Showing posts with label keinsafan. Show all posts
Showing posts with label keinsafan. Show all posts

24 May 2011

Bersykurlah: Tiada Sebab Untuk Kita Mengeluh!

Bismillah

(T_T) Sayu: Setiap kali kuhayati video ini, sebak menyelubungi setiap sendi-sendi; menusuk sukma ini.


Terjemahan lirik:


Hari ini, tatkala menaiki sebuah bas
kulihat seorang gadis kecil berambut perang emas
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika wajahku seindah paras rupanya
tiba-tiba
kulihat dia bersusah-payah untuk turun dari bas itu
rupa-rupanya, gadis kecil itu hanya mempunyai sebelah kaki,
dan dia memakai tongkat
namun, sewaktu gadis kecil itu berjalan melaluiku
dia tersenyum bahagia
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang kaki
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Aku berhenti untuk membeli manisan
penjual manisan itu mempunyai wajah yang indah
aku berbual dengannya, dan dia kelihatan sangat bahagia
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika aku tampan dan bahagia sepertinya
sewaktu aku mahu meninggalkan kedainya, seraya dia berkata kepadaku --
“Terima kasih, Tuan seorang yang berhati mulia”
“Untuk pengetahuan Tuan,” katanya. “Saya cacat penglihatan”
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang mata
Dunia adalah milikku(betapa bertuahnya diriku)

Kulihat seorang anak kecil bermata biru
dia duduk sendirian -- melihat rakan-rakannya bermain
dia tak tahu apa yang perlu dilakukannya
aku pun berhenti sejenak, dan bertanya,
“Kenapa tak bermain bersama teman-temanmu?”
dia merenung kosong, tanpa mengungkap sebarang kata
dan kemudian baharulah kutahu -- dia tak mampu mendengar
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang telinga
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Dengan kaki untuk membawa ke mana kuingin pergi
dengan mata untuk melihat cahaya mentari senja
dengan telinga untuk mendengar apa yang aku ingin ketahui
Oh TUHAN, ampunkanlah maafkan hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
sungguh, hidupku dirahmati
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)..

Firman ALLAH:


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak
mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan
hati, agar kamu bersyukur." (QS. An-Nahl:78)

Dalam soal jawab Iblis dengan ALLAH, Iblis berkata,


"Kemudian, sungguh aku datang(memperdayakan) mereka dari hadapan mereka, belakang, kanan
dan kiri mereka. Dan TIDAKLAH Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan
daripada mereka bersyukur." (QS. al-A'raaf: 17).



Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur?

Menurut Imam al-Junaid,


"Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan
maksiat kepada-Nya."

Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepadaNya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan dan bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

Syukur dengan lidah: Iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah:


"Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan
kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11)

Syukur dengan anggota badan: Iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah.

Syukur dengan hati: Iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firmanNya bermaksud:

"Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS.
an-Nahl: 53)

Ibnu Atha'illah Assakandari pula berkata:

"Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."

Begitu juga seperti mana yang kita tahu, bagaimana Rasulullah memberi tauladan pada kita, cara untuk kita bersyukur ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad menjawab,

"Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada Allah."

Marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri, bahkan dengan nikmat Islam, Iman dan bolehnya kita bernafas pun sudah memadai untuk kita rasa tiada sebab langsung untuk kita mengeluh.. Alhamdulillah..

Bagi sesiapa yang acap kali mengeluh, baca juga Ayat-ayat cinta Allah di post 'Jangan Mengeluh' untuk lebih menenangkan jiwa kita. Sama-sama kita renungkan. =)

Sambung Bacaan>>>

25 April 2011

Let Us Recharge Our E-man

Bismillah..

"Marilah kita duduk untuk beriman sejenak"
- berkata Muadz bin Jabal mengingatkan sahabatnya

"Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak"
- berkata Ibnu Rawahah kepada Abu Darda' sambil memegang tangannya.

Begitulah rutin para sahabat Nabi yang senantiasa ingat-mengingati tentang iman. Sedangkan iman mereka sangat jauh bandingnya dengan kita. Iman para sahabat Nabi telah mencapai tahap kesempurnaan yang mana apabila dinampakkan syurga dan neraka di hadapan mereka, nescaya iman dan keyakinan mereka tidak akan meningkat mahupun berubah. Radhiallahuanhum.

Itu para sahabat. Bagaimana pula dengan kita yang masih cacat imannya ini?

Bateri yang kong perlukan charger. Begitu juga iman.

Manusia boleh bersungguh-sungguh berusaha menuntut ilmu, berusaha mencari rezeki, berusaha mendapat kemegahan dunia, tetapi untuk perkara sepenting iman, tak ingin berusaha meningkatkannya? Tak ingin berfikir tentangnya walau seketika?

Iman Meningkat dan Menurun

Graf Iman: Iman kita sepatutnya begini.
Al-Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama ilmu kalam berpendapat bahawa iman tidak meningkat mahupun menurun.

Manakala jumhur(majoriti) ulama antaranya Imam Bukhari dan Imam Burhanuddin Al-Laqqani(penulis matan Jauharah Tauhid) berpendapat bahawa Iman itu meningkat dan menurun.

Lalu Al-Imam Fakhrurrazi menyimpulkan bahawa masalah khilaf dalam hal ini adalah perbezaan dari sudut lafaz sahaja. Ini kerana ulama yang mengatakan iman itu tidak meningkat dan tidak menurun adalah disebabkan penafsiran mereka bahawa iman itu adalah 'tasdiq' yakni keyakinan di dalam hati.

Sebaliknya ulama yang mengatakan bahawa iman itu meningkat dan menurun adalah kerana mereka menafsirkan iman itu 'tasdiq bil a'mal' yakni keyakinan yang diiringi dengan amalan.

Maka saya sangat tertarik untuk berkongsi tentang kata-kata Imam Nawawi yang indah dan bernas dalam merungkai bab ini:

"Iman adalah ibarat Matahari yang keterikan cahayanya berubah-ubah mengikut litupan awan yang bergerak dan ketebalannya. Jika ada awan yang menghalang matahari, maka cahayanya akan redup."

Ya. Iman memang tidak akan berubah seperti tidaknya Matahari kerana kita memang tetap meyakini dengan keenam-enam rukun iman. Tetapi cahaya iman akan pudar dengan awan-awan gelap noda dan maksiat, yang mana menyebabkan cahaya iman itu tidak sampai ke seluruh anggota badan untuk kita beramal. Sebaliknya jika kita tidak bermaksiat dan sentiasa membersihkan iman dengan zikir dan Al-Quran, maka cahayanya akan tetap terpancar menyilaukan..

Iman Umpama Bateri

Setiap insan pasti akan berasa kekurangan tenaga, letih dan penat. Kita mengumpul kembali tenaga jasmani kita dengan makan, minum, rehat dan tidur. Kita umpama mengecas jasad kita dengan tidur. Tiada manusia yang mampu hidup tanpa tidur.

Soalnya, jika jasmani kita perlu dicas, bagaimana pula dengan rohani kita? Iman kita? Bahkan rohanilah yang patut diberikan lebih keutamaan dan penjagaan. Tanpa kekuatan tenaga rohani, hidup akan menjadi gundah, jasmani akan bekerja tanpa ketenangan dan kebahagiaan.

Iman adalah ibarat bateri dalam diri insan untuk menghidupkan enjin amal. Jika bateri kita tidak dicas, maka kekuatan kita untuk melakukan amal ibadah akan menjadi lemah.

Justeru orang yang benar-benar beriman akan sentiasa memastikan bateri dirinya dalam keadaan yang stabil.

Jadi, apakah charger nya?

Charger E-man



Rasulullah ada bersabda tentang cara untuk kita recharge kembali iman kita dalam hadis daripada Abu Hurairah:

Baginda bersabda, "Perbaharuilah iman kalian!"

Para sahabat bertanya, "Bagaimana untuk kami perbaharui iman kami Ya Rasulallah?"

Rasulullah menjawab, "Perbanyakkanlah kalian menyebut 'La Ilaha illallah'"

(HR Imam Ahmad dengan sanad hasan)

Begitu juga dengan membaca Al-Quran, berzikir, memikirkan dan sering berbicara tentang kebesaran Allah, berbicara tentang hari akhirat dan doa..

Apa kita tunggu lagi? Jom cas.. La Ilaha illallah 100x.. =)

Mari Mencapai Kesempurnaan Iman


{إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانا وعلى ربهم يتوكلون}


"Sesungguhnya orang-orang yang (sebenar-benar)beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."{Al-Anfal:2}

Begitulah tahap kesempurnaan iman yang ada dalam diri para sahabat. Sehinggakan apabila terdengarnya nama Allah dalam seruan azan 'Allahuakbar', bergetar hati mereka, lalu dengan segera terus ke rumah Allah tanpa berlengah-lengah.

Bahkan apabila mereka membaca Al-Quran, bertambah-tambah iman mereka sehingga menyebabkan mereka tidak tidur malam dengan tangisan dan pembacaan Al-Quran seperti mana kita tahu bahawa Sayyidina Uthman pernah mengkhatamkan Al-Quran hanya dalam satu rakaat!

Mereka bukan malaikat mahupun Nabi, tetapi mereka hanyalah insan biasa seperti kita.

Justeru, mari kita sama-sama mencontohi mereka, tingkatkan iman kita dengan banyak berzikir, menyebut kalam-kalam dan berbicara tentang keagungan Allah 'Azza wajalla..

Semoga Allah kurniakan kita hakikat iman yg mana jiwa kita bergetar apabila mendengar setiap kalam-kalam Allah..Ameen.

Akhir kalam, setiap abjad dan kalimah yang saya tulis adalah untuk saya sendiri yang tidak stabil imannya ini pertamanya, dan saya berkongsi dan mengajak kalian untuk sama-sama tingkatkan iman kita atas dasar menuju kesempurnaan iman. Ya, kerana saya mencintai kalian. =)


"Tidak beriman(dengan sempurna) setiap daripada kamu sehingga dia mencintai dan mengasihi saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri" -Rasulullah S.A.W.(Muttafaq 'alaih)
Pastikan Iman kita stabil dan sentiasa berusaha mencapai tahap iman 100%

Sambung Bacaan>>>

23 April 2010

Perkongsian: Hakikat Ilmu

Bismillah.
Mufti bumi ulama dan awliya', Sheikh Dr. Ali Jum'ah
 
"Ilmu merupakan penghubung kita kepada Allah, dengan ilmu, kita akan lebih mengenali Tuhan."
Fikir-fikirkan!

Kata-kata yang diucapkan oleh Mufti Mesir, Sheikh Dr. ‘Ali Jum’ah semalam, benar-benar ‘membuka mata’ saya..

Ianya bagai menghunus tepat ke dalam fuad ini, membasmi virus-virus tekanan,malas,putus asa dan sebagainya yang menjangkiti hati.

Ya, memang benar.

Ilmu yang pada hakikatnya merupakan penyambung dan wasilah untuk kita lebih mengenali Allah, kini sering dilupakan.

Tak kira apa sahaja bidang ilmu, bukan hanya agama sahaja. Dengan ilmu fizik kita lebih mengenal alam ini, dengan ilmu perubatan kita lebih mengenal telitinya Allah cipta makhluk, ada penyakit, ada pula penawarnya. Ilmu matematik, sejarah, geografi dan sebagainya..

Ramai para penimba ilmu kini mencari dan menuntut ilmu, bukan makin mendekatkan diri kepadaNya, bahkan makin menjauh, dan menjauh...

Ada yang menuntut ilmu untuk kemewahan masa depan dunia semata-mata, untuk mendapat kerja, untuk wang, jawatan, kuasa, nama, dan material duniawi yang lain.

Kita perlu sedar, perlu koreksi, bahawa hakikat ilmu itu sendiri adalah merupakan penghubung untuk kita lebih kenal akan Pencipta kita.

Maka, jika ilmu itu sendiri hakikatnya begitu, apatah lagi kita yang ingin mencari dan menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kita sendiri yang perlu menjadikan ilmu itu sebagai wasilah untuk lebih dekat kepada Allah, bukan orang lain mahupun ilmu itu sendiri. Jika tidak, ilmu itu akan menjadikan kita makin jauh dengan Tuhan.

Kita sendiri sangat perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari ‘penghubung’ ini, makin banyak kita cari, makin dekat dan makin kenal dengan Sang Pencipta kita. Lalu kita akan berusaha mencari, kaji dan dalami sebanyak mungkin,genggam dan gigit sekuatnya dengan ‘penghubung’ tadi, jangan lepaskan ia. Ianya indah!

Ianya seronok dan membuat kita ketagih!

Tak percaya?

Cubalah!

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah ada mengatakan bahawa kategori manusia dalam menuntut ilmu ada 3 macam:

1)Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan di akhirat dan hanya kerana Allah semata-mata.

2)Orang yang menuntut ilmu untuk dijadikan sebagai bantuan kehidupannya di dunia yang sementara, untuk mendapat kerja, wang, kuasa, pangkat dan sebagainya.

3)Orang yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga dengan ilmunya yang banyak, mendapat kemasyhuran, banyak murid dan pengikut, untuk mendapat banyak harta, dan pada masa yang sama merasakan dirinya mendapat martabat disisi Allah kerana menganggap dirinya bergelar ulama yang hebat. Orang ini telah ditipu syaitan.

Imam Al-Ghazali berkata lagi, bahawa orang ke-3 yang paling celaka dan rugi. Orang yang ke-2 juga rugi, kecuali jika sedar dan taubat. Beliau seterusnya menasihatkan kita:


“Maka wahai para pelajar sekalian, jadilah kalian di kalangan kategori pertama.”

Rasulullah Alaihissolatu wassalam ada bersabda:


“Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah hidayah dan manfaat kepadanya(untuk diamalkan dan menjadi lebih baik), tidak akan bertambah daripada Allah kecuali bertambah jauh dariNya”

Memang, tak dinafikan ilmu juga dapat menjauhkan kita daripada Tuhan. Ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat serta dimurkai Allah. Seperti ilmu tentang maksiat dan ilmu dalam membuat kejahatan. Juga segala ilmu yang tidak diaplikasikan dalam kehidupan dan yang tidak disebarkan.

Jangan pula disebabkan ilmu yang baik, kita menjadi semakin jauh dari Tuhan, itu salah kita. Kita perlu repair kembali, koreksi dari akar, baru lainnya. Betulkan niat. Sentiasa. Kemudian kita amalkan dan sebarkan.

Hanya ilmu yang bermanfaat dan diamalkan serta disebarkan sahaja yang membawa kejayaan. Kita jangan sekali menjadikan ilmu untuk menjauhkan kita daripada Allah.

Mungkin kerana kita alpa dan leka, kita merasakan ilmu yang kita pelajari kini, tidak berperanan mendekatkan diri kita kepada Allah, justeru, kita perlu bangkit dan buka mata kembali. Jangan biarkan ianya parah dan membiak.

Mengapa?

Kerana jika kita biarkan sahaja dengan kealpaan ini, virus-virus akan muncul. Ilmu yang hakikatnya sebagai anti-virus, malah kini menjadi sebaliknya. Sebagaimana yang pernah terjadi pada saya.

Malas, main-main, tidak bersungguh, tekanan, masalah, kesusahan, putus asa dan ragu-ragu dalam menuntut ilmu akan terbit. Lalu menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Benar.

Jika kita tidak sedar akan hakikat ilmu itu sendiri, kita tidak akan terasa nak ambil berat dalam mencari, menimba dan menuntut ilmu.

Kita akan bersikap sambil lewa dan malas-malas ketika menjadi seorang penuntut ilmu.

Sebaliknya,jika kita sedar, kita akan merasa nikmatnya menuntut ilmu. Lalu menjadikan kita lebih bersemangat dan bersungguh.

“Peduli apa aku, buat apa belajar lagi, aku kaya, tak payah belajar lagi pun aku boleh kerja apa, boleh hidup laa”

Ucapan ini akan terbit jika virus menular parah. Seseorang yang tidak sedar akan hakikat ilmu, tidak akan rasa nikmatnya menuntut ilmu. Mereka itu sangat rugi. Hidup tak akan bahagia.

Bahkan, kayanya seseorang bukan kerana hartanya, tapi kerana ilmunya. Sebab itu sesetengah para ulama dahulu hidup bahagia walaupun faqir miskin.

Mereka malah lebih bertambah-tambah cinta mereka kepada Allah, makin kenal Allah kerana ilmu.

Seterusnya, ilmu yang bermanfaat juga tidak akan terputus walaupun kita telah mati, sebagaimana kita maklum dalam hadis-hadis Nabi.

Ia akan berterusan, bertambah dan berganda, memberi pahala, syafaat dan kebaikan kepada kita.

Ilmu itu penghubung seorang hamba kepada Sang Pemiliknya. Makin banyak, makin dekat, makin kenal, makin cinta.

Jadi.

Saya sudah sedar sekarang. Saya akan cuba berusaha untuk bersungguh-sungguh menikmati ‘penghubung’ ini. Tiada yang lebih indah daripada mencintai dan merindui Rabbul ‘Izzati.

Ayuh kita sama-sama tuntut ilmu, cintai ilmu. Sungguh-sungguh.

Itu bukti kita cinta pada Allah.

Sebab itu Rasulullah ada bersabda bahawa menuntut ilmu itu wajib kepada setiap Muslim.

Ya, untuk kita menambah iman kita, menambah amal kita, menambah takut kita pada murkaNya dan azabNya.

Hanya ada pada pencinta lazuardi ilmu yang bersungguh-sungguh..

Mari!!!


Nota: Semalam, ketika saya ingin ke kelas talaqi Sahih Bukhari, Sheikh Mustafa tidak dapat hadhir kerana sakit. Jadi, saya terus ke Masjid Al-Azhar yang mana berhampiran dengan kelas talaqi tersebut.

Kebetulan, Mufti Mesir Al-Allamah Sheikh Dr. ‘Ali Jum’ah sedang berceramah di situ. Saya berasa sangat beruntung, lantas duduk menyertai majlis ilmu tersebut.

Sebagai Mufti, beliau sangat jarang mengadakan majlis ilmu kerana kesibukan yang menghimpit. Sangat beruntunglah sesiapa yang sempat menghadiri salah satu daripada majlis ilmu beliau dalam mengutip mutiara-mutiara kata dan ilmunya yang sangat bermanfaat kepada sesiapa.

Sebenarnya, saya sangat ingin berkongsi banyak perkara dengan para sahabat. Tetapi, oleh kerana final exam saya untuk tahun ini akan bermula seminggu lagi, jadi, waktu saya makin sempit.

Sebab itu, saya hanya mampu kongsikan satu perkara ini sahaja yang sempat saya ambil ketika berada di majlis ilmu beliau.

Sambung Bacaan>>>

27 March 2010

Aku Hampir Mati!

Bismillah.

Waktu sentiasa berlalu pergi, tak akan berhenti, tak akan kembali.
Begitu juga Kematian, ia sentiasa mendekat, tak akan menjauh.
Takkan.........

Hari ini, aku lihat kalendar Masihi, kuteringat...

Tarikhnya benar-benar sinonim dengan tarikh aku ditakdirkan muncul ke dunia ini pada surat beranak aku. 17 Tahun yang lalu.

Ya, mungkin ramai orang fikir, bahkan aku sendiri adakalanya merasakan, aku akan hidup lama lagi.

Baru 17, muda lagi, buat apa sirius belajar, buat amal, jadi orang baik...

Muda-muda macamnilah kita berfoya-foya, bercouple, lepak, jadi gengster, berpeleseran merempit dan clubbing, berhibur, gi fun fair......

Dah tua nanti, baru pakai kopyah, pergi Masjid, buat amal..

Kan boleh taubat dengan semua dosa waktu kita muda dulu..

Ya, memang boleh...

Tapi hanya jika kita pasti bahawa besok kita akan kekal hidup. Bahkan beberapa saat lagi.

Pastikah kamu? Sejauh mana?

Jika tidak pasti, adakah kita akan terfikir untuk berbuat noda?

Begitulah, ramai yang kononnya pasti, mereka mati lama lagi, lalu buat maksiat, buat Tuhan Marah, buat dosa.
Kononnya dah pasti kita tak akan masuk neraka dengan dosa kita...

Hipotesisnya, semakin meningkat umur kita, semakin hampir kita dengan kematian.

Lantaran itu, sempena pengulangan sejarah hari kelahiranku ini, aku tidak ingin bergembira menyambutnya.

Mengapa nak bergembira, sedangkan Aku ni hampir mati! Bergembira dengan dosa yang banyak ini?

Bergembira mati dengan buruk? Bergembira dengan azab kubur? Dengan kedahsyatan neraka?

Aku bertekad, ingin menyambut befday kali ini dengan kesedihan, dengan tangisan(ye ye je aku ni).

Moga-mogalah.. Aku laksanakan tekadku ini. Walaupun tidak punya kekuatan, tapi dengan kudrat yang tersimpan, ku coba..

Sahabatku, mari menangis....

Menangis kerana Allah......


p/s:  Tak tau la sedih sebab hampir mati ke atau sebab xde org ingat befday aku nih, Astaghfirullah!...adeih. Pilu. Sepi. Family kat malaysia sana tak ingat aku lagi ke? Aku hanya dibuang ke bumi Mesir inikah?
 Atmaku ranap!!!!
Azam, kau benar-benar hampir mati!
Kata sahabatku “ Istighfar Zam! Fikir bukan-bukan jeh kau nih, tadi kata tak nak sambut befday happy2, nak nangis2! haish3..”

Gelak.

Selamat Hari Jadi, Azam, yang ke-17! T_T(sambut sorg2 pn x mengapa lah)

Baginda Rasulullah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi:
Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang:
1. Umurnya pada apa yang telah dihabiskannya,
2. Masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya,
3. Hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya
4. Ilmunya, apakah yang telah dilakukan dengannya.

Sambung Bacaan>>>

24 August 2009

EPL kembali pula!


Tak da idea pula bulan Ramadhan ni...tp akhirnya dpt inspirasi santai ketika menonton bola bertepatan ketika azan dikumandangkan..

Baru baru ni saya tengok satu match smpy fulltime..pergh..best btul..tapi rasa bersalah pulak…Ye la..sanggup terpacak satu jam lebih kat tv nak tengok bola tapi tak sanggup nak terpacak ibadah depan Tuhan tengah-tengah malam...lemah nya iman saya ni….
Aduh….
tak boleh jadi ni…
hmmm..musim baru Liga Perdana Inggeris, Kedai-kedai makan biasanya dapat untung lebih sket sbab orang ramai datang nk tengok berjamaah melalui satu skrin besar sambil menjamah, agar lebih ‘feeling’ kononnye. Ye la, memang bila ramai orang nampak meriah siket..sekali goal satu restoran bunyi ”Gooooooaaaaal” kalau sipi lagi nk goal pulak serentak “Alaaaaa” dan macam macam bunyi lagi.
Saya kalau tengok pun tak de la nak terjerhit jerhet.. boleh dikatakan saya kategori control macho la..hehe. Macam macam bangsa,usia dan agama, bersatu di satu tempat menyokong kumpulan fevret masing-masing.
Bola memang menyatupadukan manusia.. Saya sendiri pun dapat ramai kawan bila tengok bola kat kedai mamak..haha kantoi…kadang2 je la..hish. . Saya juga salah seorang dari mereka, pencinta bola. Namun syukur tak tergila-gila. Man Utd my fevret..
Tapi yang sedihnya orang Islam yang boleh tengok secara berjamaah dan bersatu hati di restoran ataupun rumah, tapi tak boleh pulak nak ramai-ramai solat berjamaah di Masjid. Apalah ganjarannya menonton bola berbanding solat berjamaah? Bijaknya orang kafir……
Cuba bayangkan bila keghairahan mereka solat jamaah sama dengan tengok bola….mesti stiap waktu solat penuh satu masjid macam solat jumaat.. Apa lagi kalau mereka sedar betapa BESARnya pahala solat jamaah..keghairahan akan meluap-luap….
‘Mereka’ Berjaya melalaikan kita dengan sebiji bola yang sangat sangat tidak ada apa-apa manfaat dan kelebihan, hanya dapat menontonnya shj..lalai dan lagha(sia-sia). Saya sndiri pun x ubah ubah lg…adesh…Ya, saya mesti berubah..kita mesti berubah..
ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!
Lagi-lagi kalau ada match yang meletup pada bulan RAMADHAN ni…kadang-kadang ada yang sampai tak solat tarawikh, lengah-lengah nak pegi solat, Kita ni sembah apa sebenarnya?? Bola ke Tuhan?? Mengapa kita lebih pentingkan bola yang tak guna tu daripada seruan Tuhan?? Kita bertuhankan bola?? Bukankah itu syirik?? Nastaghfirullah..
Apa salahnye bulan Ramadhan ni kita berubah…paling kurang satu bulan Ramadhan jangan tengok bola ~InsyaAllah…sebab waktu dalam bulan Ramadhan sepatutnya kita isi dengan beribadat…..kalau nak tau sangat result tengok je kat akhbar atau highlights kat internet…
Tetapi….alangkah lebih bagosnya jika kita berubah terus sampai bila-bila…jangan bulan Ramadhan je kita nak tinggalkan itu dan ini, lepas tu habis je ramadhan tak nk berubah, sama je macam dulu…ish ish ish……

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails