu namanya peraga tubuh?

Elisya: Kenapa? Bukankah itu anugerah Tuhan yang terindah yang kita ada, dan kita kaum Hawa berhak membanggakannya, dan kaum Adam wajib mengaguminya. Bukankah begitu?

Zafira: Tapi keindahan tidak harus dipertontonkan bukan?

Elisya: Memang tidak, tetapi bagaimana orang akan tahu jika ianya tersembunyi di balik tudung dan kain-kain labuh yang tertutup rapat?

Zafira: Bukankah keindahan yang tersembunyi dan terpelihara jauh lebih bernilai berbanding keindahan yang berserakan? Ianya menjadi mahal seperti mutiara yang tersembunyi di dasar lautan. Sangat payah ditemui. Sebaliknya jika ianya mudah didapati, harganya akan jatuh murah. Bukankah barang yang didapatkan dengan mudah nilainya lebih rendah?
Oh ya Elisya, aku teringat kata cendekiawan, “Seandainya di dunia ini semuanya emas, maka orang akan mencari pasir.” Kenapa? Kerana apabila emas mudah dijumpai dan pasir pula sukar dicari, maka tinggilah nilai pasir. Jadi tidak ada salahnya membuat diri kita ini mahal, bernilai dan dicari. Bukankah demikian lebih terhormat, Elisya?

Elisya: Sahabatku Zafira, bukankah tampil menarik itu penting?

Zafira: Sahabatku Elisya, bukankah banyak lagi perkara yang menarik untuk ditampilkan selain tubuh? Akhlak, karakter, dan kesolehan. Aku fikir perkara itu boleh membuat kita jauh lebih bermartabat. Maafkan saya jika menyinggung awak.

Elisya: Terima kasih, akan saya fikirkan kata-kata awak tu..

Setelah itu, hampir dua minggu Elisya menghilang dari alam maya hingga kemudian datang lagi dengan masalah barunya.

Elisya: Hye Zafira, saya ada masalah lagi nih, ada seorang lelaki yang cuba mendekati saya di kampus, orangnya sederhana, tidak berapa hensem, tapi baik. Bagaimana ye?

Kali ini aku sedikit tersentak, masalah ini agak sukar dijawab, aku perlu mencari kata-kata terbaik untuk menerapkan hikmah dalam berdakwah, agar lebih mudah untuk mengubahnya.

-reply-

Zafira: Elisya, hati-hati dengan lelaki, termasuk mereka yang nampak seperti baik di mata kita.

-send-

Elisya: Terima kasih kerana mengingatkan, tapi kenapa awak terlalu jahat kepada lelaki? Bukankah kita ini tercipta untuknya?

Aku hanya tersenyum sendiri membaca mesej Elisya yang terakhir ini dan tiada keinginan untuk membalasnya. Setelah itu aku tenggelam dalam kesibukan di menara gading dan hampir sebulan tidak menyentuh dunia maya, dan ketika aku kembali, seperti yang aku jangka..

Elisya: Hye Zafira, lama tak bersua, awak ke mana saja?

Zafira: Saya ada je di sini. Sorry sebab lama tak online. 

Elisya: Zafira, kita kan dah lama bersahabat, malah study di bandar yang sama, apa kata kita rancang satu pertemuan?

Zafira: Setuju! :)

Elisya: Okay, apa kata Sabtu depan, kita jumpa di Taman Tasik Titiwangsa, pukul 7.00 pagi. Kalau awak sampai dulu, tunggu saya di bawah pohon renek di selatan tasik tu, ok?

Zafira: Idea yang bagus, tapi kalau awak sampai dulu, tunggu saya di sana ya!


****

Pagi Sabtu ini adalah detik yang indah di Taman Tasik Titiwangsa. Eye On Malaysia yang paling banyak menarik para pengunjung tersergam gah. Ianya tidak lama lagi akan berputar perlahan untuk memberikan penumpangnya kepuasan melihat permandangan sebahagian besar bandar Kuala Lumpur yang diidamkan. Seawal ini, perkhidmatan Eye On Malaysia masih belum dibuka lagi untuk orang ramai.

Pepohon yang segar seperti hidup mengucapkan selamat pagi melalu angin nyaman yang menyapu kulitku. Sungguh menyegarkan. Rumputnya yang masih berembun belum terjamah oleh kesibukan apa pun di pagi itu. Tasiknya yang kebiru-biruan dihiasi dedaunan jingga yang gugur dan sinaran ungu Sang Suria yang baru terbit kelihatan mesra berinteraksi dengan burung-burung yang terbang riang. Sebuah ekosistem alam yang sempurna ciptaan Tuhan.

Subhanallah..

Ramai yang datang ke sana lebih awal untuk menjadi yang pertama menghirup udara segar di tempat yang nyaman lagi menenangkan minda, terutamanya warga-warga emas kaum Cina.

Aku berasa hairan, mengapa orang Cina sahaja yang sering kelihatan pada awal-awal pagi sebegini. Selain bersenam Yoga atau berjoging, ada juga yang telah mula bermain badminton dan membaca surat khabar di bangku-bangku sekitar tasik. Entah mengapa, orang Melayu di bandar ini masih lagi tidak berubah. Berkelubung selimut selepas subuh adalah hobi orang Melayu bandar. Sebab itu Melayu tidak maju-maju dan sentiasa dikalahkan kaum Cina.

Terdapat satu dua orang yang berjualan makanan dan minuman untuk melayani orang-orang yang letih berolah raga. Mereka juga menyediakan makanan-makanan hangat untuk sarapan pagi seperti Nasi Lemak, Karipap, Apam Balik, dan kuih-muih. Lama kelamaan jumlah peniaga bertambah banyak dan memenuhi pinggir jalan sepanjang taman sampai ke tasik.

Sekarang Taman Tasik Titiwangsa sudah seperti pasar. Orang tidak hanya menjual makanan, tapi juga pakaian dan cenderamata dari bahan-bahan kulit. Orang yang berjoging dan bersukan tampak lebih sedikit berbanding mereka yang sekadar bersiar-siar, duduk-duduk dan merehatkan minda. Kanak-kanak pula kelihatan sungguh riang bermain gelongsor dan buaian di taman.

Eye On Malaysia kini kelihatannya berputar menarik membawa penumpangnya yang sarat. Jika pada awal pagi tadi tiada sesiapa disekitarnya, sekarang sekelilingnya dipenuhi orang ramai dari pelbagai bangsa dan usia yang beratur dengan sabar menunggu giliran untuk tidak melepaskan peluang merasai keindahan permandangan di bandaraya Kuala Lumpur.

Taman Tasik Titiwangsa sekarang boleh menjadi tempat apa saja bagi sesiapa saja, termasuk membuat temu janji dengan seseorang. Sebuah lokasi yang sempurna.


***

Pagi itu aku sedikit gemuruh, aku datang lebih awal dari waktu yang kami janjikan. Aku menapak ke arah selatan tasik, tapi aku tidak terus menuju ke pohon renek di situ. Ini memang sebahagian dari strategi yang harus aku lakukan. Aku tak ingin membuat Elisya terkejut. Aku harus bersua dalam waktu dan dengan cara yang tepat untuk memberitahu Elisya bahwa Zafira, teman baik sibernya adalah seorang lelaki. Malam semalam aku sudah merancang beberapa langkah dan senario untuk mendatangi Elisya agar dia dapat juga menerima aku sebagai teman baiknya.

Aku memilih untuk duduk di sebuah bangku yang berada di timur tasik berjarak seratus meter dari lokasi temu janji di pohon renek yang berada di selatan tasik tersebut. Dari sana aku akan dapat melihat dengan jelas kedatangan Elisya.

Seorang pengunjung lelaki berkaca mata sedang serius membaca surat khabar di bangku yang kurancangkan. Aku harus mengambil tempat duduk disamping jejaka itu.

“Selamat pagi bang, boleh saya duduk di sini?” sapaku sopan.

Sejenak jejaka itu mengangkat mukanya, “Oh, selamat pagi, sila sila!” jawabnya tidak kalah sopannya sambil mengukir senyum dan menggeser ke tepi sedikit memberi ruang untukku duduk.

Aku melabuhkan punggungku di sebelah jejaka itu. Aku melihat jam di tangan, menghitung mundur waktu minit demi minit. Masih berbaki sepuluh minit lagi sebelum jam tujuh. Waktu berlalu pantas, lima minit telah berlalu. Dan akhirnya jarum panjang mengarahkan hujungnya tepat pada nombor dua belas.

Aku menoleh ke arah pohon renek tersebut. Belum ada siapa-siapa.

Mungkin dia masih dalam perjalanan. Masih terlalu awal, aku perlu tunggu beberapa minit lagi. Pandanganku dialihkan pada orang yang berlalu lalang.

Waktu terus meluncur laju, sepuluh minit telah berlalu. Masih belum ada sesiapa di situ. Dia terlupakah? Ataupun aku juga tertipu olehnya?

Aku sudah bosan dengan keterlewatan dalam sesebuah temu janji. Namun, ianya adalah kebiasaan manusia. Bersangka baik adalah caraku untuk menghilangkan kekesalan. Mungkin dia akan sampai sebentar lagi.


Lima belas minit berlalu, aku berasa kecewa. Kemudian aku berpaling ke arah lelaki di sebelahku yang nampaknya juga bosan membelek-belek surat khabarnya.

“Macam menarik je berita hari ni, pinjam surat khabar satu ya bang!” pintaku tanpa segan silu. Berlagak akrab.

Lelaki itu spontan menghulurkan tiga lembar akhbar yang tidak dibacanya padaku. Aku mengambil akhbar yang diberinya itu sambil sempat melirik rantai leher bertanda salib yang melilit lehernya. Satu simbol yang memberitahuku bagaimana aku harus bersikap padanya.

Tiada minat sedikitpun untukku menelaah surat khabar itu. Aku hanya melihat-lihat gambar yang ada, membaca tajuk-tajuk berita hangat pada hari ini. Namun semua perkataan yang ada hanya tersekat di mata saja tanpa masuk ke cepu minda. Mindaku melayang. Aku geram.

Sesekali bebola mataku kuarah mengintip di bawah pohon renek itu. Di saat aku mencari fokus, aku terlihat seorang gadis yang berjalan dari arah utara ke selatan tasik itu menuju ke tempat yang dirancangkan untukku bertemu janji.

Diam-diam, aku mengintipnya dari lembaran akhbarku yang setengah terlipat.

Gadis itu berjalan perlahan, berpakaian labuh dan sopan serta membimbit beg kecil di tangan. Tudungnya yang berwarna putih dipadankan dengan baju merah jambu berlengan panjang. Postur tubuhnya sederhana tinggi dan ideal, kulitnya cerah, dan dia berjalan dengan menundukkan pandangan. Meskipun hanya melihat wajahnya dari sisi, aku yakin gadis itu sangat ayu.

Jantungku berdegup laju membayangkan apa yang harus aku lakukan sebentar lagi. Jika memang perempuan itu adalah Elisya, langkah aku seterusnya benar-benar berat. Aku harus menjelaskan pada seorang perempuan sahabatku, bahawa aku adalah seorang lelaki. Tapi benarkah gadis yang sedang berjalan itu Elisya? Tak silap aku, Elisya pernah mengatakan bahawa dia tidak memakai tudung? Tetapi gadis ini bertudung? Atau Elisya sengaja memakai tudung hari ini untuk memberi kejutan pada sahabatnya Zafira, Aku.


Entahlah.

Jiwaku tambah tidak menentu. Runsing. Langkah-langkah yang sudah aku rancangkan seperti tak dapat membantu. Sementara mataku masih terkesima memandang gadis jelita yang berjalan sendirian menghampiri pohon renek itu, pandanganku terus mengekori jejaknya sehingga apabila hanya berbaki sepuluh meter dari pohon renek, gadis itu berjalan makin perlahan. Langkah-langkah kecilnya lalu berhenti menapak. Mataku terbeliak seperti tanpa kelopak. “Inikah Elisya itu?” Batinku berdebar-debar.

Tiba-tiba gadis itu membuka beg tangannya dan mengambil sesuatu. Sepertinya dia mengangkat telefon bimbitnya yang rasanya berdering dan terus berjalan. Kali ini langkahnya sudah menjauhi pohon yang dijanjikan.

“Oh, bukanlah!” Desisku antara lega dan kecewa, sambil melipat lembaran surat khabar dan menoleh pada lelaki di sebelahku.

Ya Allah!!

Ternyata dia bukan sedang membaca surat khabar. Kudapati lelaki itu juga turut mengintip gadis yang berjalan di bawah pohon renek itu di sebalik kaca matanya. Mulutnya ternganga dengan kepala sedikit diangkat. Setelah gadis itu menghilang dari pandangan, terdengar olehku hembusan panjang nafas lelaki itu.

“Ini saya pulangkan surat khabarnya, Terima kasih ya!” kataku segera mengembalikan dengan senyuman dibibir, dan dia menerimanya dengan gugup.

“Menunggu seseorang bang?” tanyaku mesra. Lelaki itu tersenyum sambil mengangguk. Wajahnya yang tampak dua tahun lebih tua dariku masih kelihatan seperti ada yang tidak kena.

“Ya.” jawabnya canggung.

“Abang tinggal kat mana?” tanyaku lagi.

“Ukay Perdana.” jawab lelaki itu spontan. Ya, aku tahu itu jawapan yang spontan, dan biasanya jujur. Orang yang menjawab secara spontan hampir tidak sempat berfikir untuk berbohong.

Tiba-tiba saja aku teringat sesuatu.

Segera aku bangkit berdiri tanpa berkata apa-apa sebelum lelaki itu sempat menanyakan hal yang sama padaku. Aku bergegas pergi tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Aku dapat merasakan pandangan hairan dan curiga di sebalik kaca matanya mengekori jejak langkah pantasku.

Aku geli dan perutku tiba-tiba mual membayangkan kekusutan yang baru saja terjadi.

“Ah! Dunia maya memang penuh kebohongan,” gerutuku dalam hati. Aku tidak tahu bagaimana ingin menerangkan perasaanku saat itu, yang terbayang dalam benakku adalah filem komedi lama tentang seorang pencuri yang kena curi, dan seorang penipu yang kena tipu. Sambil berjalan aku tersenyum-senyum sendiri menyebabkan setiap orang yang berselisih denganku memandangku dengan hairan.

Namun tiba-tiba dadaku berdegup kencang, terbayang olehku tanda salib yang tersembul di leher lelaki itu, “Entah misi apa yang sedang dijalankannya,” curiga hatiku . Aku tidak tahu apa yang akan terjadi seandainya aku benar-benar seorang perempuan, bernama Nur Zafira Naqiyyah dan sedang menunggu di bawah pohon renek di selatan tasik itu. Bahaya sungguh dunia maya ini, sebab itu ianya antara punca banyak kes-kes murtad dan keluar agama oleh segelintir umat islam yang ingin berkahwin dengan pasangan bukan Islam. Mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku pada muslimah lain yang terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis lelaki.


***

Dua hari kemudian aku membuka e-mail Yahoo Messenger di internet. Salah satu dari paparan offline messagenya adalah dari Elisya.

Elisya: Zafira, kenapa awak memungkiri janji?
Saya sangat kecewa. Dua jam saya tunggu di taman yang kita janjikan itu, dan awak tak hadir-hadir.
Awak membuang waktu saya saja. Temu janji yang kita rancangkan hancur sia-sia.
Kenapa dengan awak ni Zafira? Bukan ke awak nak bertemu dengan saya? 

Aku geli hati membaca mesej itu. Mungkin dia benar-benar tidak tahu, atau cuba ingin memastikan. Dengan jengkel kubalas pesan itu. Ini untuk yang terakhir kalinya.

-reply-

Zafira: Elisya ‘sayang’. Saya menepati janji.
Hari itu saya datang untuk berjumpa awak.
Bukankah pagi itu kita lewati dengan sempurna?
Kita bertemu dan membaca surat khabar bersama... 

-send-

Aku menyedut nafas dan menghembuskannya kembali dengan rasa penuh lega. Begitulah nama palsuku diambil dari perkataan hembusan dalam bahasa arab. Zafira. Aku berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tidak syar’ie ini lagi. Moga setiap hembusan nafasku yang seterusnya sentiasa di dalam iman dan diakhiri dengan kalimah Laailaahaillallah..

Sambung Bacaan>>>

16 July 2010

Seronoknya sibuk

Bismillah..

 
Suasana talaqi di ruang pengajian Masjid Al-Azhar

Saya makin sibuk, blog makin berhabuk, kurang dijenguk..

Syukur, waktu saya kini padat dan penuh. Program talaqi dauroh soifiyyah(sesi pengajian musim panas) yang dijalankan Al-Azhar selama musim cuti dimanfaatkan saya sepenuhnya. Tahfiz Al-Quran dan ilmu Qiraat yang telah lama tergendala juga telah mula saya sambung. Saya perlu mencapai azam saya tahun ini secepatnya, iaitu menghafaz 30 juz Al-Quran. Doakan saya ya..

Seronok betul rasanya bila masa saya penuh dengan perkara yang bermanfaat, saya teringat kata seorang ulama,

النفس ان لم تشغله بالحق شغلتك بالباطل

"Jiwa ini jika tidak disibukkan dengan perkara hak, maka ia akan menyibukkanmu dengan perkara batil"

Kebelakangan ini saya sering dinasihati untuk meningkatkan usaha dakwah kepada diri sendiri dan masyarakat, ianya kerana realiti masyarakat sekarang ini memerlukan lebih rangsangan agama dan seruan kepada Tuhan yang semakin pudar sebagai makanan rohani kita.

Di dunia siber ini realitinya, mesej agama tidak dapat diraih sepenuhnya oleh masyarakat. Tidak semua orang ada perkhidmatan internet di rumah, jika ada pun, tidak semua orang yang rajin membaca blog. Ada juga sesetengah pihak yang kurang tertarik untuk membaca blog-blog yang bermanfaat disamping kurang memberi kesan kepada para pembaca berbanding di alam sebenar.

Justeru, seperti mana yang diusahakan Rasulullah dan para sahabat, kita seharusnya lebih menitikberatkan usaha dakwah kita di dunia realiti yang mana lebih mencabar daripada dunia maya.

Bagaimanapun, untuk menjadikan usaha penyampaian dakwah ini sampai ke tahap yang syumul, kita perlu juga terjun ke alam siber ini dalam menegakkan yang hak dan menumpaskan yang batil.

"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"
 Petikan Daripada Kitab Fiqhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qardhawi''

Mari!!

Sambung Bacaan>>>

Wasiat As-syahid Hassan Al-Banna

Bismillah...
Saudaraku,

Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim.

Ketahuilah bahwa kenyataan hari ini adalah mimpi hari semalam, dan impian hari ini
adalah kenyataan di hari esok.

Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, meski fenomena-fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.

Allah swt. berfirman,

"Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi
(Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman serta tenteranya apa yang selalu mereka khuwatirkan" (Al-Qashash: 5-6)

Putaran waktu akan memperhatikan kepada kita peristiwa-peristiwa yang mengejutkan dan memberikan peluang kepada kita untuk berbuat.

Dunia akan melihat bahwa dakwah kita adalah hidayah, kemenangan, dan kedamaian, yang dapat menyembuhkan umat dari rasa sakit yang tengah dideritanya. Setelah itu tibalah giliran kita untuk memimpin dunia, kerana bumi tetap akan berputar dan kejayaan itu akan kembali kepada kita. Hanya Allahlah harapan kita satu-satunya.

Bersiap dan berbuatlah, jangan menunggu datangnya esok hari, kerana bisa jadi engkau tidak bisa berbuat apa-apa di esok hari.

Kita memang harus menunggu putaran waktu itu, tetapi kita tidak boleh berhenti.
Kita harus terus berbuat dan terus melangkah, kerana kita memang tidak mengenal kata "berhenti" dalam berjihad.

Di bawah ini dicatitkan kata-kata Hassan Al-Banna yang menjadi asas kepada prinsip perjuangan harakinya:

1. Apabila saudara mendengar azan, bangunlah sembahyang serta merta
walau bagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah Quran, atau tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar
perkara-perkara yang baik ataupun amalkanlah zikrullah. Janganlah sama
sekali saudara membuang masa walaupun sedikit dengan membuat perkara-
perkara yang tidak berfaedah.

3. Berusahalah seberapa daya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul,
kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu syiar agama Islam.

4. Janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung
dengan Allah itu selalunya tenang dan tenteram.

5. Janganlah banyak bertengkar dalam apa perkara jua pun kerana
pertengkaran yang kosong itu tidak memberi apa-apa kebaikan.

6. Janganlah bergurau, kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti
melainkan bersungguh-sungguh dalam sebarang perkara.

7. Janganlah saudara bercakap lebih nyaring daripada yang dikehendaki oleh
para pendengar kerana yang demikian itu adalah suatu perkara yang sia-sia
malah menyakiti hati orang lain.

8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi-peribadi orang, mengecam
pertubuhan dan janganlah bercakap melainkan dengan apa-apa yang boleh
memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenallah dengan tiap-tiap saudara Ikhwan Muslimin yang
saudara bertemu sekalipun ia tidak meminta hendak berkenalan, kerana
asas pergerakan kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada
kita. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang tatacara bagaimana
hendak menggunakan masanya dengan berfaedah dan jika saudara
mempunyai tugas sendiri maka ringankanlah perlaksanaannya.

Allah SWT. berfirman, 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, sungguh
akan.Kami tunjukkan jalan-jalan Kami." (Al-Ankabut: 69)

Sambung Bacaan>>>

08 July 2010

Al-Qalb

بسم الله الرحمن الرحيم

Sihatkah hati kita? -pic by plectrude on deviantArt

Kata Imam Al-Ghazali:
“Carilah hatimu pada 3 tempat, Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui juga, carilah hatimu dengan duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah pada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati..."

Kata Ulama':
"Sesiapa yang selalu kekenyangan maka banyaklah dagingnya, dan siapa yang banyak dagingnya maka kuatlah nafsunya, siapa yang kuat nafsunya maka banyaklah dosanya, siapa yang banyak dosanya maka keraslah hatinya dan sesiapa yang keras hatinya maka tenggelamlah dia dalam bencana dunia serta keindahannya"

Kalbu menjadi agen utama dalam menjana kemurnian dalam beribadah. Kita semua memerlukan hati yang murni untuk mengaktifkan kenikmatan dalam berhubungan kepada Allah.

Kita kaitkan dengan satu pusat penjana elektrik. Pusat aliran elektrik ini yang mengawal seluruh aliran elektrik di bandar, rumah-rumah, bangunan-bangunan dan sebagainya. Jika kita matikan pusat penjana tadi, nescaya seluruh tempat akan gelap gelita.

Hati bagaikan pusat penjana elektrik tadi, segala kabel dan tiang serta wayar-wayarnya adalah ibarat anggota badan, urat saraf, serta organ-organ yang lain. Jika ianya tidak dihidupkan, maka seluruh anggota kita ibarat telah mati.

Dalam Shahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahwasanya Nabi saw bersabda,

"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila ianya baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila ianya rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati."


Hidupkanlah Hati Kita
 

Kita menghidupkan hati dengan perkara kebaikan dan ibadah, jika sebaliknya, hati kita akan mati dengan noda kejahatan.

Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a. dari Nabi s.a.w, sabdanya:

"Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak
berzikir kepadaNya ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati."
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Ya, tanpa berzikir mengingati Allah, kita bagai orang mati, kenapa?

Kerana berzikir bukan hanya sekadar dibibir sahaja, tetapi di hati. Tanpa berzikir, hati kitalah yang mati. Ia mati kerana kebuluran makanan rohani, zikirlah makanannya.

Sebab itu setiap muslim wajib memerhati, mengambil berat dan memantau perkembangan hatinya. Dengan demikian ia dapat meneliti keras atau lembutnya dan darjah kepekaannya. Dia akan dapat memastikan apakah hatinya masih hidup atau sudah mati.

Jika dunia baik kerana negara-negara yang bagus, sesebuah negara baik kerana negerinya, dan negeri pula baik kerana bandarnya, seterusnya bandar baik kerana masyarakatnya, masyarakat pula baik kerana individu itu sendiri. Akhirnya individu baik dan bagus kerana hati.

Semuanya kerana hati. Natijahnya, Dunia akan elok jika hati manusia elok dan 'hidup'.



Hati Juga Mengalami Kebosanan

Di sekeliling kita, kita dapat lihat, banyak insan dan sahabat-sahabat kita yang nampak ceria, mesra dan membahagiakan sesiapa yang melihat mereka. Mereka biasa bergurau, ketawa, bermain-main dan berkata yang ganjil-ganjil.

Ianya kerana mereka tahu akan kebutuhan jiwa mereka dan keinginan memenuhi panggilan fitrah serta hendak memberikan hak hati untuk beristirahat dan bergembira, agar dapat merehatkan liku-liku kehidupannya dalam menyusuri aktiviti hariannya. Sebab aktiviti hidup mereka itu masih panjang.

Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya hati itu boleh bosan seperti badan. Oleh karena itu carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati."

Dan katanya juga: "Istirahatkanlah hatimu sekadarnya, sebab hati itu apabila tidak suka, boleh menjadi buta."

Abu Darda' pun berkata juga: "Sungguh hatiku akan kuisi dengan sesuatu yang kosong, supaya lebih dapat membantu untuk menegakkan yang hak."

Oleh karena itu, tidak salah seseorang muslim itu bergurau dan bermain-main yang kiranya dapat melapangkan hati. Tidak juga salah jika seorang muslim menghibur dirinya dan rakan-rakannya dengan suatu hiburan yang mubah, dengan syarat kiranya hiburannya itu tidak menjadi kebiasaan dan melampau dalam menghabisi waktunya, iaitu setiap pagi dan petang selalu dipenuhi dengan hiburan, sehingga melupakan kewajipannya.

Maka tepatlah pepatah yang mengatakan: "Campurlah pembicaraan itu dengan sedikit bermain-main, seperti makanan yang dicampur dengan sedikit garam."

Selain itu, hati manusia dan haiwan sangat jauh bezanya. Sangat hinalah mana-mana insan yang berhati seperti haiwan. Mereka akan jadi seperti hati haiwan jika tidak menggunakan hati dengan baik dan betul.

Firman Allah Tabarakawata’ala.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”(Al-A’raaf:179)

   

Konklusi: Sucikanlah Hati Kita

Sebagai konklusi, kita sepatutnya sentiasa menyucikan hati kita kerana hati adalah raja yang
memerintah seluruh amalan. Jangan biarkan ianya dinodai oleh titik hitam. Apatah
lagi membiarkan ada kebatilan yang masih bersarang disitu, walaupun sedikit.
Sentiasalah beristighfar dan zikir untuk menyucikannya kerana fitrah manusia yang memang sering
membuat kesilapan.

Beberapa Ayat-ayat cinta Tuhan yang Maha Suci tentang hati:



Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.(Al-Hajj:46)

Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur(Al-Mulk:23)

"Katakanlah, 'Terangkanlah kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan
penglihatan serta menutup hatimu, siapakah tuhan selain Allah yang kuasa
mengembalikannya kepadamu?' Perhatikanlah bagaimana berkali-kali Kami perlihatkan
tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga)." (Al-An'am:
46)

"Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, danpenglihatan mereka
ditutup. Bagi mereka siksa yangamat berat." (Al-Baqarah: 7) 

"Dan Kami adakan tutup di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar
mereka tidak dapat memahaminya. Apabila kalian menyebutRabb kalian saja dalam Al-
Qur'an, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya." (Al-Isra': 46)

"Tiada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan seizin Allah.
Barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada
hatinya." (At-Taghabun: 11)

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails