06 October 2010

Sebaik-baik Pelancongan

Bismillah..

-Sempat tangkap: Pintu bilik pilot yang terbuka, bila giliran saya pula?

Terngiang-ngiang.

Sekembalinya saya di bumi Nabi Musa ini, rindu pada bumi Ashabul Kahfi terus menyergah.

Memang sukar dilupakan perantauan ke Jordan walaupun telah tiga minggu berlalu. Saya rasa seperti baru saja melalui sebuah pelancongan yang paling bermakna selama hampir dua bulan.

Bagaimanapun ini bukan pelencongan ataupun pelancongan biasa-biasa untuk rehat-rehat membuang masa, tetapi dalam mengaplikasikan pelancongan para sahabat yang dikatakan Nabi di dalam hadis berikut:

Dari Abu Umamah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, berikanlah izin kepada saya untuk melancong ke negeri orang lain,”

Nabi Sallallahualaihiwasallam lalu bersabda: "Sesungguhnya cara pelancongan untuk umatku ialah berjihad di jalan Allah 'Azzawajalla." (HR Imam Abu Dawud dengan isnad yang baik)

1. Pelancongan perlu ada tujuan Jihad

Di dalam kitab Nuzhatul Muttaqin, syarah Riadhus Solihin, para ulama menghuraikan hadis ini bahawa:
Kita tidak boleh merantau ke negeri orang lain ataupun bermusafir tanpa tujuan yang betul serta tanpa berjihad di jalan Allah. Jihad berbentuk pelancongan ke negeri orang lain boleh dilakukan sama ada jihad melawan hawa hafsu, menginfakkan harta di jalan Allah, menuntut ilmu atau berdakwah di jalan Allah kerana sesungguhnya perkara tersebut merupakan jihad dan menjulang kalimah Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69)

Oleh itu, baru-baru ini saya cuba mengamalkan hadis dan ayat ini sewaktu ke Jordan, di sana saya i'tikaf untuk islah diri dan belajar cara berdakwah untuk ummah ini dalam melamar redha Ilahi.

Saya rasa kisah saya di Jordan sangat panjang untuk dicoretkan di sini. Entah bila nak post. Moga Allah bagi masa lapang..

2. Jihad itu luas

Justeru kita perlu faham, jihad ini sebenarnya luas, tidak terkunci dengan perang dan senjata sahaja. Selagi mana kita ada usaha dan berjuang demi agama dalam mencari keredhaan Allah, itulah jihad.

Berikut saya nyatakan antara hadis Nabi yang menunjukkan jihad bukan hanya dengan senjata:

1) Rasulullah pernah bersabda ketika pulang daripada sebuah peperangan, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi rahimahullah, dengan sanad dari Jabir ra, katanya:

"Nabi Sallallahualaihiwasallam ketika kembali dari suatu peperangan berkata:

"Kamu sekalian telah kembali kepada sebaik-baik tempat kembali, dan kamu telah kembali dari jihad asghar (jihad yang lebih kecil) menuju kepada jihad akbar (jihad yang lebih besar).”

Para sahabat bertanya: "Apakah jihad akbar itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Jihadnya seseorang melawan nafsunya." (Tarikh al-Baghdadi, 13/493)

2) Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Barangsiapa keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan)

Penutup: Melancong itu digalakkan

Melancong, merantau atau bermusafir ke tempat yang baik tidak salah, malah ianya digalakkan selagi tiada tujuan maksiat, tetapi jangan jadikan ianya sia-sia.

Sebab itu, adalah lebih baik jika kita menjadikan pelancongan kita diredhai Allah kerana itulah sebaik-baik pelancongan dan moga dengan tujuan dan niat yang betul, pelancongan kita juga akan menjadi ibadah yang mendapat pahala di sisi Allah.

Akhir kata, jadikanlah setiap pelancongan kita sebaik-baik pelancongan seperti mana yang dianjurkan Nabi dan saya yakin anda pasti sukar melupakan setiap pelancongan anda...

Imam As-syafi’ie Rahimahullah ada menukil sebuah syair tentang galakan untuk kita merantau:

ما فى المقام لذى عقل وذى ادب              من راحة فدع الأوطان واغترب
سافر تجد عوضا عمن تفارقه          وانصب فان لذيذ العيش فى النصب
انى رأيت وقوف الماء يفسده           ان ساح طاب وان لم يجر لم يطب
والأسد لولا فراق الأرض ما افترست            والسهم لولا فراق القوس لم يصب

Tiadalah ketenangan di tempat kediaman bagi orang yang cerdik dan berpekerti. Maka tinggalkanlah tanah air dan merantaulah..

Bermusafirlah, kamu akan peroleh pengganti bagi sesiapa yang kamu berpisah. Bersungguh-sungguhlah kerana kemanisan hidup itu ada pada kesungguhan..

Sungguh kulihat air yang bertakung itu mengeruhkan. Sekiranya ia mengalir, ia menjadi jernih. Sekiranya tidak mengalir ia menjadi keruh..

Sang Singa jika tidak meninggalkan tempatnya, ia tidak akan dapat membaham mangsa. Dan anak panah pula jika tidak meninggalkan busurnya, ia tidak akan mengenai sasaran..

1 comment:

  1. Sangat menarik hati - Syair Imam As-syafi’ie Rahimahullah ..

    btul juga, slama ini dh trlupa dgn hadith Nabi yg ni.

    p/s: smpat lagi take pic kabin pilot.

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails