21 July 2015

Intelektualisme, Turath Islam, Dan Kedalaman Bahasa Arab

Bismillah..

Dalam usaha menjadi seorang intelek, Think Tanks seperti para ilmuwan Islam zaman dahulu seperti al-Imam as-Syafi'ie, Imam Abul Hasan al-Asy'ari, Sibawaih, Ibnu Sina, al-Ghazali, Fakhruddin ar-Razi, at-Taftazani, al-Attar r.a dan lain-lain, haruslah untuk kita mengakses khazanah turath-turath Islam untuk meneliti ilmu-ilmu mereka, akal pemikiran mereka dan mengkaji cara mereka berfikir. 





Seorang yang bijak nan kuat membaca(bibliophile) sekalipun sekiranya hanya membaca karya-karya para pemikir moden semata-mata dan tidak mendalami turath Islam yang mengandungi buah fikiran dan pemikiran sarjana agung islam, bagi saya masih agak sukar untuk menjadi ilmuwan pemikir rabbani seperti mereka yang telah membina tamadun Islam yang megah itu. Bahkan golongan orientalis bersungguh-sungguh mempelajari turath-turath kita untuk mengembangkan pemikiran dan memajukan negara mereka. Kerana mereka sedar, kitab-kitab klasik Islam ini bukan sahaja merangkumi kunci, rahsia dan khazanah ketamadunan agung Islam dahulu, bahkan dapat mempertajam akal kita untuk menjadi seorang intelek yang produktif, generatif dan membangun.

Jika kita meneliti golongan yang berideologi liberalisme, ekstremisme dan yang gopoh dalam mengkritik dan menghukum turath, kita akan dapati pemikiran mereka sangat 'sathiy سَطْحِي'(dangkal/cetek) dalam semua perkara terutamanya dalam memahami permasalahan ilmu di dalam turath. Ya, mungkin mereka turut membaca turath, tetapi mereka tidak memahaminya dengan benar bahkan tatkala mengaplikasikannya pada realiti semasa, mereka tersadung. 


Mengapakah itu berlaku?

Kerana mereka masih belum cukup alat untuk memahaminya dengan mendalam.

Mereka tidak mempunyai ilmu lughah.(di sana masih banyak ilmu-ilmu alat lain seperti mantiq dan usul fiqh)

Belajar bahasa arab komunikasi semata-mata tidak menjadikan seseorang itu alim, nahwi(ahli nahu) dan lughawi(ahli lughah) yang berkebolehan untuk mempelajari turath secara mendalam, begitu juga keluaran-keluaran pusat-pusat bahasa arab dan lain-lain. Untuk mengakses turath-turath agung Islam, tidak cukup dengan menghafal kamus Arab-Melayu dan mempelajari kaedah-kaedah nahu sahaja, lagi-lagi untuk membaca hawasyi(syarahan kepada syarah/super komentar bagi matan) kitab turath, kerana di sana ada banyak lagi cabang ilmu-ilmu lughah seperti sorof, balaghah, usul nahu, usul lughah, fiqh lughah, ilmu wadh'(الوضع) untuk dipelajari. Sebab itu peranan guru sangat penting dalam mempelajari turath-turath Islam.

Kata al-Imam as-Syafiie r.a:

أَصْحَابُ الْعَرَبِيَّةِ جِنُّ الإِنْسِ ، يُبْصِرُونَ مَا لا يُبْصِرُ غَيْرُهُمْ

"Ahli bahasa Arab ibarat jin dikalangan manusia, mereka dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh orang lain."(Ibn Abi Hatim ar-Razi - Adab as-Syafiie Wa Manaqibuh)

Ya, orang yang mendalami ilmu lughah dapat memahami lebih dalam dan mengetahui rahsia-rahsia ilmu yang pelbagai kerana ia merupakan kunci bagi segala ilmu Islam.

Sekiranya benar-benar ingin menjadi seorang pakar dan alim dalam apa-apa bidang ilmu sekali pun, contohnya dalam ilmu Kalam(Teologi Islam), haruslah menjadi seorang alim dalam ilmu lughah kerana ia merupakan kunci bagi segala ilmu, alim dalam erti kata tidak muqallid(bertaqlid/tak tahu dalil dan sebab) dan sathiy(dangkal/tidak mendalam).

Para ulama mutakallimin(pakar ilmu kalam) al-muhaqqiqin seperti al-Baqillani, ar-Razi, al-Iji, at-Taftazani, al-Jurjani, al-Attar r.a dan lain-lain, mereka sangat pakar dalam ilmu lughah, banyak karya-karya mereka adalah merupakan syarah atau hasyiah bagi ilmu-ilmu lughah, terutamanya at-Taftazani. Jika kita teliti kitab-kitab hawasyi(plural bagi hasyiah) yang dikarang beliau, kita akan dapati ianya penuh dengan daqaiq lughawiyah(perbahasan lughah yang sangat dalam). Oleh kerana itu Sa'duddin at-Taftazni digelar al-Muhaqqiq dan al-Mudaqqiq.

Bahkan ada 5 level kedalaman ilmu bahasa di dalam turath bak kata Syaikhul Islam Burhanuddin al-Bajuri r.a:

1)at-Tahqiq
2)at-Tadqiq
3)at-Tarqiq
4)at-Tazwiq
5)at-Tanmiq (Mungkin diterangkan pada penulisan yang lain)


Dalam ilmu nahu contohnya, bagi saya, paling kurang perlu untuk kita faham 'ilal-'ilal nahwiyah ataupun ilmu Usul Nahu agar kita faham lebih mendalam lafaz, makna, i'rab berserta dalil dan sebabnya. Ilmu Nahu dan Usul Nahu ibarat antara ilmu Usul Fiqh dan Fiqh. Kedua-duanya harus seimbang. Contohnya, kata kerja 'Kataba'(menulis) yang i'rabnya 'mabni alal fath'(kekal terbina baris hujungnya dengan fathah), mengapa ia berubah menjadi 'mabni ala as-sukun'(kekal terbina baris hujung dengan sukun) ketika bersambung dengan 'Ta Fa'il'(ta yang menunjukkan si pelaku) seperti 'Katabtu'? Sedangkan Fi'il Madhi(Past Tense) itu di dalam kaedah asal sentiasa kekal mabni ala as-sukun. Mengapa tidak kekalkan asalnya yang berbaris fathah di atas huruf ba, yakni 'Katabatu' sahaja? Kata ulama, ianya kerana untuk mengelakkan 'at-thiqol الثقل'(kesukaran untuk menyebutnya), kerana orang Arab tidak suka menyebut suatu perkataan yang mempunyai 4 baris berturut-turut tanpa sukun, justeru, ba disukunkan menjadi 'katabtu'. Ya, berdasarkan kefahaman dan pengetahuan akan sebab-sebab bagi perubahan ini, para ulama nahu memperincikan cara i'rabnya.

Bagi yang mempelajari ilmu nahu, ini contoh i'rab yang diajarkan guru kami di al-Azhar as-Syarif yang merangkumi dalil dan 'ilal nahwiyah; i'rabnya golongan muhaqqiqin :


كَتَبْتُ
أصله: كَتَبَتُ

إعراب غير محقق: فعل ماضي مبني على السكون لاتصاله بتاء الفاعل

التدقيق في الإعراب: فعل ماضي مبني على الفتحة المقدرة على آخره منع من ظهورها اشتغال المحل بالسكون العارض لدفع كراهية توالي أربع متحركات في ما هو ككلمة واحدة

Untuk mempelajari lebih dalam bab ini('Ilal Nahwiyah/Usul Nahu), eloklah untuk kita mentelaah kitab 'al-Iqtirah Fi 'Ilmi Usul an-Nahw' karya al-Imam as-Suyuti yang merupakan ringkasan bagi kitab 'al-Khasais الخصائص' karya Ibnu Ginni, atau merujuk kitab al-Khasais(3 jilid) itu sendiri..

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam.

Nota:

1. Maaf sekiranya merasakan penulisan ini agak berat dan kurang sesuai untuk selain penuntut ilmu agama dan bahasa arab, al-faqir hanya ingin menggambarkan setitik daripada lautan ilmu turath, agar kita sedar, bahawa sebenarnya banyak lagi yang kita tidak tahu disamping menekankan untuk kita jangan menjadi seperti golongan yang sathiy pemikirannya.

2. Oleh kerana itu para ulama silam mengambil masa yang sangat panjang dalam menuntut ilmu. Ada yang 20 tahun, 30 tahun, bahkan ada yang 40 tahun! belajar selama 4 tahun sahaja tidak cukup untuk bergelar seorang 'alim yang berautoriti, kerana terdapat pelbagai disiplin ilmu lagi yang harus dikuasai dengan mendalam.

3. Ini hanyalah pandangan peribadi al-faqir dalam usaha mendalami lautan ilmu turath dan membina kembali tamadun Islam, kerana di sana ada juga yang berpendapat cukup untuk sekadar belajar ilmu nahu seperti di dalam al-Kawakib ad-Durriyyah contohnya, dan tak perlu terlalu mendalami ilmu ini sekiranya tidak menceburi bidang lughah. 

No comments:

Post a Comment

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails