Bismillah..
Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad..
Adapun orang-orang yang beriman teramat sangat cintanya kepada Allah.(Al-Baqarah:165)
Malam yang syahdu,Jumaat Maghrib,12 Rabiulawwal, 05.30pm
Hujan renyai-renyai ketika aku termangu-mangu memikirkan, samada ingin pergi talaqi ke Hayyusabiek, bersama Sheikh Nuruddin ataupun ke Hotel Conrad Cairo di bandaraya Tahreer, 45 minit dari tempat tinggalnya insan daif ini di Abbaseya, Kaherah.
Pada awalnya, aku bertekad ingin menuntut ilmu Hadis Rasulullah, bertalaqi bersama Sheikh Nuruddin Al-banjari, namun bersempena malam Jumaat ini, juga bertepatan dengan 12 Rabiulawwal, aku diajak untuk ke dewan Madhyafah, di Saidina Hussein, menyambut Maulidirrasul yang agung.
Aku tidak memutuskan tekadku, untuk pergi bertalaqi, kerana mempelajari ilmu Hadis Rasulullah juga merupakan salah satu cara kita untuk menyambut hari agung ini.
Walaubagaimanapun, tekadku akhirnya pudar selepas mengangkat deringan telefon bimbitku, Seorang sahabatku dari India memberitahuku bahawa para ulama besar dunia datang ke Mesir untuk menghadhiri seminar ulama antarabangsa. Seminar tersebut sudah selesai, ramai yang telah pulang.
Di antara mereka, ada dua ulama hadis yang masyhur ingin menurunkan sanad-sanad(rangkaian hadis sampai kepada Rasulullah) bagi semua sanad kitab-kitab hadis yang mereka ada kepada para pelajar Al-Azhar.
Aku terpegun melihat peluang keemasan ini. Cita-citaku ada di depan mata. Mimpikah aku?
Melalui sanad ini, aku secara automatik akan ada hubungan dengan Rasulullah. Lantaran itu, tanpa berlengah lagi, aku terus mengikut rakanku itu ke Hotel bertaraf lima bintang, Conrad Cairo di Tahreer.
Hujan rintik-rintik, lebih lebat dari sebelumnya...
Berjumpa dengan Idola
Bersama Dr.Zakir Naik, idola kita
Siapa tidak kenal dengan pendebat Islam yang tersohor ini?Murid kepada Sheikh Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik merupakan seorang insan yang sangat bijak pemikirannya dan tajam hujah-hujahnya, membuatkan sesiapa yang menjadi pihak lawannya sering terkedu malah terkelu seribu bahasa.
Beliau telah ke beberapa negara di Barat untuk berdebat dan berpidato di khalayak ramai yang kebanyakannya dari agama yang berbeza, kerana kebanyakan debatnya adalah berkaitan tentang Agama kita,Islam dan agama Kristian....
Al-kisah, maka sesampainya aku di Conrad Cairo Hotel, aku menunggu rakanku yang menanyakan tentang keberadaan Sheikh, dan ketika itu juga, aku diberitahu bahawa Dr. Zakir Naik berada di hotel tersebut, dan akan muncul sebentar lagi. Aku tergamam. Masih berada dalam mimpi lagikah?
Memang benar, tidak lama kemudian, beliau muncul dengan penampilan yang sangat sederhana.
Aku segera menghampirinya, orang ramai juga mengerumuninya. Kulihat sahabatku memeluknya, lalu kala sampai giliranku, aku bersalam, dan memeluknya juga. Subhanallah..
Malam Jumaat, 12 Rabulawwal yang penuh rahmat, berkat dan nikmat!
Baru kusedari, hujan dari tadi mencurah-curah membawa rahmat ke bumi Kinanah ini. Memang agak janggal, hujan turun membasahi bumi Mesir. Paling banyak pun setahun hanya sekali dua.
Ku jenguk ke luar hotel, hujan makin lebat, dingin menusuk ke tulang belulangku. Namun tidak sesejuk kebahagiaan di kalbuku. Sangat asyik.
Menemui Guru Besar Universiti Deoband.
Dua ulama hadis yang tersohor tadi bernama Sheikh Salman Al-Qasimi, guru besar universiti tertua dan terhebat di India, Deoband University, dan seorang lagi bernama Sheikh Taqiudin Usmani, Bekas mufti Pakistan. Kedua-dua mereka adalah ulama hadis yang sangat terkemuka.
Yang berada di hotel ini adalah Guru Besar Universiti Deoband. Manakala Sheikh Taqiudin telah pulang ke negaranya, Pakistan.
Ringkasnya, setelah diberi informasi tentang lokasi Sheikh, beserta keizinan dan kesediaan Sheikh untuk diziarahi, aku bersama seorang rakanku terus ke biliknya dengan rasa gementar dan bersyukur.
Sheikh Salman sangat tua dan uzur, namun wajahnya tampak bercahaya seperti rembulan. Beliau menggunakan kerusi roda untuk berjalan. Cucunya dan beberapa orang pembantunya yang sentiasa menguruskannya. Sahabatku menyalaminya mencium tangannya dan memeluk beliau kemudian disusuliku.
Setelah aku ditanya beliau beberapa soalan tentang ilmu Hadis, kami mentaati sahaja arahan beliau. Beberapa minit kemudian, majlis penurunan sanad selesai...Alhamdulillah
Banjir pertama
Aku pertama kali melihat kejadian banjir di Mesir ini, rupanya sedari tadi, hujan sangat lebat sehingga membanjiri beberapa kawasan di Kaherah. Bertepatan dengan tarikh kelahiran Rasulullah, hujan turut, malah sehingga banjir, bukankah itu rahmat dari Allah?
Orang Mesir sangat gembira dengan hujan dan banjir. Maklumlah, mereka sangat jarang merasai hujan. Bumi yang kering, kini basah.
Walaubagaimanapun, banjir di sini tidaklah sehingga menghalang perjalanan kenderaan. Hanya banjir sedikit. Paras betis. :)
Menyambut Maulidurrasul
Dengan menaiki teksi dari Hotel tersebut, aku segera ke Darrasah, berhampiran dengan University Al-Azhar di Dewan Madhyafah, menyambut Maulidurrasul yang agung lagi mulia.
Majlis Maulidurrasul ini dijalankan selama lebih kurang 2 jam, dengan ceramahnya, qasidahnya, solawatnya, serta puji-pujian kepada Allah dan Rasul, dan diakhiri dengan sedikit jamuan.
Aku berasa akulah orang yang paling beruntung di dunia. Alhamdulillah.
Malam Jumaat 12 Rabiulawwal tahun ini merupakan hari yang tak akan pernah kulupakan. Malam tersebut telah mengukir sejarah hidupku. Dan aku akan mengukir sejarah tidak lama lagi.
Ya, itu cita-citaku....
Ya Allah, adakah nikmatmu yang melimpah ruah ini merupakan ujian darimu?
Untuk melihat samada aku bersyukur dengan meningkatkan amal ibadah ataupun sebaliknya.
Moga kita semua sentiasa diberi Hidayah dan Taufiq daripada Allah untuk menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.Amien...
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."(Ibrahim:7)
Bertuah sungguh....
ReplyDelete~Speechless~
alhamdulillah, anta dpt jumpa ulama'2 dan org2 alim..
ReplyDeletehuhuhu, beruntungnya..
Smoga trus sbarkn islam, insya'allah!
salam alaik.
ReplyDeleteya ALLAH!
langit tu kat MESIR ?
ke?
:D:D:D
Salam.
ReplyDelete~kpd Anony: Alhamdulillah, kalian pn bertuah juga, dpt menikmati Iman..
~kpd Ariffah9: Alhamdulillah, sentiasa lah doakn ana, ya..InsyaAllah, kita sama-sama menyebarkan dan menghidupkan Islam..
~kpd ukht As-sakinah: w.salam..
Ya Rabb,
xde la, haha...jmpe kt internet..
secara peribadi...
ReplyDeletesaya dengki dengan kamu
minta tunjuk ajar
sia-sia dengki dgn saya, tiada apa2...
ReplyDeleteSaya juga dengki dengan ustaz,
mohon bimbingan tarbiyah!
bg lah dorongan kpd sy slalu..