27 March 2010

Aku Hampir Mati!

Bismillah.

Waktu sentiasa berlalu pergi, tak akan berhenti, tak akan kembali.
Begitu juga Kematian, ia sentiasa mendekat, tak akan menjauh.
Takkan.........

Hari ini, aku lihat kalendar Masihi, kuteringat...

Tarikhnya benar-benar sinonim dengan tarikh aku ditakdirkan muncul ke dunia ini pada surat beranak aku. 17 Tahun yang lalu.

Ya, mungkin ramai orang fikir, bahkan aku sendiri adakalanya merasakan, aku akan hidup lama lagi.

Baru 17, muda lagi, buat apa sirius belajar, buat amal, jadi orang baik...

Muda-muda macamnilah kita berfoya-foya, bercouple, lepak, jadi gengster, berpeleseran merempit dan clubbing, berhibur, gi fun fair......

Dah tua nanti, baru pakai kopyah, pergi Masjid, buat amal..

Kan boleh taubat dengan semua dosa waktu kita muda dulu..

Ya, memang boleh...

Tapi hanya jika kita pasti bahawa besok kita akan kekal hidup. Bahkan beberapa saat lagi.

Pastikah kamu? Sejauh mana?

Jika tidak pasti, adakah kita akan terfikir untuk berbuat noda?

Begitulah, ramai yang kononnya pasti, mereka mati lama lagi, lalu buat maksiat, buat Tuhan Marah, buat dosa.
Kononnya dah pasti kita tak akan masuk neraka dengan dosa kita...

Hipotesisnya, semakin meningkat umur kita, semakin hampir kita dengan kematian.

Lantaran itu, sempena pengulangan sejarah hari kelahiranku ini, aku tidak ingin bergembira menyambutnya.

Mengapa nak bergembira, sedangkan Aku ni hampir mati! Bergembira dengan dosa yang banyak ini?

Bergembira mati dengan buruk? Bergembira dengan azab kubur? Dengan kedahsyatan neraka?

Aku bertekad, ingin menyambut befday kali ini dengan kesedihan, dengan tangisan(ye ye je aku ni).

Moga-mogalah.. Aku laksanakan tekadku ini. Walaupun tidak punya kekuatan, tapi dengan kudrat yang tersimpan, ku coba..

Sahabatku, mari menangis....

Menangis kerana Allah......


p/s:  Tak tau la sedih sebab hampir mati ke atau sebab xde org ingat befday aku nih, Astaghfirullah!...adeih. Pilu. Sepi. Family kat malaysia sana tak ingat aku lagi ke? Aku hanya dibuang ke bumi Mesir inikah?
 Atmaku ranap!!!!
Azam, kau benar-benar hampir mati!
Kata sahabatku “ Istighfar Zam! Fikir bukan-bukan jeh kau nih, tadi kata tak nak sambut befday happy2, nak nangis2! haish3..”

Gelak.

Selamat Hari Jadi, Azam, yang ke-17! T_T(sambut sorg2 pn x mengapa lah)

Baginda Rasulullah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi:
Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang:
1. Umurnya pada apa yang telah dihabiskannya,
2. Masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya,
3. Hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya
4. Ilmunya, apakah yang telah dilakukan dengannya.

Sambung Bacaan>>>

26 March 2010

Kita sentiasa dikasihiNya

Bismillah.

Di dalam Al-Quran sering kita terbaca bahawa Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat.

Siapakah orang yang berhak bertaubat ini?

Ya, hanya orang yang berbuat dosa.

Kerana orang yang tidak pernah berbuat dosa tidak perlu bertaubat.

Cuma mereka tetap bertaubat untuk menambah martabat dan darjat mereka disisi Tuhan.

Sejahat mana, sesyaitan mana kita, Allah Maha Pengampun. Baca Hadis Qudsi di bawah:

Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman:

Wahai anak Adam!
Selagi mana, berdoa dan mengharapkan(keampunan)Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. 

Wahai anak Adam!
Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. 

Wahai anak Adam!
Sesungguhnya engkau,
andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, 
kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu,
nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.

(HR Tarmizi: Hadis Hasan Sahih)
-Hadis ke-42 di dalam kitab Hadis 40 An-Nawawi-

Bukankah Allah Maha Pengampun? Mari kita bertaubat....

Kemudian, kita buat lagi dosa.

Itu tau buat namanya... Apalah...
Taubatlah sungguh-sungguh. Taubat Nasuha..

Tahukah kamu?

Jika taubat menghapus dosa, membuat kebaikan juga menghapus dosa!
Maha Pengasih Allah. Baca lagi Hadis dibawah:

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda, katanya,

"Setiap anak Adam akan dijaga oleh dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang sebelah kiri. Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan katanya, "Apakah yang harus aku catat?"

Kata malaikat di sebelah kanan, "Jangan kamu catat dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan." 

Malaikat yang di kiri bertanya lagi, "Kalau ia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catatkan?" 

Jawab malaikat kanan, "Biarkannya, sehingga ia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w.t bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu tebuslah 5 kesalahannya yang lalu(dengan 5 pahala tadi)dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi(di dalam buku amalan)."

Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata, "Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam."

Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayangNya melimpah ruah tiada terbatas hanya kita saja yang lalai dan leka dengan keseronokan serta kemewahan dunia yang fana.

Sambung Bacaan>>>

Makin kenal maka makin cinta

Bismillah
Cuba kita kenali diri kita, lihat anggota-anggota badan kita, fikir dengan minda, tafakkur dengan sanubari...

Sedar tak sedar, sudah hakikatnya, seluruh organ dalam badan kita, seluruh urat saraf kita, seluruh otot kita, perjalanan darah, denyutan jantung dan nadi kita bukan dikawal kita.

Kerana ia bukan milik kita. Itu memang tidak akan disangkal bukan?

Kita pula lumrahnya sentiasa lupa, seolah-olah diri kita, kepunyaan kita. Bebas!

Bebas melakukan apa sahaja, bebas menurut nafsu. Tidak sedar bahawa sistem pergerakan organ di dalam badan kita yang sempurna dan teliti itu sentiasa dikawal dan diperhati Pemiliknya.

Boleh sahaja Sang Pemiliknya membiarkannya berhenti, tidak terkawal, atau menghancurkannya, setiapkali DIA murka akan noda dan kesilapan kita kepadaNya. Punahlah kita!!

Namun kasih sayangNya, rahmatNya meliputi segala-galanya. Kita masih diberi nikmat untuk hidup sihat menikmati dunia.

Indahnya alam dunia, sehingga ramai yang cintakannya, tak ingin meninggalkannya, ingin selama-lamanya bersamanya. Kerana kita dah mengenalnya, merasainya dan meyakini kewujudannya.

Seandainya seluruh manusia kenal akan alam yang sebelah sana, yang abadi itu...

Seandainya kita meyakininya, melihatnya yang lebih luas dari seluruh langit dan bumi ini..

Kita tak akan ingin mengenali dunia, tak akan ingin merasai dunia lagi..

Bagaikan jika kita diberi dua orang kekasih, satu yang tua kerepot yang sedang nazak berpakaian perak dan mutiara nan indah, dan kedua, yang selamanya kekal muda jelita lagi berpakaian emas dan berlian yang jauh lebih indah, mana satu akan kita pilih?

Kita sudah tentu memilih kekasih yang kedua, malah kita bagai tak pernah kenal yang pertama, tak ingin langung...Sudahlah dah nak mati, baju je cantik..

Itupun jika kita kenal yang kedua. Kenal akan keindahannya, kenikmatannya yang tak akan sirna. Yang berkekalan..

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari jelita yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga sahaja yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.” (Ar-Rahman:56)

Kenalilah Alam Abadi itu, untuk bertambah mencintainya, lalu mengikis kecintaan pada dunia yang membengkak pada diri...


Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:

"Pada suatu hari kelak, umar-umat akan memusuhi kalian(Islam) dari segala penjuru, seperti orang-orang lapar yang merebutkan makanan."

Para sahabat bertanya, "Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?" 

Rasulullah saw menjawab, "Bahkan, jumlah kalian pada waktu itu banyak, akan tetapi kalian hanya bagaikan buih yang terbawa arus air; dan sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari dada para musuh kalian; dan sungguh Allah akan menghujamkan wahn di dada kalian. "

Para sahabat bertanya kembali, "Apakah wahn itu wahai Rasulullah?" 

Rasulullah saw menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (lihat al-Jami' as-Shaghir: 8183).



Firman Allah Tabaraka wa ta'ala:

 
"Hai hamba-hambaKu, pada hari ini engkau semua tidak perlu merasa takut dan
tidak perlu pula berhati susah.

Yaitu orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan mereka adalah
pemeluk-pemeluk Agama Islam.

Masuklah engkau semua dalam syurga, juga isteri-isterimu dengan perasaan
gembira.


Kepada mereka diedarkanlah piring-piring dari emas, demikian pula gelas-gelasnya.

Di situ terdapatlah semua yang diinginkan oleh jiwa dan yang sedap mata memandang,
dan engkau semua kekal di dalamnya.

Itulah syurga yang diwariskan kepadamu semua dengan sebab amalan kebaikan
yang telah engkau semua lakukan.

Di situ engkau semua akan memperoleh buah-buahan yang banyak sekali, yang sebahagiannya kamu makan." (az-Zukhruf: 68-73)

Sambung Bacaan>>>

12 March 2010

Pemergian Al-Allamah Sheikh Tantawi

Bismillah.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash RA katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati sanubari manusia, tetapi dengan cara mematikan orang-orang berpengetahuan (Ulama). Apabila orang berpengetahuan telah tiada, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang jahil menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang jahil ini akan berfatwa tanpa ilmu. Mereka itu sesat lagi menyesatkan.” HR Bukhari (Sahih Bukhari Bab Ilmu Hadis ke-100 )

Rabu, 10/03/2010, kita kehilangan seorang pembawa obor Islam, membimbing kita ke arah cahaya kebenaran dan keindahan..

Pemergian tokoh tersohor, Sheikul Azhar, Dr.Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi merupakan satu perkara yang amat memilukan hati-hati umat Islam. Saya sangat terkejut dengan kewafatan beliau.

Kejadian yang sugul ini berlaku apabila beliau menghadiri majlis Anugerah Al-Malik Faisal di Riyadh Arab Saudi. Beliau sempat mengambil anugerah dan memberi sedikit ucapan. Namun usai majlis penganugerahan tersebut, ketika dalam perjalanan pulang ke Kaherah, beliau diserang sakit jantung secara tiba-tiba ketika menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Malik Khalid, Riyadh. Beliau rebah, lalu dikejarkan ke hospital. Sedihnya, beliau wafat di sana.


Diberitakan beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’ di Madinah, berhampiran dengan Masjid Nabi. Tanah perkuburan yang dihuni oleh para sahabat, syuhada, kerabat Rasulullah, serta orang-orang soleh.

Subhanallah, bukankah itu husnul khatimah?

Antara ciri-ciri bahawa Allah menerima amalan dan hayat kita adalah dengan husnul khatimah, Allah memanggil kita dengan cara yang mulia.

Saya mula tertarik untuk membaca karya-karya beliau sejak saya mula belajar di Maahad Buuts Al-Azhar,Mesir. Pusat tarbiyyah saya kini. Ini kerana hampir kesemua buku-buku sekolah saya ditulis dan disusun beliau. Bagi saya, gaya penulisan beliau sangat hebat. Saya mampu memahami buku-buku beliau walaupun masih baru dalam berbahasa arab.

Penulisan beliau merangkumi segala bidang ilmu, terutama sekali subjek Fiqh 4 Mazhab bagi silibus sekolah saya yang dikarang dan disusun beliau. Sangat kemas, padat dan bahasa yang mudah difahami.

Jasa beliau sangat besar kepada umat. Semoga Allah meredhai beliau.

BIODATA SHEIKH TANTAWI

• Lahir pada Oktober 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyyah di wilayah Sohaj di So'id Misr.
• Menyelesaikan PhD fakulti Teologi(Tafsir dan Hadith), Universiti Al-Azhar dengan darjat mumtaz pada 1966
• Pernah Mengajar di kuliah Usuludin Al-Azhar
• Meneruskan khidmat sebagai pengajar di Libya selama 4 tahun.
• Dilantik sebagai Mufti Mesir pada 1986
• Menjadi Sheikhul Azhar (Ketua Universiti Al-Azhar) pada 1996
• Mahir dalam bidang Tafsir.
• Pernah dikecam kerana banyak mengeluarkan fatwa-fatwa yang kelihatan kontroversi.

ANTARA KARYA-KARYANYA

• Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969)
• At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972)
• Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990)
• Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)

SHEIKH TANTAWI DAN KONTROVERSI

Setiap manusia membuat kesilapan kecuali para Nabi dan Rasul.

Oleh itu, jika para ulama membuat apa-apa kesilapan, ia merupakan perkara yang lumrah. Ini kerana kita adalah manusia yang lemah, serba kekurangan.

Sememangnya Sheikh Tantawi pernah mengeluarkan fatwa yang mengundang kontroversi, namun perlu diingatkan mungkin fatwa itu dikeluarkan atas sebab dan kepentingan-kepentingan(maslahah) tertentu yang tidak kita ketahui.

Jadi, adalah lebih baik jika kita tidak campur tangan dengan urusan-urusan sebegini. Kita serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Adalah sangat biadab kepada ulama jika kita mencerca mereka. Siapalah kita yang masih cetek ilmu untuk menghentam mereka yang mempunyai ilmu yang cukup luas.



Mari sedekahkan Al-Fatihah kepadaq Sheikh Tantawi Rahimahullah Ta'ala...



Sila rujuk kembali ke:
Sahih Al-Bukhari
hmetro.com.my
http://purplecrayon08.blogspot.com/2010/03/al-fatihah-untuk-sheikh-tantawi.html
http://tamanulama.blogspot.com/2010/03/wafatnya-syeikh-sayyid-tantawi-beserta.html
http://kisah-iman.blogspot.com/2010/03/hilangnya-sebutir-lagi-permata.html



Sambung Bacaan>>>

06 March 2010

Jangan Pernah lupakan mereka!!

Bismillah..
Roh semangat mudaku membara dan menggelegak.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang tidak mementingkan(tidak ambil peduli) urusan muslimin yang lain,bukanlah dari kalangan mereka(Muslimin)"

WAJIB TONTON ini, bagi sesiapa yang belum tonton.....

Mengimbau surat seorang mangsa kekejaman khinzir-khinzir Amerika..
  
Sahabatku, ingatkah kalian tentang kisah para Serikandi di penjara Abu Ghraib ini?

Apalagi mangsa-mangsa kekejaman zionis di Bumi Palestin tercinta.


Pernahkah kalian tangisi mereka?


Masihkah kalian doakan mereka?

Hati ini sebak ketika mengenang kembali kisah seorang serikandi, Fatimah yang diseksa di penjara Abu Ghraib.



Fatimah dan beberapa wanita lainnya diperkosa berkali-kali oleh khinzir-khinzir dan anjing-anjing Amerika.
Namun mereka tetap sabar kerana kekuatan iman mereka senantiasa menggembirakan mereka, kerana syurga di depan mata mereka. Mereka merayu bantuan kita bukan kerana diri mereka sendiri, tapi kerana anggota dan jasad mereka milik Allah. Dan kita perlu menjaga dan melindungi hak milik Allah dan segala kurniaan Allah, sebagai tanda cinta kita kepada Sang Pencipta..

Mereka sangat takut apabila mahkota mereka yang dikurniakan Allah diragut dengan kejam oleh binatang-binatang Amerika itu. Tidak seperti wanita Islam kini, mereka malah merasakan tubuh mereka kepunyaan sendiri, tiada rasa malu. Bebas melakukan apa sahaja....

Namun sekarang apa yang telah tejadi kepada mereka? Adakah mereka terkubur begitu sahaja? Kisah mereka dilupakan begitu sahaja,?

Jawapannya sangat menyedihkan saya..
Pedih.....sangat pedih.

Mungkin sekarang masih ramai lagi yang masih menderita seperti mereka.

Namun,Menangis air mata nanah sekalipun tidak berguna lagi. Mereka telah dipanggil Allah.
Dan mereka akan menuntut di akhirat kelak.

Apakah hanya dengan tangisan dan doa kita bebas dari tanggunjawab?
TIDAK! sahabatku.
Mereka menunggu kita.
Mereka mengharapkan kita.
Siapa lagi selain kita?



Dan KITA??
Hanya tahu mengharapkan orang lain.
Kita masih bermalas-malas dalam menuntut ilmu,
masih buang-buang masa..
Tidak punyai cita-cita untuk berjaya.

Jika kalian sayang akan mereka, ingin membantu mereka, bukankah kita perlu berjaya dalam hidup?
Jika kita berjaya, kita akan mempunyai kuasa, pengaruh dan kekuatan, justeru, kita akan cuba menggunakan kuasa kita untuk memerangi para musuh-musuh Islam.

Jika kita tidak berjaya dalam hidup, apa yang kita boleh buat?
Hanya beribadah dan berdoa di dalam bilik? Menangis-nangis seorang diri?
Atau hanya bekerja dalam pekerjaan yang tidak membawa manfaat kepada umat?
Sedarlah!! kita perlu jadi yang terbaik, jadi seorang yang berjasa..
Itulah Mukmin sejati..

Para jamaah Islam pula,
sibuk bergaduh-gaduh, berdebat-debat tentang masalah kecil sesama sendiri.
Sibuk menghina saudara seislam, menyalahkan malah mengkafirkan sesama Islam..
Sedangkan masalah yang lebih besar tidak dihiraukan.

Itulah umat Islam,

Ibarat sebuah rumah yang terbakar,
Yang di dalamnya terdapat dua perkara penting, anak-anak kecil dan duit yang banyak,
Manakala diluar, ada dua golongan yang sibuk bergaduh sesama sendiri,

Ingin menyelamatkan anak kecil dulukah, atau duit yang dahulu?
Mereka bergaduh sesama sendiri sehingga rumah hangus tinggal abu,
Anak-anak kecil telah mati, duit yang banyak tadi ikut dijilat api.
Sedangkan jika mereka bersatu dan berbincang pada awalnya, akan selamatlah anak kecil dan duit itu kedua-duanya.

Malah rumah yang terbakar tadi juga akan turut terselamat dari kebakaran jika mereka bersama-sama memadamkannya..

Oleh kerana masalah kecil, masalah besar tidak dipedulikan..

Ku seru Para Pemuda dan Pemudi Islam, BERTINDAKLAH!

BANGKITLAH!!

Mari BERSATU Memperjuangkan ISLAM!!

Sambung Bacaan>>>

01 March 2010

Peristiwa tak terlupa: Malam 12 rabiulawwal

Bismillah..

Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad..

Adapun orang-orang yang beriman teramat sangat cintanya kepada Allah.(Al-Baqarah:165)

Malam yang syahdu,Jumaat Maghrib,12 Rabiulawwal, 05.30pm

Hujan renyai-renyai ketika aku termangu-mangu memikirkan, samada ingin pergi talaqi ke Hayyusabiek, bersama Sheikh Nuruddin ataupun ke Hotel Conrad Cairo di bandaraya Tahreer, 45 minit dari tempat tinggalnya insan daif ini di Abbaseya, Kaherah.

Pada awalnya, aku bertekad ingin menuntut ilmu Hadis Rasulullah, bertalaqi bersama Sheikh Nuruddin Al-banjari, namun bersempena malam Jumaat ini, juga bertepatan dengan 12 Rabiulawwal, aku diajak untuk ke dewan Madhyafah, di Saidina Hussein, menyambut Maulidirrasul yang agung.

Aku tidak memutuskan tekadku, untuk pergi bertalaqi, kerana mempelajari ilmu Hadis Rasulullah juga merupakan salah satu cara kita untuk menyambut hari agung ini.

Walaubagaimanapun, tekadku akhirnya pudar selepas mengangkat deringan telefon bimbitku, Seorang sahabatku dari India memberitahuku bahawa para ulama besar dunia datang ke Mesir untuk menghadhiri seminar ulama antarabangsa. Seminar tersebut sudah selesai, ramai yang telah pulang.

Di antara mereka, ada dua ulama hadis yang masyhur ingin menurunkan sanad-sanad(rangkaian hadis sampai kepada Rasulullah) bagi semua sanad kitab-kitab hadis yang mereka ada kepada para pelajar Al-Azhar.

Aku terpegun melihat peluang keemasan ini. Cita-citaku ada di depan mata. Mimpikah aku?

Melalui sanad ini, aku secara automatik akan ada hubungan dengan Rasulullah. Lantaran itu, tanpa berlengah lagi, aku terus mengikut rakanku itu ke Hotel bertaraf lima bintang, Conrad Cairo di Tahreer.

Hujan rintik-rintik, lebih lebat dari sebelumnya...

Berjumpa dengan Idola

Bersama Dr.Zakir Naik, idola kita
Siapa tidak kenal dengan pendebat Islam yang tersohor ini?

Murid kepada Sheikh Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik merupakan seorang insan yang sangat bijak pemikirannya dan tajam hujah-hujahnya, membuatkan sesiapa yang menjadi pihak lawannya sering terkedu malah terkelu seribu bahasa.

Beliau telah ke beberapa negara di Barat untuk berdebat dan berpidato di khalayak ramai yang kebanyakannya dari agama yang berbeza, kerana kebanyakan debatnya adalah berkaitan tentang Agama kita,Islam dan agama Kristian....

Al-kisah, maka sesampainya aku di Conrad Cairo Hotel, aku menunggu rakanku yang menanyakan tentang keberadaan Sheikh, dan ketika itu juga, aku diberitahu bahawa Dr. Zakir Naik berada di hotel tersebut, dan akan muncul sebentar lagi. Aku tergamam. Masih berada dalam mimpi lagikah?

Memang benar, tidak lama kemudian, beliau muncul dengan penampilan yang sangat sederhana.


Aku segera menghampirinya, orang ramai juga mengerumuninya. Kulihat sahabatku memeluknya, lalu kala sampai giliranku, aku bersalam, dan memeluknya juga. Subhanallah..
Malam Jumaat, 12 Rabulawwal yang penuh rahmat, berkat dan nikmat!

Baru kusedari, hujan dari tadi mencurah-curah membawa rahmat ke bumi Kinanah ini. Memang agak janggal, hujan turun membasahi bumi Mesir. Paling banyak pun setahun hanya sekali dua.
Ku jenguk ke luar hotel, hujan makin lebat, dingin menusuk ke tulang belulangku. Namun tidak sesejuk kebahagiaan di kalbuku. Sangat asyik.

Menemui Guru Besar Universiti Deoband.

Dua ulama hadis yang tersohor tadi bernama Sheikh Salman Al-Qasimi, guru besar universiti tertua dan terhebat di India, Deoband University, dan seorang lagi bernama Sheikh Taqiudin Usmani, Bekas mufti Pakistan. Kedua-dua mereka adalah ulama hadis yang sangat terkemuka.
Yang berada di hotel ini adalah Guru Besar Universiti Deoband. Manakala Sheikh Taqiudin telah pulang ke negaranya, Pakistan.

Ringkasnya, setelah diberi informasi tentang lokasi Sheikh, beserta keizinan dan kesediaan Sheikh untuk diziarahi, aku bersama seorang rakanku terus ke biliknya dengan rasa gementar dan bersyukur.

Sheikh Salman sangat tua dan uzur, namun wajahnya tampak bercahaya seperti rembulan. Beliau menggunakan kerusi roda untuk berjalan. Cucunya dan beberapa orang pembantunya yang sentiasa menguruskannya. Sahabatku menyalaminya mencium tangannya dan memeluk beliau kemudian disusuliku.

Setelah aku ditanya beliau beberapa soalan tentang ilmu Hadis, kami mentaati sahaja arahan beliau. Beberapa minit kemudian, majlis penurunan sanad selesai...Alhamdulillah

Banjir pertama

Aku pertama kali melihat kejadian banjir di Mesir ini, rupanya sedari tadi, hujan sangat lebat sehingga membanjiri beberapa kawasan di Kaherah. Bertepatan dengan tarikh kelahiran Rasulullah, hujan turut, malah sehingga banjir, bukankah itu rahmat dari Allah?

Orang Mesir sangat gembira dengan hujan dan banjir. Maklumlah, mereka sangat jarang merasai hujan. Bumi yang kering, kini basah.

Walaubagaimanapun, banjir di sini tidaklah sehingga menghalang perjalanan kenderaan. Hanya banjir sedikit. Paras betis. :)

Menyambut Maulidurrasul

Dengan menaiki teksi dari Hotel tersebut, aku segera ke Darrasah, berhampiran dengan University Al-Azhar di Dewan Madhyafah, menyambut Maulidurrasul yang agung lagi mulia.

Majlis Maulidurrasul ini dijalankan selama lebih kurang 2 jam, dengan ceramahnya, qasidahnya, solawatnya, serta puji-pujian kepada Allah dan Rasul, dan diakhiri dengan sedikit jamuan.

Aku berasa akulah orang yang paling beruntung di dunia. Alhamdulillah.

Malam Jumaat 12 Rabiulawwal tahun ini merupakan hari yang tak akan pernah kulupakan. Malam tersebut telah mengukir sejarah hidupku. Dan aku akan mengukir sejarah tidak lama lagi.

Ya, itu cita-citaku....

Ya Allah, adakah nikmatmu yang melimpah ruah ini merupakan ujian darimu?

Untuk melihat samada aku bersyukur dengan meningkatkan amal ibadah ataupun sebaliknya.

Moga kita semua sentiasa diberi Hidayah dan Taufiq daripada Allah untuk menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.Amien...



Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."(Ibrahim:7)

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails