26 December 2010

Bencana 26 Disember: Sudah lupakah?

Bismillah..
Sebahagian dari kepulauan ini musnah dilanda bencana ngeri 26 Disember

Maaf sebab lambat post. Sebenarnya nak post semalam, tapi sebab kesibukan menghimpit, tertangguh sehari pun takpa lah.. 

Waktu tengah kelas pagi tadi, saya salin nota yang ustaz tulis kat papan hijau depan.. Tapi bila mana pen mencoret 26 Disember, saya terpaku...

Hari ni 26 Disember.. macam ada satu peristiwa penting... 

Apa ya?

Oh ya lah... takkan dah lupa kot!

Peristiwa dahsyat 6 tahun lalu....

Pada 26 Disember 2004 apakah yang berlaku?

Pada pagi selepas hari Krismas, ketika ramai yang masih bersuka ria menghabiskan cuti mereka, ketika ada yang membuat parti bogel di pantai-pantai, ketika ada juga yang masih terlena dalam dakapan pasangan tidak halal masing-masing(na'uzubillah)....Ketika itulah bala yang tak disangka-sangka menghancurkan mereka...dalam keadaan yang sungguh menyayatkan..

Ya...inilah tarikh di mana dunia dikejutkan dengan bencana ngeri Tsunami. Aceh merupakan yang terparah dan lebih 200 000 insan terkorban...Tsunami ini merupakan antara bencana yang terdahsyat dalam sejarah.

Mana boleh lupa tarikh ni...Lebih-lebih lagi sebab saya pernah ke sana setahun selepas Tsunami berlaku..

Biar saya kongsi sedikit pengalaman saya ketika ke Banda Aceh pada 2005..

Ketika itu saya baru habis peperiksaan UPSR apabila ayah saya mengajak saya untuk menemani beliau yang merupakan salah seorang tokoh yang bertanggungjawab untuk membangunkan semula negara Aceh sebagai negara Islam. 

Walaupun hampir setahun berlalu, Banda Aceh, kawasan paling parah ditimpa Tsunami ini tetap kelihatan menyedihkan. Bumi di sini masih punah. Mayat masih banyak bergelimpangan di jalanan hinggakan bila saja tingkap kereta di buka, bau meloyakan menusuk hidung. Hampir saja termuntah...

Sungguh ngeri dan menyedihkan. Seolah-olah baru semalam berlakunya Tsunami..Ini sudah setahun, saya tak boleh bayang bagaimana keadaan di sini pada awal-awal kejadian...

Tujuan kami adalah ke sebuah masjid yang dikatakan masih teguh berdiri sedangkan di sekelilingnya ranap dihancur badai Tsunami..

Jalanan masih banyak yang rosak dan ditutup kerana masih dibaik pulih.. Kesan bencana yang begitu dahsyat menyebabkan kerja-kerja baik pulih dan pembangunan semula mengambil masa yang lama..

Jadi kami terpaksa melalui jalanan yang masih rosak. Dengan kereta pacuan empat roda, jalan yang penuh dengan sisa-sisa Tsunami tetap kami rempuh..

Pokok-pokok yang tercabut dari akarnya, sisa-sisa rumah-rumah yang hancur, kenderaan-kenderaan yang tayarnya di atas, mayat-mayat, besi-besi bangunan dan harta benda yang telah musnah menghiasi pemandangan. Malah saya tergamam seketika apabila terlihat sebuah kapal yang besar berada jauh dari pantai..

Sayu.

Setelah berjam-jam lamanya, akhirnya saya sampai ke masjid yang sebelum ini hanya saya lihat di tv sahaja. Bagai tidak percaya. Benar-benar berlakukah bencana ini? Jika tidak mengapa saya sudah menjejak di sini kan...huhu

Saya pernah jejak masjid ni. Pengalaman yang tak terlupa~

Saya lihat sekeliling... benar-benar ngeri.. lebih ngeri dari yang saya bayangkan..lebih teruk dari yang terpapar di televisyen..

Walaupun sudah ada sedikit pembangunan dan perubahan, sekeliling masjid ini masih benar-benar bagai padang jarak pandang tekukur..

Subhanallah...Apabila Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya, tiada yang mustahil, namun berapa ramai sangat insan yang berfikir? Kita malah terus membuat dosa, tidak mengambil iktibar atas bencana yang telah berlaku..

Begitulah...waktu kejadian, ramai yang lari ke rumah Allah selamat, kerana rumah Allah yang paling selamat...

Ketika semuanya ranap di serang badai yang mengganas
Rumah Sang Kuasa masih tersergam gah
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang ambil iktibar
Apabila kuasa Allah jelas terserlah...

Jadi, mengapakah bala menggerunkan ini menimpa negara Islam seperti Aceh, tetapi bukan negara kafir seperti Amerika? Tidak adilkah Allah?

Saya nak cerita panjang lagi, dan nak kupas juga tentang hikmah di sebalik bencana ini sebenarnya... tapi masa tak mengizinkan...jadi, bagi sesiapa yang ada banyak masa, cubalah buat entri tentang persoalan ini...saya paskan kepada kalian..

insyaAllah kalau saya ada masa, saya sambung lagi...

Marilah sama-sama kita bertafakur insafi diri, muhasabah, ambil iktibar atas bencana menyayat hati ini dalam memperingati tragedi 26 Disember 2004 ini serta insan-insan yang tekorban dan yang kehilangan ahli keluarga...

Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah dan janganlah Engkau matikan kami dalam su'ul khatimah..

Ameen...

Jangan pernah lupakan mereka..
Mari ambil iktibar supaya bencana yang menimpa mereka tidak menjadi sia-sia.. 


Nota tambahan: 
-Antara sebab saya tak dapar lupakan peristiwa ini juga adalah kerana saya berdarah Aceh..
-Sebenarnya banyak gambar waktu saya ke Aceh yang nak dikongsi, tapi semuanya tertinggal kat komputer di rumah saya di Tanah Melayu sana.. :(


Sambung Bacaan>>>

23 December 2010

Hikayat Aneh: Analogi dari Allah

Bismillah..
Seperti ulama'-ulama' dulu, daripada menceritakan kisah-kisah dongeng barat, lebih baik kita ceritakan kisah-kisah Islami untuk adik-adik kita..

Abu Laits As-samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur pada kurun ke-9 masihi. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin(Peringatan bagi orang-orang yang lalai).

Beliau berkata, suatu ketika dahulu ayahku pernah menceritakan padaku bahawa antara para nabi yang bukan Rasul, ada yang menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi pada suatu malam bermimpi diperintahkan Allah:

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat pada lima peristiwa yang engkau akan lihat dan hadapi, pertama: engkau makanlah. Kedua: engkau
sembunyikan. Ketiga: engkau terimalah. Keempat: jangan engkau putuskan harapan. Yang kelima: larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan yang pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh, sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan."

Demi menta'ati perintah Allah, maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Namun anehnya tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahMu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung Helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku!"

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat
daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan lagi perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ karena tidak tahan menghidu bau yang menusuk hidungnya.

Setelah menempuhi kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa:

"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku ertinya."

Dalam mimpi, beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Yang kedua, semua amal kebaikan (budi), walau disembunyikan, ia tetap akan ternampak jua.

Yang ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika seseorang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuk membantunya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat/gosip). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."


Para pembaca yang dikasihi, kelima-lima peristiwa ini hendaklah kita semaikan pengajarannya dalam diri kita sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari... 



Sambung Bacaan>>>

12 December 2010

Ibrah Kisah Nabi Yunus: Jangan Putus Asa

Bismillah..
Nabi Yunus berada dalam tiga kegelapan: Kegelapan dalam perut ikan, kegelapan di dasar laut dan kegelapan malam. ~pic by DJ-91 on deviantArt

Kita masih ingat bukan? Tentang kisah Nabi Yunus Alaihissalam ditelan ikan..

Ya, jika baca dan fikir kembali, banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tersebut.
(Bagi sesiapa yang belum pernah tahu tentang kisah Nabi Yunus, saya ada nukilkan ringkasan kisah di hujung entri ini)

Putus asa membawa kegelapan hidup

Cuba bayangkan kita sendiri berada di dalam tempat yang sangat sempit dan gelap pekat hingga tubuh kita sendiri pun sukar digerakkan selama berminggu-minggu...

Fuhh.. Tak boleh saya bayangkan, betapa beratnya ujian yang menimpa Nabi Yunus..

Jadi, adakah Allah sengaja memberi dugaan kepada Nabi Yunus tanpa hikmah dan pengajaran? Kenapa pula Allah sebutkan kisah Nabi Yunus di dalam Al-Quran? Sia-sia saja tanpa ada pengajaran untuk kita fikirkan?

Maka, cuba kita tafakur sejenak, teliti Al-Quran, apa hikmah disebalik ujian Allah ke atas Nabi Yunus.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang Rasul, (ingatlah) ketika ia lari (meninggalkan tanggungjawab) ke kapal yang penuh muatan. Kemudian ia ikut berundi*, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari dibangkitkan(kiamat). Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit.” (Al-Saffat: 139-145)

* Undian itu diadakan karena muatan kapal itu sangat penuh. Kalau tidak dikurangkan mungkin akan tenggelam. Justeru diadakan undian, siapa yang kalah dalam undian itu dilemparkan ke laut. Nabi Yunus termasuk orang-orang yang kalah dalam undian tersebut sehingga ia dilemparkan ke laut.

Apa yang saya dapat, kisah Nabi Yunus ditelan ikan sebenarnya merupakan didikan dan iktibar dari Allah untuk kita, betapa pentingnya bersabar dalam berdakwah dan padahnya meninggalkan tanggungjawab menyeru kepada Allah. Kalau tidak kerana dakwah Nabi Yunus, hancurlah semua kaumnya.

Allah juga ingin mengajar kita bahawa putus asa dan berhenti dari melangkah tidak memberi apa-apa natijah yang baik. Malah ianya sangat dibenci Allah.

Jika kita berhenti dari terus berjuang, kegelapan pasti akan menyelubungi diri kita. Ibarat seseorang yang berputus asa, hidupnya resah, terasa dunia ini hitam dan sempit seperti berada di dalam perut ikan..

Dalam segala aspek kehidupan pun, sama ada pelajaran atau perniagaan, semuanya perlu untuk kita bersabar dan terus melangkah dalam berjuang. Tiada sebab untuk terdetik dalam jiwa kita ‘putus asa’. Malah kita seperti merosakkan diri kita jika berputus asa.

Lebih-lebih lagi dalam berdakwah, menyeru kepada Allah, jika kita berhenti, bukan saja kita yang musnah ditelan kegelapan, bahkan masyarakat juga kan punah ditelan kejahilan.

Sebab itu, cuba kita bayangkan betapa gelapnya dunia ini tanpa dakwah apabila kita berhenti dari menegur, berhenti dari nasihat-menasihati, berhenti dari amar makruf nahi mungkar..

Kita pewaris kerja Nabi

Persoalannya, siapa pula yang perlu berdakwah dan berpesan-pesan? Nabi mana pula?

Setelah Nabi Muhammad menjadi penutup bagi para Nabi dan Rasul, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat Baginda?

Ya, kitalah pewarisnya, kitalah yang menyambung kerja para Nabi. Seperti sebuah syarikat yang dibina ayah kita sendiri, kita sebagai anaknyalah yang mewarisinya. Kita perlu menyambung kerja ayah kita, jika tidak, syarikat akan tergendala dan musnah.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?'" (Fushilat: 33)

Kita sebagai umat Rasulullah wajib menyambung kerja Baginda agar umat ini tidak musnah ditelan kegelapan jahiliyyah. Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menyeru kepada Allah, amar makruf nahi mungkar. Bukankah kita diciptakan sebagai khalifah dunia?

Jadi, mari kita sama-sama terus melangkah..

Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang.

Jangan berhenti melangkah, jangan berhenti berjuang, jangan berhenti berdakwah, jangan biar dunia ditelan kegelapan, ummah perlukan kita!


Bonus: Kisah nabi Yunus

Setelah begitu lama berdakwah, begitu lama bersabar dengan dugaan, begitu lama berjuang, hanya sebahagian kecil sahaja yang menerima dakwah Nabi Allah Yunus. Oleh kerana rasa marah dan kecewa membuak-buak, terdetik dalam sanubari Nabi Yunus untuk berhenti sebentar dalam berjuang menyeru kaumnya kepada Allah.

Maka dengan menumpang sebuah kapal yang penuh, Nabi Yunus pergi meninggalkan kaumnya sebentar. Seolah-olah gejolak kemarahan Nabi Yunus mengaburi tanggungjawabnya sebagai utusan Allah.

Oleh kerana kapal terlalu penuh sehingga boleh menyebabkannya karam, undian perlu dibuat untuk mengurangkan muatan, sesiapa yang kalah akan dibuang ke laut.

Dengan takdir Allah, Nabi Yunus dibuang ke laut setelah kalah undian di kalangan penumpang. Lalu Nabi Yunus ditelan ikan Nun. Nabi Yunus sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan.

Ikan Nun itu membawanya ke dasar lautan dan lautan membawanya ke kegelapan malam. Tiga kegelapan: kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan, dan kegelapan malam. Nabi Yunus merasakan dirinya bagai telah mati. Nabi Yunus akhirnya sedar dan bertaubat atas kesilapannya meninggalkan kaumnya dan redha dengan dugaan Allah.

Di dalam perut ikan, Nabi Yunus tetap bertasbih memujiNya, zikir seolah-olah menjadi makanannya..

Akhirnya, Allah menerima taubatnya dan mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan besar tersebut lalu terdampar di sebuah pulau.

Tidak lama kemudian, Nabi Yunus Alaihissalam kembali kepada kaumnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Nabi Allah..

Sambung Bacaan>>>

07 December 2010

Salam Maal Hijrah

We are closer and closer to DEATH..


Salam Maal Hijrah 1432

Taqabbalallahuminna waminkum.
Moga Allah terima setiap amalan kita.

Sertakan doa untuk saya di dalam doa kalian.
Entah apa dah jadi dengan saya.

Tiada apa untuk dikongsikan kali ini.
Jiwa ini kosong.

Saya takut
Untuk tulis apa yang belum berjaya saya lakukan.

Azam saya bagi Maal Hijrah 1432 ini:

ISTIQAMAH DALAM SETIAP AMALAN
dan
'MENDARAH DAGINGKAN' Al-QURAN



قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Salam Ma'al Hijrah +_+

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails