10 January 2011

Puisi Imam As-Syafi'ie tentang ilmu

Bismillah..
~Pic by Zamzami on deviantArt

Puisi 1

Ilmu adalah binatang buruan, dan penulisan adalah talinya
Ikatlah binatang tersebut dengan tali yang perkasa.

Suatu kebodohan bila memburu rusa
Lalu meninggalkannya di keliaran serigala..

MasyaAllah, syair yang sangat mendalam maknanya.

Apa yang saya faham, sebagai penuntut ilmu, jagalah ilmu dengan menulis atau menyalin kembali tentang ilmu yang ada pada kita sebanyak dan selengkap mungkin agar ilmu tidak hilang dan sia-sia ditelan zaman. Ini kerana penulisan akan kekal hingga ke generasi mendatang. Adalah suatu kebodohan jika tidak memanfaatkan dan mensia-siakan ilmu yang kita ada. Jadi, sebarkan dan kongsilah ilmu dengan menulis! hm..siapa ada penerangan yang lebih bernas tentang syair ini? saya masih tak puas hati... =D


Puisi 2

Bersabarlah pada pahit getirnya dari seorang guru
Sungguh pada didikan guru itu teguhnya ilmu

Orang yang belum dapat merasakan pahitnya ilmu sesaat saja
Kan merasa kehinaan sepanjang masa

Orang yang ketinggalan belajar di masa muda
Maka bertakbirlah empat kali atas kematiannya

Sungguh nilai seseorang itu dengan ilmu yang berserta taqwa
Jika tiada keduanya maka tak dianggaplah ia..


Subhanallah... Satu lagi karya agung Imamuna As-syafi'ie Rahimahullah..

Kita memang patut banyak bersabar dalam menuntut ilmu, lebih-lebih lagi jika guru kita terlalu tegas atau garang.. Tapi semuanya demi masa depan kita. Didikan yang seperti itulah yang menyebabkan ilmu teguh dalam sanubari kita. Sekiranya guru kita tidak tegas, sudah tentu kita tidak akan ambil berat tentang pembelajaran kita...

Memang sungguh rugi orang yang tidak manfaatkan masa mudanya dengan ilmu pengetahuan.. Seolah-olah seseorang yang jahil itu adalah 'mayat hidup'... Maka, mari manfaatkan masa muda kita...Belajarlah bersungguh-sungguh!

Ya, ilmu tanpa taqwa tiada makna, dan taqwa tanpa ilmu adalah dusta.. Kedua-duanya perlu ada dalam diri. Jika tiada maka seperti mana di dalam sulaman kata Imam kita di atas, 'Bertakbirlah empat kali atas kematiannya'..

Suatu hari seorang penyair sufi An-Niffari ditanya, "Apakah hubungan ilmu dengan perlaksanaan, dan apa pula hubungan ma`rifat(ilmu) dengan ibadah?

An-Niffari menyatakan:


Ilmu adalah huruf
yang tak terungkap kecuali oleh perbuatan
Dan perbuatan adalah huruf
yang tak terungkap kecuali oleh keikhlasan
Dan keikhlasan adalah huruf
yang tak terungkap kecuali oleh kesabaran
Dan kesabaran adalah huruf
yang tak terungkap kecuali oleh penyerahan sepenuhnya pada Tuhan..

Sambung Bacaan>>>

02 January 2011

Reformasi Dua Puluh Sebelas

Bismillah..


Sambungan dari entri Sambutan Tahun Baru Masihi: Ada Apa dengannya?

Menyambut tahun baru ini dengan ibadah seperti introspeksi, koreksi dan reformasi diri ke arah perubahan yang lebih baik dari tahun sebelumnya adalah lebih digalak.

Introspeksi, tafakur ataupun muhasabah harus bermula daripada diri sendiri, menilai dan memerhatikan segala aktiviti kehidupan yang sudah dilakukan sama ada berjaya atau sebaliknya.

Seterusnya, koreksi dan reformasi diri ke arah pembaharuan dan perubahan yang lebih baik adalah perlu dalam meningkatkan kualiti diri kita.

Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti yang setara dengan apa yang Allah tetapkan piawainya iaitu amal soleh.
 
Amal soleh yang dimaksudkan bukan sekadar amalan berbentuk rohani seperti solat, puasa atau haji, sebaliknya semua aktiviti dan amalan harian termasuk akhlak dengan ahli keluarga, masyarakat, cara menilai atau menghukum sesuatu perkara dan sebagainya.

Setiap kali tiba tahun baru kita menanam azam yang bukan sedikit, bahkan menggunung-gunung. Ada yang tidak sabar menunggu kiraan detik akhir menjelang tahun baru, mengadakan pesta, konsert dan sebagainya khusus untuk menyambut tahun baru kononnya untuk mengeratkan ukhuwwah.

Malangnya, tidak ramai sedar atau terfikir untuk menganjurkan majlis muhasabah atau introspeksi iman bagi menilai semula aktiviti atau produktiviti selama setahun berlalu.

Mungkin majlis seperti ini boleh dianjurkan pada peringkat organisasi, masyarakat setempat sehinggalah ke peringkat keluarga.

Malah, suatu yang sangat bagus juga jika akhiri pertemuan muhasabah ini dengan doa selamat atau tahlil atau boleh juga dilakukan solat hajat memohon diberi rezeki yang melimpah dalam tahun yang akan datang.

Suasana ibadah dan ukhuwah bahkan akan lebih terserlah daripada amalan seperti ini..

Sehari telah berlalu sejak tahun baru masihi membuka tirainya, ingat lagikah azam kita? Sudah mulakah mengaplikasinya? Mari sama-sama muhasabah dan reformasi diri mencapai azam-azam kita dalam menuju syurgaNya...


Nota Kecil: Maaf kerana lambat post, kelas saya di Mesir ni masih sangat rancak dan padat, tidak seperti di Malaysia. Saya terpaksa curi-curi waktu untuk menulis.

Sambung Bacaan>>>

01 January 2011

Sambutan Tahun Baru Masihi: Ada Apa dengannya?

Bismillah..

Bagi saya sambut tahun baru tidak salah, tapi ADA SYARATNYA..

Maaf. Sekali lagi lambat post. Internet problem T_T.. Segala kesulitan amat dikesali..

Setelah enam jam gegaran sambutan tahun baru masihi bergema di Tanah Melayu, kini tepat pada 01/01/11, jam 00:00:00 di zon waktu GMT +2, menyusul pula tahun ke-11 Masihi selepas 2000 di Mesir.

Ya. Setiap kali tibanya 1 Januari, hampir tiada satu negara pun yang tidak menyambut ketibaannya. Tidak terkecuali juga negara-negara Islam seperti Malaysia dan Mesir. Pelbagai cara sambutan dan pesta diadakan untuk memeriahkan suasana pembukaan tirai tahun baru.

Saya tidak ambil peduli sangat jika ada umat islam yang menyambut tahun baru masihi ini(bagi saya tak salah), tetapi saya SANGAT ambil peduli dengan CARA sambutannya.

Malangnya, umat Islam kini bukan sahaja mengikut orang kafir dalam menyambutnya, bahkan umat Islam turut ada yang terjebak untuk menyambut tahun baru dengan cara sambutan mereka. Jauh dari syariat.
Saya tidak ingin menulis tentang penyakit-penyakit umat panjang lebar, bukannya elok. Jadi, terus kepada pointnya..

Sebagai umat Islam, setiap tahun baru juga, sering timbul persoalan seperti ‘Salahkah menyambut tahun baru masihi?’ ataupun ‘Apakah hukum menyambut tahun baru bukan Islam?’ Yang mana ia akan segera juga dijawab dengan jawaban yang sering kita dengar, antaranya ‘Haram menyambut tahun baru masihi’...

Jadi, seperti mana yang telah saya sebut di atas, bagi saya menyambut tahun baru tidak salah..

“Eh, mengapa pula?” Tanya sahabat saya..(mungkin para pembaca juga begitu) :D

Tunggulah saya habis dulu, jangan mencelah, ok.. Sabar, saya ada hujjah.. :)

Tidak salah memperingati tahun baru masihi

Ya. Bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya kita memperingati kedatangan 1 januari daripada sudut peredaran masa dan zaman. Ianya malah menjadi tuntutan supaya mengambil berat mengenai masa kerana telah jelas disebut dalam Al-Quran sehingga salah satu surah dinamakan Al-‘Asr yang bererti masa.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka juga berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al ‘Asr: 1-3).

Jelas pada kita bahawa semuanya memerlukan pengisian yang berkualiti (amal soleh) dalam meniti waktu hayat kita. Tuntutan untuk menjaga masa dan bermuhasabah malah amat jelas dalam surah ringkas ini.

Sebenarnya, wujud jalinan hubungan istimewa antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam.Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi juga digunakan untuk menentukan musim kerja atau aktiviti manusia.

Daripada perkiraan inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadah.

Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadah tertentu. Contohnya musim haji dan puasa.

Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

Kepentingan menghitung tarikh as-Syamsi terserlah dalam al-Quran melalui cerita Nabi Yusuf ketika membuat tafsiran mimpi raja Mesir.

Al-Quran menerusi ayat 46 hingga 49 Surah Yusuf menceritakan kisah berkenaan sebagai:

"(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): `Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku, moga mereka dapat mengetahui tafsirannya'.

Yusuf menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya; kecuali sedikit untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (benih gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan(dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)."

Kepentingan memerhati perubahan musim seperti yang diceritakan dalam ayat di atas berdasarkan tarikh as-Syamsi, iaitu mengenal pasti perubahan cuaca untuk memudahkan aktiviti pertanian selepas mendapat isyarat daripada mimpi raja.

“Justeru, jika tidak salah, apa pula syarat menyambutnya?” Tanya sahabat saya lagi.

Ya. Memang ada syaratnya, iaitu sambutan tahun baru masihi mesti tidak bercanggah dengan syari’at. Adakah dengan berpesta dan berkonsert di tengah malam mengikut syariat? Kita tahu bukan?



Kita menyambutnya hanya untuk memperingati kepentingan waktu, bukan untuk bersuka ria, berpesta dan lain-lain perkara yang tiada manfaat. Kita malah perlu menangis setiap kali tiba tahun baru kerana setiap kali umur kita meningkat, kematian semakin hampir dan hampir dengan kita. Sudah cukup bersediakah?

Dalam menyambutnya juga, janganlah sama sekali kita menganggap sambutan tahun baru ini atas dasar keagamaan dan i'tikad bahawa sambutan tahun baru ini ada dalam Islam. Tidak sama sekali, bahkan ianya merupakan upacara sambutan keagamaan orang Kristian. Umat Islam DILARANG keras untuk turut menyambut atau menyerupai sambutan dan kepercayaan orang kafir.

Bersambung di entri seterusnya: Reformasi Dua puluh sebelas (saya akan sebutkan antara cara sambutan yang baik)

Baca juga: link ini dan link ini untuk menambah info..


Nota Tambahan: Satu letupan berlaku di gereja Iskandariah, Mesir pada perayaan sambutan tahun baru. Saya adalah antara yang pertama menentang keras pelaku letupan tersebut.. Rujuk link http://homedailynews.com/21-people-died-at-bomb-explosion-in-egypt/2021/

Sambung Bacaan>>>

26 December 2010

Bencana 26 Disember: Sudah lupakah?

Bismillah..
Sebahagian dari kepulauan ini musnah dilanda bencana ngeri 26 Disember

Maaf sebab lambat post. Sebenarnya nak post semalam, tapi sebab kesibukan menghimpit, tertangguh sehari pun takpa lah.. 

Waktu tengah kelas pagi tadi, saya salin nota yang ustaz tulis kat papan hijau depan.. Tapi bila mana pen mencoret 26 Disember, saya terpaku...

Hari ni 26 Disember.. macam ada satu peristiwa penting... 

Apa ya?

Oh ya lah... takkan dah lupa kot!

Peristiwa dahsyat 6 tahun lalu....

Pada 26 Disember 2004 apakah yang berlaku?

Pada pagi selepas hari Krismas, ketika ramai yang masih bersuka ria menghabiskan cuti mereka, ketika ada yang membuat parti bogel di pantai-pantai, ketika ada juga yang masih terlena dalam dakapan pasangan tidak halal masing-masing(na'uzubillah)....Ketika itulah bala yang tak disangka-sangka menghancurkan mereka...dalam keadaan yang sungguh menyayatkan..

Ya...inilah tarikh di mana dunia dikejutkan dengan bencana ngeri Tsunami. Aceh merupakan yang terparah dan lebih 200 000 insan terkorban...Tsunami ini merupakan antara bencana yang terdahsyat dalam sejarah.

Mana boleh lupa tarikh ni...Lebih-lebih lagi sebab saya pernah ke sana setahun selepas Tsunami berlaku..

Biar saya kongsi sedikit pengalaman saya ketika ke Banda Aceh pada 2005..

Ketika itu saya baru habis peperiksaan UPSR apabila ayah saya mengajak saya untuk menemani beliau yang merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab untuk membangunkan semula negara Aceh sebagai negara Islam. 

Walaupun hampir setahun berlalu, Banda Aceh, kawasan paling parah ditimpa Tsunami ini tetap kelihatan menyedihkan. Bumi di sini masih punah. Mayat masih banyak bergelimpangan di jalanan hinggakan bila saja tingkap kereta di buka, bau meloyakan menusuk hidung. Hampir saja termuntah...

Sungguh ngeri dan menyedihkan. Seolah-olah baru semalam berlakunya Tsunami..Ini sudah setahun, saya tak boleh bayang bagaimana keadaan di sini pada awal-awal kejadian...

Tujuan kami adalah ke sebuah masjid yang dikatakan masih teguh berdiri sedangkan di sekelilingnya ranap dihancur badai Tsunami..

Jalanan masih banyak yang rosak dan ditutup kerana masih dibaik pulih.. Kesan bencana yang begitu dahsyat menyebabkan kerja-kerja baik pulih dan pembangunan semula mengambil masa yang lama..

Jadi kami terpaksa melalui jalanan yang masih rosak. Dengan kereta pacuan empat roda, jalan yang penuh dengan sisa-sisa Tsunami tetap kami rempuh..

Pokok-pokok yang tercabut dari akarnya, sisa-sisa rumah-rumah yang hancur, kenderaan-kenderaan yang tayarnya di atas, mayat-mayat, besi-besi bangunan dan harta benda yang telah musnah menghiasi pemandangan. Malah saya tergamam seketika apabila terlihat sebuah kapal yang besar berada jauh dari pantai..

Sayu.

Setelah berjam-jam lamanya, akhirnya saya sampai ke masjid yang sebelum ini hanya saya lihat di tv sahaja. Bagai tidak percaya. Benar-benar berlakukah bencana ini? Jika tidak mengapa saya sudah menjejak di sini kan...huhu

Saya pernah jejak masjid ni. Pengalaman yang tak terlupa~

Saya lihat sekeliling... benar-benar ngeri.. lebih ngeri dari yang saya bayangkan..lebih teruk dari yang terpapar di televisyen..

Walaupun sudah ada sedikit pembangunan dan perubahan, sekeliling masjid ini masih benar-benar bagai padang jarak pandang tekukur..

Subhanallah...Apabila Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya, tiada yang mustahil, namun berapa ramai sangat insan yang berfikir? Kita malah terus membuat dosa, tidak mengambil iktibar atas bencana yang telah berlaku..

Begitulah...waktu kejadian, ramai yang lari ke rumah Allah selamat, kerana rumah Allah yang paling selamat...

Ketika semuanya ranap di serang badai yang mengganas
Rumah Sang Kuasa masih tersergam gah
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang ambil iktibar
Apabila kuasa Allah jelas terserlah...

Jadi, mengapakah bala menggerunkan ini menimpa negara Islam seperti Aceh, tetapi bukan negara kafir seperti Amerika? Tidak adilkah Allah?

Saya nak cerita panjang lagi, dan nak kupas juga tentang hikmah di sebalik bencana ini sebenarnya... tapi masa tak mengizinkan...jadi, bagi sesiapa yang ada banyak masa, cubalah buat entri tentang persoalan ini...saya paskan kepada kalian..

insyaAllah kalau saya ada masa, saya sambung lagi...

Marilah sama-sama kita bertafakur insafi diri, muhasabah, ambil iktibar atas bencana menyayat hati ini dalam memperingati tragedi 26 Disember 2004 ini serta insan-insan yang tekorban dan yang kehilangan ahli keluarga...

Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah dan janganlah Engkau matikan kami dalam su'ul khatimah..

Ameen...

Jangan pernah lupakan mereka..
Mari ambil iktibar supaya bencana yang menimpa mereka tidak menjadi sia-sia.. 


Nota tambahan: 
-Antara sebab saya tak dapar lupakan peristiwa ini juga adalah kerana saya berdarah Aceh..
-Sebenarnya banyak gambar waktu saya ke Aceh yang nak dikongsi, tapi semuanya tertinggal kat komputer di rumah saya di Tanah Melayu sana.. :(


Sambung Bacaan>>>

23 December 2010

Hikayat Aneh: Analogi dari Allah

Bismillah..
Seperti ulama'-ulama' dulu, daripada menceritakan kisah-kisah dongeng barat, lebih baik kita ceritakan kisah-kisah Islami untuk adik-adik kita..

Abu Laits As-samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur pada kurun ke-9 masihi. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin(Peringatan bagi orang-orang yang lalai).

Beliau berkata, suatu ketika dahulu ayahku pernah menceritakan padaku bahawa antara para nabi yang bukan Rasul, ada yang menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi pada suatu malam bermimpi diperintahkan Allah:

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat pada lima peristiwa yang engkau akan lihat dan hadapi, pertama: engkau makanlah. Kedua: engkau
sembunyikan. Ketiga: engkau terimalah. Keempat: jangan engkau putuskan harapan. Yang kelima: larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan yang pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh, sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan."

Demi menta'ati perintah Allah, maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Namun anehnya tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahMu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung Helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku!"

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat
daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan lagi perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ karena tidak tahan menghidu bau yang menusuk hidungnya.

Setelah menempuhi kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa:

"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku ertinya."

Dalam mimpi, beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Yang kedua, semua amal kebaikan (budi), walau disembunyikan, ia tetap akan ternampak jua.

Yang ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika seseorang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuk membantunya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat/gosip). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."


Para pembaca yang dikasihi, kelima-lima peristiwa ini hendaklah kita semaikan pengajarannya dalam diri kita sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari... 



Sambung Bacaan>>>

12 December 2010

Ibrah Kisah Nabi Yunus: Jangan Putus Asa

Bismillah..
Nabi Yunus berada dalam tiga kegelapan: Kegelapan dalam perut ikan, kegelapan di dasar laut dan kegelapan malam. ~pic by DJ-91 on deviantArt

Kita masih ingat bukan? Tentang kisah Nabi Yunus Alaihissalam ditelan ikan..

Ya, jika baca dan fikir kembali, banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tersebut.
(Bagi sesiapa yang belum pernah tahu tentang kisah Nabi Yunus, saya ada nukilkan ringkasan kisah di hujung entri ini)

Putus asa membawa kegelapan hidup

Cuba bayangkan kita sendiri berada di dalam tempat yang sangat sempit dan gelap pekat hingga tubuh kita sendiri pun sukar digerakkan selama berminggu-minggu...

Fuhh.. Tak boleh saya bayangkan, betapa beratnya ujian yang menimpa Nabi Yunus..

Jadi, adakah Allah sengaja memberi dugaan kepada Nabi Yunus tanpa hikmah dan pengajaran? Kenapa pula Allah sebutkan kisah Nabi Yunus di dalam Al-Quran? Sia-sia saja tanpa ada pengajaran untuk kita fikirkan?

Maka, cuba kita tafakur sejenak, teliti Al-Quran, apa hikmah disebalik ujian Allah ke atas Nabi Yunus.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang Rasul, (ingatlah) ketika ia lari (meninggalkan tanggungjawab) ke kapal yang penuh muatan. Kemudian ia ikut berundi*, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari dibangkitkan(kiamat). Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit.” (Al-Saffat: 139-145)

* Undian itu diadakan karena muatan kapal itu sangat penuh. Kalau tidak dikurangkan mungkin akan tenggelam. Justeru diadakan undian, siapa yang kalah dalam undian itu dilemparkan ke laut. Nabi Yunus termasuk orang-orang yang kalah dalam undian tersebut sehingga ia dilemparkan ke laut.

Apa yang saya dapat, kisah Nabi Yunus ditelan ikan sebenarnya merupakan didikan dan iktibar dari Allah untuk kita, betapa pentingnya bersabar dalam berdakwah dan padahnya meninggalkan tanggungjawab menyeru kepada Allah. Kalau tidak kerana dakwah Nabi Yunus, hancurlah semua kaumnya.

Allah juga ingin mengajar kita bahawa putus asa dan berhenti dari melangkah tidak memberi apa-apa natijah yang baik. Malah ianya sangat dibenci Allah.

Jika kita berhenti dari terus berjuang, kegelapan pasti akan menyelubungi diri kita. Ibarat seseorang yang berputus asa, hidupnya resah, terasa dunia ini hitam dan sempit seperti berada di dalam perut ikan..

Dalam segala aspek kehidupan pun, sama ada pelajaran atau perniagaan, semuanya perlu untuk kita bersabar dan terus melangkah dalam berjuang. Tiada sebab untuk terdetik dalam jiwa kita ‘putus asa’. Malah kita seperti merosakkan diri kita jika berputus asa.

Lebih-lebih lagi dalam berdakwah, menyeru kepada Allah, jika kita berhenti, bukan saja kita yang musnah ditelan kegelapan, bahkan masyarakat juga kan punah ditelan kejahilan.

Sebab itu, cuba kita bayangkan betapa gelapnya dunia ini tanpa dakwah apabila kita berhenti dari menegur, berhenti dari nasihat-menasihati, berhenti dari amar makruf nahi mungkar..

Kita pewaris kerja Nabi

Persoalannya, siapa pula yang perlu berdakwah dan berpesan-pesan? Nabi mana pula?

Setelah Nabi Muhammad menjadi penutup bagi para Nabi dan Rasul, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat Baginda?

Ya, kitalah pewarisnya, kitalah yang menyambung kerja para Nabi. Seperti sebuah syarikat yang dibina ayah kita sendiri, kita sebagai anaknyalah yang mewarisinya. Kita perlu menyambung kerja ayah kita, jika tidak, syarikat akan tergendala dan musnah.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?'" (Fushilat: 33)

Kita sebagai umat Rasulullah wajib menyambung kerja Baginda agar umat ini tidak musnah ditelan kegelapan jahiliyyah. Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menyeru kepada Allah, amar makruf nahi mungkar. Bukankah kita diciptakan sebagai khalifah dunia?

Jadi, mari kita sama-sama terus melangkah..

Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang.

Jangan berhenti melangkah, jangan berhenti berjuang, jangan berhenti berdakwah, jangan biar dunia ditelan kegelapan, ummah perlukan kita!


Bonus: Kisah nabi Yunus

Setelah begitu lama berdakwah, begitu lama bersabar dengan dugaan, begitu lama berjuang, hanya sebahagian kecil sahaja yang menerima dakwah Nabi Allah Yunus. Oleh kerana rasa marah dan kecewa membuak-buak, terdetik dalam sanubari Nabi Yunus untuk berhenti sebentar dalam berjuang menyeru kaumnya kepada Allah.

Maka dengan menumpang sebuah kapal yang penuh, Nabi Yunus pergi meninggalkan kaumnya sebentar. Seolah-olah gejolak kemarahan Nabi Yunus mengaburi tanggungjawabnya sebagai utusan Allah.

Oleh kerana kapal terlalu penuh sehingga boleh menyebabkannya karam, undian perlu dibuat untuk mengurangkan muatan, sesiapa yang kalah akan dibuang ke laut.

Dengan takdir Allah, Nabi Yunus dibuang ke laut setelah kalah undian di kalangan penumpang. Lalu Nabi Yunus ditelan ikan Nun. Nabi Yunus sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan.

Ikan Nun itu membawanya ke dasar lautan dan lautan membawanya ke kegelapan malam. Tiga kegelapan: kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan, dan kegelapan malam. Nabi Yunus merasakan dirinya bagai telah mati. Nabi Yunus akhirnya sedar dan bertaubat atas kesilapannya meninggalkan kaumnya dan redha dengan dugaan Allah.

Di dalam perut ikan, Nabi Yunus tetap bertasbih memujiNya, zikir seolah-olah menjadi makanannya..

Akhirnya, Allah menerima taubatnya dan mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan besar tersebut lalu terdampar di sebuah pulau.

Tidak lama kemudian, Nabi Yunus Alaihissalam kembali kepada kaumnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Nabi Allah..

Sambung Bacaan>>>

07 December 2010

Salam Maal Hijrah

We are closer and closer to DEATH..


Salam Maal Hijrah 1432

Taqabbalallahuminna waminkum.
Moga Allah terima setiap amalan kita.

Sertakan doa untuk saya di dalam doa kalian.
Entah apa dah jadi dengan saya.

Tiada apa untuk dikongsikan kali ini.
Jiwa ini kosong.

Saya takut
Untuk tulis apa yang belum berjaya saya lakukan.

Azam saya bagi Maal Hijrah 1432 ini:

ISTIQAMAH DALAM SETIAP AMALAN
dan
'MENDARAH DAGINGKAN' Al-QURAN



قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Salam Ma'al Hijrah +_+

Sambung Bacaan>>>

03 November 2010

Ujian: Anugerah Istimewa dari Tuhan

Bismillah.
Mirwana: Anugerah Istimewa~ untuk menambah feeling, biarlah lagu ini berputar dahulu mengalunkan nada syahdu sebelum membaca.. ;D

Sebelum ditatapi setiap rangkuman aksara rumi tafakur diri ini yang bakal dibaca, biar aku nyatakan dahulu, ini adalah catatan hati, ditulis daripada hati menggunakan bahasanya. Sebelum ia mengetuk minda, biarlah ia berteleku di jiwa dahulu. Agar tenangnya bersimpuh dan damainya merengkuh sukma. Hayatilah..

Tika ini kamarku sepi, bayu awal musim sejuk menerobos jendela, lalu menabrak pipiku. Nyaman nian terasa menyelubungi jasadku. Aku memaling ke jendela, menyambut sapaan malam yang kelihatan sungguh bahagia. Aku terpesona melihat suasana angkasa, malam yang menyimpan sejuta rahsia. Benakku mengimbau sesuatu, tentang travelog diriku. Aku terasa ingin meluahkan sesuatu. Komputer riba di atas meja kubuka.

Lalu jemariku menari menaip sesuatu buat tatapan minda.

Hampir dua tahun aku terkapar di sini. Kota Fustat makin mesra menerimaku. Bumi ini seolah-olah seronok mentarbiah dan mengajarku.

Aku memang sedar, kita semua ada permulaan. Bermula dari kita dilahirkan ke dunia ini. Ketika itu kita semua dalam keadaan jahil dan dungu, tidak berdaya dan daif. Kurang segala-galanya. Alam yang menyambut kita akan mengatakan.

‘Jika mahu hidup di dimensiku, kamu harus sabar. Jika mahu raih impian yang sederhana, kamu tidak perlu berbuat banyak. Jika kamu mahu meraih impian yang besar, kamu harus berjuang keras. Jika kamu mahu dunia menerimamu, maka kamu harus menjadi luar biasa. Lain dari yang lain.’

Bermakna, hayat manusia berbeza-beza mengikut kadar ujian. Jika berat cubaan dan tekanan, dia akan menjadi lebih berkualiti. Itulah sunah kehidupan.

Lalu kita diberi tempoh waktu untuk kita mengejar mimpi. Jika kita mahu mengejar sesuatu yang besar, kita akan dikurniakan ujian. Ketika itu, jiwa dijentik, hati ditekan, fikiran dihentak, perasaan bahkan memberontak. Itulah proses untuk meraih kebijaksanaan, membina kematangan dan ketabahan. Ia pasti akan memakan waktu untuk menikmati hasil. Lama atau sebentar bergantung kepada ‘cara’ dan ‘persepsi’ yang mampu menyelamatkannya daripada huru-hara itu.

Selepas itu, kita akan lahir sebagai manusia baharu yang memiliki suatu nilai baharu. Pilihan di tangan kita untuk memilih ‘cara’ dan ‘persepsi’ dalam setiap proses.

Ia persis sebuah pertarungan, ia berlangsung sehingga diri sendiri memilih sama ada untuk berhenti, berundur dan tewas dalam proses itu, atau memilih tahan, mara dan menang! Atau paling tidak, dia boleh memilih berhenti dan bertahan. Bererti, pilihan di tangan kita untuk berada di takat mana.

Begitu juga aku, sedaya mungkin, aku memilih untuk tahan, mara dan menang. Ya, manusia mana yang tidak pernah gagal? Manusia mana yang tidak pernah kecewa? Manusia mana yang tidak ada pasang surutnya? Kita bukan malaikat. Jika ada manusia hari ini yang mendabik dada mengatakan dia adalah manusia sempurna, maka aku berani katakan bahawa dia berbohong.

Hidup sering berputar, dari bawah ke atas dan dari atas ke bawah. Sedangkan gelap juga ada waktu cerahnya dan cerah akan ada waktu mendungnya. Perubahan akan berlaku. Cuma soal waktu menjadi tanda tanya.

Orang yang tidak diuji, tidak tahu tinggi rendah langit di atasnya. Orang yang hidup dalam kemewahan akan mudah karam, tambahan pula jika kemelaratan tidak pernah menyentuh atmanya. Mana mungkin dia tahu nilai sesuap nasi.

Oleh itu, apabila Tuhan berikan ujian bererti Tuhan mahu mengajarkan sesuatu. Bila adanya gelap, sebatang lilin jadi sangat berharga. Apabila Tuhan bawa sengsara dan lara, erti bahagia jadi berjuta-juta. Siapakah yang mampu memberi nilai selain Tuhan? Syukurlah pada Tuhan jika diri dilanda ujian, kerana hakikatnya, setiap ujian itu adalah satu anugerah. Cuma manusia sahaja yang berpersepsi salah. Ujian dianggapnya bebanan...

Baru-baru ini, ujian demi ujian menimpa. Aku sering belajar melalui setiap dugaan. Jika selama ini sara hidupku ditampung keluargaku, hidup kurasakan sungguh selesa, namun kini, semua wangku hilang bersama kad bank serta kantung wangnya sekali. Hidupku sempit, jiwaku tertekan. Baru aku rasa secubit bagaimana hidup melarat dan susah. Sudah sebulan aku hidup begini. Kini baru aku tahu erti 1 genih Mesir, baru aku tahu nilai sebuku roti, baru aku tahu sengsaranya hidup tanpa wang, tanpa makanan, tanpa bantuan. Baru aku tahu walaupun sedikit. Aku tersentak.

Bagaimanapun kini aku makin bahagia. Aku telah faham. Ujian ini adalah satu didikan yang dikurniakan Tuhan, yang membuka mataku. Lalu kuhadirkan kesedaranku ini di dalam ruangan pena ini, yang telah terhasil menjadi abjad-abjad kata. Untuk dikongsikan bersama..

“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah: 155)

Dari Abu Yahya, yaitu Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Amat menghairankan sekali keadaan orang mu'min itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak ada pada sesiapa melainkan hanya pada orang beriman, iaitu apabila ia mendapatkan kesenangan hidup, ia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa kesukaran, ia pun bersabar dan hal ini juga adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)


Pendamba kasih Ilahi ~Al-Faqir Azam Husni.
03/11 Bilik yang sepi, seorang diri, kamar tingkat 6, Kaherah, Mesir.

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails