11 April 2010

Teguh dengan Matlamat

Bismillah

pic by ~petedenness on deviantART
Gajah jarang ditemui di Jazirah Arab

Suatu ketika, Imam Malik(pengasas mazhab maliki) sedang mengajar murid-muridnya di satu majlis ilmu di Madinah Al-munawwarah.

Tiba-tiba datang sekumpulan badwi yang entah dari mana, sambil membawa gajah.

Di jazirah arab pada ketika itu, haiwan besar yang berbelalai dan gading itu dapat dikategorikan seperti ‘makhluk asing’.

Maka berpusu-pusulah murid-murid Imam Malik keluar dari majlis ilmu tersebut untuk menyaksikan haiwan aneh yang bernama gajah itu.

Semua para penuntut ilmu di situ keluar kecuali seorang pelajar.

Apabila Imam Malik melihatnya, beliau mendekatinya lalu bertanya, “Mengapa kamu tidak ikut keluar untuk melihat?”

Murid tadi menjawab,
Saya datang jauh-jauh dari Andalus(kini Sepanyol) untuk menuntut ilmu, bukan untuk melihat gajah!

Semenjak saat itu, Imam Malik menyematkan gelaran ‘Aqilu Andalus'(genius dari Andalus) padanya.

Pelajar tadi bernama Yahya ibnu Yahya.

Kita lihat bagaimana dia menggenggam utuh dengan prinsipnya. Seorang lelaki luarbiasa yang datang dari Sepanyol. Bayangkan berapa jauh antara kedua tempat itu sekarang. Lagi-lagi pengangkutan pada zaman itu sangat sulit dan terbatas, tiada kenderaan berenjin mahupun burung besi..

Dari kisah tadi, kita dapat belajar banyak perkara...

1)Fokus pada tujuan

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

“Di antara kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak berguna baginya.” -Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.

Sebagai pelajar, Yahya ibnu Yahya memberi contoh kepada kita untuk fokus dengan matlamat dan tujuan kita iaitu untuk menuntut ilmu yang bermanfaat.

Perkara ini bukan diaplikasikan hanya pada para pelajar sahaja, bahkan para pekerja, guru, pendakwah, pemimpin, hamba Allah dan sebagainya juga dapat mengambil ibrah(pengajaran) dari kisah pendek ini.

Setiap insan berperanan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Dari situlah kita harus punya tujuan, iaitu dengan melihat tanggungjawab. Misalnya, seorang pelajar bertanggungjawab untuk menuntut ilmu, seorang pekerja pula bertanggungjawab pada majikannya, seorang hamba bertanggungjawab pada Tuhannya dan seterusnya.

Lalu apa pula tujuan mereka setelah mendapat tanggungjawab? Ya, untuk berjaya melaksanakannya dengan sebaik mungkin..

Semua punyai status masing-masing.

Kita mendapat tanggungjawab melalui pilihan masing-masing pada awalnya. Semuanya bermula pada tujuan. Apa tujuan kita memilih untuk menjadi pelajar, pekerja, pemimpin, guru dan sebagainya?

Setelah pasti dengan tujuannya, kita perlu berjalan sejajar dengan tujuan kita, fokus padanya. Dengan kata lain, kita bersungguh-sungguh membuat sesuatu tanggungjawab sehingga berjaya.

“Seseorang dapat melakukan segalanya, tetapi mungkin tak satu pun yang dapat dikerjakannya dengan baik.”

Dalam mencapai sesuatu matlamat, kita sememangnya sering lari dari tujuan asal kita.
Jika dikaitkan dengan diri saya, tujuan saya datang ke Mesir ini adalah untuk menuntut ilmu. Namun, lumrah manusia yang sering lalai menjadikan saya sering terpesong. Saya pernah terfikir bahawa alangkah seronoknya jika saya hanya melancong dan berkelah sahaja di bumi tegaknya piramid ini..

Segelintir pelajar di sini juga ada yang telah jauh lari dari tujuan mereka datang ke sini. Ada yang sibuk berniaga, berhibur, melancong dan sebagainya tanpa mengendahkan pelajaran.

Bukan tidak boleh. Boleh,selagi pembelajaran tidak terganggu, waktu belajar, belajar! Waktu kosong, terserahlah mahu bercuti atau berniaga atau apa. Tetapi lebih baik kita tumpu pada ilmu sahaja, kecuali jika terdesak, ataupun untuk merehatkan minda melihat kebesaran Allah, apa salahnya bersiar-siar pada masa lapang kan?

Yang jelas, kita perlu sentiasa sedar dan peka dengan tujuan utama kita.


Lantaran itu, setiap kali kita lari sedikit dengan matlamat kita, kita harus segera membendungnya sebelum parah, kerana jika telah sangat jauh terkeluar dari matlamat, amat sukar untuk kembali ke pangkal jalan.

2)Matlamat paling utama


Apa tujuan kita diciptakan, wujud dan hidup di dunia?

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah,mengabdikan diri kepada-Ku.” (QS Az-zaariyat: 56)

Sungguhpun pelbagai status, kerja dan tanggungjawab kita sandang. Namun kita perlu tetap kembali merujuk kepada tujuan paling utama kita, iaitu beribadah kepadaNya.


Jangan kita fikir bahawa tidur, makan, kerja, dan perkara-perkara kebiasaan yang lain adalah bukan suatu ibadah! Jangan sekali..

Kita sudah maklum bukan? Setiap perkara harian kita, yang telah menjadi adat di dalam diri kita juga boleh mendapat pahala sebagai ibadah kepada Allah jika kita berniat untuk melakukan segala perkara kebiasaan kita hanya kerana Allah.

Segalanya hanya dengan niat, jika kita ingin melakukan sesuatu atau mencapai suatu tujuan hanya kerana Allah dengan berlandaskan syariatNya, itu juga dikira sebagai ibadah.

Hanya niat yang memisahkan antara adat dan ibadat.

Jadi, kita sebagai hamba yang menjadi khalifah di muka bumi ini, harus juga sentiasa sedar dengan hakikat matlamat yang paling utama kita ini.

Menjalankan tanggungjawab kita kepada Sang Pemilik kita sebaiknya.

Tanyalah diri, adakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita dengan baik?
Ataupun kita masih tak sedar yang kita adalah seorang hamba yang dipertanggungjawabkan?

Bangkitlah...

3)Prinsip dan prioriti

Dr. Yusuf Al-Qardhawi ada berkata dalam pendahuluan buku Fiqh Al-Awlawiyatnya(fiqh keutamaan):



“Sesuatu yang semestinya didahulukan harus didahulukan, dan yang semestinya diakhirkan harus diakhirkan. Sesuatu yang kecil tidak perlu dibesarkan, dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan lurus, tidak lebih dan tidak kurang.”

Dalam mencapai matlamat, setiap insan sangat perlu untuk berprinsip. Tanpa prinsip, hidup akan mudah terpengaruh dan terumbang ambing tidak tentu tujuan.

Hidup berprinsip juga memerlukan keteguhan. Dengan berpegang teguh pada prinsip, sesebuah matlamat akan menjadi mudah untuk dicapai. Ini kerana kita tidak mudah terjebak dengan perkara yang berada diluar zon prinsip kita. Justeru, berpegang teguh pada prinsip merupakan aset utama dalam meraih kejayaan.

Nah, Dalam berprinsip inilah kita memerlukan prioriti. Atau dengan kata lainnya, perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan. Dalam memilih sesuatu, kita perlu melihat kepada prioriti. Prioriti ini pula terletak pada prinsip kita.

Perkara ini dapat kita lihat pada kisah tadi, bagaimana Yahya ibnu Yahya tadi memegang teguh dengan prinsipnya yang datang dari jauh semata-mata untuk menuntut ilmu.

Dengan prinsipnya itu, apa-apa keadaan yang berlaku pun dia tetap tidak berubah.
kita juga dapat lihat bagaimana dia memegang prinsipnya dengan mendahulukan perkara yang utama. Dia tetap mendahulukan menuntut ilmu daripada melihat gajah.

Dia melihat pada prioritinya, dia datang ke sana untuk melihat gajah atau menuntut ilmu, dan dia tanpa berfikir panjang, tetap berpegang pada prinsipnya, menimba ilmu.

Yahya mempunyai prinsip dan prioriti. Menuntut ilmu.
Bagaimana dengan kita?

4)Istiqamah dan konsistensi


“Air yang lembut dapat menembusi batu yang keras kerana konsisten”

Yahya Ibnu Yahya juga ada mengajar kita tentang istiqamah.

Bagaimana dia datang dari jauh dengan satu matlamat. Kemudian dia tidak peduli sedikit pun dengan apa-apa tarikan dan perkara lain yang di luar matlamatnya. Dia tetap teguh dan berterusan dengan prinsipnya walaupun telah lama bergelar penuntut ilmu di sana..

Istiqamah sangat penting dalam menjaga keikhlasan kita. Ya, ikhlas juga memerlukan istiqamah. Kita bukan mengikhlaskan diri hanya pada permulaan, sebagai contoh, apabila kita solat, adakah hanya pada awalnya kita ikhlaskan niat kerana Allah? Tidak, kita tetap dengan paksi keikhlasan tadi khusyu’, memandang tempat sujud, tidak memikirkan perkara lain, fokus, hingga solat kita habis.

Begitu juga saya dan saudara semua, kita perlu berpegang dengan prinsip kita, menumpu pada matlamat kita dan istiqamah dengan kedua-duanya dari mula hingga ke akhirnya...

Mari kita jadi seperti Yahya ibnu Yahya!

Peace... ^_^

 Gajah mampu meniru tuannya, memang aneh..

5 comments:

  1. nak kopi dan paste di blog. cerita gajah

    ReplyDelete
  2. Ya, silakan tuanku! Saya sgt berbesar hati..^_^
    Mohon tunjuk ajar!!

    ReplyDelete
  3. salam.. menarik cerita ini. bahasa yang siple dan padat.
    tapi layout kamu memang menarik. boleh saya tahu di mana kamu dapatkan?

    ReplyDelete
  4. Waalaikumsalam..

    hmm, sy hmpr lupa..
    boleh ustaz cuba cari di http://www.bloggerthemes.net/

    ReplyDelete
  5. ini antara post yang terbaik :) tahniah!~

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails