01 November 2011

Kelebihan 10 Awal Zulhijjah Dan Perbahasan Tentangnya

Bismillah..

Salam Dzulhijjah!

Dalam Post ini saya ingin berkongsi tentang bacaan-bacaan dan sedikit kajian saya tentang kelebihan dan beberapa fakta penting yang baru saya ketahui berkenaan 10 awal bulan Dzulhijjah ini..

1. Dzulhijjah Tamu Kita Setelah Ramadhan

Ramadhan, beberapa waktu yang lalu telah meninggalkan kita. Tentunya kita merasa kehilangan sesuatu yang nilainya sangat utama dan mulia di sisi Allah Ta’ala. Tapi ketahuilah, kita tidak boleh terlalu bersedih dengan berlalunya bulan mulia tersebut.

Kerana ternyata Allah Ta’ala melalui utusanNya, telah menjanjikan bulan lain yang tidak kalah utamanya berbanding dengan keutamaan bulan Ramadhan. Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda:

( شَهْرَا عِيْدٍ لاَ يَنْقُصَان، رَمَضَانَ وَذُوالْحِجَّة ( رواه مسلم، كتاب الصيام

“Dua bulan untuk berhari raya tidak berkurang keduanya; Ramadhan dan Dzulhijjah.”(HR Muslim).

2. Kelebihan 10 Pertama Bulan Dzulhijjah




Allah Ta'ala berfirman:

“Demi fajar; dan(demi) malam yang sepuluh; dan(demi) yang genap dan yang ganjil”(Al-Fajr:1-2)

Majoriti Al-Mufassirin termasuk Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Dzulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Begitu juga 'yang genap dan yang ganjil' ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan selainnya sebagai 10 awal Dzulhijjah yang mengandungi hari ganjil dan hari genap.

Dan cukuplah dengan ayat ini untuk menunjukkan betapa besar dan agungnya kelebihan hari-hari ini kerana Allah sendiri bersumpah dengannya..

Firman Allah lagi:

ويذكروا اسم الله في أيام معلومات

"...dan mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan..."(Al-Hajj:28)

'Ayyam Ma'lumat' (hari2 yang ditentukan) menurut majoriti ulama adalah 10 awal Dzulhijjah. Antaranya Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Hasan, 'Ata', Mujahid, Ikrimah, Qatadah, Nakh'ie, dan juga pendapat Imam Abu Hanifah, As-Syafi'ie dan Imam Ahmad dalam pendapat yang masyhur daripadanya.

Rasulullah bersabda:

Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya lebih dicintai Allah melainkan pada hari-hari ini -iaitu 10 hari Dzulhijjah. Para sahabat bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.(HR Bukhari dari Ibnu Abbas)

Sabda Rasulullah lagi:

"Tiadalah hari-hari yang lebih besar(ganjarannya) di sisi Allah dan tidak pula lebih dicintai beramal pada waktunya daripada 10 hari zulhijjah ini, maka perbanyakkanlah dalam waktu ini daripada Tahlil(La ilaha illallah), Takbir(Allahuakbar) dan Tahmid(Alhamdulillah)." (HR Imam Ahmad)

"Tiada satu hari yang lebih dicintai Allah untuk kita beribadah padanya daripada 10 hari Dzulhijjah, yang menyamai puasa setiap hari pada waktu ini dengan puasa setahun, dan qiyamullail pada setiap malam hari-hari ini(menyamai) qiyam lailatul qadar!!" ( Hadis Dha'if(lemah) Riwayat Tarmizi no. 763 )

Imam Ibnu Hajar berkata dalam kitabnya Fathul Baari syarah Sahih Bukhari:

"Tampaknya sebab mengapa sepuluh hari Dzulhijjah diistimewakan adalah karena pada hari tersebut merupakan waktu berkumpulnya semua ibadah-ibadah yang utama yaitu solat, puasa, sadaqah dan haji pada waktu ini dan tidak ada pada waktu selainnya".

3. Benarkah Nabi Tidak Pernah Berpuasa Pada 10 Pertama Dzulhijjah?

Walaupun terdapat riwayat dari sebahagian isteri-isteri Rasulullah bahawa baginda tidak pernah meninggalkan puasa pada 9 awal Dzulhijjah(HR Abu Daud), tetapi terdapat juga riwayat yang bertentangan dengannya di Sahih Muslim dan juga Sunan At-Tirmizi hadis ke-756, daripada Sayyidah Aisyah r.a beliau berkata:


ما رأيت النبي صلى الله عليه وسلم صائما في العشر قط


"Aku tidak pernah sekali melihat Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa di 10 awal Dzulhijjah"

Berkata Imam An-Nawawi:

"Ulama mengatakan bahawa hadith ini menyebabkan kita ragu merasakan puasa pada hari-hari ini adalah makruh, dan ini sepertimana yang ditafsirkan, bukanlah hukum puasa 9 hari awal Dzulhijjah ini makruh, bahkan ianya مستحبة استحبابا شديدا (Sangat-sangat digalakkan/sunnah) terutamanya hari yang ke-9 iaitu hari 'Arafah.. Kerana puasa juga termasuk dalam 'amalan kebaikan' di hadith Sahih Bukhari tadi, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya lebih dicintai Allah melainkan pada hari-hari ini...."

Dan dita'wilkan juga bahawa baginda tidak berpuasa pada hari-hari ini kerana dalam keadaan musafir, sakit ataupun tidak pernah dilihat Sayyidah Aisyah baginda berpuasa, dan tidaklah penafian ini menyebabkan ketiadaan Nabi berpuasa pada hari ini selagi ada dalil-dalil lain tentang pengesahan berpuasanya Nabi pada waktu ini, kerana ada kaedah fiqhiyyah menyebut:


المثبت مقدم على النافي
'Pengesahan lebih diutamakan dari penafian'

Imam Ahmad juga ada berpendapat bahawa dalam hadith ini barangkali Sayyidah Aisyah bermaksud Nabi tidak berpuasa 10 hari penuh. Nabi berpuasa sebahagiannya saja atau kerana hari ke-10 adalah terkecuali sempena hari penyembelihan iaitu hari dilarang berpuasa.

Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi syarah kepada hadith ini di Sunan At-tirmizi , penulisnya Al-Mubarakfuri menaqalkan pendapat Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Fathul Bari bahawa hadith ini menunjukkan barangkali Rasulullah sengaja meninggalkan amalan tersebut walaupun suka dengan amalan itu kerana bimbangnya baginda صلى الله عليه وسلم jika amalan ini diwajibkan ke atas umat baginda صلى الله عليه وسلم.. Begitu kasihnya baginda kepada kita umatnya..

4. Adakah 10 Awal Dzulhijjah Lebih Baik Dari 10 Akhir Ramadhan?

Al-Bazzar meriwayatkan sebuah hadith daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah bersabda:

"Sebaik-baik hari dunia adalah 'ayyamul 'usyr'(10 hari awal Dzulhijjah)..."

Jika seseorang bertanya, “Yang manakah yang lebih afdhal sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan atau sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah?” Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

“Jika dilihat pada waktu malamnya, maka sepuluh terakhir bulan Ramadhan lebih utama dan jika dilihat waktu siangnya, maka sepuluh awal bulan Dzulhijjah lebih utama.” (Zaadul Ma’ad, karya Imam Ibnul Qayyim)

Bagaimanapun, Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali berpendapat bahawa malam 10 awal Dzulhijjah lebih afdhal kerana dalam sebuah hadith ada tambahan lafaz yang diriwayatkan dan dikeluarkan oleh Al-Hafiz Abu Musa Al-Madini bahawa Nabi bersabda: "...Dan juga tidak ada malam-malam harinya yang lebih afdhal dari malam-malam ini (malam 10 awal Dzulhijjah).."

Beliau berpendapat, walaupun kelebihan malam 10 akhir Ramadhan adalah kerana mengandungi malam Lailatul Qadar, tetapi ia hanya satu malam sahaja.. Tambahan pula perbandingan di sini adalah keseluruh 10 hari serta malamnya dan bukan satu malam sahaja..

Selain itu, dalam ayat kedua surah Al-Fajr juga menunjukkan bahawa Allah bersumpah dengan malam-malam hari 10 awal Dzulhijjah ini.. Ianya menunjukkan bahawa malam-malam hari tersebut juga sangat utama dan lebih agung dari 10 malam-malam hari yang lain..

Konklusinya, hakikat masalah ini adalah sepertimana pendapat ulama-ulama terkemudian iaitu:

"Keseluruhan 10 awal Dzulhijjah ini lebih afdhal(utama) dari kesemua 10 akhir Ramadhan walaupun terdapat satu malam di dalamnya yang lebih afdhal dari setiap hari selainnya, wallahua'lam"..

5. Sama-sama Kita hidupkan bulan Dzulhijjah!

Diriwayatkan bahawa adalah Sa’id Ibn Jubair r.a. apabila tibanya sepuluh hari tersebut, ia benar-benar giat beramal sehingga hampir-hampir ia tidak kuasa untuk melakukannya.(Riwayat Ad-darimi dengan sanad Hasan)

Dan diriwayatkan juga bahawa beliau pernah berkata, "Janganlah kalian padam lampu kalian di malam-malam 10 pertama Dzulhijjah"(sebaliknya menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah).

Berkata Al-A'rif billah Imam Abd Al-Haddad: "Musibah ialah apabila seseorang itu diberi peluang untuk melakukan kebaikan lalu dia membiarkannya begitu sahaja!"

Justeru, sama-samalah kita rebut peluang ini, banyakkan amalan, hidupkan malam harinya dengan munajat dan qiyamullail, dan hidupkan siangnya dengan tahlil, takbir dan tahmid serta puasa terutamanya pada hari Arafah, iaitu pada 9 Dzulhijjah ini..



Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: ”Berpuasa di hari Arafah(9 Dzulhijjah) menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang akan datang.”(HR Muslim)

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (HR Muslim)

Ayuh! ツ

Rujukan:

Sahih Bukhari
Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan At-Tirmizi
Lataiful Ma'arif fima limawasimil 'Aami minal wazhaif karya Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali
http://www.dar-alifta.org/viewBayan.aspx?ID=248#1
http://www.mktaba.org/vb/showthread.php?t=21620

1 comment:

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails