12 October 2010

Ikhtilat Alam Maya

Bismillah..

 -Haiwan memang bebas ikhtilat, tetapi manusia tidak, kerana kita bukan haiwan! ~gambar hiasan~

Huuh, lama tak buat penulisan fakta.

Post kali ni saya cuba-cuba berlatih menulis fakta. Biar bahasa Melayu tidak pudar dan hilang ditelan bahasa Arab. Huhu.. Maklumlah, terpaksa menangguhkan SPM yang sepatutnya kena ambil tahun ni kerana masih lagi perlu berjuang di Bumi Pyramid yang berdebu ni.

Ya, walaupun tak sehebat penulisan Saiful Islam mahupun Langit Ilahi, paling kurang ada juga latih tubi kan, dalam usaha bersaing mengatasi mereka. Hehe.

Practices make perfect, so I can surpass anyone! :D

Banyak juga kelebihan bila ada blog. Boleh berlatih menulis dan kongsi-kongsi ilmu.

Bagaimanapun, post kali ini sangat sangat sangat penting untuk dibaca dan diambil pedoman, apalagi diamalkan dan disebarkan...

Takrif Ikhtilat

Ikhtilat adalah kalimah bahasa arab yang menjadi masdar(kata dasar) bagi fiil madhi(perbuatan lalu) ikhtalata, dan mudhari’(perbuatan kini) yakhtalitu.

Ikhtilat dari segi bahasa dapat didefinasikan sebagai percampuran ataupun pergaulan sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Namun sebagaimana yang kita faham melalui tajuk di atas, Ikhtilat yang saya maksudkan di sini adalah dari segi syarak, iaitu Ikhtilat yang membawa takrif pergaulan bebas sesama manusia yang berlainan jantina.

Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam ( Awdah al-Hijab : 3/52) mentakrifkan Ikhtilat sebagai:


"Perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram baginya yang mana perhimpunan tersebut membawa prasangka, atau perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat yang memungkinkan interaksi di kalangan mereka dengan pandang memandang atau isyarat atau perkataan atau jasad yang tanpa dinding, batas dan penghalang yang mampu menolak prasangka dan kerosakan".

Islam begitu adil dalam menangani naluri seks manusia terhadap jantina yang berbeza.Tidak dinafikan bahawa lelaki yang normal berkeinginan kepada wanita untuk dijadikan teman hidup dan begitulah sebaliknya bagi wanita.

Namun begitu, masih juga ramai yang tidak tahu dan faham betapa indahnya Islam yang telah menggariskan panduan dalam segala aspek kehidupan untuk kita ikut termasuk dalam bergaul sesama insan. Semuanya adalah demi menjaga maruah, kebaikan dan kemuliaan kita sendiri.

Oleh itu, mereka yang tidak menjadikan hukum Islam sebagai panduan hidup akan sentiasa berada dalam kedaan yang hina. Saya sangat hairan, ada juga manusia yang sukakan kehinaan malah seronok menjauhi kemuliaan. Mereka itu ditipu syaitan. Sesat lagi menyesatkan.

Ikhtilat Syari’e

Dalam bergaul, terutamanya antara kaum adam dan kaum hawa yang bukan mahram, Islam meletakkan batas-batas yang sangat penting untuk kita jaga.

Islam bukanlah melarang sepenuhnya untuk kita bergaul berlainan jantina, kita boleh bergaul, tetapi ada hadnya, ada batasnya, ada pagarnya. Bukan ikut suka hawa sahaja.

Ikhtilat Syari’e ialah percampuran lelaki dan perempuan yang mengikut ketetapan-ketetapan syara’ seperti berikut:

1. Ikhtilat yang dilakukan atas dasar darurat.

Contohnya, terpaksa melakukan ikhtilat di tempat awam yang terbuka, sibuk dan tidak membawa sebarang fitnah seperti jalan raya yang sesak, pusat membeli-belah, kenderaan awam dan sebagainya.

2. Ikhtilat yang dilakukan atas dasar keperluan.

Contohnya, ikhtilat bersama tamu, mahkamah, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis ilmu, medan jihad, medan dakwah, semasa menunaikan haji dan umrah, semasa ziarah orang sakit dan seumpamanya.

Namun begitu, tidak dinafikan kita perlu juga menjaga adab-adab pergaulan seperti tidak bersentuhan, menjaga aurat, menjaga pandangan, menjaga percakapan, asingkan tempat lelaki dan perempuan, tidak menimbulkan fitnah yang boleh menghilangkan maruah dan kehormatan, dan sebagainya.

Sebaliknya ikhtilat tidak syari’e ialah ikhtilat yang tidak memenuhi kriteria-kriteria ikhtilat syari’e sebagaimana yang telah dinyatakan.

Ikhtilat Alam Maya

Jelas kepada kita bahawa dunia siber bukan penghalang kepada berlakunya khulwah dan ikhtilat tidak syari’e.

Boleh dikatakan khulwah dan ikhtilat moden adalah lebih bahaya kerana kedua-duanya berlaku dalam bentuk yang amat terancang, rahsia, tertutup, bebas dan tanpa kawalan sehingga begitu sukar untuk dibendung melainkan dengan kekuatan iman individu itu sendiri atau perasaan takut kepada Allah SWT yang mengatasi segalanya.

Antara ikhtilat yang sedang parah merebak di alam maya adalah:

1) Budaya forum dan chatting sama ada di YM, Facebook, Myspace dan lain-lain yang tidak syari’e dengan menggunakan bahasa kotor dan lucah sehingga membangkitkan gejolak nafsu dan menjurus ke arah maksiat.

2) Salah guna web cam dengan mendedahkan aurat sebagai tontonan teman alam maya hingga tidak ambil peduli tentang siapa teman forum atau chattingnya, apa status dan jantinanya, isteri orang ke dan sebagainya.

Salah guna siber membawa kepada zina hati

Penyalahgunaan tersebut sememangnya mengundang segala macam unsur maksiat alam maya, jauh dari fungsi sebenarnya yang banyak manfaat.

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: ”Tidaklah laki-laki dan perempuan berkhalwah(berdua-duaan)kecuali yang ketiganya adalah syaitan”. (HR Tirmidzi).

Selain haram mengucapkan kata-kata kotor, haram juga mendekati zina dengan menulis atau menuturkan kata-kata yang kotor, lunak, manja dan gedik atau berupa rayuan antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya.

Sebenarnya itulah zina hati.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya.Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.” Hadis Riwayat Muslim.

Menjadi trend remaja masa kini mencari pasangan hidup dengan chatting tanpa mengira apakah batas yang ditetapkan oleh Islam sehingga aspek moral dan akhlak diabaikan.

Sifat malu sebagai benteng telah terlerai dan terhakis sedikit demi sedikit sehingga berlaku interaksi antara dara dan teruna dalam jangka masa yang panjang dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan.

Sedangkan Al-Quran telah mengingatkan kita berulang kali bahawa semua perkataan akan dicatat oleh para malaikat dan kita akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap perkataan kita kelak.

Dalam berchatting,seharusnya kita menyedari bahawa segala percakapan atau tulisan kita tetap diperhati oleh Allah SWT dan juga malaikatNya Raqib dan Atid.

"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan kecuali ada dekatnya malaikat pengawal yang selalu hadir”(Surah Qaaf: 18) (Sila rujuk juga Al-Ahzab ayat 70)

Wujudnya khulwah virtual

Sekiranya perlu sangat untuk berchatting dengan berlainan jantina, bukankah lebih baik jika chatting itu ditemani orang lain? Islam mengharamkan khulwah (duduk berdua-dua bersunyian) di antara muslimin dan muslimah yang bukan mahram. Dalam hal ini, khulwah secara virtual boleh terjadi dengan perbualan melalui internet ataupun berchatting.

Sebagaimana diharamkan bersunyi-sunyian dalam keadaan fizikal, begitu juga dari segi virtual. Lebih-lebih lagi interaksi itu berkaitan perkara yang peribadi. Jadi chatting boleh jadi halal dan juga menjadi haram, ianya bergantung pada cara kita menggunanya.

Semoga kita berwaspada dan lebih berhati-hati, sehingga chatting yang kita lakukan senantiasa dalam landasan syariat, ibadah dan zikrullah.

Penyelesaian: Jadikan Internet sebagai suatu manfaat untuk menuju akhirat

Akhir kata, dalam kita melayari dunia cyber, hendaklah kita sedar bahawa kita masih terikat dengan tuntutan syariat Allah SWT. Jangan sampai kita melupakan matlamat kejadian manusia diciptakan Allah untuk menjadi hamba Allah yang mengabdikan diri kepadaNya dan menjadi khalifah Allah SWT untuk mentadbir dunia ini dengan hukum syariat yang telah diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Dalam kita bergelanggang di dunia cyber, hakikatnya kita telah menyahut tuntutan fardhu kifayah iaitu menyediakan wadah yang bermanfaat di dunia cyber dalam mencapai kedua-dua matlamat tersebut.

Jadi, gunakanlah bakat dan kepakaran yang ada untuk mencapai kedua-dua matlamat tersebut.

Letaklah Al-Quran dan Sunnah sebagai pemimpin kita dalam melaksanakan tuntutan tersebut.

Letakkan kepentingan agama di hadapan. Kepentingan nafsu, singkirkan terus dari dalam diri.

Jadikan dunia cyber sebagai alat untuk menuju ke akhirat. Jangan sama sekali menjadikan dunia cyber sebagai alat untuk memenuhi tuntutan nafsu ammarah yang akhirnya akan meranapkan diri kita sendiri.
Na’uzubillah.

Wallahu Ta’ala A’la Wa A’lam..


Rujukan:

Fiqh Kontemporari- Dr. Yusuf Al-Qardhawi
iluvIslam.com
http://hatinurani86.blogspot.com/2009/12/ikhtilat-menurut-islam.html
http://ms.langitilahi.com/perkongsian-bila-kamu-bising-fasal-zina-hati/

Majalah Suara Kampus edisi September 2008

11 comments:

  1. Assalamu`alaykum, dah lama tak komen.Hmmm... Ana pernah tanya pada akhi dahulu. Sekarang ada penyelesaian. Minta disebarluaskan. Jazakallah ;)

    ReplyDelete
  2. sumber-Fiqh Kontemporari-Dr. Yusuf Al-Qardhawi

    wah,bila la nak beli kitab ni?

    ReplyDelete
  3. salam..

    nice entry..

    syukran ats nasihatnya dik,

    ReplyDelete
  4. Ehem, as you wish.. :D
    Nice post.. Penulisan pun makin bagus :)
    post kali ni sangat sangat penting untuk remaja zaman sekarang,
    harap dapat disebarkan lagi selain melalui blog

    >>Ukht Debab :D

    ReplyDelete
  5. post yng bagus dan menarik..ana ada satu persoalan..knapa x amik spm?

    ReplyDelete
  6. Anonymous, saya tak ambil SPM tahun ini kerana menyambung pelajaran di Mesir..Tapi insyaAllah saya akan ambil 2 tahun lagi.. =)

    ReplyDelete
  7. menarik.. sy suka bila saudara sntuh psl ikhtilat di alam maya tu..
    jzkkk ats prkongsian ilmu ^___^

    ReplyDelete
  8. Suka sgt post ni ^_^
    zaman skrg ni mcm2, ha, yg tu lah, salah guna kemudahan teknologi. Teknologi mmg xsalah tetapi manusia tu. Guna teknologi untuk semakin membinasakan diri sendiri, sepatutnya semakin membina iman.
    ada yg chatting, ckp pelik2. guna webcam pula. baru semalam sepupu akak tunjuk sesuatu. dah tgk dah bukti, chatting di FB disalah gunakan.

    moga kita sama2 menjaga anggota. terutama dlm konteks alam maya. Insya-Allah

    p/s: Saiful Islam dan Hilal Asyraf hebatnya lain-lain, begitu juga AzamHusni ^_^

    adik rupanya, akak ingat Azam Husni ni umur 21, 22 tahun tahu, la 18 rupanya bdk ni ^_^ matang
    sama mcm Ariffah, buat akak keliru bdk2 ni

    ReplyDelete
  9. mohon izin untuk copy dan diedarkan pada pelajar bagi topik usrah mingguan kami... jazakumullahu kheir...

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails