Bismillah.
Dari Abdullah bin Amr bin Ash RA katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati sanubari manusia, tetapi dengan cara mematikan orang-orang berpengetahuan (Ulama). Apabila orang berpengetahuan telah tiada, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang jahil menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang jahil ini akan berfatwa tanpa ilmu. Mereka itu sesat lagi menyesatkan.” HR Bukhari (Sahih Bukhari Bab Ilmu Hadis ke-100 )
Rabu, 10/03/2010, kita kehilangan seorang pembawa obor Islam, membimbing kita ke arah cahaya kebenaran dan keindahan..
Pemergian tokoh tersohor, Sheikul Azhar, Dr.Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi merupakan satu perkara yang amat memilukan hati-hati umat Islam. Saya sangat terkejut dengan kewafatan beliau.
Kejadian yang sugul ini berlaku apabila beliau menghadiri majlis Anugerah Al-Malik Faisal di Riyadh Arab Saudi. Beliau sempat mengambil anugerah dan memberi sedikit ucapan. Namun usai majlis penganugerahan tersebut, ketika dalam perjalanan pulang ke Kaherah, beliau diserang sakit jantung secara tiba-tiba ketika menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Malik Khalid, Riyadh. Beliau rebah, lalu dikejarkan ke hospital. Sedihnya, beliau wafat di sana.
Diberitakan beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’ di Madinah, berhampiran dengan Masjid Nabi. Tanah perkuburan yang dihuni oleh para sahabat, syuhada, kerabat Rasulullah, serta orang-orang soleh.
Subhanallah, bukankah itu husnul khatimah?
Antara ciri-ciri bahawa Allah menerima amalan dan hayat kita adalah dengan husnul khatimah, Allah memanggil kita dengan cara yang mulia.
Saya mula tertarik untuk membaca karya-karya beliau sejak saya mula belajar di Maahad Buuts Al-Azhar,Mesir. Pusat tarbiyyah saya kini. Ini kerana hampir kesemua buku-buku sekolah saya ditulis dan disusun beliau. Bagi saya, gaya penulisan beliau sangat hebat. Saya mampu memahami buku-buku beliau walaupun masih baru dalam berbahasa arab.
Penulisan beliau merangkumi segala bidang ilmu, terutama sekali subjek Fiqh 4 Mazhab bagi silibus sekolah saya yang dikarang dan disusun beliau. Sangat kemas, padat dan bahasa yang mudah difahami.
Jasa beliau sangat besar kepada umat. Semoga Allah meredhai beliau.
BIODATA SHEIKH TANTAWI
• Lahir pada Oktober 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyyah di wilayah Sohaj di So'id Misr.
• Menyelesaikan PhD fakulti Teologi(Tafsir dan Hadith), Universiti Al-Azhar dengan darjat mumtaz pada 1966
• Pernah Mengajar di kuliah Usuludin Al-Azhar
• Meneruskan khidmat sebagai pengajar di Libya selama 4 tahun.
• Dilantik sebagai Mufti Mesir pada 1986
• Menjadi Sheikhul Azhar (Ketua Universiti Al-Azhar) pada 1996
• Mahir dalam bidang Tafsir.
• Pernah dikecam kerana banyak mengeluarkan fatwa-fatwa yang kelihatan kontroversi.
ANTARA KARYA-KARYANYA
• Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969)
• At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972)
• Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990)
• Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)
SHEIKH TANTAWI DAN KONTROVERSI
Setiap manusia membuat kesilapan kecuali para Nabi dan Rasul.
Oleh itu, jika para ulama membuat apa-apa kesilapan, ia merupakan perkara yang lumrah. Ini kerana kita adalah manusia yang lemah, serba kekurangan.
Sememangnya Sheikh Tantawi pernah mengeluarkan fatwa yang mengundang kontroversi, namun perlu diingatkan mungkin fatwa itu dikeluarkan atas sebab dan kepentingan-kepentingan(maslahah) tertentu yang tidak kita ketahui.
Jadi, adalah lebih baik jika kita tidak campur tangan dengan urusan-urusan sebegini. Kita serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Adalah sangat biadab kepada ulama jika kita mencerca mereka. Siapalah kita yang masih cetek ilmu untuk menghentam mereka yang mempunyai ilmu yang cukup luas.
Mari sedekahkan Al-Fatihah kepadaq Sheikh Tantawi Rahimahullah Ta'ala...
Sila rujuk kembali ke:
Sahih Al-Bukhari
hmetro.com.my
http://purplecrayon08.blogspot.com/2010/03/al-fatihah-untuk-sheikh-tantawi.html
http://tamanulama.blogspot.com/2010/03/wafatnya-syeikh-sayyid-tantawi-beserta.html
http://kisah-iman.blogspot.com/2010/03/hilangnya-sebutir-lagi-permata.html
salam,
ReplyDeleteinnalillahhiwainnailaihirajiun..
smoga pmrgiannya ada hikmah~