24 May 2011

Bersykurlah: Tiada Sebab Untuk Kita Mengeluh!

Bismillah

(T_T) Sayu: Setiap kali kuhayati video ini, sebak menyelubungi setiap sendi-sendi; menusuk sukma ini.


Terjemahan lirik:


Hari ini, tatkala menaiki sebuah bas
kulihat seorang gadis kecil berambut perang emas
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika wajahku seindah paras rupanya
tiba-tiba
kulihat dia bersusah-payah untuk turun dari bas itu
rupa-rupanya, gadis kecil itu hanya mempunyai sebelah kaki,
dan dia memakai tongkat
namun, sewaktu gadis kecil itu berjalan melaluiku
dia tersenyum bahagia
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang kaki
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Aku berhenti untuk membeli manisan
penjual manisan itu mempunyai wajah yang indah
aku berbual dengannya, dan dia kelihatan sangat bahagia
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika aku tampan dan bahagia sepertinya
sewaktu aku mahu meninggalkan kedainya, seraya dia berkata kepadaku --
“Terima kasih, Tuan seorang yang berhati mulia”
“Untuk pengetahuan Tuan,” katanya. “Saya cacat penglihatan”
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang mata
Dunia adalah milikku(betapa bertuahnya diriku)

Kulihat seorang anak kecil bermata biru
dia duduk sendirian -- melihat rakan-rakannya bermain
dia tak tahu apa yang perlu dilakukannya
aku pun berhenti sejenak, dan bertanya,
“Kenapa tak bermain bersama teman-temanmu?”
dia merenung kosong, tanpa mengungkap sebarang kata
dan kemudian baharulah kutahu -- dia tak mampu mendengar
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang telinga
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Dengan kaki untuk membawa ke mana kuingin pergi
dengan mata untuk melihat cahaya mentari senja
dengan telinga untuk mendengar apa yang aku ingin ketahui
Oh TUHAN, ampunkanlah maafkan hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
sungguh, hidupku dirahmati
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)..

Firman ALLAH:


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak
mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan
hati, agar kamu bersyukur." (QS. An-Nahl:78)

Dalam soal jawab Iblis dengan ALLAH, Iblis berkata,


"Kemudian, sungguh aku datang(memperdayakan) mereka dari hadapan mereka, belakang, kanan
dan kiri mereka. Dan TIDAKLAH Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan
daripada mereka bersyukur." (QS. al-A'raaf: 17).



Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur?

Menurut Imam al-Junaid,


"Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan
maksiat kepada-Nya."

Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepadaNya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan dan bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

Syukur dengan lidah: Iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah:


"Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan
kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11)

Syukur dengan anggota badan: Iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah.

Syukur dengan hati: Iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firmanNya bermaksud:

"Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS.
an-Nahl: 53)

Ibnu Atha'illah Assakandari pula berkata:

"Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."

Begitu juga seperti mana yang kita tahu, bagaimana Rasulullah memberi tauladan pada kita, cara untuk kita bersyukur ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad menjawab,

"Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada Allah."

Marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri, bahkan dengan nikmat Islam, Iman dan bolehnya kita bernafas pun sudah memadai untuk kita rasa tiada sebab langsung untuk kita mengeluh.. Alhamdulillah..

Bagi sesiapa yang acap kali mengeluh, baca juga Ayat-ayat cinta Allah di post 'Jangan Mengeluh' untuk lebih menenangkan jiwa kita. Sama-sama kita renungkan. =)

3 comments:

  1. Jarang2 update, sekali update mantap saja..

    "Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur pada hamba Allah?" :)

    ReplyDelete
  2. Artikel yang sangat berkesan... ana pula kehilngan momentum menulis...

    ReplyDelete
  3. Ariffah9: huhu ^^ belum masanya nak rajin update, bekalan kurang.. Sekarang biar fokus nak hafiz dulu, mgkn tahun dpn lebih aktif..Segala syukur hanya pada Allah, segala kebaikan dlm penulisan atau diri saya adalah dari Allah.. =)

    Asiah Yusro: Syukran, sama-sama kita ambil manfaat. Sebenarnya penulisan ini dihunus kpd saya pertamanya sbg penulis, krn ianya akan menjadi hujjah di ahirat kelak. Saya tulis dan ajak tapi tak laksanakan? Sama-sama kita muhasabah dan bersyukur dgn apa yg ada.. =-)

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails