2 bulan telah berlalu, dalam mengisi penangguhan pendaftaran ke Maahad, pembelajaranku di markaz intensif bahasa arab berjalan seperti biasa. Telah sampai waktu untuk mencuba lagi mendaftarkan diri.
Urusan demi urusan, ujian demi ujian. Sabar dan tabah menjadi prinsipku. Urusannya tidak teratur, mereka pula tidak memberi panduan pengurusan pendaftaran. Ringkasnya……
pusat pendaftaran sekolah-sekolah → imigresen Mesir→tempat pendaftaran→Hospital(ujian kesihatan) →tempat pendaftaran→Akhirnya ke Maahad Buuts Dirasah Khassah mengambil ujian syafawi.
Seminggu kemudian,akhirnya aku bersekolah….
Subhanallah….itulah perkataan pertama apabila kali pertama menjejakkan kaki ke kelasku. Penuh!. Pelbagai bangsa,tiada had umur, ada yang telah berjanggut putih masih berada di bangku kelas ini.Sangat kagum. Ya, tiada malu dalam menimba ilmu. Suasana seronok dan meriah menarik minatku dari pintu kelas untuk masuk…
Mataku tersorot ke hadapan kelas. Kapur? Papan hijau? Wah! Aku akan merasai bagaimana datuk dan moyangku belajar dulu…sungguh klasik…aku pun duduk di suatu sudut kosong di barisan kedua di sebelah seorang lelaki berkulit hitam manis. Aduh! pinggulku sakit…bangku kayu buruk yang memuatkan tiga hingga empat orang setiap satu,meja kayu yang tidak rata itu akhirnya menjengkelkanku…
Adakah begini kelas baruku?? Yang dulu kubayangkan sebuah kelas mewah yang bersih dan sarat dengan pelajar yang beruniform segak. Tetapi,sebaliknya. Tiada uniform khas, Cuma berpakaian ‘sopan’. Jauh bezanya dengan sekolahku sebelum ini di bandar metropolis Kuala Lumpur yang ‘MasyaAllah’…..Seorang guru datang, dari persepsiku, beliau tidaklah nampak seperti seorang guru melalui pakaiannya, seperti orang biasa. Aku termangu-mangu kebingungan…
Sepuluh minit kelas berjalan. Aku terpukau. Siapakah gerangan guru ini sebenarnya? Sepatutnya saya tidak memandang rendah. Hebat!. Gaya pengajarannya sangat jelas dan menyerlahkan keilmuannya. Bagaimana mungkin beliau boleh memahamkanku satu pelajaran berbahasa arab dalam kelas pertamanya?? Ya, dia Berjaya memukauku.
Aku berkenalan dengan beberapa orang pelajar ,seorang dari Uzbekistan, seorang dari Sudan. Aku sengaja bertanya, bagaimanakah jika kita tidak hadir ke kelas? Adakah dimarahi pengawas atau guru disiplin? Jawapannya mengerutkan dahiku. Katanya, oh tidak, kedatangan tidak wajib seperti di negara kita, tiada guru disiplin atau pengawas…
Adesh….aku pulang dengan buntu dan runsing. Sekolah atau apa ini? Akhirnya aku bertanyakan kpd seorang pelajar Malaysia mengenai hal ini. Jawapannya menghilangkan segala persoalan. Katanya, haha,di sinilah baru dinamakan menuntut ilmu tahap sebenar, para ulama sengaja mengekalkan suasana ‘klasik’ dan tidak mengetatkan disiplin. Justeru, kita akan tahu sendiri, adakah kita boleh membawa diri? Dan mengapa dan kerana apa kita sekolah selama ini? Krn guru? Kawan? Keselesaan?peperiksaan?ibu bapa? Guru disiplin?Pengawas? atau kerana Allah??..Jika kita gagal membawa diri, musnahlah kejayaan. Jika kita berjaya membawa diri dgn ikhlas dan bersungguh2, kejayaan di tangan.
Boleh kukatakan di sini bebas! Tiada ibu bapa atau sesiapa yang ingin menghalang dan menyuruh kita kecuali Allah Yang Maha Mengetahui. Akhirnya aku mengerti di sinilah tempat sebenarnya mendidik diri kearah keikhlasan,pengorbanan dan kejayaan. Adakah aku berjaya menempuh semua ini?
Tuntunlah kami para penuntut ilmuMu kearah kejayaan dunia dan akhirat Ya Rahim……..Ameen
No comments:
Post a Comment