25 July 2010

Cerpen: Aku Bukan Zafira

Bismillah.

Eye On Malaysia tersergam gah di Taman Tasik Titiwangsa ~gambar hiasan~

Saban waktu, internet menjadi salah satu medan dakwah yang kian pesat. Bagaimanapun, dakwah tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghalalkan kita untuk bebas bergaul berlainan jantina di dunia siber ini.

Lantaran itu, cerpen picisan ini dinukil untuk memberi sedikit kesedaran tentang risiko chatting dan pergaulan bebas di alam siber walaupun untuk sekadar berdakwah.

Nukilan ini ditujukan khasnya kepada diri sendiri dan amnya kepada para remaja dan pembaca sekalian.

Terimalah cerpen pertama saya ini yang bertemakan persahabatan, dakwah dan pembohongan.

Barangkali ini merupakan kisah benar? Entahlah..

Baca baca dan senyum.. ^_^



Aku Bukan Zafira



Zafira: Hye, boleh saya kenal..?

-Send-

Ianya adalah kata yang sering wujud ketika ingin memulakan sebuah persahabatan.
Dikirimkan dengan niat ‘saja-saja’ ataupun mungkin sekadar mencari sahabat untuk mengusir kesepian yang bertakung dijiwa kebelakangan ini. Kuhantarkan mesej itu kepada seorang pemilik e-mail elisya89@yahoo.com.

Tiada apa yang aku boleh terangkan mengenainya, bagaimana rupanya? Usianya? Sikapnya? Cantikkah dia?

Entah mengapa, aku tidak berapa kisah tentang soalan-soalan itu. Kadangkala, di dunia maya ini, perkara-perkara sebegitu tidak berapa penting untuk diambil tahu, asalkan dia menerimaku sebagai sahabatnya dengan baik, saling bertukar-tukar fikiran, ilmu dan nasihat, itu sudah cukup.

E-mail elisya89@yahoo.com secara tidak sengaja kutemui di dalam sebuah novel yang terkenal, dia bukanlah penulisnya, tetapi hanya salah seorang daripada beberapa pembaca yang ulasannya dipaparkan di ruang khas para pembaca dan peminat di permulaan lembaran novel tersebut. Aku tertarik dengan komennya..

‘Buku ini adalah satu lagi novel tentang Islam itu adalah Indah, namun saya tetap merasakan bahawa Islam juga merupakan agama yang mengongkong dan mengekang penganutnya terutamanya wanita’

Aneh. Tuhan sememangnya mengekang diri kita sebagai hamba yang diciptakan hanya untuk beribadah kepadaNya. Meraih syurga juga bukan mudah, pasti perlu ada cabaran dan dugaannya.
Kita tidak boleh hidup bebas sesuka hati di dunia kerana setiap manusia itu adalah hamba kepada Sang Pencipta yang wajib menurut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Setelah aku add e-mailnya dan beberapa hari kemudian dia approve, aku mula ingin berkenalan dengannya.

Tiga hari kemudian, offline message yang dihantarku di Yahoo Messenger itu berbalas. Aku lalu membalasnya.

Elisya: Hye.. ^_^ Ya. Bersahabat itu indah, bukankah begitu..

-reply-

Zafira: Teruja awak balas mesej saya, nampaknya dunia maya ini memberiku seorang lagi sahabat. Saya fikir ini permulaan yang baik bagi sesebuah persahabatan. Apa yang saya boleh tahu lebih lanjut tentang diri awak?


-send-

Keesokan harinya, Elisya membalas,

Elisya: Saya Elisya Emelda, Female, asal Selangor, semester 3 Fakulti Kejuruteraan Mekatronik, German Malaysian Institute, Bangi, KL. You?

-reply-

Zafira: Saya Nur Zafira Naqiyyah, female, Selangor, semester 2 Fakulti Undang-undang, UKM, Bangi juga. Kita study di bandar yang sama, boleh saya tahu alamat awak?

-send-

Elisya: Saya tinggal di Ukay Perdana..

Hanya itu. Tiada butiran lain. Tak ada nombor rumah, Apa lagi nombor telefonnya. Tapi tak mengapa, boleh berhubung melalui aplikasi chatting ini, walaupun secara offline saja sudah merupakan permulaan yang cukup baik.

-reply-

Zafira: saya tinggal di Beverly Height.

-send-

Hari-hari seterusnya berjalan dengan baik sekali. Ternyata Elisya adalah seorang sahabat yang baik dan luar biasa. Sedikit demi sedikit dia mula terbuka tentang dirinya padaku. Menerusi Yahoo Mesengger, kami berdua hangat bersembang tentang apa sahaja termasuk masalah-masalah sensitif kaum hawa. Hatta rahsia-rahsia hidupnya juga dikongsikan denganku. Kami seperti sangat akrab walaupun tidak pernah bersua. Elisya ada mengatakan bahawa aku telah menjadi sahabat yang paling penting dalam hidupnya, malah sahabat sibernya yang paling dia percaya.

Aku tidak menyangka persahabatan kami akan menjadi begitu erat dalam masa yang singkat, aku rasa sangat bahagia.


****

Elisya: Terima kasih kerana banyak bagi nasihat pada saya dan menyarankan untuk bertudung. Tapi, bukankah kita perempuan akan lebih menarik bila tampil seksi?

Zafira: Menarik menurut siapa Elisya?

Elisya: Di kalangan lelaki tentunya.

Zafira: Bukankah itu namanya peraga tubuh?

Elisya: Kenapa? Bukankah itu anugerah Tuhan yang terindah yang kita ada, dan kita kaum Hawa berhak membanggakannya, dan kaum Adam wajib mengaguminya. Bukankah begitu?

Zafira: Tapi keindahan tidak harus dipertontonkan bukan?

Elisya: Memang tidak, tetapi bagaimana orang akan tahu jika ianya tersembunyi di balik tudung dan kain-kain labuh yang tertutup rapat?

Zafira: Bukankah keindahan yang tersembunyi dan terpelihara jauh lebih bernilai berbanding keindahan yang berserakan? Ianya menjadi mahal seperti mutiara yang tersembunyi di dasar lautan. Sangat payah ditemui. Sebaliknya jika ianya mudah didapati, harganya akan jatuh murah. Bukankah barang yang didapatkan dengan mudah nilainya lebih rendah?
Oh ya Elisya, aku teringat kata cendekiawan, “Seandainya di dunia ini semuanya emas, maka orang akan mencari pasir.” Kenapa? Kerana apabila emas mudah dijumpai dan pasir pula sukar dicari, maka tinggilah nilai pasir. Jadi tidak ada salahnya membuat diri kita ini mahal, bernilai dan dicari. Bukankah demikian lebih terhormat, Elisya?

Elisya: Sahabatku Zafira, bukankah tampil menarik itu penting?

Zafira: Sahabatku Elisya, bukankah banyak lagi perkara yang menarik untuk ditampilkan selain tubuh? Akhlak, karakter, dan kesolehan. Aku fikir perkara itu boleh membuat kita jauh lebih bermartabat. Maafkan saya jika menyinggung awak.

Elisya: Terima kasih, akan saya fikirkan kata-kata awak tu..

Setelah itu, hampir dua minggu Elisya menghilang dari alam maya hingga kemudian datang lagi dengan masalah barunya.

Elisya: Hye Zafira, saya ada masalah lagi nih, ada seorang lelaki yang cuba mendekati saya di kampus, orangnya sederhana, tidak berapa hensem, tapi baik. Bagaimana ye?

Kali ini aku sedikit tersentak, masalah ini agak sukar dijawab, aku perlu mencari kata-kata terbaik untuk menerapkan hikmah dalam berdakwah, agar lebih mudah untuk mengubahnya.

-reply-

Zafira: Elisya, hati-hati dengan lelaki, termasuk mereka yang nampak seperti baik di mata kita.

-send-

Elisya: Terima kasih kerana mengingatkan, tapi kenapa awak terlalu jahat kepada lelaki? Bukankah kita ini tercipta untuknya?

Aku hanya tersenyum sendiri membaca mesej Elisya yang terakhir ini dan tiada keinginan untuk membalasnya. Setelah itu aku tenggelam dalam kesibukan di menara gading dan hampir sebulan tidak menyentuh dunia maya, dan ketika aku kembali, seperti yang aku jangka..

Elisya: Hye Zafira, lama tak bersua, awak ke mana saja?

Zafira: Saya ada je di sini. Sorry sebab lama tak online. 

Elisya: Zafira, kita kan dah lama bersahabat, malah study di bandar yang sama, apa kata kita rancang satu pertemuan?

Zafira: Setuju! :)

Elisya: Okay, apa kata Sabtu depan, kita jumpa di Taman Tasik Titiwangsa, pukul 7.00 pagi. Kalau awak sampai dulu, tunggu saya di bawah pohon renek di selatan tasik tu, ok?

Zafira: Idea yang bagus, tapi kalau awak sampai dulu, tunggu saya di sana ya!


****

Pagi Sabtu ini adalah detik yang indah di Taman Tasik Titiwangsa. Eye On Malaysia yang paling banyak menarik para pengunjung tersergam gah. Ianya tidak lama lagi akan berputar perlahan untuk memberikan penumpangnya kepuasan melihat permandangan sebahagian besar bandar Kuala Lumpur yang diidamkan. Seawal ini, perkhidmatan Eye On Malaysia masih belum dibuka lagi untuk orang ramai.

Pepohon yang segar seperti hidup mengucapkan selamat pagi melalu angin nyaman yang menyapu kulitku. Sungguh menyegarkan. Rumputnya yang masih berembun belum terjamah oleh kesibukan apa pun di pagi itu. Tasiknya yang kebiru-biruan dihiasi dedaunan jingga yang gugur dan sinaran ungu Sang Suria yang baru terbit kelihatan mesra berinteraksi dengan burung-burung yang terbang riang. Sebuah ekosistem alam yang sempurna ciptaan Tuhan.

Subhanallah..

Ramai yang datang ke sana lebih awal untuk menjadi yang pertama menghirup udara segar di tempat yang nyaman lagi menenangkan minda, terutamanya warga-warga emas kaum Cina.

Aku berasa hairan, mengapa orang Cina sahaja yang sering kelihatan pada awal-awal pagi sebegini. Selain bersenam Yoga atau berjoging, ada juga yang telah mula bermain badminton dan membaca surat khabar di bangku-bangku sekitar tasik. Entah mengapa, orang Melayu di bandar ini masih lagi tidak berubah. Berkelubung selimut selepas subuh adalah hobi orang Melayu bandar. Sebab itu Melayu tidak maju-maju dan sentiasa dikalahkan kaum Cina.

Terdapat satu dua orang yang berjualan makanan dan minuman untuk melayani orang-orang yang letih berolah raga. Mereka juga menyediakan makanan-makanan hangat untuk sarapan pagi seperti Nasi Lemak, Karipap, Apam Balik, dan kuih-muih. Lama kelamaan jumlah peniaga bertambah banyak dan memenuhi pinggir jalan sepanjang taman sampai ke tasik.

Sekarang Taman Tasik Titiwangsa sudah seperti pasar. Orang tidak hanya menjual makanan, tapi juga pakaian dan cenderamata dari bahan-bahan kulit. Orang yang berjoging dan bersukan tampak lebih sedikit berbanding mereka yang sekadar bersiar-siar, duduk-duduk dan merehatkan minda. Kanak-kanak pula kelihatan sungguh riang bermain gelongsor dan buaian di taman.

Eye On Malaysia kini kelihatannya berputar menarik membawa penumpangnya yang sarat. Jika pada awal pagi tadi tiada sesiapa disekitarnya, sekarang sekelilingnya dipenuhi orang ramai dari pelbagai bangsa dan usia yang beratur dengan sabar menunggu giliran untuk tidak melepaskan peluang merasai keindahan permandangan di bandaraya Kuala Lumpur.

Taman Tasik Titiwangsa sekarang boleh menjadi tempat apa saja bagi sesiapa saja, termasuk membuat temu janji dengan seseorang. Sebuah lokasi yang sempurna.


***

Pagi itu aku sedikit gemuruh, aku datang lebih awal dari waktu yang kami janjikan. Aku menapak ke arah selatan tasik, tapi aku tidak terus menuju ke pohon renek di situ. Ini memang sebahagian dari strategi yang harus aku lakukan. Aku tak ingin membuat Elisya terkejut. Aku harus bersua dalam waktu dan dengan cara yang tepat untuk memberitahu Elisya bahwa Zafira, teman baik sibernya adalah seorang lelaki. Malam semalam aku sudah merancang beberapa langkah dan senario untuk mendatangi Elisya agar dia dapat juga menerima aku sebagai teman baiknya.

Aku memilih untuk duduk di sebuah bangku yang berada di timur tasik berjarak seratus meter dari lokasi temu janji di pohon renek yang berada di selatan tasik tersebut. Dari sana aku akan dapat melihat dengan jelas kedatangan Elisya.

Seorang pengunjung lelaki berkaca mata sedang serius membaca surat khabar di bangku yang kurancangkan. Aku harus mengambil tempat duduk disamping jejaka itu.

“Selamat pagi bang, boleh saya duduk di sini?” sapaku sopan.

Sejenak jejaka itu mengangkat mukanya, “Oh, selamat pagi, sila sila!” jawabnya tidak kalah sopannya sambil mengukir senyum dan menggeser ke tepi sedikit memberi ruang untukku duduk.

Aku melabuhkan punggungku di sebelah jejaka itu. Aku melihat jam di tangan, menghitung mundur waktu minit demi minit. Masih berbaki sepuluh minit lagi sebelum jam tujuh. Waktu berlalu pantas, lima minit telah berlalu. Dan akhirnya jarum panjang mengarahkan hujungnya tepat pada nombor dua belas.

Aku menoleh ke arah pohon renek tersebut. Belum ada siapa-siapa.

Mungkin dia masih dalam perjalanan. Masih terlalu awal, aku perlu tunggu beberapa minit lagi. Pandanganku dialihkan pada orang yang berlalu lalang.

Waktu terus meluncur laju, sepuluh minit telah berlalu. Masih belum ada sesiapa di situ. Dia terlupakah? Ataupun aku juga tertipu olehnya?

Aku sudah bosan dengan keterlewatan dalam sesebuah temu janji. Namun, ianya adalah kebiasaan manusia. Bersangka baik adalah caraku untuk menghilangkan kekesalan. Mungkin dia akan sampai sebentar lagi.


Lima belas minit berlalu, aku berasa kecewa. Kemudian aku berpaling ke arah lelaki di sebelahku yang nampaknya juga bosan membelek-belek surat khabarnya.

“Macam menarik je berita hari ni, pinjam surat khabar satu ya bang!” pintaku tanpa segan silu. Berlagak akrab.

Lelaki itu spontan menghulurkan tiga lembar akhbar yang tidak dibacanya padaku. Aku mengambil akhbar yang diberinya itu sambil sempat melirik rantai leher bertanda salib yang melilit lehernya. Satu simbol yang memberitahuku bagaimana aku harus bersikap padanya.

Tiada minat sedikitpun untukku menelaah surat khabar itu. Aku hanya melihat-lihat gambar yang ada, membaca tajuk-tajuk berita hangat pada hari ini. Namun semua perkataan yang ada hanya tersekat di mata saja tanpa masuk ke cepu minda. Mindaku melayang. Aku geram.

Sesekali bebola mataku kuarah mengintip di bawah pohon renek itu. Di saat aku mencari fokus, aku terlihat seorang gadis yang berjalan dari arah utara ke selatan tasik itu menuju ke tempat yang dirancangkan untukku bertemu janji.

Diam-diam, aku mengintipnya dari lembaran akhbarku yang setengah terlipat.

Gadis itu berjalan perlahan, berpakaian labuh dan sopan serta membimbit beg kecil di tangan. Tudungnya yang berwarna putih dipadankan dengan baju merah jambu berlengan panjang. Postur tubuhnya sederhana tinggi dan ideal, kulitnya cerah, dan dia berjalan dengan menundukkan pandangan. Meskipun hanya melihat wajahnya dari sisi, aku yakin gadis itu sangat ayu.

Jantungku berdegup laju membayangkan apa yang harus aku lakukan sebentar lagi. Jika memang perempuan itu adalah Elisya, langkah aku seterusnya benar-benar berat. Aku harus menjelaskan pada seorang perempuan sahabatku, bahawa aku adalah seorang lelaki. Tapi benarkah gadis yang sedang berjalan itu Elisya? Tak silap aku, Elisya pernah mengatakan bahawa dia tidak memakai tudung? Tetapi gadis ini bertudung? Atau Elisya sengaja memakai tudung hari ini untuk memberi kejutan pada sahabatnya Zafira, Aku.


Entahlah.

Jiwaku tambah tidak menentu. Runsing. Langkah-langkah yang sudah aku rancangkan seperti tak dapat membantu. Sementara mataku masih terkesima memandang gadis jelita yang berjalan sendirian menghampiri pohon renek itu, pandanganku terus mengekori jejaknya sehingga apabila hanya berbaki sepuluh meter dari pohon renek, gadis itu berjalan makin perlahan. Langkah-langkah kecilnya lalu berhenti menapak. Mataku terbeliak seperti tanpa kelopak. “Inikah Elisya itu?” Batinku berdebar-debar.

Tiba-tiba gadis itu membuka beg tangannya dan mengambil sesuatu. Sepertinya dia mengangkat telefon bimbitnya yang rasanya berdering dan terus berjalan. Kali ini langkahnya sudah menjauhi pohon yang dijanjikan.

“Oh, bukanlah!” Desisku antara lega dan kecewa, sambil melipat lembaran surat khabar dan menoleh pada lelaki di sebelahku.

Ya Allah!!

Ternyata dia bukan sedang membaca surat khabar. Kudapati lelaki itu juga turut mengintip gadis yang berjalan di bawah pohon renek itu di sebalik kaca matanya. Mulutnya ternganga dengan kepala sedikit diangkat. Setelah gadis itu menghilang dari pandangan, terdengar olehku hembusan panjang nafas lelaki itu.

“Ini saya pulangkan surat khabarnya, Terima kasih ya!” kataku segera mengembalikan dengan senyuman dibibir, dan dia menerimanya dengan gugup.

“Menunggu seseorang bang?” tanyaku mesra. Lelaki itu tersenyum sambil mengangguk. Wajahnya yang tampak dua tahun lebih tua dariku masih kelihatan seperti ada yang tidak kena.

“Ya.” jawabnya canggung.

“Abang tinggal kat mana?” tanyaku lagi.

“Ukay Perdana.” jawab lelaki itu spontan. Ya, aku tahu itu jawapan yang spontan, dan biasanya jujur. Orang yang menjawab secara spontan hampir tidak sempat berfikir untuk berbohong.

Tiba-tiba saja aku teringat sesuatu.

Segera aku bangkit berdiri tanpa berkata apa-apa sebelum lelaki itu sempat menanyakan hal yang sama padaku. Aku bergegas pergi tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Aku dapat merasakan pandangan hairan dan curiga di sebalik kaca matanya mengekori jejak langkah pantasku.

Aku geli dan perutku tiba-tiba mual membayangkan kekusutan yang baru saja terjadi.

“Ah! Dunia maya memang penuh kebohongan,” gerutuku dalam hati. Aku tidak tahu bagaimana ingin menerangkan perasaanku saat itu, yang terbayang dalam benakku adalah filem komedi lama tentang seorang pencuri yang kena curi, dan seorang penipu yang kena tipu. Sambil berjalan aku tersenyum-senyum sendiri menyebabkan setiap orang yang berselisih denganku memandangku dengan hairan.

Namun tiba-tiba dadaku berdegup kencang, terbayang olehku tanda salib yang tersembul di leher lelaki itu, “Entah misi apa yang sedang dijalankannya,” curiga hatiku . Aku tidak tahu apa yang akan terjadi seandainya aku benar-benar seorang perempuan, bernama Nur Zafira Naqiyyah dan sedang menunggu di bawah pohon renek di selatan tasik itu. Bahaya sungguh dunia maya ini, sebab itu ianya antara punca banyak kes-kes murtad dan keluar agama oleh segelintir umat islam yang ingin berkahwin dengan pasangan bukan Islam. Mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku pada muslimah lain yang terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis lelaki.


***

Dua hari kemudian aku membuka e-mail Yahoo Messenger di internet. Salah satu dari paparan offline messagenya adalah dari Elisya.

Elisya: Zafira, kenapa awak memungkiri janji?
Saya sangat kecewa. Dua jam saya tunggu di taman yang kita janjikan itu, dan awak tak hadir-hadir.
Awak membuang waktu saya saja. Temu janji yang kita rancangkan hancur sia-sia.
Kenapa dengan awak ni Zafira? Bukan ke awak nak bertemu dengan saya? 

Aku geli hati membaca mesej itu. Mungkin dia benar-benar tidak tahu, atau cuba ingin memastikan. Dengan jengkel kubalas pesan itu. Ini untuk yang terakhir kalinya.

-reply-

Zafira: Elisya ‘sayang’. Saya menepati janji.
Hari itu saya datang untuk berjumpa awak.
Bukankah pagi itu kita lewati dengan sempurna?
Kita bertemu dan membaca surat khabar bersama... 

-send-

Aku menyedut nafas dan menghembuskannya kembali dengan rasa penuh lega. Begitulah nama palsuku diambil dari perkataan hembusan dalam bahasa arab. Zafira. Aku berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tidak syar’ie ini lagi. Moga setiap hembusan nafasku yang seterusnya sentiasa di dalam iman dan diakhiri dengan kalimah Laailaahaillallah..

13 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam, buat pertamanya.. "Mabruk!"

    Ana baru lepas habis bengkel pnulisan fiksyen islami brsma Hilal Asyraf..jadi ana komen ikut apa yg ana baru bljr lah nohh..

    Cerpen pertama? Tabik lah..menarik!

    jalan cerita mmg best, ada mesej yg nk disampaikan..tapi, apa pnyelesaian kpd masalah? Terus tinggal kwn chat tu?

    Penulis adlh doktor, bagi ubat..tapi kna britahu makan bila..skian2..

    mcm tadi, suruh tinggalkn chat yg pnuh kebohongan..tapi dgn cara tinggalkn mcm tu?

    tapi, kalau ni cerpen pertama..mmg bagi ana kira baguslah!

    Tahniah...keep it up!

    p/s: ana sndiri pun lemah lagi dlm cerpen..

    ReplyDelete
  3. thumbs up ya akhi...
    penuh pengajaran..dan lawak jgk..huhu..

    ReplyDelete
  4. Salam,bestnya cerpen ni..tahniah,tahniah..pertama kali buat..pertama kali best..=D...anis pun buat cerpen jugak..tapi lebih banyak buat novel..cerpen ni memang best!! ;)

    ReplyDelete
  5. salam azam...

    permulaan pertama dengan langkah pertama yang bagus.
    teruskan usaha ya dengan penghasilan yang lebih baik. =]

    ReplyDelete
  6. Salam'alaikum dik azam...
    waah.... pndai buat cerpen ye..
    Cerpen y pertama ke ni?
    mmg best...
    Harap buat yg lebih bagus lagi ye...^_^

    ReplyDelete
  7. Waalaikumsalam semua..

    Kpd ariffah9: cerpen ini dibuat untuk memberi kesedaran dan pengajaran-pengajaran yang mudah untuk difikir sendiri. Jika semuanya hendak ditulis menjadi cerita, maka cerpan(cerita panjang)lah jadinya bukan cerpen. huhu.

    Kpd ghazwatul qolam: Hadza min fadhli RABBI... :D

    Kpd Anis: syukran2, huhu.. dh buat novel dah? hebat2 mohon tunjuk dan ajar.

    Kpd Ustaz Thaaqib: terharu ana bila org sehebat ustaz bertandang ke sini, rasa tak layak pulak. Mohon bimbingan lg ya..

    Kpd MissNera: Alhamdulillah, komen2 sebegini memberi saya semangat untuk terus berjuang, terima kasih krn sudi hadir membaca cerpen kerdil ini. syukrn.

    kpd Ctie_AISYA: Ya kak, yg pertama dan mungkin yg terakhir...entahlah.. sykrn2,, selalulah beri sokongan dan dorongan untuk ana... masih jauh lagi perjuangan..

    ReplyDelete
  8. Best la bace cerpen ni..^_^
    Nanti kalau ada cerpen yang kedua bagitahu la yerk =)

    ReplyDelete
  9. Salam'alayk...
    Ada juga nak tergelak baca dek cerpen ini.
    Bagus....mula-mula cerpen...
    lepas itu novel pula ya =)

    Yah...novelis muda...maju...maju...lol

    semoga sukses selalu...

    ReplyDelete
  10. yakin anda boleh pergi jauh. tahniah. tapi caranya ialah jangan pandang segalanya sudah bagus. teori naik gunung, tiada puncak. makin tinggi, makin tawadhu'. sbb Allahu akbar! -akak

    ReplyDelete
  11. boleh tahan jugak cerpen ni.. ada pengisian,cuma belum terlalu lengkap kepada jalan penyelesaiannya... apapun,tahniah =)

    ReplyDelete
  12. BismiLLAHi Rahmani Rahim.

    Mantap giler akhi..!! Best2.. !

    Terbaik, kalau macam ni cerpen pertama, jangan berhenti. Teruskan. Ana nak tengok novel Azzam Husni pulak. InsyaALLAH. Ameen. ^^

    Naqiuddin AnsaruLLAH.
    ~ Al-Azhar, Kaherah. ~

    ReplyDelete

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails