25 February 2011

Pemuda 160 Tahun

Bismillah..

Tetiba terngiang-ngiang tentang pengajian dan talaqi-talaqi di Masjid Al-Azhar.. Dah hampir tiga minggu terpaku di bumi melayu ini menjenguk-jenguk kerinduan pada bumi 'Seribu Menara', digelar lantaran terlalu banyaknya menara-menara azan. Entah bila daku akan ke gudang ilmu itu kembali... Ya Rabb..

Pernah suatu hari ketika mengikut pengajian rutin di Masjid Al-Azhar yang percuma kepada siapa saja yang gila ilmu, Sheikh Ahmad Al-Hajeen, seorang pakar bidang Fiqh As-syafi'ie ketika itu sedang mengajar kitab agung mazhab Al-syafi'ie: Al-Iqna', karya Imam Al-khatib Al-syirbini, syarah kepada matan Al-ghayah wa At-taqreeb karya Al-Qadhi Abi syuja' (Ahmad bin Husain bin Ahmad Al-Ashbahani)...


Sebelum kelas bermula, Sheikh menceritakan sedikit tentang kisah menarik Imam Al-Allamah Abi Syuja'..

Al-Allamah Al-Qadhi Abi Syuja' adalah seorang yang dipanjangkan umurnya oleh Allah Ta'ala sehingga lebih dari 160 tahun, namun demikian tak satu anggota badan dan pancaindera pun yang terganggu ditelan zaman. Giginya masih kuat dan putih tersusun rapi. Matanya masih kekal celik tanpa berkaca mata seperti saya...

Ketika ditanya tentang nikmat dan kurnia Allah itu kepada beliau, Al-Qadhi Abi Syuja' hanya menjawab ringkas:

"Aku menjaga anggotaku (dari maksiat) sewaktu muda, maka Allah menjaganya di waktu aku tua"

Lantaran itu, selaku insan yang masih muda, ayuh kita jaga diri kita, anggota kita, pancaindera kita yang dipinjamkan Allah ini dari segala noda dan maksiat agar Allah sentiasa menjaga kita terutamanya di waktu tua berkedut kelak..

Benarlah sabda Baginda Rasulullah ketika menasihati Abdullah Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma:

"Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.

Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."

(HR Al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih)

Sambung Bacaan>>>

15 February 2011

Semarakkan Hari Kekasih Kita

Bismillah..
Sollu 'Alannabiy Sollallahu'alahi wa alihi wasallam.
Bait Sya'ir Al-Utbi di tingkap bilik Nabi. Diterjemahkan oleh Sheikhi Ustaz Taha Hassan..Jazakumullah.

".قال الله تعالى:" لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رءوف رحيم

Allah Ta'ala berfirman: "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." (At-Taubah:128)


قال الرسول عليه الصلاة والسلام:"من أحيا سنتي فقد أحبني ومن أحبني كان معي في الجنة" رواه الترمذي والطبراني في
الأوسط، واللالكائي في شرح أصول الاعتقاد، ورواه العقيلي في المسند الضعيف، ونسبه السيوطي في الجامع الصغير للسجزي، ولا يخلو سند من أسانيده من كلام


Rasulullah Alaihissolatu wassalam bersabda: 'Barang siapa yang menghidupkan sunnahku maka sungguh ia telah mencintaiku dan barang siapa yang mencintaiku, ia bersamaku di syurga'  (HR At-tirmizi)

Ya, kita tahu bukan..maqam makhluk paling mulia di syurga? Rasulullah di syurga yang tertinggi. Siapa yang tak mahu bersama baginda di tempat tertinggi di syurga..

Seorang sahabat pernah meluahkan kesedihan kerana berasa tidak layak untuk berada di sisi Baginda di maqam tertinggi di syurga, lalu Baginda menenangkan sahabat tadi dengan hadis di atas.. Nampak seperti mudah, tapi untuk melaksanakannya payah. Jadi sama-samalah kita usaha menghidupkan sunnah untuk berada bersama Nabi di syurga nanti..

Aksara agung 'Muhammad' di sekitar bulan hampir purnama menyemarakkan langit dunia pada 2007

Ada beberapa sahabat saya yang bertanya tentang hukum menyambut Maulidurrasul ini, maka saya dengan segala hormatnya mempersilakan sahabat-sahabat sekelian untuk baca kembali entri saya pada tahun lalu di:  http://azamhusni.blogspot.com/2010/02/menyambut-maulidirrasul-itu-salah.html

Jom berselawat banyak-banyak hari ini. Tunjukkan rasa cinta dan sayang kita sepenuh jiwa pada kekasih kita yang agung Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam.. ^_^

..أحبك يا حبيبنا ومولانا وشفيعنا محمد حبا جما.. اللهم صلي وسلم وبارك عليه

Sambung Bacaan>>>

14 February 2011

Diari: Sketsa Amukan Di Mesir (Part 2)

Bismillah..
~Peace~ credit to totallycoolpix.com

Sesampai di tanah tumpahnya darah, keadaan tidak mengizinkan untuk saya menulis dan meng'update' teratak ini.. Kekalutan yang berlaku memberi kesan yang mendalam nampaknya pada benak yang cetek ini. Atau ia hanya alasan bagi kemalasan yang melanda? hehe...entahlah.. Kebelakangan ni agak sibuk, aku perlu banyak bantu ibu dan bapaku.. Biasalah, sulung...

Apa-apa pun maaf atas keterlambatan ini.. Walaupun dah tersangat lambat, saya tetap ingin post juga. Saya tidak kisah jika tiada siapa yang ingin membacanya kerana dah 'expired' dan sebagainya.. Saya hanya menulis catatan kerdil ini kerana merasakan bahawa peristiwa 'Mesir bergolak' akan terus bersemadi di minda dan revolusi besar ini pasti terukir menjadi sejarah.. Pengalaman yang tidak akan saya lupakan.. =)

31 januari 2011

Seawal jam 4.00 pagi lagi saya perlu bersengkang mata bangkit dari tidur. Pagi buta ini tibanya giliran saya berkawal di ARMA ini. Bertemankan sebatang besi panjang, saya bersama 5 lagi teman yang lain berkawal di beberapa tempat di sekitar ARMA, ada yang berkawal di kamar CCTV, memerhati 16 kamera litar tertutup yang terpasang dan beberapa tempat yang lain. Kami perlu sentiasa berwaspada. Sejak kejadian pecah rumah di kawasan penempatan pelajar Malaysia di Hayyu Asyir, kami sentiasa meningkatkan kawalan sebelum berlaku apa-apa bak kata pepatah ‘Sediakan payung sebelum hujan’..

Perintah berkurung bertambah panjang tempohnya. Hari ini ianya berkuatkuasa daripada jam 3.00 pm hingga 8.00 am..

Oleh kerana bekalan makanan makin berkurang, saya keluar sebentar pada pagi ini mencari bekalan... Seperti yang dijangka, harga makanan bertambah mahal, tambahan pula, tidak banyak kedai yang buka.. Agak payah untuk mencari makanan.

Rusuhan makin gawat. Demonstrasi juga berlaku di luar negara yang melibatkan rakyat Mesir sendiri di sana yang disertai juga warga selain Mesir. Antaranya di New York, Syiria, California, Spain dan lain-lain..


Operasi menangkap banduan berjalan lancar, ramai banduan berjaya ditangkap kembali dengan bantuan rakyat setempat..

Hosni mubarak masih berdegil, pelbagai kata-kata manis dikeluarkannya konon ingin mengubah perlembagaan, perundangan dan sebagainya..

Matawang Mesir jatuh merudum. Ekonomi merosot, tidak stabil. Waktu sebegini ramai yang ambil wang di bank. Ada sahabat saya ambil 500 pound Mesir bersamaan lebih kurang 100 ringgit lebih.. wah!

1 Febuari 2011



Huru-hara dan kekacauan dah masuk hari yang ke 8.. Kereta kebal berlegar di mana-mana. Jalanan makin banyak ditutup..

Mesir kian bergolak. Hari ini hampir 30 ribu rakyat demonstrasi di kota Tahrir... Syukur kawasan ARMA ini aman seperti biasa..

Keadaan makin bahaya. Tembakan senapang sengaja dilepaskan membuat kacau. Ramai anti-Mubarak berarak ke istana presiden. Keadaan kritikal dan parah.. Ramai sahabat saya yang telah menempah tiket pulang ke Malaysia.

Seorang sahabat saya, Amer Ezzat dari Malaysia call. Terharunya rasa.. Syukran Amer..

Alhamdulillah, berita tentang kami akhirnya menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Internet masih terputus. Sudah lama tertanya-tanya adakah keluarga di Malaysia tahu tentang keadaan saya di mesir.. Dengarnya kerajaan juga mula mengambil berat dan memainkan peranan dengan melancarkan Operasi Piramid, memberi bantuan dan memindahkan warga malaysia di mesir ke Jeddah.. Beberapa pesawat TUDM akan dihantar. Syukur..

2 Febuari 2011

Dini ini aku sangat lapar, semalam hanya sekali aku makan.

Seluruh mesir dikatakan hampir 2 juta membuat demonstrasi..makin gawat

Penerbangan pertama bermula. Kerajaan telah mula memindahkan warga Malaysia yang berada di Mesir ke Jeddah melalui kapal terbang TUDM secara berperingkat-peringkat. Warga kurang upaya, keluarga dan kaum wanita didahulukan. Pada mulanya kerajaan mesir tidak memberi keizinan mendarat, namun Alhamdulillah malam tadi diumumkan kesampaian kapal terbang TUDM di Mesir setelah 16 jam menuggu..

Setiap seorang yang setuju untuk dipindahkan harus mengisi borang maklumat peribadi..

Pelajar yang datang ke Malaysian Hall ini pula makin ramai, terutamanya kaum hawa.. Ianya kerana tempat inilah yang bagi saya paling selamat untuk didiami.

Hari ini, saya mendapat khabar angin bahawa banduan yang terlepas sengaja dilepaskan kerajaan untuk membuat kacau bilau dan menimbulkan provokasi terhadap anti-kerajaan... Saya rasa perkara ini tidak mustahil berlaku kerana bagi saya, 6000 banduan yang terlepas bukan satu perkara yang mudah untuk berlaku kecuali jika ada pihak yang sengaja melepaskan mereka.. Lagi-lagi pada waktu krisis begini.

Huru-hara masih genting. Hari ini sedikit peperangan berlaku antara pro-mubarak dan anti-kerajaan. Ada yang sampai tembak menembak yang mana merupakan antara punca mangsa kematian kian meningkat..

Hari ini juga para pelajar akan diberi nombor giliran untuk menaiki pesawat ke Jeddah.. Kami dikehendaki memberikan nama, nombor passport, status pengajian dan lain-lain kepada orang yang bertanggungjawab..

Pada malamnya senarai nombor-nombor giliran ditampal. Aku orang yang ke-592 untuk menaiki pesawat TUDM.. Ada lebih kurang 8 group bagi lelaki dan aku tidak pasti berapa group pula bagi perempuan, tapi mungkin perempuan lebih ramai.. Aku di dalam group ke-7..

Aduhhh, balik dah ke? Aku masih belum bersedia lagi ni...... Allahumma Sallimna..


Bersambung tidak lama lagi...=D


Sambung Bacaan>>>

03 February 2011

Diari: Sketsa Amukan Di Mesir (Part 1)

Bismillah..

Tidak banyak yang aku boleh kongsikan. Mungkin secebis yang terkoyak dari buku setebal kamus.. Aku bukan dalam mood menulis, keadaan huru-hara begini, minda penuh dengan gundah dan ngeri. Mungkin fobia yang bercambah juga akan tertancap di raga... Ya Rabb...

Terimalah perkongsian yang ada, taipan rangkaian abjad ini saja yang berjaya meloloskan diri dari benak yang serabut.. Coretan ini saja yang termampu.. =( Apa-apa pun, segala yang saya tulis adalah berdasarkan berita yang sampai kepada saya melalui sahabat dan televisi... Saya cuma berkongsi apa yang saya tahu. InsyaAllah benar...Tegur saja jika ada kesilapan..

28 januari 2011

Sedar. Mataku yang terkatup kubuka. Pagi sudah, Alhamdulillah. Aku masih lagi diberi kehidupan.

Semalam aku hampir tidak dapat lena setelah mendengar perintah berkurung diisytihar.

Sekelip mata saja keadaan sudah terbalik. Daripada aman menjadi hiruk-pikuk. Aku seperti tidak dapat percaya. Aku mencuba, dan aku masih sukar untuk percaya. Realitikah ini?
Semalam juga adalah kelas yang terakhir sebelum cuti semester bermula. Baru saja aku ingin merancang bagaimana aku menghabiskan cutiku kali ini apabila dunia tempat kuberinjak porak peranda.

Apa yang berlaku di Bumi Kinanah?

Internet sudah hampir seminggu diputuskan. Apa yang berlaku pada dunia? Aku perlu segera mendapat berita.

Terkesima dibuatnya apabila kubuka televisi channel Al-Arabiya. Aku cuba sedaya upaya menenangkan mindaku, memujuknya bahawa ini adalah mimpi ngeri yang separa realiti. Sukar untuk menelan keadaan yang berlaku...

Tentera? Kereta kebal? Kebakaran? Perusuh? Kematian? Darah?

Begini sekalikah jadinya? Memang aku sudah maklum, beberapa hari yang lalu, sebelum facebook disekat daripada diakses, saya mendapat puluhan mesej dari orang yang tidak dikenali...

Dan bermula pada 25 Januari, demonstrasi dan tunjuk perasaan daripada rakyat yang ingin protes dengan pemerintahan kuku besi di sini telah mula timbul. Rakyat turun membawa sepanduk seperti ‘Berambus Mubarak!’ Mereka sudah tidak tahan hidup sengsara selama 30 tahun di bawah pemerintahan zalim Hosni ‘La’ Mubarak (Hosni ‘tidak’ diberkati)....

Tapi, aku sangat tidak sangka keadaan akan menjadi sekritis ini..
Ya Allah selamatkanlah...........


29 januari 2011

Aku buka Handphone, terpapar ‘No network coverage’..
Huh?

Aku tanya orang lain. Semua sama. Internet dah dipotong, kini talian telefon bimbit pula disekat?
Huuuh, serabutnya....

Hari ini aku nak buat apa?
Kelas talaqi dan pengajian dibatalkan, jalan-jalan ditutup, kedai-kedai juga tidak terkecuali.

Ya Allah, kini baru aku sedar, betapa besarnya nikmat keamanan...betapa tidak bersyukurnya kita dengan keamanan yang Allah beri.. selama ini...

Keamanan di tangan Allah. Bila-bila saja Allah boleh merenggutnya. Mata hatiku seolah-olah baru celik dari terpejam lama.. antara nikmat Allah yang paling besar.. Keamanan..

Pagi itu aku buka lagi televisi yang sedia ada di bilik pantri tingkat 6 Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah yang lebih dikenali sebagai ARMA yang mungkin singkatan daripada Asrama Malaysia, tempat aku bermastautin di bumi Mesir ini..

Qaddarallah Ma sya’a fa’ala...
Macam-macam telah berlaku.. aku rasa tidak mungkin pula untuk kularik semuanya menjadi susunan huruf dan kata di sini.. Tapi aku tetap ingin berkongsi..

Apa yang berlaku hari ini pula?

Mungkin banyak perkara yang berlaku terlepas dari pengetahuanku..Yang aku tahu melalui televisi, demonstrasi makin rancak, perusuh anti-mubarak makin ramai dan ganas. Malah mereka telah merebak ke kota di Alexandria Mansurah dan Terusan Suez. Beberapa bangunan dan pejabat terbakar di kota Tahrir kaherah. Museum terletaknya mumia fir’aun juga dengarnya turut dibakar para perusuh.

Dan yang paling dahsyat sekali adalah tentang 6000 banduan terlepas, meloloskan diri...kini berkeliaran di sekeliling Mesir..



Dunia juga telah banyak bersuara, huru-hara di mesir kini menjadi buah mulut dunia.. Rumah Putih di Amerika tidak terkecuali bersuara. Clinton, Obama turut berucap. Israel juga menyibuk ingin masuk campur. Dah mula lah tu.... nak mula buat agenda baru lagikah?

Moga-moga Al-Azhar tidak termasuk dalam agenda mereka.. Al-Azhar perlu kekal teguh demi keharmonian umatislam...


30 Januari 2011

Bekalan makanan makin berkurangan.. Hari ini start beli indomee dan telur banyak-banyak..

Keluarga masih belum telefon, mereka masih belum tahukah??? Mungkin tak masuk.....hmm.

Hari ini agak kecoh sedikit. Ketika mendengar taklimat di dewan tadi, dengarnya lapangan terbang kota juga turut dikepung perusuh dengan alasan ‘tak nak bagi Presiden Mubarak lari’... agak pelik... Begitu sirius sekali mereka menentang..

Para penjenayah dan perompak pula mula memainkan peranan. Keadaan negara yang tidak stabil seolah-olah merupakan peluang keemasan yang terbentang luas.. Polis dan tentera yang disibukkan dengan para perusuh memberi ruang pada mereka bermaharajalela...
 Lelaki ini bukan mati, hanya tidur. Pelik, tengah huru-hara boleh tidur? haha..

Selain itu, berita tentang rompakan dan pecah rumah di kawasan penempatan pelajar Malaysia di Hayyu Asyir juga menggemparkan..

Warden Malaysian Hall memberi arahan kepada para penghuni untuk lebih berhati-hati dan membuat jadual giliran mengawal di DMAK..

Sheikh Azhar dan mufti mula bersuara, mereka menyarankan untuk kita banyak berdoa serta memuji para pemuda mesir yang membantu menjaga keamanan, megawal kawasan sekitar dari penjahat dan pengganas..

Hari ini, ramai banduan berjaya ditangkap kembali..Bunyi jet dan helikopter berlegar, tembakan dan ledakan kedengaran...Tetapi bukan peperangan yang tercetus, hanya sebagai ancaman kepada yang menentang kerajaan..

Al-jazeera diband sebentar hari ini.. saya buka channel lain katanya kerana Al-jazeera menyebarkan berita-berita palsu.. Wallahua’lam.. tapi saya lebih percaya Al-Jazeera daripada kebanyakan channel lain yang pro-kerajaan..

Rakyat dan para pemuda menjadi hero turut membantu menjaga keamanan sekitar.. menjaga trafik..menangkap banduan, menjaga keamanan dan menangkap orang yang melanggar undang2..

Sumber gambar: http://totallycoolpix.com/2011/01/the-egypt-protests/

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails