26 November 2011

Bulan Muharram Bonus Istimewa Dari Tuhan

Bismillah.

Salam Ma'al Hijrah..

Setinggi-tinggi puji dan syukur kepada Allah yang masih memberi kita peluang untuk beramal dan melipatgandakan amalan kita.. Kita lihat betapa kasihnya Allah pada kita, setelah berlalunya Ramadhan, Allah beri pula 6 hari di bulan Syawwal yang menjadi berita gembira bagi yang bersedih dengan pemergian Ramadhan, dan setelah perginya Syawwal, Allah kurniakan pula 10 awal bulan Dzulhijjah, kemudian bagi yang terlepas amalan atau tidak puas beramal di hari-hari tersebut, Allah beri lagi bonus istimewa yang menyusuli hari-hari agung tersebut, iaitu bulan Muharram.. Bulan pertama dalam kalendar hijrah umat Islam..

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan sebagaimana ketetapan Allah di ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang 4 itu...." (At-Taubah: 36)

Berdasarkan firman Allah di atas, bulan-bulan haram ada 4. Ianya dinamakan bulan haram kerana pada bulan-bulan tersebut, umat Islam dilarang atau dipantang dari melakukan tumpah darah dan peperangan kecuali jika umat Islam yang diperangi lebih dahulu..

Jika dikiaskan pada zaman ini, larangan menganiaya diri juga menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih berat pengharamannya berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda.

Menurut ulama, keempat-empat bulan ini adalah paling afdhal setelah bulan Ramadhan dan Muharram adalah salah satu daripada 4 bulan haram tersebut sepertimana sabda Rasul:

“Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya 4 bulan haram. 3 bulan berturut-turut, iaitu Dzulqa’dah, Dzulhijjah, Muharram, dan satu lagi adalah Rejab yang terletak di antara bulan Jumadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Al-Bukhari)

Perbezaan Ulama Sekitar Bulan Haram Yang Paling Afdhal

Sebahagian ulama as-syafi'iah berpendapat bahawa sebaik-baik bulan haram adalah Rejab, tetapi Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab mengatakan bahawa pendapat itu tertolak. Berkata Sa'id ibnu Jubair pula, sebaik-sebaik bulan haram adalah Dzulqa'dah atau Dzulhijjah..

Bagaimanapun Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-hanbali mengatakan bahawa ulama yang terkemudian sependapat dengan Imam Hasan Al-Basri dan lain-lain yang mengatakan bahawa sebaik-baik bulan setelah Ramadhan adalah bulan Muharram.. Imam Hasan juga berkata, "Sesungguhnya Allah membuka tahun dengan bulan haram, dan mengakhirinya juga dengan bulan haram, maka tiadalah sebulan di dalam setahun yang lebih agung di sisi Allah setelah Ramadhan daripada bulan Muharram"

Ibnu Rajab juga menukilkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasa'i, bahawa Rasulullah bersabda ".. Sebaik-baik bulan adalah bulan Allah yang kamu panggil Muharram"

Berkata Abu 'Uthman An-Nahdi(seorang tabi'in), "Adalah para sahabat mengagungkan 3 jenis 10 hari; iaitu 10 akhir Ramadhan, 10 Awal Dzulhijjah dan 10 awal bulan Muharram.."

Dan daripada Qatadah r.a, beliau berkata, "Fajar yang Allah bersumpah dengannya di dalam surah Al-Fajr adalah fajar hari pertama bulan Muharram yang memulakan tahun baru.."

Adakah Berpuasa Penuh Di Akhir Tahun Dan Di Awal Tahun Satu Bid'ah?

Berkata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali,

"Telah jelas bahawa bulan-bulan haram adalah sebaik-baik bulan, dan puasa pada waktu tersebut adalah disunatkan sepertimana diperintahkan oleh Nabi, yang mana sebahagian darinya adalah mengakhiri tahun dan sebahagian yang lain membuka tahun yang baru..

Maka sesiapa yang berpuasa di bulan Dzulhijjah seluruhnya(kecuali hari yang dilarang) lalu berpuasa penuh di bulan Muharram, sungguh dia telah menutup tahun dengan ketaatan dan membuka tahun yang baru dengan ketaatan, dan moga-moga akan tercatat untuknya setahun yang penuh dengan ketaatan kerana barangsiapa yang di awalnya dalam ketaatan di akhirnya di dalam ketaatan, maka dia adalah seperti orang yang mengisi penuh antara awal amalan dan akhirnya dengan ketaatan.."

Berkata Imam Ibnul Mubarak: "Barangsiapa yang mengakhiri siangnya dengan zikir, maka akan dicatatkan baginya siang penuh di dalam zikir.." Kata beliau jelas menunjukkan bahawa amalan-amalan adalah dihitung di pengakhirannya.. Apatah lagi amalan yang dimulakan dengan ketaatan dengan diakhiri dengan ketaatan..

Antara salafussoleh yang berpuasa seluruh bulan-bulan haram adalah Sayyidina Ibnu Umar, Imam Hasan Al-Basri dan lain-lain.."

Sebaik-Baik Puasa Di Bulan-Bulan Haram Adalah Bulan Muharram

Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda:


“Puasa yang paling afdhal(utama) setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah bulan Al-Muharram. Dan solat yang paling afdhal setelah solat yang difardhukan adalah solat di malam hari.” (HR Muslim)

Menurut Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali, puasa sunat terbahagi kepada dua jenis:

1) Puasa sunat yang mutlak, (tiada apa-apa sebab khusus) dan puasa jenis ini yang paling afdhal adalah di bulan Muharram.

2) Puasa sunat yang ada sebab khusus seperti puasa 6 syawwal yang diamalkan kerana menyusuli Ramadhan dan puasa di bulan Sya'ban untuk bersedia dan mengagungkan Ramadhan.

Kerana itu, hadith di dalam Sunan At-Tirmizi no. 663 bahawa sebaik-baik puasa selepas Ramadhan adalah di bulan Sya'ban tidak bertentangan dengan hadith di atas kerana puasa di bulan Sya'ban dilakukan bersebab, iaitu untuk mengagungkan dan bersedia menghadapi Ramadhan. (Rujuk Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan At-Tirmizi karya Imam Al-Mubarakfuri hadith no. 663)

Di dalam hadith yang lain pula, seorang sahabat datang kepada Nabi dan bertanya tentang puasa bulan apakah yang boleh untuk berpuasa setelah Ramadhan, lalu Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menjawab,

" Jika kamu berpuasa sebulan penuh selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Muharram, sesungguhnya bulan tersebut bulan Allah, dan di dalamnya hari Allah mengampunkan suatu kaum dan mengampuni juga yang lain-lain" (Hadis Da'if Riwayat At-Tirmizi no 741)

Hadith ini juga menunjukkan sebaik-baik bulan untuk berpuasa penuh di dalamnya adalah di bulan Muharram, sebaliknya jika hanya sebahagiannya sahaja seperti 10 awal Dzulhijjah, 6 hari di bulan Syawwal dan seumpamanya, maka ianya lebih afdhal dari sebahagian hari dari bulan Muharram..

Di dalam bulan ini, Al-Hafiz Ibnnu Rajab AL-Hanbali hanya menyarankan kita mengamalkan puasa yang banyak dan Qiyamullail ataupun tahajjud.. Sebaliknya jika ingin melakukan apa-apa amalan lain yang baik, maka insyaAllah ianya akan diberi ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah..

Kelebihan Puasa di Bulan Muharram

Di dalam Sahih Muslim hadith ke 1163, Rasulullah menggelar bulan Muharram dengan bulan Allah. Ini menunjukkan sangat besar dan agungnya bulan ini kerana hanya perkara-perkara yang istimewa dan khusus sahaja disandarkan kepada nama Allah.. Begitu juga puasa yang ganjarannya dirahsiakan oleh Allah kerana ianya amalan istimewa yang sangat dicintai Allah.

Di dalam sebuah hadith, “Bahawasanya Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ditanya tentang puasa Asyura(10 Muharram), maka baginda bersabda: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (HR At-Tirmizi)

InsyaAllah saya akan sambung entri tentang puasa Asyura dan Tasu'a' di entri akan datang kerana agak panjang... saya juga akan menyebut tentang pendapat Imam As-Syafi'ie tentang digalakkan juga berpuasa pada 11 Muharram.. Nantikan!

Hukum Membaca Doa Awal Dan Akhir Tahun

Tiada dalil ataupun nas khusus yang dapat dijadikan sandaran untuk beramal dengan doa-doa ini, yang ada pun hadith palsu.. Tetapi tiada masalah untuk kita berdoa kerana Majoriti Ulama’ mengatakan bahawa HARUS kita berdoa dengan doa yang dikarang sendiri walaupun Nabi tidak pernah berdoa dengan doa itu. Bila berdoa dengan doa yg tidak ma’thur(tiada dalil) , janganlah pula iktiqad(yakini) doa itu lebih baik daripada doa yang didatangkan dari Al-Qur’an dan Sunnah.




Walaupun perkara ini termasuk dalam bid'ah, perlu juga untuk kita ketahui, bid'ah yang menepati usul syariat adalah bid'ah hasanah(baik) dan bid'ah yang bertentangan dengan usul syariat adalah bid'ah sayyi'ah(buruk).. sepertimana Sayyidina Bilal yang menambah 'Assolatu khairun minannaum' dalam azan subuh, seorang sahabat(Abu Rafi') yang menambah doa i'tidal dengan lebih panjang ketika menjadi makmum Nabi, lalu malaikat berebut-rebut mencatatnya, Sayyidina Umar yang mengasaskan solat tarawikh 20 rakaat berjamaah dan lain-lain...

Jadi berdoa di awal tahun dan akhir tahun ini insyaAllah berada dalam kategori bid'ah yang baik..

Kita dalam berdoa di awal tahun dan akhir tahun ini, ambil saja dari firman Allah:



وَقَالَ رَبُّڪُمُ ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ

"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.."(Ghafir:60)

Firman Allah lagi: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"(Al-Baqarah: 186)

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam..

Bersambung....

Rujukan:

1)Lata'iful Ma'arif fi ma li mawasimil 'ami minal wazhaif, karya Al-Hafiz ibnu Rajab
2)Nuzhatul Muttaqin syarah Riadhus Salihin
3)Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan At-Tirmizi, karya Al-Mubarakfuri
4)Tahqiqul Bid'ah, karya Al-Muhaddith Ali bin Muhammad Al-Husaini Al-Hadhrami
5)http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Asyura
6)http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2011/11/187-bulan-muharram-dalam-pandangan.html


Sambung Bacaan>>>

22 November 2011

Puisi: Rintihan Perindu


Puncak kerinduan yang diidam setiap hamba-hambaNya.

Daku tenggelam dalam euforia rindu mendalam yang impak dahsyatnya melebihi apa pun yang pernah kualami sebelumnya..

Rindu itu menghinggap, menyelinap, meresap, lantas menjalar ke seluruh sel di tubuhku.. Aku begitu mendamba kehadiranNya hingga pernah dalam suatu doaku, yang mampu kuucap hanyalah namaNya...
Tiada henti, tiada putus, aku terus saja berbisik sepanjang hari, “Ya Allah, ya Allah, ya Allah.”

“Duhai Ar-Rahmaan, Ar-Rahiim, Al-Maalik, Al-Qudduus, As-Salaam, Al-Mu’min, Al-Muhaimin, Al-‘Aziiz, Al-Jabbaar, Al-Mutakabbir, Al-Khaaliq, Al-Baari’, Al-Mushawwir, Al-Ghaffaar, Al-Qahhaar, Al-Wahhaab, Ar-Razzaaq, Al-Fattaah, Al-‘Aliim, Al-Qaabidh, Al-Baasith, Al-Khaafidh, Ar-Raafi’, Al-Mu’izz, Al-Mudzill, As-Samii’, Al-Bashiir, Al-Hakam, Al-‘Adl, Al-Lathiif, Al-Khabiir, Al-Haliim, Al-‘Azhiim, duhai Dzul Jalali wal Ikram..”

Hatiku demikian sunyi dan pilu tanpaMu..

Aku bagaikan anak kecil yang tersesat mencari ibunya, nelayan yang terdampar di pulau tak berpenghuni, atau burung bersayap patah yang hanyut terbawa arus sungai, atau layang-layang yang putus talinya dihembus angin badai .. Aku memanggil-manggil namaNya, berharap Ia mendengarku, mengenaliku, menyayangiku lalu menyelamatkanku...

Ohh.. Rindu, Amat rindu...

Batinku terkapai-kapai dalam dimensi tak berbingkai, tiada penghujungnya.. Rintihanku terlolong-lolong bagai majnun yang mencintai kekasihnya, tiada noktah pengakhirnya.. Aku membayangkan diriku bersujud hina di hadapan Ka’bah... Di tanah suci... Begitu dekat denganNya... Aku membayangkan menangis di Multazam, tempat paling mustajab.. tempat seluruh doa akan terjawab.. Aku membayangkan diriku berbalut putih, bertawaf bersama jiwa-jiwa lain yang merinduNya..

Namun... Layakkah aku melamar kasih kudusNya? Dengan apa yang aku ada.. dengan dina dosaku yang gelita.. Itu saja yang aku ada!! Apa lagi yang kumiliki, selain khilaf yang menggunung nista?.. Layakkah aku menggapai cahaya yang tak terhingga pancarannya??

“Ya Allah, ya Allah, ya Allah... Akankah Engkau mengundangku ke rumahMu, kiblat umat muslim sepenjuru dunia? Mungkinkah Engkau memperkenankan aku datang bertamu, meski diri ini penuh peluh noda?

Duhai Al-Ghafuur, Asy-Syakuur, Al-‘Aliiy, Al-Kabiir, Al-Hafiizh, Al-Muqiit, Al-Hasiib, Al-Jaliil, Al-Kariim, Al-Raqiib, Al-Mujiib, Al-Waasi’, Al-Hakiim, Al-Waduud, Al-Majiid, Al-Baa’its, Asy-Syahiid, Al-Haqq, Al-Wakiil, Al-Qawiyy, Al-Maatin, Al-Waliyyu, Al-Hamiid, Al-Muhshi, Al-Mubdi’, Al-Mu’iid, Al-Muhyii, Al-Mumiit, Al-Hayyu, Al-Qayyuum, Al-Waajid, Al-Maajid, Al-Waahid.."

Undanglah aku, ya Allah... Aku akan datang, dengan berlari... Dengan segenap kerinduan yang menggumpal... Aku akan datang, meski harus tertatih..meski harus mengesot, Dengan repihan cinta yang kurekatkan rapat-rapat. Undanglah aku, ya Allah...

Aku menghiba, mengemis, dan menghamba... Meminta Allah memperkenankan pintaku, berjumpa diriNya di titik paling dekat denganNya sepenjuru dunia.. Karena aku tidak tahu bilakah waktuku akan tiba... Sungguh, aku tidak mahu jika sampai hujung perjalanan fanaku, belum jua aku menyungkurkan taubatku di hadapan kesaksian Ka’bah dan menyampaikan salam kepada Rasulullah di Raudhah... Aku tidak sanggup membayangkan, seandainya hingga akhir hayatku, Allah belum mengizinkanku bertamu ke tanah suci...

Betapa rindu aku akan Allah... Aku bagaikan petualang yang telah lama tidak pulang dan merasa ingin kembali... Betapa aku berharap, kerinduan ini cukup untuk menghantarkanku ke Mekkah dan Madinah...tempat Rasulullah, sang habibullah berawal dan berakhir... Tempat cahaya keislaman memancar dan menjadi ‘rahmatan lil ‘aalamin’... Tempat terindah untuk dijadikan kiblat di setiap langkah mereka yang mengaku hamba Allah...

“Duhai Al-Ahad, Ash-Shamad, Al-Qaadir, Al-Muqtadir, Al-Muqaddim, Al-Muakhkhir, Al-Awwal, Al-Aakhir, Azh-Zhaahir, Al-Baathin, Al-Waalii, Al-Muta’aalii, Al-Barru, At-Tawwaab, Al-Muntaqim, Al-‘Afuwwu, Ar-Rauuf, Maalikul Mulki, Dzul-Jalaali Wal-Ikraam, Al-Muqsith, Al-Jaami’, Al-Ghaniyyu, Al-Mughnii, Al-Maani’, Adh-Dhaarru, An-Naafi’, An-Nuur, Al-Haadii, Al-Badii’, Al-Baaqii, Al-Waarits, Ar-Rasyiid, Ash-Shabuur."

Izinkan aku mengucapkan ‘Labbaik Allaahumma labbaik, labbaika laa syariikalaka labbaik. Innalhamda wanni’mata, lakawal mulk, laa syariikalak.’ MenujuMu...Menyahut seruanMu.. Berakhir di pelukanMu...

Aku ingin bertemuMu ya Rabbul ‘Izzati...

Jika aku boleh memilih akhirku, aku ingin di sini, Tuhanku... Di pintu rumahMu... Dengan lantunan ayat suci qiyamullail yang menghidup nadi imanku.. Dengan salawat kerinduan pada kekasihMu yang mendamai ragaku. .

Di bawah naungan Ka’bahMu, Tuhanku... Seandainya Engkau bertanya di mana aku ingin dijemput... Di hadapan Multazam, bersama ampunanMu... Di pelukan Masjidil Haram, bersama rahmatMu... Di hamparan tanah Mekah, bersama keredhaanMu..

Di sini, Tuhanku.. Di dalam sujud bersama cintaMu.. Sentiasa dekat denganMu..

........

Nota: Moga mimpi ini menjadi kenyataan..

Sambung Bacaan>>>

20 November 2011

Mesir Kembali Bergolak?



Bismillah..

Sudah hampir 9 bulan Mesir di dalam keadaan yang membimbangkan.. Rakyat buas membuat kezaliman tanpa ada yang mengawal, lagi-lagi para pelajar yang datang dari luar negara seperti saya, mereka mengambil kesempatan untuk menipu, menaikkan harga dan lain-lain sesuka hati mereka..

Alhamdulillah, tak lama lagi cahaya keadilan akan terpancar di seluruh Mesir insyaAllah..

Beberapa hari saja lagi, iaitu pada 28 November ini, Mesir akan mengadakan Pilihan Raya, memilih Perdana Menteri yang baru.. Pemimpin yang baru..

Bagaimanapun, seperti yang saya dah agak, rakyat Mesir memang tak boleh bersabar lagi..

Pada Jumaat baru-baru ini, rakyat Mesir telah mula melakukan demonstrasi di Tahrir Square Cairo, Alexandria, dan beberapa tempat yang lain atas dakwaan bahawa kerajaan sementara kini telah meng'hijack' titik peluh mereka menjatuhkan kerajaan kuku besi sebelum ini serta untuk menuntut pemerintahan diberikan sepenuhnya kepada rakyat dan calon pemimpin pilihan mereka sendiri daripada kerajaan militer yang memegang tampuk pemerintahan sementara kini. Ianya berlanjutan sehingga ke hari ini.


Perhimpunan pada awalnya berlaku secara aman, akan tetapi keadaan semakin mencabar apabila polis melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan mula memukul penunjuk perasaan dengan cota memaksa supaya beredar dan membersihkan kawasan tersebut pada hari Sabtu, berkata Sahar Abdel Mohsen, seorang jurutera yang menyertai perhimpunan selepas mendapat panggilan di Twitter dari orang ramai untuk pergi ke Tahrir Square.

Rakyat berkumpul dan bersatu bersama gerakan politik Mesir yang lain telah menunjukkan kesepakatan dalam menuntut demokrasi hak rakyat dalam proses pemilihan siapa yang akan menggubal satu perlembagaan baru dalam menentukan ciri-ciri demokrasi negara selepas revolusi kejatuhan kerajaan Hosni Mubarak. Tindakan atau desakan juga dibuat terutamanya di dalam perhimpunan ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memberi amaran kepada pihak ketenteraan agar menyerahkan kerajaan kepada pilihan rakyat.

Lebih parah, media massa di Mesir yang dipegang oleh kerajaan juga menyebarkan khabar-khabar angin yang palsu kononnya keadaan masih terkawal dan mereka tidak melakukan apa-apa keganasan.

Terkini, 11 orang terkorban dan ratusan yang cedera..

Bagaimanapun keadaan di Mesir masih aman dan demonstrasi tidak merebak hingga ke tempat tinggal para pelajar.. Universiti dan sekolah-sekolah juga masih beroperasi seperti biasa.. Cumanya tempat tinggal saya di Malaysian Hall saja yang sering dilanda putusnya bekalan air dan elektrik.. entah ada kena mengena atau tidak dengan kesan perhimpunan tersebut wallahua'lam..

Keadaan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir juga masih dalam keadaan stabil dan selamat. Harap jangan terlalu percaya dengan khabar angin dan berita Kosmo dan lain-lain..

Saya sangat berharap ianya tidak menganggu perjuangan pembelajaran saya dan segalanya akan kembali stabil serta bertekad untuk tidak pulang ke tanah air kali ini..


Doakan kami semua! =)

Baca juga: http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2011/11/2011112082333907688.html



Sambung Bacaan>>>

01 November 2011

Kelebihan 10 Awal Zulhijjah Dan Perbahasan Tentangnya

Bismillah..

Salam Dzulhijjah!

Dalam Post ini saya ingin berkongsi tentang bacaan-bacaan dan sedikit kajian saya tentang kelebihan dan beberapa fakta penting yang baru saya ketahui berkenaan 10 awal bulan Dzulhijjah ini..

1. Dzulhijjah Tamu Kita Setelah Ramadhan

Ramadhan, beberapa waktu yang lalu telah meninggalkan kita. Tentunya kita merasa kehilangan sesuatu yang nilainya sangat utama dan mulia di sisi Allah Ta’ala. Tapi ketahuilah, kita tidak boleh terlalu bersedih dengan berlalunya bulan mulia tersebut.

Kerana ternyata Allah Ta’ala melalui utusanNya, telah menjanjikan bulan lain yang tidak kalah utamanya berbanding dengan keutamaan bulan Ramadhan. Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda:

( شَهْرَا عِيْدٍ لاَ يَنْقُصَان، رَمَضَانَ وَذُوالْحِجَّة ( رواه مسلم، كتاب الصيام

“Dua bulan untuk berhari raya tidak berkurang keduanya; Ramadhan dan Dzulhijjah.”(HR Muslim).

2. Kelebihan 10 Pertama Bulan Dzulhijjah




Allah Ta'ala berfirman:

“Demi fajar; dan(demi) malam yang sepuluh; dan(demi) yang genap dan yang ganjil”(Al-Fajr:1-2)

Majoriti Al-Mufassirin termasuk Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Dzulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Begitu juga 'yang genap dan yang ganjil' ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan selainnya sebagai 10 awal Dzulhijjah yang mengandungi hari ganjil dan hari genap.

Dan cukuplah dengan ayat ini untuk menunjukkan betapa besar dan agungnya kelebihan hari-hari ini kerana Allah sendiri bersumpah dengannya..

Firman Allah lagi:

ويذكروا اسم الله في أيام معلومات

"...dan mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan..."(Al-Hajj:28)

'Ayyam Ma'lumat' (hari2 yang ditentukan) menurut majoriti ulama adalah 10 awal Dzulhijjah. Antaranya Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Hasan, 'Ata', Mujahid, Ikrimah, Qatadah, Nakh'ie, dan juga pendapat Imam Abu Hanifah, As-Syafi'ie dan Imam Ahmad dalam pendapat yang masyhur daripadanya.

Rasulullah bersabda:

Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya lebih dicintai Allah melainkan pada hari-hari ini -iaitu 10 hari Dzulhijjah. Para sahabat bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.(HR Bukhari dari Ibnu Abbas)

Sabda Rasulullah lagi:

"Tiadalah hari-hari yang lebih besar(ganjarannya) di sisi Allah dan tidak pula lebih dicintai beramal pada waktunya daripada 10 hari zulhijjah ini, maka perbanyakkanlah dalam waktu ini daripada Tahlil(La ilaha illallah), Takbir(Allahuakbar) dan Tahmid(Alhamdulillah)." (HR Imam Ahmad)

"Tiada satu hari yang lebih dicintai Allah untuk kita beribadah padanya daripada 10 hari Dzulhijjah, yang menyamai puasa setiap hari pada waktu ini dengan puasa setahun, dan qiyamullail pada setiap malam hari-hari ini(menyamai) qiyam lailatul qadar!!" ( Hadis Dha'if(lemah) Riwayat Tarmizi no. 763 )

Imam Ibnu Hajar berkata dalam kitabnya Fathul Baari syarah Sahih Bukhari:

"Tampaknya sebab mengapa sepuluh hari Dzulhijjah diistimewakan adalah karena pada hari tersebut merupakan waktu berkumpulnya semua ibadah-ibadah yang utama yaitu solat, puasa, sadaqah dan haji pada waktu ini dan tidak ada pada waktu selainnya".

3. Benarkah Nabi Tidak Pernah Berpuasa Pada 10 Pertama Dzulhijjah?

Walaupun terdapat riwayat dari sebahagian isteri-isteri Rasulullah bahawa baginda tidak pernah meninggalkan puasa pada 9 awal Dzulhijjah(HR Abu Daud), tetapi terdapat juga riwayat yang bertentangan dengannya di Sahih Muslim dan juga Sunan At-Tirmizi hadis ke-756, daripada Sayyidah Aisyah r.a beliau berkata:


ما رأيت النبي صلى الله عليه وسلم صائما في العشر قط


"Aku tidak pernah sekali melihat Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa di 10 awal Dzulhijjah"

Berkata Imam An-Nawawi:

"Ulama mengatakan bahawa hadith ini menyebabkan kita ragu merasakan puasa pada hari-hari ini adalah makruh, dan ini sepertimana yang ditafsirkan, bukanlah hukum puasa 9 hari awal Dzulhijjah ini makruh, bahkan ianya مستحبة استحبابا شديدا (Sangat-sangat digalakkan/sunnah) terutamanya hari yang ke-9 iaitu hari 'Arafah.. Kerana puasa juga termasuk dalam 'amalan kebaikan' di hadith Sahih Bukhari tadi, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya lebih dicintai Allah melainkan pada hari-hari ini...."

Dan dita'wilkan juga bahawa baginda tidak berpuasa pada hari-hari ini kerana dalam keadaan musafir, sakit ataupun tidak pernah dilihat Sayyidah Aisyah baginda berpuasa, dan tidaklah penafian ini menyebabkan ketiadaan Nabi berpuasa pada hari ini selagi ada dalil-dalil lain tentang pengesahan berpuasanya Nabi pada waktu ini, kerana ada kaedah fiqhiyyah menyebut:


المثبت مقدم على النافي
'Pengesahan lebih diutamakan dari penafian'

Imam Ahmad juga ada berpendapat bahawa dalam hadith ini barangkali Sayyidah Aisyah bermaksud Nabi tidak berpuasa 10 hari penuh. Nabi berpuasa sebahagiannya saja atau kerana hari ke-10 adalah terkecuali sempena hari penyembelihan iaitu hari dilarang berpuasa.

Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi syarah kepada hadith ini di Sunan At-tirmizi , penulisnya Al-Mubarakfuri menaqalkan pendapat Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Fathul Bari bahawa hadith ini menunjukkan barangkali Rasulullah sengaja meninggalkan amalan tersebut walaupun suka dengan amalan itu kerana bimbangnya baginda صلى الله عليه وسلم jika amalan ini diwajibkan ke atas umat baginda صلى الله عليه وسلم.. Begitu kasihnya baginda kepada kita umatnya..

4. Adakah 10 Awal Dzulhijjah Lebih Baik Dari 10 Akhir Ramadhan?

Al-Bazzar meriwayatkan sebuah hadith daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah bersabda:

"Sebaik-baik hari dunia adalah 'ayyamul 'usyr'(10 hari awal Dzulhijjah)..."

Jika seseorang bertanya, “Yang manakah yang lebih afdhal sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan atau sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah?” Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

“Jika dilihat pada waktu malamnya, maka sepuluh terakhir bulan Ramadhan lebih utama dan jika dilihat waktu siangnya, maka sepuluh awal bulan Dzulhijjah lebih utama.” (Zaadul Ma’ad, karya Imam Ibnul Qayyim)

Bagaimanapun, Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali berpendapat bahawa malam 10 awal Dzulhijjah lebih afdhal kerana dalam sebuah hadith ada tambahan lafaz yang diriwayatkan dan dikeluarkan oleh Al-Hafiz Abu Musa Al-Madini bahawa Nabi bersabda: "...Dan juga tidak ada malam-malam harinya yang lebih afdhal dari malam-malam ini (malam 10 awal Dzulhijjah).."

Beliau berpendapat, walaupun kelebihan malam 10 akhir Ramadhan adalah kerana mengandungi malam Lailatul Qadar, tetapi ia hanya satu malam sahaja.. Tambahan pula perbandingan di sini adalah keseluruh 10 hari serta malamnya dan bukan satu malam sahaja..

Selain itu, dalam ayat kedua surah Al-Fajr juga menunjukkan bahawa Allah bersumpah dengan malam-malam hari 10 awal Dzulhijjah ini.. Ianya menunjukkan bahawa malam-malam hari tersebut juga sangat utama dan lebih agung dari 10 malam-malam hari yang lain..

Konklusinya, hakikat masalah ini adalah sepertimana pendapat ulama-ulama terkemudian iaitu:

"Keseluruhan 10 awal Dzulhijjah ini lebih afdhal(utama) dari kesemua 10 akhir Ramadhan walaupun terdapat satu malam di dalamnya yang lebih afdhal dari setiap hari selainnya, wallahua'lam"..

5. Sama-sama Kita hidupkan bulan Dzulhijjah!

Diriwayatkan bahawa adalah Sa’id Ibn Jubair r.a. apabila tibanya sepuluh hari tersebut, ia benar-benar giat beramal sehingga hampir-hampir ia tidak kuasa untuk melakukannya.(Riwayat Ad-darimi dengan sanad Hasan)

Dan diriwayatkan juga bahawa beliau pernah berkata, "Janganlah kalian padam lampu kalian di malam-malam 10 pertama Dzulhijjah"(sebaliknya menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah).

Berkata Al-A'rif billah Imam Abd Al-Haddad: "Musibah ialah apabila seseorang itu diberi peluang untuk melakukan kebaikan lalu dia membiarkannya begitu sahaja!"

Justeru, sama-samalah kita rebut peluang ini, banyakkan amalan, hidupkan malam harinya dengan munajat dan qiyamullail, dan hidupkan siangnya dengan tahlil, takbir dan tahmid serta puasa terutamanya pada hari Arafah, iaitu pada 9 Dzulhijjah ini..



Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: ”Berpuasa di hari Arafah(9 Dzulhijjah) menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang akan datang.”(HR Muslim)

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (HR Muslim)

Ayuh! ツ

Rujukan:

Sahih Bukhari
Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan At-Tirmizi
Lataiful Ma'arif fima limawasimil 'Aami minal wazhaif karya Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali
http://www.dar-alifta.org/viewBayan.aspx?ID=248#1
http://www.mktaba.org/vb/showthread.php?t=21620


Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails