01 May 2011

Dari Oxford ke Gombak: Satu Catatan Ringkas 'Pencerahan' daripada Syeikh Dr. Afifi Al-Akiti

Bismillah walhamdulillah..

Sungguh mencerahkan dan bermanfaat. Saya sangat tertambat dengan sebuah artikel dan sangat teruja untuk berkongsi kepada para pembaca terutamanya para penimba ilmu yang berdisiplin. Coretan ini dinukil salah seorang yang hadhir dalam wacana Sheikh Dr. Afifi Al-Akiti pada 24 Disember 2010 di UIAM, Gombak..

Dicoret oleh: Sara Izutsu

Barangkali kita tak punya banyak cendekiawan muda yang ilmunya meluas, yang fasih dengan tradisi dan kontemporari, yang engage dan maklum akan timur dan barat, yang bicaranya di fahami generasi muda, yang susun atur katanya menyentuh hati kalangan dewasa, penampilannya berimej segar, gayanya memukau dalam bersahaja, dan syarahannya menyentuh nurani ke dasar rasa yang paling dalam.

Perjalanan intelektual Syeikh Afifi jika disoroti, menarik dan unik berbanding orang kebanyakan. Menyertai pengajian pondok/madrasah di Indonesia yang dengannya beliau berhasil menguasai bahasa Arab dengan baik, kemudian tanpa mengambil SPM sebaliknya menduduki A-level, membolehkan beliau terbang ke bumi Eropah menyambung pengajiannya, di Universiti Queen Belfast. Dan atas kecerdasan fikiran yang dikurniakan Allah kepadanya dan hasil usahanya yang sungguh-sungguh, beliau meneruskan pengajian di Oxford (sarjana dan doktor falsafah). Dan kini, sebagai anak Melayu pertama yang menjadi tenaga pengajar di Universiti Oxford.

Pengalaman mendengar syarahan/tazkirah/wacana darinya kira-kira hampir 2 jam di Shafie Conference Room malam Sabtu, 24 Disember yang lalu nyata masih tidak cukup buat para hadirin, yang masih dahagakan nasihat-nasihat berguna darinya. Detikan waktu umpama berhenti seketika, mulut terlopong mendengar penuh khusyuk sambil mata seakan tidak mahu berkedip mendengar ‘pencerahan’ dari Sang Guru. Dalam syarahan yang bertajuk “The Muslim Ummah & The Intellectual Challenge: Lesson from Islamic Tradition”, banyak isi penting yang sangat baik yang perlu diambil perhatian dan sama-sama dijadikan panduan bagi diri selaku pelajar, apatah lagi sebagai seorang Muslim dalam perjalanan menuntut ilmu di zaman yang serba mencabar ini.

Pertamanya, asas-asas penting dalam setiap disiplin ilmu-Mabadi’ al-‘Asyara (10 Pengenalan Asas)- yang memandu kita dalam menuntut mana-mana displin ilmu supaya pengajian kita akan lebih terarah. Katakan kita ambil ilmu usul fiqh sebagai mithalan. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilmu usul fiqh itu? Apakah ilmu-ilmu lain yang diperlukan dalam menguasai prinsip asas dalam ilmu usul fiqh dengan baik? Bagaimana pula dengan Maudu' (topik perbincangan), ghayah (matlamat), faedah, istimdad (tempat rujukan / punca terbit) ilmu usul fiqh tersebut?

Selain itu, beliau menegaskan masalah utama sistem pendidikan kita pada masa kini ialah ia melahirkan graduan yang blanket specialization. Katakan pelajar kejuruteraan sebagai mithalan, tiadalah yang diketahui olehnya selain apa yang terkandung dalam disiplin ilmunya semata. Displin ilmu lain seperti Falsafah, Sejarah, dan lain-lain termasuklah cabang-cabang dari ilmu kejuruteraan yang bersifat empirical itu seperti sains, biologi pun tiada diperhatikannya. Maka lahirlah manusia-manusia yang umpama katak di bawah tempurung, kerana disebabkan pengkhususan di universiti memberi kesan yang bukan sedikit- seakan ‘terhijab’ kita daripada cabang ilmu pengetahuan lain. Dan hal ini amat mendukacitakan kerana (i) tidak mampu kita mempertahankan tradisi ilmuwan Islam dahulu yang berjaya menguasai pelbagai cabang displin ilmu dengan baik (ii) memberi kesan kepada kehidupan harian manusia sejagat, kerana bukankah kehidupan kita merupakan satu bentuk inter-connection antara satu bahagian dengan bahagian lainnya?

Meskipun umat Islam dituntut untuk menimba ilmu seluas mana yang boleh, hendaklah juga diketahui bahawa tidak semua orang mampu melakukan setiap jenis perkara, walaupun ia sebenarnya bukanlah mustahil. Justeru, adalah penting untuk kita mengenal pasti our own strength and limitation. Ini kelihatan seperti bertentangan dengan apa yang disebutkan pada awal tadi. Yang dimaksudkan pada perenggan sebelum ini ialah, paling tidak bagi kita, untuk tidak terus-terusan menjadi mangsa ‘pengkhususan yang membelenggu’ itu, mempunyai idea-idea asas (kerana untuk mengetahui dan menguasai setiap satu cabang ilmu dengan terperinci dan mendalam adalah agak sukar) -yang membolehkan kita melihat big picture bagaimana sesebuah sistem berdiri, (hasil penggabung jalinan setiap cabang displin ilmu) -sehingga membentuk sebuah sistem yang sempurna. Dalam masa yang sama, kita harus sabar dan jangan gelojoh nak buat semua perkara, seakan-akan kita tahu semua benda. Be prioritize. Read widely. Read wisely!

Syeikh Afifi juga mengutarakan betapa pentingnya bijak pandai/ilmuwan untuk bukan saja mahir dalam berwacana, juga berupaya mempersembahkan idea mereka sesuai dengan kefahaman massa/ummah. Beliau memberi contoh perbezaan dua ilmuwan agung dalam tradisi ilmu Islam iaitu Ibnu Sina dan Ibnu al-Haytham. Public engagement di zaman moden kini sangat perlu dan mustahak.

Seterusnya beliau menghurai lanjut kepentingan tiga komponen iaitu memorization (penghafalan), comprehension (pemahaman), dan argumentation (jidal/perdebatan) dalam tradisi ilmu Islam. Beliau mengaitkan kepentingan penghafalan dengan kisah terkenal Imam al-Ghazali dengan penyamun. Dalam menerangkan signifikannya pemahaman dalam menguasai ilmu dan tidak bersandarkan kepada apa yang diingat sahaja, beliau sempat bertanya hadirin dalam suasana penuh santai, apakah kedudukan beliau sebagai pengajar di Oxford sekarang satu bentuk achievement kepada Malaysia atau brain drain? Hadirin menyambut dengan gelak tawa, kerana memang betul soalan sebegitu bukanlah boleh dijawab dari ingatan dalam minda sebaliknya ia memerlukan usaha seseorang untuk berfikir dan membuat penilaian. Begitu juga dengan seni berdebat/berhujah yang umat Islam sudah lama tinggalkan. Anda boleh lihat budaya ini mekar di Oxford. Namun begitu berhujahlah apabila kita empunya ilmu alat (bahasa terutamanya-bahasa Arab dan Inggeris) yang cukup dan ilmu kandung (logik, falsafah, sejarah, dan lain lain) yang betul.

Antara ciri utama ulama silam ialah sifat tawadhuk yang ada pada mereka. Seringkali kita temui dalam teks-teks nukilan mereka, apabila ‘alim ulama’ menulis pandangan mereka tentang isu-isu tertentu, digunakan lafaz “Ra’yi” (pandangan saya), bukan ‘Islam mengatakan….’ padahal mereka ini sememangnya ulama’ besar yang memang telah menguasai pun ilmu-ilmu agama dengan baik sekali. Persoalan adab dalam ilmu, di mana Syeikh Afifi menekankan penting bagi seseorang bukan saja memberi perhatian kepada potensi inteleknya bahkan aspek spiritualnya juga perlu dibangunkan, kerana kekuatan dalamanlah yang akan menghindarkannya dari sifat arrogant (sombong) dengan luasnya ilmu yang dipunyainya. Sekali lagi beliau membawa contoh kisah Imam Ghazali dengan anak didiknya, yang telah bertanya kepada Sang Gurunya, tentang apakah itu ilmu yang bermanfaat? Syeikh Afifi menjelaskan tanda kematangan seseorang ialah apabila dia tahu apa yang bermanfaat bagi dirinya sendiri kerana orang lain tidak akan tahu dengan lebih mendalam akan diri kita kecuali diri kita sendiri. Syeikh Afifi memetik sebuah hadis yang membawa maksud sebaik-baik keislaman seseorang adalah tarkuhu ma la ya’nih yakni meninggalkan apa yang tak berkenaan dengannya. Dan apabila menyentuh apakah itu ‘perkara yang tidak berkenaan’ Syeikh Afifi berkata ringkas ‘knowledge that does not benefit, ignorance of which does not harm’ (pengetahuan dengannya yang tidak membawa manfaat, yang kejahilan dengannya tidak membawa mudarat).

Beliau turut memberi pesanan, intellectual & spiritual preparation are something that does not need one to say it outloudly, something that you done it by yourself. (Masya Allah!) Sebelum mengakhiri syarahannya, beliau turut memberi ingatan bahawa kita ini sedang berada antara dua tahun baru (hijri-yang baru saja disambut beberapa minggu lepas dan tahun baru masihi-yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi). Bulan Muharram merupakan bulan untuk membentuk azam tahun baru selepas melepasi Dzulhijjah yang merupakan bulan pengorbanan. Untuk melaksanakan azam baru (yang selalunya diri kita tidak biasa dengannya) tidak akan berhasil tanpa pengorbanan dari empunya diri itu sendiri. Maka seharusnya kita bersedia untuk meninggalkan tabiat buruk demi melaksanakan tabiat baik. Kebaikan dan kebatilan tidak akan dapat berpadu.

Syeikh Afifi meruntun hati para hadirin malam itu saat beliau mengungkapkan doa-memohon agar kami semua dikurniakan hidayah oleh Yang Maha Memberi Petunjuk, dianugerahkan dengan hikmah dan kebijaksanaan, dituntun jalan agar kami diberi peluang untuk mengenali diri dan supaya dengannya diberi jalan mengenali Allah dan masya-Allah tiadalah mampu untuk dicoretkan apa yang dirasakan saat itu di sini…

Syeikh Afifi pada umurnya yang cukup muda, biarpun dengan segala apa yang Allah kurniakan kepadanya, kecerdasan akal, kejernihan sukma, kepetahan bersyarah, dan posisi yang dipegangnya kini, tetap merendah diri seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Memang benar, tidak rugi mengenali ‘alim ulama, melihat wajahnya sahaja sudah memberi kedamaian dan ketenangan. Tidak perlu mereka datang kepada kita dan menasihatkan kita atas kekhilafan yang kita lakukan, hanya melihat kepada tindak tanduk mereka sahaja sudah cukup untuk buat kita malu kepada diri sendiri.. 


Sumber: Rausyanfikir.com

MasyaAllah! Terkesima. Sangat teringin untuk hadhir dalam wacana beliau dan berjumpa dengannya. Pencerahan yang sangat bermanfaat. Percikan kesedaran menambah bara semangat menuntut ilmu setelah mengamati ini. Moga Allah beri kekuatan untuk kita jadi seperti Sheikh Dr. Afifi Al-Akiti.. Ameen.

Nota Tambahan: Idola saya kini bertambah seorang lagi ^^


1 comment:

  1. kalau akhi di Mesir, (yg banyak ulama') pun teringin hendak berjumpa Syeikh Dr. Afifi, apatah lagi ana.

    syukran ats perkongsian dan sebaran :)

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails