21 April 2011

Diari: Sketsa Amukan Di Mesir (Akhir)

Bismillah walhamdulillah..


Video sekilas tentang revolusi hebat yang terpahat dalam sejarah. Revolusi 25 Januari Bumi Kinanah, dalam kenangan..


Maafkan kelemahan penulis. Hm, lama sungguh kita tidak bersua ya.. berkarat sudah blog ini.. Penulis kebelakangan ini ditimpa pelbagai kesulitan. Di samping ketidakstabilan iman, penulis juga agak sibuk dengan pengajian, persediaan untuk menghadapi imtihan tahun akhir di Maahad dan hafazan Al-Quran yang terumbang-ambing.. Saya juga diberitakan doktor bahawa diri ini dianugerahkan penyakit Sinusitis, Hyperacidity dan Low Blood Pressure. Doakan saya agar cepat sembuh. Syukur kerana masih boleh tersenyum. =-)

Demi menepati janji, saya akan nukilkan jua sambungan sketsa saya ketika revolusi di mesir beberapa bulan yg lalu agar tidak terbiar basi berkulat di gudang draft blog... =)


3 Febuari 2011

Argghhhhhhh...

Dah macam zaman Jepun.. Sampai bila nak jadi begini? Dah jadi parah macam ni Mubarok masih lagi membisu. Dahsyat sungguh kedegilan si Mubarok tu... Masa aku untuk mengikut pengajian di Masjid Al-Azhar habis terbuang oleh si keparat berkepala keras itu...

Jam 11 malam, 5 orang pelajar datang menumpang ke bilik saya hari ini... Mereka adalah pelajar perubatan dari muhafazah (negeri) Zaqaziq.. Mereka dan beratus lagi datang untuk turut menyertai kami dalam Operasi Piramid ini. Seperti biasa kami saling berkenalan dan bertukar contact..
Saya kurang keluar dan mendapat berita hari ini. Saya lebih banyak kemas barang-barang di kamar dan menziarahi sahabat-sahabat..

Jam 12.00 am pengumuman kedengaran di speaker seluruh ARMA.. Ianya tentang nombor giliran yang akan berlepas pada besok pagi. Pelajar yang nombornya disebutkan perlu segera bersiap-siap. Belum disebutkan nomborku.....

Aku bingung, seawal inikah aku perlu pulang? Ergh... aku tidak ingin pulang sebenarnya.. Tahun ini merupakan tahun akhir aku di Maahad Al-Azhar ini, peperiksaan pada tahun inilah penentu untuk aku masuk ke Universiti tersohor Al-Azhar bulan Oktober ini.. Aku masih belum bersedia untuk pulang... Apa aku nak buat di sana?? Di sini pula, sama juga, malah lebih teruk.. Ya Allah!!

4 Febuari 2011

2.00 am. Aku masih tak dapat lena. Pengumuman kerap kali kedengaran di speaker. Bilik penuh, di luar hiruk-pikuk dengan bunyi pelajar bersiap-siap.. Argh, mungkin aku tidak tidur hari ini, biar sahabat-sahabat yang datang dari jauh ini saja yang tidur di tempatku.. Lagipun malam ini malam Jumaat..

Jam 3.00 pagi. Tiba-tiba kotak speaker memperdengarkan “Maaf, kepada semua penghuni tetap ARMA lelaki, sila bersiap-sedia untuk berlepas dan berkumpul di dewan makan dengan kadar segera!”
Aduh.. ini benar-benar mengejutkan.. Hari ini juga??? Awal-awal begini??
Masih dalam keadaan runsing, tekanan dan menjengkelkan, aku bingkas bersiap-siap, mengemas pakaian dan membersihkan diri..

Tidak banyak yang aku persiapkan untuk pulang. Kerajaan hanya benarkan kami membawa barang seberat 7 kilo. Tidak boleh lebih. Jika beg laptop dah 3 kilo, maka beg pakaianku hanya 4 kilo sahaja!

Sampai di bawah, dataran ARMA penuh dengan kaum hawa yang akan berangkat tidak lama lagi. Setelah memastikan nombor dan group masing-masing di papan pengumuman kami diarahkan untuk berkumpul di dewan makan.. Berjam-jam kami tunggu arahan seterusnya.

Subuh menjelang tiba, usai solat, kami diarahkan untuk tunggu lagi. Aku sudah tidak tahan lagi, aku perlu tidur merehatkan badan. Aku tumpang kamar seorang rakan untuk berehat seketika dan memintanya untuk mengejutkan saya jika ada apa-apa pengumuman..

Satu jam sebelum solat Jumaat, kami diarahkan untuk berkumpul di dataran mengikut kumpulan masing-masing. Setelah mendengar sedikit taklimat dan rangka perjalanan yang akan kami tempuh hari ini, kami bersiap-siap untuk solat Jumaat.

Bas tiba betul-betul sesampainya kami dari masjid..

Lebih kurang sejam kemudian kami sampai di Cairo International Airport. Beratus-ratus mahasiswa masih beratur menunggu di luar Airport.. Kami yang baru sampai turut menyertai mereka di belakang sekali. Agak hairan mengapa sampai perlu tunggu di luar..




Rupanya segala urusan untuk menaiki pesawat termasuk boarding bagi mahasiswa Malaysia yang mengikuti Operasi Pyramid ini dijalankan di luar lapangan terbang.. Malam itu, seusai isha', akhirnya tiba masanya untuk kami menaiki pesawat Tentera Udara Malaysia untuk berlepas ke Jeddah. Kami menaiki penerbangan ke-3 pesawat TUDM pada hari ini.



Tanpa nama: Boarding pass paling aneh pernah saya dapat. =)

Ya, pengalaman pertama menaiki pesawat perang. Rasa teruja.. ^^




Setelah memberi beg pakaian dan beg laptop kepada yang bertugas, dan dibalas pula dengan plastiik berisi makanan dan minuman oleh si petugas, aku agak lewat sampai ke dalam pesawat, tempat duduk di kanan dan kiri telah pun penuh, lalu saya disuruh untuk duduk di lantai.. Saya di barisan paling hadapan, diikuti oleh yang lain di belakang saya. Lantai kini penuh dan sesak. Kami disuruh berhimpit dan merapat-rapatkan lagi agar dapat memberi ruang pada yang masih berdiri dan tiada tempat untuk duduk.


Dalam keadaan yang sungguh tidak selesa dan sempit, akhirnya semua orang dapat tempat duduk dan pesawat bersedia untuk berlepas. Aku rasa kira-kira 200 pelajar berada dalam ruang pesawat ini. Mungkin lima kali ganda dari bilangan tempat duduk yang disediakan.

Di bahagian tengah pesawat: yang duduk di lantai terpaksa banyak bersabar..

Hampir satu jam aku terperosok di barisan paling hadapan orang yang duduk di lantai. Betul-betul di hadapanku adalah enjin si burung besi ini yang mengeluarkan haba. Aku keletihan, tetapi keadaan tidak mengizinkan aku untuk tidur. Tidak ramai yang dapat tidur dek kepanasan persekitaran, kesempitan ruang, kekurangan oksigen dan pergerekan pesawat tentera ini yang agak 'agresif' ke kiri dan ke kanan seperti mana biasanya keadaan pesawat perang yang lain apabila berada di ruang angkasa..

Aku merasakan jasadku sudah hampir menjadi belacan terhimpit-himpit. Wajahku pula mungkin agak gelap terkena bahang dan haba si enjin.. Ya Rabb, kepadaMu aku berserah. Selamatkanlah perjalanan ini. Lancarkanlah..

Sabar+Mujahadah: (Gelap ketika dalam perjalanan) Mungkin beberapa jam lagi kami akan menjadi 'nasi himpit'

Hampir 3 jam perjalanan, akhirnya Pesawat mendarat di Lapangan terbang Jeddah..

5 Febuari 2011

Ramai mahasiswa yang telah tiba beberapa jam yang lalu masih lagi di ruang menunggu.. Aku mendapati ada di kalangan pekerja berbangsa India yang bertugas membersihkan kawasan di situ ada menjual sim card nombor Saudi. Saya membelinya dengan wang Malaysia yang masih disimpan sejak awal kedatangan ke Mesir lagi. Tak sangka dia menerimanya. Saya sangat memerlukannya untuk memberi khabar kepada keluarga dan bertanya khabar..

Mungkin semua yang berkerja sebagai pembersih di Lapangan Terbang ini berbangsa India, kerana mereka saja yang saya nampak bertugas.. Tetapi pegawainya adalah di kalangan rakyat di sini..

Tidak lama kemudian, salah seorang petugas di Asrama tabung Haji di Jeddah menyambut para pelajar yang menyertai Operasi Piramid ini. Tetapi bukan rombongan penerbangan ke-3 yang baru sampai seperti kami. Petugas itu menyambut mereka yang telah lama menunggu sejak penerbangan pertama dan kedua sampai ke sini beberapa jam yang lalu..

Agak kecewa dan letih..

Berjam-jam kami menunggu di ruang ketibaan. Entah berapa kali rombongan berbangsa India dan Indonesia kelihatan tiba dan masuk ke negara ini. Seolah-olah Saudi 'mengimport' mereka. Kemungkinan besar mereka datang untuk berkerja. Tiada ciri-ciri yang menunjukkan mereka datang untuk berumrah atau belajar..

Setelah menunaikan solat subuh berjamaah di ruang yang agak lapang, kami kembali menunggu, dan menunggu.. Tiada siapa yang datang menyambut.

Pagi menyingsing, ada yang telah tertidur, ada yang berzikir, membaca Al-Quran, ada juga yang bermain laptop. Aku melelapkan mata seketika melayan kepenatan yang tak tertahan lagi.

Dua jam kemudian seorang pegawai datang mengumpul passport. Setelah itu kami diminta terus menunggu di ruang yang lain sehingga nama dipanggil..

Aku mengulang hafazan Al-Quran sementara menunggu nama dipanggil untuk meingisi masa kosong. Satu jam kemudian, akhirnya namaku dipanggil. Aku mendapat passport lalu membukanya sekilas. Kami mendapat visa khas. Emergency Visa. Hanya bertahan selama seminggu.

Aku lega. Aku benar-benar ingin berehat di tempat yang lebih selesa.

Kami lalu menaiki bas ke Asrama Tabung Haji 45 minit dari lapangan terbang.. Asrama tersebut asalnya adalah tempat jamaah haji Malaysia menetap ketika musim haji... Syukur akhirnya, kami selamat sampai. Alhamdulillah...

6-8 Febuari 2011

Kullulhamdulillah.

Allah bagi tempat yang selesa. Asrama Tabung Haji ini sungguh luas. Ada banyak blok, A, B, C, D,dan blok E. Saya di blok B. Setiap bangunan blok ada puluhan bilik dorm. Satu bilik dorm mempunyai lebih kurang 15 katil double-decker. Terkenang pula zaman sekolah berasrama penuh dahulu. Lebih tiga ribu kini menumpang di Asrama ini.

Yang menariknya ada kedai mamak di sini. Beberapa warga India mengambil peluang untuk berniaga di sini. Roti canai jugalah yang pertama aku order. Oh, lama sudah... ^^

Restoran mamak ini menyediakan televisi. Channel Al-Jazeera terus menyumbang berita. si Hosni masih belum turun. Tekanan makin hebat dari rakyat. Jumaat ini adalah tempoh terakhir yang diberi rakyat. Berjuta-juta berada di medan Tahrir kini.

Yemen, Syria, Morocco dan beberapa negara arab lain juga turut mula mengikut jejak langkah Tunisia dan Mesir. Peperangan kecil berlaku di Yemen.. Semoga Allah bantu dan selamatkan mereka.

Wifi yang disediakan lebih memudahkan kami untuk berhubung. Aku memanfaatkannya untuk memberi khabar kepada keluarga di Malaysia serta mengambil tahu berita-berita dunia.

Aku mendapat berita bahawa pencetus Revolusi 25 Januari ini adalah seorang pemuda Mesir yang berkerja di Google sebagai Marketing manager. Menurut berita, pemuda tersebut yang bernama Wael Ghonim yang mula menyebar mesej-mesej pembakar di laman sosial Facebook. Dia dilaporkan hilang pada 27 januari lalu dipercayai ditangkap dan dipenjara.. Aku mula mengagumi pemuda-pemuda mesir. mereka umpama pahlawan yang menyayangi generasi masa depan. Mereka sentiasa bersatu tidak kira agama. Mereka sentiasa jaga solat berjamaah. Sehingga ketika demonstrasi di Tahrir pun mereka tidak melupakan solat berjamaah...


Aku mula rasa seperti seorang yang ingin jatuh sakit. Ya Allah, berilah aku kekuatan.

Hari ketiga di sini, akhirnya masa untuk kami benar-benar pulang ke Malaysia tiba pada petang ini. Syukur, Anak Raja Arab Saudi menyumbang 2 Kapal Terbang Saudi Airlinesnya.. Operasi berjalan semakin lancar. Setiap hari ratusan dan ribuan lagi sampai ke asrama ini. Tempat makin padat hingga ada yang terpaksa tidur di surau...

Kullulhamdulillah. Setelah lebih kurang 10 jam mendiami burung besi besar Saudi Airlines yang terbang melintasi beberapa lautan dan benua, akhirnya aku menjejak ke KLIA..

Seperti yang dijangka, puluhan kamera dan wartawan serta-merta fokus kepada kami setibanya kami di ruang hadapan lapangan terbang.. Ada yang memberi air, makanan dan sebagainya.. Aku dengan rasa bahagia terus menunggu sambutan keluarga yang dirindui hadhir.

Syukur kepada Allah. Terima kasih juga kepada yang terlibat dalam Operasi Piramid ini. Semoga Allah balas jasa-jasa kalian....

Beberapa hari kemudian

Ya, benar-benar seperti yang dihadkan rakyat mesir tentang tempoh kedegilan Mubarak, pada Jumaat 12 Febuari 2011, Rakyat Mesir turun dan keluar beramai-ramai di Medan Tahrir. Setelah 3 kali Jumaat, tekanan demi tekanan menyebabkan Hosni Mubarak akhirnya turun jawatannya dengan penuh hina.. Allahuakbar!!

Dan yang mungkin kebetulan, tarikh 12 Febuari kejatuhan Mubarok ini adalah bertepatan dengan tarikh Imam As-syahid Hassan Al-Banna wafat iaitu pada 12 Febuari 1949. Subhanallah! Maha Perancang Allah..

Pahlawan Mesir, Wael Ghonim pula dilaporkan telah dibebaskan. http://www.huffingtonpost.com/2011/02/11/egypt-facebook-revolution-wael-ghonim_n_822078.html


Revolusi 25 Januari Mesir kini terpahat di dalam sejarah sebagai antara revolusi paling berjaya di dunia..http://en.wikipedia.org/wiki/2011_Egyptian_revolution

Saya sangat berharap kejatuhan rejim Mubarok yang zalim itu akan membuahkan masa depan yang cerah bagi umat Islam di seluruh dunia. Mari kita doakan agar Bumi Anbiya' Mesir ini tidak lagi jatuh di tangan musuh-musuh Allah. Semoga Mesir dipimpin oleh seorang pejuang yang berjiwa khalifah yang akan membangun kembali sistem khalifah di setiap negara Islam. Saya tak boleh bayang betapa gemilangnya Islam ketika itu yang mana apabila Mesir jatuh ditangan mujahid Islam, maka Palestin sudah tentu akan kembali bebas dan Zionis Israel pasti dihancurluluhkan.. Allahuakbar!!

Saya rasa musuh-musuh Allah pasti seperti cacing kepanasan dan tidak akan berdiam diri dengan apa yang berlaku. Apakah rancangan dan strategi mereka seterusnya?

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللهُ وَاللهُ خَيْرُ الْمَاكِرِيْنَ
“Orang-orang kafir itu merancang muslihat/ tipu daya dan Allah merancang muslihat (pula). Dan Allah sebaik-baik perancang muslihat.”{Al-Imran: 54}

"Dan mereka merancang muslihat dengan sungguh-sungguh dan Kami merancang muslihat (pula), sedang mereka tidak menyedari" {An-Naml: 50}

Mari kita sama-sama juga merafa'kan tangan kita ke kepada Allah mendoakan mereka-mereka yang masih berjuang menumbangkan kebatilan dan kefasadan serta menegakkan kebenaran agar Allah sentiasa bersama mereka dan merahmati mereka. Oh ya, kita juga sebenarnya harus termasuk di kalangan pejuang-pejuang Allah juga, jadi, doakan untuk semua juga lah. ^_^ Ameen..

Semoga kita terus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah ini dan pastikan kita terus berjuang dan berjuang menjulang kalimah Allah dalam apa keadaan dan perkara yang kita lakukan..

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." {QS Muhammad: 7} 




2 comments:

  1. best2.. pengalaman y best!

    saya tak sempat merasa

    ReplyDelete
  2. Subhanallah.

    Pengalaman yg tak tertanding.

    Dan, berjaya juga akhi merintangi cabaran :)

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails