15 October 2012

Dari Terbengkalai Kini Kembali Bersemai

Bismillah, wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah..

Alhamdulillah masih diberi umur yang panjang dan nikmat yang tidak terkira banyaknya, masih mampu mengerakkan jari-jari untuk menaip, masih mampu berfikir dengan waras dan anggota masih cergas untuk menyajikan aksara kata yang serba kekurangan di laman sesawang ini.

Secara ringkas, pertama sekali, saya ingin mohon maaf kerana telah lama berhenti dari dunia blogging atas masalah-masalah tertentu.. Namun insyaAllah saya akan kembali menulis dan berkongsi seperti biasa akan tetapi kini saya telah melakukan sedikit anjakan paradigma..

Jika sebelum ini laman daif saya ini bertemakan 'Tafakur kehidupan' tetapi kini saya telah ubah menjadi 'Khadim Al-Azhar As-Syarif' (Pengkhidmat Al-Azhar As-Syarif). 

Tiada apa perbezaan yang ketara pun kerana penulisnya masih sama walaupun pemikiran sudah banyak berubah, cumanya selepas ini fokus blog ini kebanyakannya akan lebih menjurus kepada perkongsian ilmu dan berlian serta mutiara yang dikutip di Al-Azhar As-Syarif ,dari para Ulama serta masyaikh seluruh dunia dan dari pengkajian kitab-kitab atau bahan bacaan saya.

Mudah-mudahan Allah beri kesempatan, kelapangan dan kekuatan untuk menulis dan berkongsi serba-serbi.di laman ini.

Wallahu waliyyu At-Taufiq.


Nota Tambahan: Bagi sesiapa yang punyai Facebook, bolehlah like page saya berkenaan Kisah para ulama dan wali-wali Allah di http://www.facebook.com/Kisah.Ulama.Awliya 

Atau joinlah group MAJLIS ILMU kami di: http://www.facebook.com/groups/majlisilmu

Sambung Bacaan>>>

12 October 2012

Biografi: Imam Hammad bin Abi Sulaiman Faqih Terkemuka Salafussoleh

Bismillah..

Pertamanya, sekadar makluman, di sana terdapat ramai ulama yang mempunyai nama Hammad, antaranya anak kepada Imam Abu hanifah, Hammad bin Nu’man, begitu juga Imam Hammad bin Abi Salamah, Hammad bin Salamah, Hammad bin Zaid, Hammad bin Syahran dan lain’lain..

Oleh hal yang demikian, pentingnya kita untuk meletakkan bin kepada nama Hammad agar tidak terkeliru dengan nama Hammad yang lain. Di dalam penulisan yang serba kekurangan ini, saya ingin menukilkan serba ringkas tentang biografi Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Kufi, seorang ulama salafussoleh yang pernah menjadi guru yang agung mengajar Imam Abu Hanifah selama 18 tahun dalam ilmu fiqh dan lain-lain. Sebagai umat islam yang mencintakan ilmu dan ulama, adalah penting untuk kita mengenal para ulama berbanding mengenal para artis dan selebriti yang fasiq, jahil bahkan jauh dari agama.


Nama Beliau: 

Berkata Imam Az-Zahabi: “Beliau adalah Al-Allamah(ulama besar) Al-Imam, Faqih Iraq (pakar Fiqh di iraq), Hammad, Abu Ismail ibn Muslim Al-Kufi, Maula Al-Asy'ariyyin ” (Rujuk: Siyar A’lam Nubala’ karya Az-Zahabi jilid 5 ms 231 terbitan Muassasah Ar-risalah)

Di dalam beberapa sumber disebutkan bahawa nama beliau adalah Hammad bin Muslim. Kunyah(gelaran) beliau pula adalah Abu Ismail, manakala gelaran ayahnya adalah Abu Sulaiman. Bagaimanapun, namanya lebih terkenal sebagai Hammad bin Abu Sulaiman(dibinkan sempena nama gelaran ayahnya).

Asal Keturunan:

Asal keturunan beliau adalah dari Asbahan(nama sebuah bandar di Khurasan). Ayah beliau adalah wala’(di bawah penguasaan) Al-‘asy’ariyyin(nisbah kepada kerabat Abu Musa Al-Asy’ari r.a.). Ini kerana ayah beliau masuk Islam di tangan Abu Musa Al-Asy’ari.. Justeru, ayah beliau juga digelar ‘Maula Al-Asy’ariyyin’ sepertimana yang disebut Az-Zahabi di atas yang bererti bertuankan Al-Asy’ariyyin. Ketika ayah beliau menetap di Daumah Jandal(dikatakan sebuah tempat di Madinah Hisn di Syiria Syam berhampiran gunung Toyyi’) , Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan menghantar Abu Musa Al-Asy’ari ke tempat tersebut untuk menyampaikan Islam. Maka, Islamlah beliau di situ..

Tarikh kelahiran: 

Tidak disebutkan oleh mana-mana sumber berkenaan tarikh yang tepat kelahiran beliau, akan tetapi disebutkan bahawa beliau adalah di kalangan Shigar Tabiin(Tabi’in peringkat rendah) kerana hanya sempat bertemu dengan seorang sahabat sahaja iaitu Anas bin Malik r.a., tetapi tidak banyak meriwayatkan hadis dari Sayyidina Anas. Oleh kerana beliau wafat pada tahun 120 hijrah, atau dalam sumber yang lain, 119 hijrah dalam keadaan separuh umur(30 hingga 50an). Maka sumber-sumber berpendapat bahawa melalui maklumat-maklumat di atas, dianggarkan beliau lahir sekitar 1/3 akhir kurun pertama hijrah.

Tempat Kelahiran: 

Sumber-sumber menyatakan bahawa pendapat yang rajih(kuat) tentang tempat kelahiran beliau adalah di Kufah (sebuah bandar di Iraq) kerana beliau sering dinisbahkan kepada Al-Kufi(nisbah kepada Kufah).

Peribadi : 

Oleh kerana ayahnya di bawah penguasaan dan penjagaan seorang sahabat yang mulia Abu Musa Al-Asy’ari, Imam Hammad dibesarkan dalam suasana ilmu, mencintai ilmu dan ghairah dalam mencarinya..ianya memberi kesan mendalam untuk Imam Hammad menuntut ilmu dengan ulama-ulama terkenal di zamannya. Imam Hammad adalah seorang yang bijak, berhati mulia dan pemurah..

Tambahan pula, beliau dikurniakan Allah kemewahan dan harta yang banyak, oleh yang demikian, diceritakan bahawa ketika Ramadhan, beliau memberi makanan berbuka puasa bagi 500 orang dan ketika hari raya pula, beliau memberi mereka 100 dirham(sekitar RM2500) setiap seorang. Beliau sering bersedekah dengan hartanya dan memberikan makanan kepada yang memerlukan.

Antara kisah yang menunjukkan kemurahan beliau juga sepertimana yang diberitakan oleh Solt ibn Bistam, daripada ayahnya Bistam berkata, “Suatu hari, Hammad ibn Abi Sulaiman menziarahiku, beliau menetap di rumahku sepanjang hari. Apabila beliau ingin berangkat, beliau berkata, lihatlah apa yang ada di bawah bantalmu, ambillah dan manfaatkannya. Aku mendapati terdapat syiling dirham yang banyak di situ.” Dan daripada Solt ibn Bistam juga, katanya,”Adalah Hammad memberi makanan berbuka puasa bagi 50 orang pada setiap hari di bulan Ramadhan, dan apabila datangnya malam hari raya, beliau memberikan setiap seorang dari mereka sepasang baju.”

Diceritakan juga bahawa adalah beliau tatkala membaca Al-quran, air matanya bercucuran hingga menitik di atas lembaran Al-Quran..Hal yang demikian menunjukkan hati beliau sangat lembut dan penuh khusyu’.

Kadangkala beliau ditimpa penyakit sawan ketika berbicara, apabila beliau ditimpa penyakit tersebut, kemudian sembuh, beliau akan berwudhu’ dan kembali semula ke tempat terakhir sebelum beliau ditimpa sawan.

Ada beberapa kata-kata beliau yang menyebabkan ulama-ulama sezaman dengannya tidak menyukai beliau apabila beliau pulang daripada Haji, beliau seolah-olah secara zahirnya meremehkan martabat ulama-ulama Hijaz(Mekah) diceritakan bahawa apabila beliau pulang dari menunaikan Haji, beliau berkata, “ Bergembiralah wahai masyarakat Kufah, bahawasanya aku pergi ke Hijaz, dan aku melihat Imam ‘Ata’, Towus bin Kaisan dan Mujahid Al-Makki(mereka adalah antara ulama tabi’in di Hijaz), sungguh, kanak-kanak kalian, bahkan anak kepada kanak-kanak kalian lebih faqih daripada mereka” Lalu ulama-ulama di zamannya memusuhi beliau kerana menganggap beliau menzalimi para ulama.

Para ulama mengandaikan bahawa barangkali kata-kata ini keluar dari beliau untuk menunjukkan beliau lebih menyanjung dan berbangga dengan Madrasah Fiqhiyah ataupun Madrasah Ar-ro'yi di Kufah berbanding Madrasah Hadis di Hijaz, yang mana beliau tergolong dalam madrasah tersebut dan banyak juga andaian-andaian lain.

Hinggakan beliau juga ditimpa perkara yang sama seperti yang beliau lakukan kepada para ulama Hijaz.
Diceritakan bahawa suatu hari, ketika beliau ke Basrah(sebuah bandar di Iraq), maka masyarakat di situ sengaja bertanya beliau dengan soalan-soalan yang bertujuan untuk mempersenda beliau, antaranya: “Apa pendapat anda berkenaan seorang lelaki yang bersetubuh dengan bangkai ayam betina lalu ayam tersebut bertelur ?” dan “Apakah pendapat anda jika seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sepinggan penuh?”

Tarikh Kewafatan: 

Terdapat perbezaan riwayat tentang tarikh kewafatan beliau, tetapi kebanyakan sumber mengatakan beliau wafat pada 119 hijrah, dan beberapa riwayat yang lain mengatakan pada tahun 120 hijrah..

Perjalanan Menuntut Ilmu, Para Guru Dan Murid Beliau: 

Dinukilkan bahawa antara guru-guru Imam Hammad adalah:
1)Ibrahim An-Nakha’i
2)Sayyidina Anas bin Malik r.a.
3)Abi Wail
4) Zaid ibn Wahb
5)Sa’id ibn Musayyib
6)’Amir As-Sya’bi dan lain-lain

Akan tetapi beliau paling lama berguru dengan Imam Ibrahim An-Nakha’i, mengambil ilmu fiqh darinya, bahkan beliaulah yang paling hebat dan faqih di antara murid-murid Ibrahim An-nakha’i yang lain. Hinggakan Ibrahim An-Nakha’i sendiri mewasiatkan murid-muridnya yang lain untuk melazimi Hammad mengambil ilmu, kata beliau, “Pergilah kamu kepada Hammad, kerana dia telah menanyakanku semua yang telah ditanya orang.” Ini menunjukkan agungnya Hammad di sisi gurunya. Dan apabila Ibrahim diberitahu bahawa Hammad telah berfatwa, beliau berkata, “Apakah yang menghalangnya? Sedangkan dia telah bertanya kepadaku masalah-masalah yang kalian semua tidak pernah tanya walau 1/10(dari soalan-soalan Hammad).”

Ketika wafatnya Ibrahim An-Nakha’i, para pelajar Ibrahim berpendapat bahawa orang yang menggantikan beliau adalah Imam A’mash(nama beliau Sulaiman ibn Mihran, tabi’in, antara murid Ibrahim Nakha'ie), lalu mereka mendatangi A’mash dan bertanya tentang halal dan haram, akan tetapi beliau tidak dapat menjawabnya, maka mereka bertanya pula tentang fara’idh(ilmu mirath/pembahagian harta) dan beliau dapat menjawabnya. Kemudian mereka mendatangi Hammad, lalu mereka bertanya tentang fara’idh, beliau tidak dapat menjawabnya, lalu mereka bertanya pula tentang halal dan haram, dan didapati beliau pakar dalam halal dan haram. Maka mereka mengambil ilmu Fara’idh dari Imam Al-A’mash, manakala ilmu halal dan haram(hukum-hakam) mereka mengambilnya dari Imam Hammad.

Imam Hammad adalah orang yang paling pakar fiqh di kalangan murid-murid Ibrahim An-Nakha’i hinggakan Imam Az-Zahabi di dalam Siyar A’lam Nubala’(5/236) menyebut: “Orang yang paling faqih di Kufah adalah Sayyidina Ali dan Ibnu Mas’ud, dan murid kedua-dua mereka yang paling faqih adalah ‘Alqamah, dan murid Alqamah yang paling faqih adalah Ibrahim An-Nakha’i, dan murid Ibrahim yang paling faqih adalah Hammad ibn Abi Sulaiman, dan murid Hammad yang paling faqih adalah Abu Hanifah, dan murid Abu Hanifah yang paling faqih adalah Abu Yusuf, dan muridnya yang paling faqih adalah Muhammad bin Hasan As-Syaibani, dan murid Muhammad yang paling faqih adalah Muhammad ibn Idris As-Syafi’i rahimahumullah ta’ala.”

Berkata Imam Sufyan Ibn ‘Uyainah pula, “Mu’ammar/Ma’mar pernah berkata, “Aku tidak pernah lihat ada orang dari mereka yang lebih faqih daripada Az-Zuhri, Hammad ibn Abi Sulaiman, dan Qatadah””

Di Dalam Ilmu Hadis

Imam Hammad hanya menguasai ilmu fiqh akan tetapi tidak dikurniakan kemampuan untuk menjaga hadis-hadis. Allah memilih beliau hanya untuk menjaga ilmu fiqh. Hinggakan ulama mengatakan, “Bagi setiap bidang ilmu itu ada ahli khususnya.” Kerana ada yang dikurniakan kehebatan dalam ilmu fiqh, tetapi tidak dalam ilmu hadith, ada yang dikurniakan kemampuan dalam mendalami ilmu akademik, tetapi tidak dalam ilmu agama, begitulah seterusnya.. Allah menjadikan setiap bidang ilmu itu ada ahli-ahli tertentu untuk menguasainya.

Beliau adalah antara ulama yang muktabar di dalam perkembangan ilmu fiqh, akan tetapi di dalam ilmu periwayatan hadis pula, beliau agak lemah dan bercelaru di akhir umurnya. Berkata Abu Hatim Ar-Razi tentang beliau, “Berkata benar, tetapi hadisnya tidak dijadikan hujjah, beliau benar di dalam fiqh tetapi apabila datang tentang hadis, ia bercelaru” Bahkan Hammad sendiri mengaku kelemahan beliau ini sepertimana yang diceritakan Hammad ibn Abi Salamah, katanya, “Aku bertanya kepada Hammad ibn Abi Sulaiman tentang hadis-hadis musnad, dan ramai orang bertanyakan pendapat beliau, dan apabila aku menemuinya, beliau berkata, “Moga Allah tidak mendatangkan kamu.”” Kata-kata beliau ini menunjukkan beliau tidak ingin menjawab soalan berkenaan hadis kerana sedar akan kelemahan beliau hinggakan beliau berdoa agar orang ramai tidak menanyakan beliau tentang hadis.

Berkata An-Nasa’i tentang Hammad, “Thiqah, murji’ah(bermazhab murji’ah selepas kewafatan gurunya Ibrahim, dan murji'ah terbahagi kepada dua, murji'ah sunaah dan murji'ah bid'ah dan murji'ah di sini adalah Murji'ah sunnah , akan diterangkan. )” Al-A’mash yang seperguruan dengan Hammad pula mempertikaian Hammad, katanya: “Hammad tidak thiqah(dipercayai) dan kami tidak mempercayainya, dan siapalah yang mempercayainya!” Sindiran A’mash ini sepertimana di dalam sumber-sumber menyatakan, berkemungkinan oleh kerana A’mash adalah saingan beliau dalam berguru dengan Ibrahim An-nakha’i. Berkata Syu’bah tentang Hammad, “Beliau berkata benar dan beliau tidak menghafal(hadis)”

Antara murid-murid beliau adalah:
1)Imam Abu Hanifah
2)Anaknya Ismail bin Hammad
3)Hakam bin ‘Utaibah
4)Al-A’mash Sulaiman bin Mihran
5)Zain ibn Abi Unaisah
6)Mughirah
7)Hisyam Ad-Dastawa’i
8)Muhammad ibn Aban Al-Ju’fi
9) Hamzah Az-Zayyat
10)Mis’ar ibn Kidam
11) Sufyan At-Thauri
12) Syu’bah bin Hajjaj
13)Hammad ibn Salamah
14)Abu Bakar An-nahsyili dan lain lain..

Imam Hammad Dan Mazhab Murji’ah 

Mazhab Murji'ah adalah mazhab Islam yang muncul dari golongan yang tak sefaham dengan Khawarij. Ini tercermin dari ajarannya yang bertolak belakang dengan Khawarij. Pengertian murji'ah sendiri ialah penangguhan hukuman atas perbuatan seseorang sampai di pengadilan Allah SWT kelak. Jadi, mereka tak mengkafirkan seorang Muslim yang berdosa besar, sebab yang berhak menjatuhkan hukuman terhadap seorang pelaku dosa hanyalah Allah SWT, sehingga seorang Muslim, sekalipun berdosa besar, dalam kelompok ini tetap diakui sebagai Muslim dan punya harapan untuk bertaubat. Secara garis besar, ajaran-ajaran asas Murji'ah adalah:

1. Pengakuan iman cukup hanya dalam hati semata-mata tanpa beramal. Jadi pengikut golongan ini tak dituntut membuktikan keimanan dalam perbuatan sehari-hari. Ini merupakan sesuatu yang janggal dan sulit diterima kalangan Murjiah sendiri, karena iman dan amal perbuatan dalam Islam merupakan satu kesatuan. Oleh kerana iman tidak berkait dengan amalan, bagi mereka, Iman juga tidak meningkat dan menurun.

2. Selama meyakini 2 kalimah syahadat, seorang Muslim yang berdosa besar tak dihukum kafir. Hukuman terhadap perbuatan manusia ditangguhkan, ertinya hanya Allah yang berhak menjatuhkannya di akhirat.

Ramai Ulama yang sezaman dengan Imam Hammad dan sesudahnya mempertikaikan bahawa Imam Hammad bermazhab Murji’ah setelah kewafatan gurunya Ibrahim An-Nakha’ie. Ianya memang benar, akan tetapi Hammad hanya terpengaruh dengan mazhab Murji’ah Fuqaha’(Murji'ah Sunnah) dan bukan golongan Murji’ah yang melampau(Murji'ah Bid'ah). Pengaruh ajaran beliau juga ada pada Imam Abu Hanifah sendiri yang berpendapat bahawa Iman itu tidak meningkat dan tidak menurun, bagaimanapun ulama telah membahaskan dengan panjang dan saya hanya akan menukilkan kesimpulannya sahaja.. Imam Az-Zahabi, Imam Ahmad, Ibnu Taimiah dan ramai ulama yang lain telah menyatakan bahawa golongan murji’ah fuqaha’ ini tidak kafir dan tidak boleh dikafirkan. Bahkan terdapat perbezaan antara golongan Murji’ah yang melampau dan golongan Murji’ah Fuqaha’(Ahli Fiqh yang bermazhab Murji’ah) dan Imam Hammad adalah salah seorang daripada para Murji’ah Fuqaha’. Murjii’ah yang melampau sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Az-Zahabi, golongan ini adalah mereka yang mengatakan bahawa meninggalkan perkara-perkara wajib dalam agama tidak memudharatkan iman,akidah dan tauhid..(Siyar A’lam Nubala’: 5/233)

Selain itu para pelampau Murji’ah juga mengatakan bahawa tidak mengapa tidak beramal dengan perkara wajib dan tidak mengapa melakukan maksiat asalkan beriman. Dimana bagi mereka iman tidak akan terjejas langsung dengan maksiat. Golongan inilah yang sesat dan dikafirkan ijma’ para ulama salaf sepertimana dilaporkan oleh Ibnu Battah dalam kitab Al-Ibanah(2/893) Manakala golongan Murji’ah Fuqaha’ pula, mereka tidak kafir. Berkata Ibnu Taimiyyah tentang faktor tidak boleh mengkafirkan Murji’ah Fuqaha’:

“Adalah perkara ini(Murji’ah Fuqaha’) seringan-ringan bid’ah, dan sesungguhnya kebanyakan pertelagahan pendapat dan perbezaan adalah dari sudut nama dan lafaz sahaja, bukan dari segi hukum(makna).” (Al-Fatawa Ibn Taimiyyah: 13/38)

Sepertimana yang dikatakan Ibnu Taimiyyah, perbezaan antara Murji’ah Fuqaha’ dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain hanyalah perbezaan dari sudut lafaz sahaja, bukan dari segi makna dan hukum. Imam Az-Zahabi juga ketika menukilkan kisah Murji’ah Imam Hammad menyatakan bahawa beliau hanya berubah menjadi Murji’ah Fuqaha’ dan perbezaan pendapat mereka dengan ulama lain hanyalah perbezaan lafaz sahaja insyaAllah. Menurut sumber-sumber juga, golongan Murji’ah Fuqaha’ ini hanya kelihatan berbeza dari sudut lafaz, tetapi sebenarnya sepakat dengan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari sudut hukum yang mana mereka juga menyatakan bahawa Allah menginginkan daripada hamba-hambaNya iman dari sudut perkataan dan amalan, dan seorang yang beriman jika tidak beramal dengan amalan yang wajib akan mendapat hukuman azab juga.(Rujuk kitab ‘Hammad ibn Abi Sulaiman dan Mazhabnya Dalam Iman’karya Dr. Sarah binti Firaj Ali ms 28)

Rujukan: 

-Siyar A’lam Nubala jilid 5 - Az-Zahabi
-Tabaqat ibn Sa’ad jilid 6
-Tahzibut Tahzib - Ibnu Hajar Al-Asqalani
-Tarikh Islami - Az-Zahabi
-Al-Intiqa’ Fi Fadhail A’immah As-Salasah Al-Fuqaha’- Ibn Abdil Barr Al-Andalusi
-‘Aqidatun Najiin -Syaikh Wan Zainal Abidin Al-Fatoni
-Fatawa- Ibn Taimiyyah
-Al-Jarh Wat Ta’dil - Ibn Abi Hatim Ar-Razi
 -Tabaqat Al-Huffaz - As-Suyuti
-Hammad ibn Abi Sulaiman Wa Mazhabuhu Fil Iman - Dr. Sarah binti Firaj Ali(Pensyarah Kuliyah Akidah Dan Mazhab Kontemporer Universiti Ummu Qura, Mekah)


Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails