Bismillah.
Mirwana: Anugerah Istimewa~ untuk menambah feeling, biarlah lagu ini berputar dahulu mengalunkan nada syahdu sebelum membaca.. ;D
Sebelum ditatapi setiap rangkuman aksara rumi tafakur diri ini yang bakal dibaca, biar aku nyatakan dahulu, ini adalah catatan hati, ditulis daripada hati menggunakan bahasanya. Sebelum ia mengetuk minda, biarlah ia berteleku di jiwa dahulu. Agar tenangnya bersimpuh dan damainya merengkuh sukma. Hayatilah..
Tika ini kamarku sepi, bayu awal musim sejuk menerobos jendela, lalu menabrak pipiku. Nyaman nian terasa menyelubungi jasadku. Aku memaling ke jendela, menyambut sapaan malam yang kelihatan sungguh bahagia. Aku terpesona melihat suasana angkasa, malam yang menyimpan sejuta rahsia. Benakku mengimbau sesuatu, tentang travelog diriku. Aku terasa ingin meluahkan sesuatu. Komputer riba di atas meja kubuka.
Lalu jemariku menari menaip sesuatu buat tatapan minda.
Hampir dua tahun aku terkapar di sini. Kota Fustat makin mesra menerimaku. Bumi ini seolah-olah seronok mentarbiah dan mengajarku.
Aku memang sedar, kita semua ada permulaan. Bermula dari kita dilahirkan ke dunia ini. Ketika itu kita semua dalam keadaan jahil dan dungu, tidak berdaya dan daif. Kurang segala-galanya. Alam yang menyambut kita akan mengatakan.
‘Jika mahu hidup di dimensiku, kamu harus sabar. Jika mahu raih impian yang sederhana, kamu tidak perlu berbuat banyak. Jika kamu mahu meraih impian yang besar, kamu harus berjuang keras. Jika kamu mahu dunia menerimamu, maka kamu harus menjadi luar biasa. Lain dari yang lain.’
Bermakna, hayat manusia berbeza-beza mengikut kadar ujian. Jika berat cubaan dan tekanan, dia akan menjadi lebih berkualiti. Itulah sunah kehidupan.
Lalu kita diberi tempoh waktu untuk kita mengejar mimpi. Jika kita mahu mengejar sesuatu yang besar, kita akan dikurniakan ujian. Ketika itu, jiwa dijentik, hati ditekan, fikiran dihentak, perasaan bahkan memberontak. Itulah proses untuk meraih kebijaksanaan, membina kematangan dan ketabahan. Ia pasti akan memakan waktu untuk menikmati hasil. Lama atau sebentar bergantung kepada ‘cara’ dan ‘persepsi’ yang mampu menyelamatkannya daripada huru-hara itu.
Selepas itu, kita akan lahir sebagai manusia baharu yang memiliki suatu nilai baharu. Pilihan di tangan kita untuk memilih ‘cara’ dan ‘persepsi’ dalam setiap proses.
Ia persis sebuah pertarungan, ia berlangsung sehingga diri sendiri memilih sama ada untuk berhenti, berundur dan tewas dalam proses itu, atau memilih tahan, mara dan menang! Atau paling tidak, dia boleh memilih berhenti dan bertahan. Bererti, pilihan di tangan kita untuk berada di takat mana.
Begitu juga aku, sedaya mungkin, aku memilih untuk tahan, mara dan menang. Ya, manusia mana yang tidak pernah gagal? Manusia mana yang tidak pernah kecewa? Manusia mana yang tidak ada pasang surutnya? Kita bukan malaikat. Jika ada manusia hari ini yang mendabik dada mengatakan dia adalah manusia sempurna, maka aku berani katakan bahawa dia berbohong.
Hidup sering berputar, dari bawah ke atas dan dari atas ke bawah. Sedangkan gelap juga ada waktu cerahnya dan cerah akan ada waktu mendungnya. Perubahan akan berlaku. Cuma soal waktu menjadi tanda tanya.
Orang yang tidak diuji, tidak tahu tinggi rendah langit di atasnya. Orang yang hidup dalam kemewahan akan mudah karam, tambahan pula jika kemelaratan tidak pernah menyentuh atmanya. Mana mungkin dia tahu nilai sesuap nasi.
Oleh itu, apabila Tuhan berikan ujian bererti Tuhan mahu mengajarkan sesuatu. Bila adanya gelap, sebatang lilin jadi sangat berharga. Apabila Tuhan bawa sengsara dan lara, erti bahagia jadi berjuta-juta. Siapakah yang mampu memberi nilai selain Tuhan? Syukurlah pada Tuhan jika diri dilanda ujian, kerana hakikatnya, setiap ujian itu adalah satu anugerah. Cuma manusia sahaja yang berpersepsi salah. Ujian dianggapnya bebanan...
Baru-baru ini, ujian demi ujian menimpa. Aku sering belajar melalui setiap dugaan. Jika selama ini sara hidupku ditampung keluargaku, hidup kurasakan sungguh selesa, namun kini, semua wangku hilang bersama kad bank serta kantung wangnya sekali. Hidupku sempit, jiwaku tertekan. Baru aku rasa secubit bagaimana hidup melarat dan susah. Sudah sebulan aku hidup begini. Kini baru aku tahu erti 1 genih Mesir, baru aku tahu nilai sebuku roti, baru aku tahu sengsaranya hidup tanpa wang, tanpa makanan, tanpa bantuan. Baru aku tahu walaupun sedikit. Aku tersentak.
Bagaimanapun kini aku makin bahagia. Aku telah faham. Ujian ini adalah satu didikan yang dikurniakan Tuhan, yang membuka mataku. Lalu kuhadirkan kesedaranku ini di dalam ruangan pena ini, yang telah terhasil menjadi abjad-abjad kata. Untuk dikongsikan bersama..
“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah: 155)
Dari Abu Yahya, yaitu Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Amat menghairankan sekali keadaan orang mu'min itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak ada pada sesiapa melainkan hanya pada orang beriman, iaitu apabila ia mendapatkan kesenangan hidup, ia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa kesukaran, ia pun bersabar dan hal ini juga adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)
Pendamba kasih Ilahi ~Al-Faqir Azam Husni.
03/11 Bilik yang sepi, seorang diri, kamar tingkat 6, Kaherah, Mesir.
Semoga tabah ya akhi.
ReplyDeleteSesungguhnya, tiap kesulitan pasti akan ada kemudahan
(La Tahzan-Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Psl kad bank itu, jgn lupa utk terminate account. Nanti, bila pulang ke Malaysia, boleh guna lagi.
Salam. :)
W.salam.
ReplyDeleteYa, doakan saya selalu. insyaAllah, tiada masalah.
saya dah terminate account. Syukran ya habibi. ^_^
Akhi terlalu merendah diri. Inikah bahasa yang dikatakan tidak seberapa . :)
ReplyDelete"Bermakna, hayat manusia berbeza-beza mengikut kadar ujian. Jika berat cubaan dan tekanan, dia akan menjadi lebih berkualiti. Itulah sunah kehidupan."- I like this.
Syukran ala kulli hal akhi. Exam dah habis..
My recent post-Terima Kasih.
akak tak mahu puji. sungguh tak mahu. tapi jujurnya akak terpegun baca post yang ini.. garapan yang baik..
ReplyDeleteJazakillah. =) Alhamdulillah, segala pujian bagi ALLAH...
ReplyDelete