15 March 2012

Kepentingan Menghayati Keperibadian Rasulullah Di Akhir Zaman Ini


Bismillah..


Begitu indahnya kelas Syamail Muhammadiah bersama Ulama berketurunan Rasulullah Al-Muhaddith Syeikhuna Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani Al-Huseini setiap selasa pada awal bulan di Dewan Talaqi Madhyafah, berhampiran Masjid Sayyidina Husein, Cairo.

Bayangkan, seorang yang berdarah Rasulullah sendiri yang menceritakan perihal baginda ﷺ . Allahu Allah. Rasa seperti Rasulullah benar-benar berada di hadapan kita. Sungguh terkesan dan indah cara beliau menceritakan tentang keperibadian dan ciri-ciri baginda ﷺ.

Sedikit perkongsian, kata Sheikh Ibrahim Al-Kattani kepada kami:


Syeikhuna Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani Al-Huseini  
"Tujuan kita membacakan tentang keperibadian dan ciri-ciri Rasulullahﷺ adalah:

(الإستحضار ----- التعلق ----- الإتباع ----- الكمال)

Pertamanya, untuk kita dapat mengenal dan menggambarkan di dalam minda dan jiwa (الإستحضار) tentang ciri-ciri dan sifat-sifat Baginda ﷺ, kerana ianya dapat membantu kita untuk menghadirkan rasa cinta dan pautan kasih yang dahsyat (التعلق) yang mana dengan itu, maka datanglah (الإتباع) dengan mengikut dan mencontohi apa-apa yang berkenaan dengan Rasulullah zahir dan batin dalam menuju kesempurnaan (الكمال). "

Jika ingin menjadi seorang yang sempurna tidak inginkah kita mencontohi idola yang sempurna zahir batin yang telah dicipta Allah untuk kita?



Berkata Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah: Kitab Syamail Nabi adalah kitab yang menjadi cerminan contoh praktikal dalam kehidupan kita di mana-mana setiap zaman, agar seluruh umat Islam BERSATU menjadi seorang insan yang SATU yang sama dari segi kebiasaannya, kehidupannya, berdirinya, duduknya, makanya, minumnya, dan seluruh perbuatannya serta hal ehwal individu dan masyarakat yang mana itulah yang telah berlaku di zaman para sahabat. Begitulah pada zaman ini insyaAllah akan kembali seperti itu, hari di mana Syakhsiah Rasulullah ﷺ yang menjadi idola dan contoh setiap insan, bukan lagi mencontohi barat mahupun timur..

Berkata Al-Allamah Sheikh Muhammad Awwamah r.a: Inilah yang perlu kita ajak dan seru, ianya dinamakan Tamadun Muhammadiah, Tamadun Syamail Muhammadiah, Tamadun Akhlak Muhammadiah, agar seluruh dunia bahagia dengan Kebahagiaan Muhammadiah.

Berkata Al-Allamah Al-Faqih Mufti Mesir Prof. Dr. Ali Jum'ah r.a:

"Alangkah teramat perlunya bagi Manusia seluruhnya pada hari ini untuk mengenalimu wahai Rasulullah ﷺ.

Dan sangat-sangat perlu bagi mereka untuk mengenali Petunjuk dan Panduan yang dibawa olehmu pada urusan-urusan kehidupan seharianmu.

Perlu bagi mereka untuk mengetahui kerendahan dirimu terhadap para Sahabatmu.

Perlu bagi mereka untuk mengetahui Rahmah dan Kasih sayangmu terhadap sekalian makhluk ciptaan Allah.

Perlu bagi mereka untuk mengetahui Kasih Sayangmu terhadap Manusia seluruhnya dan sekalian alam ini.

Amat perlu bagi mereka untuk mengetahui Gesaan dan Seruanmu ke arah Kebaikan dan Taqwa.

Amat perlu bagi mereka untuk mengetahui Tegahan dan Laranganmu terhadap segala bentuk Kerosakan dan Permusuhan.

Semua ini adalah sangat-sangat perlu, kerana kami(manusia) pada hari ini sedang berada pada alam/dunia yang sangat–sangat jauh dari Nilai-Nilai Mulia yang telah ditegakkan olehmu wahai Rasulullahﷺ."

[Petikan Muqaddimah Kitab “Kenalilah Nabimu” Karangan Fadhilatus Syaikh Ali Jum’ah Hafizahullah. Cetakan “Dar Nahdhah Misriyyah]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلم

Sambung Bacaan>>>

10 March 2012

Tiada Cinta Yang Benar Melainkan Didasari Cinta Allah Dan Rasul


Bismillah

Menurut Imam Al-Ghazali, orang yang mencintai selain Allah, dan cintanya itu tidak disandarkan kepada Allah, maka hal itu kerana kejahilan dan kelemahan orang tersebut dalam mengenal Allah.

Cinta kepada Rasulullah ﷺ, contohnya, adalah sesuatu yang terpuji kerana cinta tersebut merupakan manifestasi cinta kepada Allah. Ini kerana Rasulullahﷺ adalah orang yang dicintai Allah.

Dengan demikian, mencintai orang yang dicintai Allah, dan orang yang mencintai Allah bererti juga mencintai Allah Azzawajallai. Begitu pula semua bentuk cinta yang ada. Semuanya berpulang kepada cinta terhadap Allah.

Dalam tasawuf, konsep cinta (mahabbah) lebih dimaksudkan sebagai bentuk cinta kepada Tuhan dan Rasulullah ﷺ. Meskipun demikian, cinta kepada Tuhan juga akan melahirkan bentuk kasih sayang kepada sesama makhluk, bahkan kepada seluruh alam semesta..

Uhibbukum Fillah ♥ :)

Sambung Bacaan>>>

26 February 2012

Hijab Adalah Kemuncak Kemajuan Pemikiran Yang Manusia Zaman Ini Telah Sampai



Usai memberi ucapan yang meraih kekaguman semua orang di salah sebuah Universiti di barat sedangkan beliau seorang lulusan PHD Muslimah berhijab yang berjaya.

Bertanya para wartawan yang kehairanan padanya, bahawa pakaiannya itu tidak menggambarkan ilmunya, krn mereka menganggap pakaian hijab itu lambang kekolotan dan kejahilan.

Dengan penuh hikmah dan mudah beliau menjawab:

"Manusia pada zaman-zaman pertama adalah hampir bertelanjang, tetapi dengan berkembangnya pemikiran dan kemajuan dari masa ke semasa, manusia mula berpakaian, mula menutup anggota badan. Jadi apa yang aku pakai hari ini adalah kemuncak perkembangan pemikiran yang tinggi dan kemajuan ilmu yang manusia zaman ini telah sampai.. " -Tawakel Karman

Sambung Bacaan>>>

22 February 2012

Konsep Hakikat Ilmu Menurut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali


Bismillah

Peribadi Al-Ghazali, seperti diceritakan sendiri dalam kitab beliau, 'Al-Munqiz Minaddhalal' menggambarkan kedahagaan untuk mencari kebenaran yang tidak pernah puas. Sifat itu diakuinya, bermula semenjak masa kanak-kanak, sudah menjadi fitrah yang tidak dapat dielakkan.

Kedahagaan yang tak pernah puas ini membawa munculnya suatu dimensi baru pada tingkah laku Al-Ghazali semenjak beliau berumur kira-kira 20 tahun, yaitu keraguan (syak) terhadap kepercayaan yang diwarisinya dari nenek moyang.

Tidak jemu-jemunya beliau mengharungi gelombang pertarungan kepercayaan dan pemikiran di zamannya sehingga tidak satu pun bidang kepercayaan dan ilmu yang tidak didalaminya untuk mencari kebenaran itu. Beliau mengkaji tentang ilmu kebatinan untuk melihat yang tersembunyi disebaliknya, mengkaji segala aliran falsafah yang ada di zamannya, menyelami segala mazhab ilmu kalam(aqidah) yang dapat dijangkaunya, begitu juga dengan segala aliran tasawuf yang pernah didengarnya, aliran-aliran yang tidak percaya kepada Tuhan, disebut zindiq, tidak bebas dari penyelidikannya. Bahkan dalam ilmu fiqh as-syafi'ie juga beliau berjasa besar kepada umat Islam dengan karya beliau Al-Khulasah, Al-Basit, Al-Wasit dan Al-Wajiz dan begitu juga dalam usul fiqh seperti kitab Al-Mustasfa dan ilmu kalam(aqidah) seperti kitab Al-Iqtisad fil I'tiqad dan lain-lain.

Pendeknya, sifat dahaga kepada ilmu disertai dengan sifat syak (ragu) terhadap segala sesuatu yang tidak dapat meyakinkannya itulah sifat Al-Ghazali semenjak kecil, sampai suatu masa dimana dahaga dan ragu itu mencapai puncaknya, yaitu lebih sepuluh tahun sebelum beliau meninggal, ketika beliau sedang mencapai puncak kemasyhurannya sebagai murobbi dan professor di madrasah Nizamiyah di Baghdad. Krisis yang menarik beliau ke arah pangkat dan harta di suatu segi dan ilmu dan akhirat di segi yang lainnya. Akhirnya beliau memilih yang terakhir enam bulan berada dalam uzlah(bersendirian) dan kerisauan akhirat.

Ditilik dari segi jalannya peristiwa, dapat kita katakan bahwa persoalan sebenarnya yang membimbangkan Al-Ghazali adalah masalah hakikat. Kebimbangan itu lebih diperbesar lagi oleh perselisihan faham ahli-ahli ilmu di zamannya yang masing-masing mendakwa dialah yang benar.

Seperti katanya sendiri bahwa perselisihan manusia di dalam agama, kemudian perselisihan umat dalam berbagai mazhab laksana suatu lautan yang dalam, dimana sebahagian besar mansuia tenggelam sedang sedikit sekali yang akan selamat, sedang masing-masing golongan menyangka dia sajalah yang selamat.

Persoalan yang dibahas oleh Al-Ghazali adalah persoalan dasar yang bersangkut paut tentang kewujudan manusia. Apakah dia hakikat itu? Dimana letaknya? Adakah ia kekal dan azali? Ataukah baru dan fana? Kalau hakikat itu ada bagaimana cara kita mengetahuinya?

Jadi pembahasan tentang ilmu menurut pandangan Al-Ghazali tidak dapat dipisahkan dari pandangan Al-Ghazali tentang hakikat. Sebab ilmu menurut Al-Ghazali adalah jalan menuju hakikat itu. Dengan kata lain, agar seseorang sampai kepada hakikat itu haruslah ia tahu atau berilmu tentang hakikat itu.

Ilmu dalam bahasa arab, berasal dari kata kerja '‘alima' yang bermakna mengetahui. Jadi ilmu itu adalah masdar atau kata benda abstrak dan kalau dilanjutkan lagi menjadi '‘alim', yaitu orang yang tahu atau subjek, sedang yang menjadi objek ilmu disebut 'ma’lum', atau yang diketahui.

Dalam proses perkembangan ilmu, ilmu dipakai dalam dua hal : iaitu sebagai masdar atau proses pencapaian ilmu dan sebagai objek ilmu (ma’lum)..

Al-Ghazali menggunakan kedua makna ilmu itu dalam tulisan-tulisannya. Tentang ilmu sebagai proses Al-Ghazali menceritakan tentang ilmu-ilmu deria (hissiyah), ilmu-ilmu akal (aqliyah) dan ilmu ladunni(ilham terus dari Allah).

Dengan kata lain ada ilmu-ilmu melalui pancaindera, dan melalui akal, ada yang tidak melalui pancaindera dan akal, tetapi langsung terus ke hati, itulah ladunni atau langsung dari Allah. Tentang ilmu sebagai objek pula dapat kita lihat pada kritikan Al-Ghazali terhadap golongan ilmu kalam, golongan batiniyah dan terutama terhadap golongan ahli falsafah.

Kedua bentuk ilmu, sebagai proses dan sebagai objek ini digambarkan Al-ghazali dengan kata-kata:


“Ilmu yang ini(hakikat) adalah ilmu dimana yang menjadi objek pengetahuan itu terbuka atau tersingkap sehingga tidak ada sedikitpun keraguan terhadapnya, dan juga tidak akan mungkin salah atau sesat”.

Jadi, ilmu yang benar itu tidak saja menjauhkan dari keraguan tetapi juga menghindari segala kemungkinan untuk salah dan sesat...

Sambung Bacaan>>>

12 February 2012

Impak Sambutan Maulid Nabi Kepada Masyarakat


Bismillah..

Ini gambar bekas ahli kumpulan Ruffedge, VE dan Innuendo yang sangat popular suatu ketika dahulu. Sekarang mereka bergabung menjadi sebuah kumpulan Nasyid 'AL-MAWLID'. Mereka telah berhijrah.

Ini antara yg terkenal..ramai lagi selain mereka yang telah berhijrah.. tidak kurang juga sahabat-sahabat saya sendiri.. Dengan menghidupkan cinta Nabi ﷺ saja umat ini boleh kembali kepada jalan yang lurus..

Di sini saya nak tekankan bahawa bohong besar bagi pihak yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul di Malaysia tidak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat. Bukan bermaksud kita hanya cinta, menghayati dan mengaplikasikan sunnah baginda hanya pada hari maulid sahaja, tetapi pada setiap detik pastinya. Cuma hari maulid adalah untuk menghidupkan roh cinta Nabi ﷺyang telah mati dalam jiwa-jiwa masyarakat yang jauh dari Nabi ﷺ.




Ulama Salafussoleh Membolehkan Sambutan Maulid

Berkata guru saya Fadhilah Mufti Mesir Syaikh Prof. Dr. Ali Jum'ah,

"Menunjukkan kegembiraan dengan kelahiran Baginda adalah satu ibadah. Bahkan si musyrik Abu Lahab pun diringankan azabnya setiap hari Isnin hanya krn prnh bergembira dgn kelahiran Rasulullah ﷺ (rujuk hadis ini di Sahih Bukhari dalam Kitab An-Nikah no. 4813) apatah lagi kita?

firman Allah: "..dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah"(Ibrahim:5)

Antara hari-hari Allah adalah hari-hari kejayaan Islam dan hari-hari kelahiran Nabi, dan sebaik-baik hari Allah adalah hari kelahiran kekasihNya ﷺ.

Bahkan para sahabat sendiri ada membuat sambutan kegembiraan kemenangan Rasulullahﷺ.

Daripada Buraidah Al-Aslami r.a. berkata, Rasulullah keluar berjihad di dalam satu peperangan, ketika baginda ingin berangkat, datang seorang hamba yang berkulit hitam berkata, Ya Rasulallah, aku telah bernazar, jika Allah jadikan Tuan pulang dengan selamat, untuk aku bermain duf(sejenis alat muzik)di hadapanmu dan bernyanyi.

Berkata Rasulullah padanya, Jika kamu telah bernazar, maka lakukanlah, jika tidak, maka janganlah"(HR Tirimizi dan Imam Ahmad)

Hadith ini menunjukkan sambutan tersebut adalah dibolehkan, kerana tidak sah bernazar dalam perkara maksiat dan dilarang Allah.. Dan juga Nabi tak larang nazar tersebut. Adapun Baginda berkata jangan lakukan jika tidak bernazar kerana tawadhu'nya baginda ﷺ dengan para sahabat..

Al-Imam As-Suyuti r.a. ada membuat risalah khas yang sangat menarik tentang galakan mawlid bertajuk "Tujuan Yang Baik Dalam Amalan Mawlid" begitu juga ulama salaf lain yang menggalakkannya seperti Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani di kitab تحفة الأخبار في مولد المختار Imam Al-Hafiz Ibnul Jauzi, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitab Ni’matul Kubra 'Alal 'Alam Fi Maulidi Saidi Waladi Adam, Ibnul Haj, Ibnu Dihyah dalam al-Tanwir min Mawlid al-Siraj al-Munir, Imam Ibnu Taimiyyah dalam Iqtidho’ Ash Shirothil Mustaqim dll... "

(Rujuk:Majalah Al-Mujahid bil. 383 ms 24 bab hukum menyambut mawlid)

Ya, benarlah kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Ni’matul Kubra 'Alal 'Alam Fi Maulidi Saidi Waladi Adam, Bab : Faslun Fii Bayan Fadli Maulid Nabi(Kelebihan Mawlid Nabi)

وَقَالَ جُنَيْدُ البَغْدَادِيِّ قَدَّسَ اللهُ سِرَّهُ مَنْ حَضَرَ مَوْلِدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَ عَظَّمَ قَدْرَهُ فَقَدْ فَازَ بِالِإيمَانَ


Ertinya: Telah berkata Imam Junaid Al-Baghdadi r.a:

“Sesiapa yang menghadiri majlis maulid Nabi dan mengagungkan kedudukannya, maka sesungguhnya ia telah mencapai kejayaan iman.”

Imam Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya al-Ta’alif al-Mawlidiyyah telah menyenaraikan hampir 130 buah kitab mawlid yang disusun menurut abjad. Manakala Dr. Salah al-Din al-Munjid telah menyenaraikan sekitar 181 buah kitab mawlid di dalam kitabnya (معجم ما أُلف عن النبي محمد صلى الله عليه وسلم). Boleh rujuk semua tentang maulid dalam kitab tersebut dan majoriti ulama membolehkannya..


Kesimpulannya, selagimana sambutan Maulid Ar-Rasul ini bertepatan dengan syariat seperti menghidupkannya dengan majlis ilmu, ceramah, zikir, selawat dan lain-lain, maka hidupkanlah ia di kalangan masyarakat. Sebaliknya jika Sambutan ini keluar dari neraca syariat, seperti ikhtilat, menari, konsert dan lain-lain, maka hentikan dan elakkannya.

Wallahu ta'ala a'la wa a'lam.

اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم



Sambung Bacaan>>>

22 January 2012

Perbanyakkan Amalan Di Musim Sejuk


Bismillah.


Post ini khusus bagi insan yang menghadapi musim sejuk saja.. tak kira di mana anda berada.. kalau di Malaysia, anggap saja yang duduk bawah air-cond tu musim sejuk.. huhu.. :P

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada hadis Abi Sa'id Al-Khudri, dari Nabiﷺ bersabda,

"الشتاء ربيع الؤمن"
Ertinya: "Musim sejuk itu, musim bunga bagi orang yang beriman"

Hadis ini diriwayatkan juga oleh Al-Baihaqi dan selainnya, dengan lafaz tambahan, "Panjang malam harinya maka ia menghidupkannya dengan qiyamullail, dan pendek harinya maka ia hidupkannya dengan berpuasa"

Berkata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali:

"Winter(musim sejuk) adalah Spring(musim bunga) bagi org mukmin kerana pada musim sejuklah subur taman-taman ketaatan dan mudah melakukan amalan kebaikan seperti suburnya tanaman di musim bunga. Jiwa dan hati kita pada musim bunga seperti berada di taman amalan-amalan yang mudah dilaksanakan. Sepertimana haiwan-haiwan di ladang pada musim bunga, penuhnya tanaman menyebabkan haiwan gemuk dan menyihatkan anggota haiwan, begitu jugalah agama orang yang beriman menjadi 'sehat' di musim sejuk oleh kerana dimudahkan oleh Allah untuk melaksanakan ketaatan.

Sesungguhnya orang mukmin itu pada musim sejuk, mampu berpuasa di siang hari tanpa masalah dan kepayahan seperti lapar dan dahaga kerana waktu siangnya adalah pendek dan dingin, hingga kita tidak merasakan halangan dengan berpuasa.

Manakala di waktu malam musim sejuk pula, oleh kerana panjang malamnya, kita boleh tidur secukupnya kemudian masih sempat juga untuk bangun beribadah, membaca Al-Quran dan berqiyamullail. Kita merasakan puas dan cukup tidur, dan dalam masa yang sama rasa cukup juga beribadah, maka bergabunglah kesempurnaan keperluan jasmani dan rohaninya"


Sabda Rasulullah ﷺ lagi: "Berpuasa di musim sejuk adalah harta rampasan yang mudah! (mendapat ganjaran besar tanpa halangan dan kesukaran)" (HR Tirmizi)

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu Mas'ud berkata: "Selamat datang wahai musim sejuk yg turun padanya barakah(keberkatan), dipanjangkan malamnya untuk berqiyamullail, dan dipendekkan siangnya untuk berpuasa"

Dan daripada 'Ubaid bin 'Umair, apabila datangnya musim sejuk, ia berkata:"Wahai ahli Quran, telah panjang malammu untuk membaca Al-Quran maka bacalah! dan telah pendek siangmu untuk berpuasa maka berpuasalah!

Rujukan: Lataiful Ma'arif karya Al-hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali m/s 435 cet. Dar Hadis)

Sambung Bacaan>>>

31 December 2011

Muhasabah Tahun Baru




Tahniah kepada Ustaz Azhar Idrus, Zizan, IM, Sham Kamikaze and the gang yang berjaya menarik lebih 80 ribu hadhirin untuk menyambut tahun baru Masihi dengan cara sya'rie. Daripada muda-mudi kita berpeleseran menyambut tahun baru cara maksiat, eloklah dengan mengadakan sambutan begini agar mengisi kebiasaan sambutan mereka dengan zikir dan ibadah.

Bismillah.

"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari." -Sayyidina Abdullah Ibnu Umar r.a.

Selamat menyambut tahun baru masihi sempena lengkapnya putaran bumi mengelilingi Matahari mengikut ilmu Falak. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberikan kita umur yang panjang. Moga tahun berikutnya sentiasa dalam keberkatan dan ketaatan.

Bagaimana persediaan dan rancangan kita pada tahun baru? Moga-moga sudah ada azam, bekalan dan rancangan lengkap untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya insyaAllah.

Sebelum membuka tirai tahun baru masihi, saya nak ajak kita sama-sama muhasabah dan tafakur diri kita.. Berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan selama ini? Adakah ianya diterima? Bagaimana dengan persediaan untuk mati? Apa jasa kita untuk Islam selama kita hidup ini? Berapa banyak masa yang kita buang selama ini? Berapa banyak ilmu yang kita teguk selama ini? Dan seterusnya..

Saya tak banyak ingin menulis sebenarnya dek keletihan dan kesempitan masa. Tahun 1 Universiti rupanya luar biasa beratnya. Minggu depan saya akan menempuh ujian pertengahan tahun, doakan saya berjaya dengan mumtaz. ツ

Di sini saya hanya ingin kongsikan juga sedikit pendapat ulama tentang hukum menyambut tahun baru bagi yang masih keliru..

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masihi (yang mengikut kiraan Gregorian Calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

1. Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah

"Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi :

" Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"

Ertinya : "Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

2. Tiada unsur percampuran atau pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram yg biasanya ada unsur maksiat.Tapi syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Jika ada unsur tersebut, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

3. Sambutan tidak mengandungi atau bercampur aduk dengan program yang haram spt konsert atau hiburan yang bercanggah dengan syarak spt lagu cinta dan puja puji kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

4.Kandungan keseluruhan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan Islam. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan...

-Nukilan Al-Fadhil Ustaz Hasyim Al-Maranji dalam mesej beliau pada saya di malam tahun baru ini.

KITA SEBENARNYA

KITA SEBENARNYA.. lebih gembira menyambut 1hb. Januari daripada 1 Muharram.
KITA SEBENARNYA.. lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal.
KITA SEBENARNYA.. lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad daripada hari Jumaat.
KITA SEBENARNYA.. lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar azan.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka lepak, tidur, tengok tv daripada sembahyang.
KITA SEBENARNYA.. lebih tahu nama artis-artis kita daripada nama para sahabat.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menyebut helo atau hai daripada Assalamualaikum.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menyanyi daripada berwirid atau bertasbih.
KITA SEBENARNYA.. kita sebenarnya lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri.
KITA SEBENARNYA.. kita sebenarnya lebih suka membaca majalah daripada buku agama dan al-quran.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka pergi ke konsert daripada ceramah agama.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka memaki,mengumpat orang daripada mendoakan dan menasihati mereka.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka mencarut daripada menyebut MasyaAllah.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikan.
KITA SEBENARNYA.. lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita.
KITA SEBENARNYA.. lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menuju ke syurga daripada neraka..

Untuk Apa Sebenarnya Kita Diciptakan?

Sama-sama muhasabah..


Sambung Bacaan>>>

25 December 2011

Syiria Berdarah: Apa Sebenarnya Berlaku Di Syiria?




Bismillah.

Kelebihan Syiria dan Bumi Syam:


Daripada Saidina Zaid bin Tsabit radiyallahu'anhu, bahawa Rasullullah sollallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:

“Berbahagialah penduduk Syam”.
Tatkala itu terdapat sahabat radiyallahu'anhu yang bertanya: “Kenapa begitu ya Rasullallah?” Baginda sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“Sesungguhnya para malaikat rahmat menghamparkan sayap ke atasnya”.


(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tarmidzi)

Di dalam Al-Quran juga membuktikan bahawa negeri Syam ialah kawasan yang diberkati oleh Allah seperti mana dalam surah al-isra’ ayat 1:

Selain itu, bumi Syam juga merupakan tempat tumpuan para nabi.

Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Salam radiyallahu'anhu bahawa bumi Syam adalah tempat di mana terletaknya persemadian 1,700 orang nabi sementara Makhul berpendapat terdapat sebanyak 500 makam para nabi di Damsyik sahaja! Dan masih banyak hadis lain yang menceritakan tentang kelebihan negeri Syam dan Damsyik.

Bagaimanapun, Bumi Syiria yang termasuk dalam Syam kini dinodai musuh-musuh Allah. Keberkatan dan tinggi nilai bumi para Nabi ini di sisi Rasulullah sudah dicemari oleh tangan-tangan najis mereka. Takkan kita berdiam saja?


Apa Berlaku Di Syiria?


Video terkini tentang keadaan di Syiria, pagi Ahad 25/12/2011. Suara-suara tembakan jelas kedengaran.

Lebih 5000 kematian dianggarkan oleh United Nations berkenaan mangsa revolusi di Syria dalam menjatuhkan rejim kerajaan. Bagaimanapun ianya bukanlah kata putus dan satu anggaran yang tepat. Barangkali jumlah kematian jauh lebih tinggi dari anggaran tersebut.

Berkata Farah Atassi, seorang aktivis politik di Syiria, "Kami menganggarkan bahawa jumlah kematian adalah jauh lebih tinggi dari anggaran pihak UN..  Ini adalah kerana untuk mendapatkan jumlah sebenar mangsa di Syiria sangat sukar terutamanya kerana ramai para wanita tua dan muda dikatakan hilang. Keluarga mereka tidak tahu di mana mereka berada; sama ada mereka ditangkap atau telah mati.. Kadang kala mereka menemui mereka di kubur-kubur yang disediakan untuk mangsa-mangsa revolusi ditanam ramai-ramai."

Kebangkitan dan revolusi rakyat di Syria bermula lebih kurang 9 bulan yang lalu, namun hingga kini ianya masih belum reda. Bahkan akhir-akhir ini diberitakan bahawa peristiwa berdarah makin parah dan mangsa mendadak meningkat. Pada Jumaat baru-baru ini, ibu kota Damascus buat pertama kalinya menjadi mangsa pengeboman kereta berani mati di mana dua ledakan besar memusnahkan bangunan perisikan kerajaan dan membunuh sekurang-kurangnya 44 orang.

Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.

Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.

Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya Presiden Susilo telah bersetuju untuk menyokong revolusi rakyat Syria.

Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.

Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a.:

Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.

Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:

“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”

Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:

“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”

Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.

Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.

“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.

Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.

Dalam tempoh sembilan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.

Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.

Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“

Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.

Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.

Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.

“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”

“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi penakut dengan Israel.

Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.

Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:

“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).

Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.

Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.

Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:

“Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada…, jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”

Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur. Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang ‘berilmu’ tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.

“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.

Mereka Memerlukan Doa Yang Tulus Dan Berterusan Dari Kita


Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan mufakkir, duat(pendakwah), asatizah(guru) untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria.

Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.

“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”

Sebagai penutup, beliau membaca amanat Dr Yusuf al-Qardhawi agar umat Islam menghulurkan bantuan berbentuk kewangan kepada saudara-saudara se-Islam di Syria dalam bentuk zakat dan sedekah untuk keluarga pejuang yang sedang dipenjarakan dan keseluruhan rakyat Syria, lebih-lebih lagi musim sejuk ini yang mana mereka sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan pemerintah.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan pertolongan yang seluas-luasnya kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Syria, menghancurkan taghut yang zalim dan menggantikannya dengan pemerintahan Islam di sana.. InsyaAllah.. Ameen

Sama-sama kita doakan saudara-saudara kita yang dizalimi dengan kejam di Syiria. Di setiap tahajud kita, di setiap munajat kita, di setiap doa kita, jangan pernah lupa untuk mendoakan mereka dan setiap umat Islam.

اللهم صل وسلم على نبينا محمد و آله و صحبه، اللهم إنا نسألك بأن لك الحمد ، لا إله إلا أنت الحنان بديع السماوات و الأرض ، ذا الجلال و الإكرام يا حي يا قيوم ، اللهم إنا نسألك بأنا نشهد أنك أنت الله لا إله إلا أنت الأحد الصمد الذي لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد ، لا إله إلا أنت سبحانك إنا كنا من الظالمين ، اللهم اجعل لأهل سوريا فرجا و مخرجا ، اجعل لهم فرجا و مخرجا ، اجعل لهم فرجا و مخرجا ، اللهم و احقن دماءهم ، و احفظ أعراضهم ، و آمنهم في و طنهم ، اللهم و اكشف عنهم البلاء ، اكشف عنهم البلاء ، اكشف عنهم البلاء ،

 اللهم و قاتل الظلمة المتجبرين ، يا جبار يا قهار قاتل المتجبرين الفجار ، اللهم خذهم أخذ عزيز مقتدر ، و أرح البلاد و العباد منهم يا عزيز ،اللهم و الطف بعبادك المسلمين في كل مكان يا رحيم يا رحمن ، اللهم انصر الإسلام و أعز المسلمين ، و أعلِ بفضلك رايتي الحق و الدين ، اللهم كن لأهل السنة يا ذا القوة و المنة ، اللهم و أنعم علينا بالأمن و الأمان يا لطيف يا منان ،

اللهم عليك بطاغوت سوريا وكل من طغى ودافع عنه، اللهم اقذف الرعب في قلبه ، اللهم صب عليه سوط عذاب ، اللهم ارنا فيه عجائب قدرتك وعذبه عذابا شديدا في الدنيا والآخرة عاجلا غير آجل ، وأرنا فيه بطشك وعقابك الذي لا يرد على القوم المجرمين ، واخسف به الأرض واجعله عبرة للعالمين. و الحمد لله رب العالمين .

http://blogs.aljazeera.net/liveblog/Syria
http://syrianrevolution.org/
http://www.facebook.com/Syrian.Revolution
http://www.aljazeera.com/programmes/insidesyria/2011/12/201112257225226316.html
http://www.aljazeera.com/indepth/opinion/2011/11/2011111555722772798.html
http://www.aljazeera.com/programmes/insidestory/2011/12/2011121472825724411.html










Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails