Bismillah..
Al-Azhar memberi hidangan tarbiyyah yang penuh misteri.
Dugaan merangkul jiwa
Dugaan merangkul jiwa
Bebanan mendakap batin
Hanya satu kupinta
Kurniakanku kudrat dan tahan
Menghadapi pancaroba
Ya Tuhan
Aku sedar dan redha
Dalam meraih didikan.
Hujung bulan ini, peperiksaan penggal akhir 2 thanawi (form 5)akan menjelma. Diri ini semakin lesu. Bebanan makin menggunung menghimpit batin. Tekanan kian membengkak. Ianya tidak akan reda melainkan setelah kumuntahkan menjadi tinta. Ianya bagiku seperti terapi, yang menyembuh beban di jiwa, menghapus retak di sanubari. Aku memuntahkan emosiku, melalui jemariku. Aku tidak terlalu mengharap para sahabat menelitinya, ianya sedikit mengambil masa. Namun aku tetap berharap dengan muntah tinta picisan ini, kalian dapat mengutip sedikit manfaat dan pengajaran...
Aku dihurung beban yang menggunung. Setahun dua bulan sudah, aku melata di timur laut benua Afrika ini.
Tidak semena-semena, Buah fikiran pertama yang zahir pada bidayah penulisanku adalah berkenaan waktu.
Benar, masa bagiku seperti peluru dari segi kepantasannya, dan peluru itu ibarat ajal yang pantas menghampir. Tak terjangka, peluru itu sudah pun menembusi nubari kita. Ajal itu pasti, tapi tiada siapa maklum bilakah masanya. Aku kini merentas masa dengan penuh lelah. Komplikasi yang menggunung menghempap jiwa yang lenyai tak berdaya ini.
Penat. Ianya menjalar di seluruh tubuh. Satu infeksi yang menular tanpa dipinta. Ianya wujud dek kekurangan bekalan pada awalnya. Atau barangkali tersilap pada persediaan menghadapinya.
Penatnya!
Satu lafaz yang sering terungkap dari lidahku. Makin lama,ianya kian sebati. Satu perkataan yang sering dijadikanku alasan untuk bermalasan, adakalanya ia ditafsirku secara melampau. Ia dijadikan sebab untuk membuang masa. Kian menjauh dari makna sebenarnya.
Padahal, apalah sangat beban atau tanggungjawab yang ditempuhku. Aku kadangkala malu dengan diri sendiri, sikit-sikit penat...
Musim syita’(dingin) kian pudar ditelan masa. Dalam benakku, bisikan negatif sering hadir, ‘musim shoif(panas) perlu banyak rehat, panas membahang di luar. Tak butuh belajar. Musim sejuk pula rugi jika tidak memerap di rumah, berhibernasi menikmati enaknya berselubung saratoga tebal’. Adakalanya, kisikan motivasi pula muncul, ‘aku sepatutnya lebih banyak meneguk ilmu menghilang dahaga di musim panas, dan merasai keselesaan studi dengan cuaca sejuk yang menyenangkan di musim syita’.
Nuansa kehidupan di sini memaut erat kalbuku untuk terus menetap mendidik diri di Kota fustat yang misteri ini. Berbanding dengan Tanah air tercinta, di sini kurasakan kelainan. Mungkin kerana berjauhan dari keluarga mahupun taulan, atau barangkali disebabkan suasana mendidik yang memperkenalkanku erti berdikari yang sebenar. Aku tidak dapat menebak definasi yang tepat bagi kelainan yang luar biasa di sini. Yang pasti, kelainan itu adalah satu nikmat. Aku seronok di sini.
Namun itu semua memang lazim muncul pada awal sesebuah musafir, pada mulanya, segalanya tampak seperti mudah dan lancar. Namun sebaliknya, onak dan duri sedikit demi sedikit mula tumbuh, lalu menjalar,membiak,dan lama kelamaan belantara yang penuh ranjau terhidang, untuk kuharungi dan kudepani.
Aku sudah betah dengan tabiat para penghuni bumi Nabi Musa ini. Aku tahu, semua ada hikmahnya. Namun aku masih belum bisa dianggap betah dengan hidangan dugaan dalam menimba ilmu. Aku tahu tarbiyyah hanya berkesan dengan wujudnya mujahadah. Namun aku telah tersungkur ketika bertatih mempelajari erti mujahadah itu sendiri.
Syaitan dan nafsu bagai musuh setia yang tak kenal erti penat menggoda manusia. Dua musuh ini akhirnya memberiku motivasi untuk terus bersyukur. Aku tahu meraih syurga bukan mudah. Inilah maharnya, melawan syaitan dan nafsu sedaya mungkin, dengan iman. Aku bersyukur diberi dugaan. Dugaanlah yang membina diri kita. Aku sedar, Allah menyukai orang-orang yang sabar. Ianya hanya ada pada orang-orang yang ditimpa ujian. Ganjaran pahala juga diberi kepada manusia yang berjaya menempuh segala cubaan, sabar mengharunginya. Tanpa dugaan, apa nilainya kehidupan kita ini? Sia-sia belaka...
Di sudut yang lain, ujian,cabaran dan dugaan juga sememangnya datang dengan pelbagai cara. Kita kadangkala tidak sedar, kehidupan kita yang selesa, sentiasa sihat dan penuh nikmat ini juga merupakan antara cubaan tersukar.
Begitulah, nafsuku bertalu-talu menguji, aku luluh mengharunginya. Namun aku tetap kembali bangkit, mencuba lagi. Menuntut ilmu sebenarnya bukan perkara remeh. Tidak mudah sama sekali.
Di Maahad Buuts Al-Islamiyyah sekolahku, 17 mata pelajaran memberiku kejutan menggunung. Setelah berjaya melangkau 5 tahun, aku mula menghadapi tekanan. Al-kisah, maahadku menyediakan 6 tahun menimba ilmu, aku pada sepatutnya bermula dari tahap yang terbawah, dari tahun pertama, namun semangatku untuk cepat ke menara gading menjadi dorongan untuk kucuba mengambil peperiksaan khas melangkah tahun. Aku berusaha sedaya mungkin, mendapatkan hasil yang diimpi. Syukur, walaupun tidak berhasil mencapai tahun terakhir, aku tetap berjaya mempercepat matlamatku, iaitu menjejak Al-Azhar..
Bagaimanapun, kini aku terjerat risiko sikap ingin mencubaku. Aku hanya sempat belajar selama dua bulan sebelum peperiksaan akhir semester tingkatan 5. Dengan 17 subjek menghimpit minda, aku juga perlu mengejar semua bab yang telah tertinggal. Segalanya membawa kembali kepada yang awal tadi. Penat...
Nafsu menggodaku untuk banyak membuang masa, tidur, bermain, malas, melepak, Ianya semua hanya dengan satu alasan, “Penatnya, asyik belajar saja”. Penat belajar? Aku pun tak mengerti bagaimana. Aku takut ianya bertambah parah menjadi, “Penatnya hidup ini”.......
Manakala syaitan pula berperanan menundukkanku dengan perkara duniawi. Mereka berusaha menanam benih ‘al-wahn’ dalam kalbuku. Syaitan juga berjuang mengikis imanku, membuatnya berkurang, lalu merenggangkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya serta mencabut tanaman keikhlasan yang cuba tumbuh, lalu menanam pula tumbuhan bongkak, ego dan bangga diri.
Bersama Hilal Asyraf
3 minggu sahaja lagi, aku diberi masa mengumpul bekalan dalam menghadapi peperiksaan penggal akhir. Aku tidak boleh berjinak-jinak dengan si ‘penat’ lagi. Kalau boleh, aku ingin menghilangkannya dari kamus memoriku. Aku teringat dengan kata-kata motivasi seorang novelis muda Hilal Asyraf ketika beliau ke Mesir, beberapa bulan lalu, beliau ada menceritakan padaku satu kisah.
Dalam samar-samar memoriku, apa yang kuingat, kisahnya lebih kurang begini.
Seorang penyanyi terkenal menyampaikan mesej keamanan, kebenaran dan keadilan melalui lagu-lagunya. Suatu ketika, apabila aktivitinya ini sampai kepada para penjahat, mereka rasa terancam, bahkan rahsia-rahsia mereka banyak terdedah melalui nyanyiannya. Mereka berusaha untuk menghapuskan penyanyi ini. Suatu hari, Ketika dia bernyanyi di pentas, satu das tembakan mengenainya, dia cedera, namun tidak maut. Kemudian dia terus dikejarkan ke hospital.
Tidak sampai beberapa hari terlantar di sana, dengan beraninya dia kembali membuat persembahan di atas pentas lagi, membuat konsert. Orang ramai hairan dengan perbuatannya itu, lalu bertanya kepadanya, Anda tak penat-penatkah menanyi? Tak takut mati ditembak lagi? Kamu tidak rasa terancamkah?
Lalu dia dengan yakinnya menjawab, kalian semua tak pernah terfikirkah, para-para penjahat, musuh-musuh kita tak pernah penat mengatur strategi licik dengan teliti, tak pernah berhenti melakukan agenda jahat dan kejam mereka walau sesaat. Jadi, apa alasannya untuk saya berhenti menjulang kebenaran?
MasyaAllah, itu orang kafir, bagaimana prinsipnya yang utuh itu. Dia sanggup menyebar kebenaran walau maut didepan mata. Apatah lagi kita umat Islam. Kita lihat orang yahudi yang masih mengatur pelbagai anasir jahat mereka menghancurkan Islam, adakah mereka penat? Tidak..
Padahal mereka membuat kejahatan yang hanya membawa padah. Kita pula, di depan kita syurga dan syahid jika kita berjaya. Apa yang perlu dipenatkan? Kebenaran perlu mengatasi kebatilan bukan?
Jadi, ayuh kita bangkit mengalahkan para musuh kita!
Jangan mudah penat dalam berfikir..
Jangan mudah jemu dengan berdoa..
Jangan mudah letih dengan berdakwah..
Jangan mudah lesu dalam menuntut ilmu..
Kita mukminin pantang menyerah!!
Mampukah aku mengharungi segalanya.... Ya Rabb!
-Sekadar ini sahaja yang mampu kumuntahkan, masih banyak lagi sisa yang terpendam. Hanya Tuhan yang tahu-
Akhirnya, 10 hari selepas post ini keluar, brother Hilal Asyraf munculkan penawar bagi muntahku!
Saya galakkan untuk kita semua ke http://ms.langitilahi.com/motivasi-kamu-lupa-asah-kapak/
salam 'alaykum ya akhi...
ReplyDeleteMudah-mudahan Allah mempermudahkan urusanmu..
p/s:-SubhanAllah...olahan ayat yang mantap...ada bakat jadi novelis muda;)
Salam 'Alaik...ya akhi...
ReplyDeletebetapa bebannya...tapi ana tahu..ALLAH Lebih Mengetahui...semoga dipermudahkan..bukan dipermudahkan..urusan tetap payah..diberi kesabaran yang tinggi untuk akhi tempuhi...Amin Ya Rabb...
Waalaikusalam..
ReplyDeleteAmeen,, Ameen..
Jd Novelis muda? huhu2,ada minat, tp msh mentah,jd blogger ni pn masih mengesot, daif, banyak lg perlu belajar..
Mohon doa dan tunjuk ajar semua!!
:) Mumtaz! :) Cemburu deh tgk gambar tu
ReplyDeleteya!! selamat maju jaya
ReplyDeleteJgn cemburu lah~ ades...
ReplyDeleteSyukran, sama2 doa
alhmadulillah stelah bbrp minggu di jordan, smkin dapat adapt di sini..sukar bgaimnpun tpksa dtmpuhi jua, moga likuan ini mrupakan pkiraan jihad di mata Allah.
ReplyDeletesyukran 4 sharing, barakallahu feek