Empat belas hari ana menetap di Mesir, musim syita’(winter) telah mula sebati dengan darah ketimuran ini. Biar ana kongsi coretan yg dinukil 6 bulan yg lalu ini bersama kalian.
Pelbagai budaya kaum dan agama serta identiti semestinya menghiasi keunikan di sini, benar-benar lain dari yang lain. Sangat istimewa. Takjub,Terpesona,kagum…Hanya dua minggu menjejak diri di sini, Subhanallah, betapa Maha Berkuasanya Tuhan yang Maha Menciptakan..hinggakan perasaan ini menghancurkan benteng-benteng dan dinding-dinding takabbur dan tinggi diri. Aku merasakan diri ini begitu kerdil,bagai seekor kuman yang hinggap di hujung kuku seekor lalat.Amat hina.
Dua minggu ini kupenuhi dengan mengelilingi Bandar metropolitan Kaherah ini. Bebola mataku melilau ke segala penjuru keunikan. Jika dibandingkan dengan tanah tumpahnya darahku, di sini sememangnya agak kotor dan kuno dek kemodenan sebenar dikikis Negara yang berdasarkan kerajaan militer. Mesir dikatakan Negara darurat oleh kerana peperangan boleh melanda Negara ini pada bila-bila masa sahaja.Persediaan ketenteraan senantiasa ditingkatkan setiap masa. Aku juga kurang faham bagaimana ianya boleh terjadi. Nanti aku mengkaji dan menyelidik lagi. Namun pada persepsiku, Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya dan warisan sejarah serta menyimpan seribu misteri yang masih belum dirungkaikan. Unik. Di sini juga pernah dihuni Nabi-Nabi Allah, para wali bahkan makhluk-makhluk yang ingkar kepada Tuhan.
Dari pasar Khan Khalili, Hussein, ke kota Abbasiyah, menuju Ramses, seterusnya Madinah Nasr , hingga ke pusat perkhidmatan pengangkutan Sayyeda Aisha yang tidak lekang dari kesibukan kenderaan yang keluar masuk samada bas, van el-tremco, atau teksi. Yang menakjubkanku, dari 23 juta warga Kaherah, 10 peratus daripadanya merupakan puak nomad jalanan. Walaupun menghuni kota metropolis, mereka tiada tempat tinggal, tiada masa depan, tiada jaminan untuk hidup hari esok. Golongan ini sangat miskin dan kasihan. Segilintir mereka tidak kira umur dan usia sering dilihat mengemis di jalanan, mengutip besi-besi buruk, botol-botol kosong dan apa-apa sahaja yang boleh dikitar semula sebagai punca rezeki . Aku sendiri pernah suatu ketika agak rimas apabila seorang ibu tua yang kusut masai dan berpakaian compang-camping meminta-minta sedikit wang daripadaku sehingga ke tahap sedikit ‘memaksa’ dan ‘mengejar’ku apabila mereka tidak dilayan. Bukan tidak ingin ‘dilayan’, tetapi jika diberi satu, sepuluh yang lain datang. Bukan selalu tetapi kadangkala. Aku pernah pergi ke Masjid As-Syafiie dimana terletaknya makam beliau, di situlah kali pertama aku menghulur sedekah kepada seorang anak kecil, maka ibunya malah semua ‘mereka’ yang melihatku menghampiriku. Aku buntu. Ketika itu aku berasa agak takut apabila mereka mengejarku ketika aku berjalan laju meninggalkan mereka. Sangat menyentuh hati melihat keadaan mereka.
Di sudut yang lain, aku mula mendaftar di Maahad Buuts, Dirasah Khassah. Di sinilah bermulanya gelombang ombak hebat di dalam pelayaran ini, pelayaran dalam menuntut ilmu. Oleh kerana keterlambatanku, pendaftaran agak susah, masalah visa menyulitkan lagi urusanku. Mujur seorang ustaz membantuku. Tetapi masalah ini agak aneh hatta ustaz itu juga tidak dapat membantuku sepenuhnya. Ianya menyebabkan pendaftaranku ditunda selama ‘DUA BULAN’. Sungguh lama. Lantaran itu aku disyorkan untuk mendaftar di Markaz Intensif Bahasa Arab, Markaz Nil. Alhamdulillah mudah untuk mendaftarnya...Namun aku masih tidak puas jika hanya mempelajari bahasa arab sahaja. Banyak lagi pelajaran lain yang harus kupelajari juga. Aku harus segera menyelesaikan masalah ini...Apakah solusinya??
16 June 2009
Dalam mencari tujuan sebuah pelayaran, Lautan mula bergelora ……..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment