23 April 2010

Perkongsian: Hakikat Ilmu

Bismillah.

Mufti bumi ulama dan awliya', Sheikh Dr. Ali Jum'ah
 
"Ilmu merupakan penghubung kita kepada Allah, dengan ilmu, kita akan lebih mengenali Tuhan."
Fikir-fikirkan!

Kata-kata yang diucapkan oleh Mufti Mesir, Sheikh Dr. ‘Ali Jum’ah semalam, benar-benar ‘membuka mata’ saya..

Ianya bagai menghunus tepat ke dalam fuad ini, membasmi virus-virus tekanan,malas,putus asa dan sebagainya yang menjangkiti hati.

Ya, memang benar.

Ilmu yang pada hakikatnya merupakan penyambung dan wasilah untuk kita lebih mengenali Allah, kini sering dilupakan.

Tak kira apa sahaja bidang ilmu, bukan hanya agama sahaja. Dengan ilmu fizik kita lebih mengenal alam ini, dengan ilmu perubatan kita lebih mengenal telitinya Allah cipta makhluk, ada penyakit, ada pula penawarnya. Ilmu matematik, sejarah, geografi dan sebagainya..

Ramai para penimba ilmu kini mencari dan menuntut ilmu, bukan makin mendekatkan diri kepadaNya, bahkan makin menjauh, dan menjauh...

Ada yang menuntut ilmu untuk kemewahan masa depan dunia semata-mata, untuk mendapat kerja, untuk wang, jawatan, kuasa, nama, dan material duniawi yang lain.

Kita perlu sedar, perlu koreksi, bahawa hakikat ilmu itu sendiri adalah merupakan penghubung untuk kita lebih kenal akan Pencipta kita.

Maka, jika ilmu itu sendiri hakikatnya begitu, apatah lagi kita yang ingin mencari dan menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kita sendiri yang perlu menjadikan ilmu itu sebagai wasilah untuk lebih dekat kepada Allah, bukan orang lain mahupun ilmu itu sendiri. Jika tidak, ilmu itu akan menjadikan kita makin jauh dengan Tuhan.

Kita sendiri sangat perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari ‘penghubung’ ini, makin banyak kita cari, makin dekat dan makin kenal dengan Sang Pencipta kita. Lalu kita akan berusaha mencari, kaji dan dalami sebanyak mungkin,genggam dan gigit sekuatnya dengan ‘penghubung’ tadi, jangan lepaskan ia. Ianya indah!

Ianya seronok dan membuat kita ketagih!

Tak percaya?

Cubalah!

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah ada mengatakan bahawa kategori manusia dalam menuntut ilmu ada 3 macam:

1)Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan di akhirat dan hanya kerana Allah semata-mata.

2)Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan sebagai bantuan kehidupannya di dunia yang sementara, untuk mendapat kerja, wang, kuasa, pangkat dan sebagainya.

3)Orang yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga dengan ilmunya yang banyak, mendapat kemasyhuran, banyak murid dan pengikut, untuk mendapat banyak harta, dan pada masa yang sama merasakan dirinya mendapat martabat disisi Allah kerana menganggap dirinya bergelar ulama yang hebat. Orang ini telah ditipu syaitan.

Imam Al-Ghazali berkata lagi, bahawa orang ke-3 yang paling celaka dan rugi. Orang yang ke-2 juga rugi, kecuali jika sedar dan taubat. Beliau seterusnya menasihatkan kita:


“Maka wahai para pelajar sekalian, jadilah kalian di kalangan kategori pertama.”

Rasulullah Alaihissolatu wassalam ada bersabda:


“Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah hidayah dan manfaat kepadanya(untuk diamalkan dan menjadi lebih baik), tidak akan bertambah daripada Allah kecuali bertambah jauh dariNya”

Memang, tak dinafikan ilmu juga dapat menjauhkan kita daripada Tuhan. Ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat serta dimurkai Allah. Seperti ilmu tentang maksiat dan ilmu dalam membuat kejahatan. Juga segala ilmu yang tidak diaplikasikan dalam kehidupan dan yang tidak disebarkan.

Jangan pula disebabkan ilmu yang baik, kita menjadi semakin jauh dari Tuhan, itu salah kita. Kita perlu repair kembali, koreksi dari akar, baru lainnya. Betulkan niat. Sentiasa. Kemudian kita amalkan dan sebarkan.

Hanya ilmu yang bermanfaat dan diamalkan serta disebarkan sahaja yang membawa kejayaan. Kita jangan sekali menjadikan ilmu untuk menjauhkan kita daripada Allah.

Mungkin kerana kita alpa dan leka, kita merasakan ilmu yang kita pelajari kini, tidak berperanan mendekatkan diri kita kepada Allah, justeru, kita perlu bangkit dan buka mata kembali. Jangan biarkan ianya parah dan membiak.

Mengapa?

Kerana jika kita biarkan sahaja dengan kealpaan ini, virus-virus akan muncul. Ilmu yang hakikatnya sebagai anti-virus, malah kini menjadi sebaliknya. Sebagaimana yang pernah terjadi pada saya.

Malas, main-main, tidak bersungguh, tekanan, masalah, kesusahan, putus asa dan ragu-ragu dalam menuntut ilmu akan terbit. Lalu menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Benar.

Jika kita tidak sedar akan hakikat ilmu itu sendiri, kita tidak akan terasa nak ambil berat dalam mencari, menimba dan menuntut ilmu.

Kita akan bersikap sambil lewa dan malas-malas ketika menjadi seorang penuntut ilmu.

Sebaliknya,jika kita sedar, kita akan merasa nikmatnya menuntut ilmu. Lalu menjadikan kita lebih bersemangat dan bersungguh.

“Peduli apa aku, buat apa belajar lagi, aku kaya, tak payah belajar lagi pun aku boleh kerja apa, boleh hidup laa”

Ucapan ini akan terbit jika virus menular parah. Seseorang yang tidak sedar akan hakikat ilmu, tidak akan rasa nikmatnya menuntut ilmu. Mereka itu sangat rugi. Hidup tak akan bahagia.

Bahkan, kayanya seseorang bukan kerana hartanya, tapi kerana ilmunya. Sebab itu sesetengah para ulama dahulu hidup bahagia walaupun faqir miskin.

Mereka malah lebih bertambah-tambah cinta mereka kepada Allah, makin kenal Allah kerana ilmu.

Seterusnya, ilmu yang bermanfaat juga tidak akan terputus walaupun kita telah mati, sebagaimana kita maklum dalam hadis-hadis Nabi.

Ia akan berterusan, bertambah dan berganda, memberi pahala, syafaat dan kebaikan kepada kita.

Ilmu itu penghubung seorang hamba kepada Sang Pemiliknya. Makin banyak, makin dekat, makin kenal, makin cinta.

Jadi.

Saya sudah sedar sekarang. Saya akan cuba berusaha untuk bersungguh-sungguh menikmati ‘penghubung’ ini. Tiada yang lebih indah daripada mencintai dan merindui Rabbul ‘Izzati.

Ayuh kita sama-sama tuntut ilmu, cintai ilmu. Sungguh-sungguh.

Itu bukti kita cinta pada Allah.

Sebab itu Rasulullah ada bersabda bahawa menuntut ilmu itu wajib kepada setiap Muslim.

Ya, untuk kita menambah iman kita, menambah amal kita, menambah takut kita pada murkaNya dan azabNya.

Hanya ada pada pencinta lazuardi ilmu yang bersungguh-sungguh..

Mari!!!


Nota: Semalam, ketika saya ingin ke kelas talaqi Sahih Bukhari, Sheikh Mustafa tidak dapat hadhir kerana sakit. Jadi, saya terus ke Masjid Al-Azhar yang mana berhampiran dengan kelas talaqi tersebut.

Kebetulan, Mufti Mesir Al-Allamah Sheikh Dr. ‘Ali Jum’ah sedang berceramah di situ. Saya berasa sangat beruntung, lantas duduk menyertai majlis ilmu tersebut.

Sebagai Mufti, beliau sangat jarang mengadakan majlis ilmu kerana kesibukan yang menghimpit. Sangat beruntunglah sesiapa yang sempat menghadiri salah satu daripada majlis ilmu beliau dalam mengutip mutiara-mutiara kata dan ilmunya yang sangat bermanfaat kepada sesiapa.

Sebenarnya, saya sangat ingin berkongsi banyak perkara dengan para sahabat. Tetapi, oleh kerana final exam saya untuk tahun ini akan bermula seminggu lagi, jadi, waktu saya makin sempit.

Sebab itu, saya hanya mampu kongsikan satu perkara ini sahaja yang sempat saya ambil ketika berada di majlis ilmu beliau.

2 comments:

  1. salam,
    syukran jiddan ya akhi atas sebaran ilmunya..
    Sangat bermakna..

    Ana ada juga kawan maya, bila lama tak pergi kuliah, terasa rindu.

    ReplyDelete
  2. Ya, kaya harta jika tidak kaya ilmu apa gunanya... Maka, kita sama-sama koreksi diri. Saya tidak kenal Prof Sheikh Yusuf Dajwi tapi saya suka akan kata-katanya, "Jiwa ialah seperti jasad yang memerlukan riadhah dan senaman. Riadhah jiwa ialah membaca bahan bacaan yang berfaedah" :)

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails