10 November 2012

Peranan Sistem Talaqi Dalam Memelihara Kemurnian Ilmu: Muqaddimah

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala rosulillah صلى الله عليه وسلم.

Halaqah Talaqi ilmu agama di Masjid Al-Azhar As-Syarif pada tahun 1941 dihadhiri  anak-anak kecil. Tetapi di zaman ini, pemandangan ini sudah pudar, yang kita lihat kini adalah pelajar-pelajar yang sudah berjanggut bahkan ada yang beruban! Kesedaran bertalaqi di zaman ini sangat lewat dan berkurang.

Dewasa ini, kita lihat kejahilan makin kronik membengkak di persada umat. Ada yang rasa dirinya jahil tetapi malas nak mengubah kejahilannya, itu dinamakan jahil basith(biasa) kerana masih sedar dia jahil. Ada pula golongan jahil yang tidak tahu yang dirinya jahil bahkan menganggap dirinya sudah menjadi ilmuwan pakar hanya dengan banyak membaca dan tonton Youtube, kejahilan jenis ini dinamakan jahil murakkab ataupun di dalam bahasa kita disebut, jahil kuasa dua. Adapun golongan jahil yang berusaha untuk membasmi kejahilannya dengan menuntut ilmu sudah terangkat dari digelar jahil, kerana mereka kini bergelar Tolibu 'ilmin ataupun Khadimu 'ilmi as-syarif yakni seorang penuntut ilmu atau dengan bahasa lebih popular, seorang pelajar.

Nah, dalam golongan para pelajar pula ada pecahan-pecahan dan jenis-jenisnya juga. Ada yang menganggap dirinya tidak perlu berguru, maka ia belajar dengan hanya membaca, berfikir, mengkaji dan mencuba. Ada juga golongan yang merasakan bahawa dirinya perlu menjadi lulusan institut pengajian tinggi dan mendapat segulung ijazah untuk menjadi seorang ilmuwan yang berjaya. Dan ada golongan yang ingin menuntut ilmu secara berguru bersama ilmuwan-ilmuwan dunia di pusat-pusat ilmu untuk menguasai ilmu dengan baik dalam tempoh waktu yang lama.

Setiap golongan tersebut adalah di dalam jalan yang baik, saya tidak menafikannya.Paling kurang mereka mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat berbanding golongan jalanan dan muda-mudi 'Happy go lucky' yang hidup tak tentu arah itu. Bagaimanapun, bagi penuntut ilmu dan pencinta ilmu yang ingin mendalami ilmu, bukankah kita ingin menuntut ilmu dengan cara dan manhaj terbaik seperti yang ditunjukkan ulama terdahulu?

Ya, saya hanya khususkan manhaj menuntut ilmu terbaik bagi orang yang benar-benar ingin mendalami ilmu agama. Ini kerana ada golongan yang menuntut ilmu dalam tempoh waktu yang singkat sebagai bekalan untuk menjadi pendakwah, pemikir, penulis, guru dan sebagainya sama ada di Universiti, kuliyah agama, majlis ilmu dan lain-lain..

Menurut saya, di zaman serba moden ini, dengan wujudnya sijil dan institut pengajian tinggi adalah baik untuk kita menggabungkan antara cara ulama terdahulu dan terkini. Menggabungkan pengajian ilmu turath(klasik) dan ilmu mu'asarah(moden). Kita masuk madrasah, pondok dan majlis-majlis ilmu, tetapi dalam masa yang sama kita masuk juga universiti mengambil ijazah, Master dan PhD.

Ini kerana dengan menggabungkan kedua-dua manhaj, kita akan jadi lebih professional, lebih terbuka dan lebih faham terhadap semasa. Namun sebenarnya ianya bergantung kepada individu itu sendiri, boleh jadi cara menuntut ilmu turath di pondok-pondok sahaja sudah memadai kerana banyaknya mentelaah dan mengkaji. Sebagai contoh, kita lihat Ustaz Azhar Idrus yang tidak perlu ke mana-mana universiti atau pondok untuk faqih(faham dengan mendalam) kitab turath(klasik) dan mu'asarah(moden). Ini kerana beliau mengambil masa selama 12 tahun untuk berguru di rumah dan kediaman ulama-ulama pondok dan universiti itu sendiri disamping terlalu banyak membaca dan mengkaji...

Bersambung...

1 comment:

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails