31 December 2011

Muhasabah Tahun Baru




Tahniah kepada Ustaz Azhar Idrus, Zizan, IM, Sham Kamikaze and the gang yang berjaya menarik lebih 80 ribu hadhirin untuk menyambut tahun baru Masihi dengan cara sya'rie. Daripada muda-mudi kita berpeleseran menyambut tahun baru cara maksiat, eloklah dengan mengadakan sambutan begini agar mengisi kebiasaan sambutan mereka dengan zikir dan ibadah.

Bismillah.

"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari." -Sayyidina Abdullah Ibnu Umar r.a.

Selamat menyambut tahun baru masihi sempena lengkapnya putaran bumi mengelilingi Matahari mengikut ilmu Falak. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberikan kita umur yang panjang. Moga tahun berikutnya sentiasa dalam keberkatan dan ketaatan.

Bagaimana persediaan dan rancangan kita pada tahun baru? Moga-moga sudah ada azam, bekalan dan rancangan lengkap untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya insyaAllah.

Sebelum membuka tirai tahun baru masihi, saya nak ajak kita sama-sama muhasabah dan tafakur diri kita.. Berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan selama ini? Adakah ianya diterima? Bagaimana dengan persediaan untuk mati? Apa jasa kita untuk Islam selama kita hidup ini? Berapa banyak masa yang kita buang selama ini? Berapa banyak ilmu yang kita teguk selama ini? Dan seterusnya..

Saya tak banyak ingin menulis sebenarnya dek keletihan dan kesempitan masa. Tahun 1 Universiti rupanya luar biasa beratnya. Minggu depan saya akan menempuh ujian pertengahan tahun, doakan saya berjaya dengan mumtaz. ツ

Di sini saya hanya ingin kongsikan juga sedikit pendapat ulama tentang hukum menyambut tahun baru bagi yang masih keliru..

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masihi (yang mengikut kiraan Gregorian Calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

1. Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah

"Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi :

" Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"

Ertinya : "Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

2. Tiada unsur percampuran atau pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram yg biasanya ada unsur maksiat.Tapi syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Jika ada unsur tersebut, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

3. Sambutan tidak mengandungi atau bercampur aduk dengan program yang haram spt konsert atau hiburan yang bercanggah dengan syarak spt lagu cinta dan puja puji kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

4.Kandungan keseluruhan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan Islam. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan...

-Nukilan Al-Fadhil Ustaz Hasyim Al-Maranji dalam mesej beliau pada saya di malam tahun baru ini.

KITA SEBENARNYA

KITA SEBENARNYA.. lebih gembira menyambut 1hb. Januari daripada 1 Muharram.
KITA SEBENARNYA.. lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal.
KITA SEBENARNYA.. lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad daripada hari Jumaat.
KITA SEBENARNYA.. lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar azan.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka lepak, tidur, tengok tv daripada sembahyang.
KITA SEBENARNYA.. lebih tahu nama artis-artis kita daripada nama para sahabat.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menyebut helo atau hai daripada Assalamualaikum.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menyanyi daripada berwirid atau bertasbih.
KITA SEBENARNYA.. kita sebenarnya lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri.
KITA SEBENARNYA.. kita sebenarnya lebih suka membaca majalah daripada buku agama dan al-quran.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka pergi ke konsert daripada ceramah agama.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka memaki,mengumpat orang daripada mendoakan dan menasihati mereka.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka mencarut daripada menyebut MasyaAllah.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikan.
KITA SEBENARNYA.. lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita.
KITA SEBENARNYA.. lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat.
KITA SEBENARNYA.. lebih suka menuju ke syurga daripada neraka..

Untuk Apa Sebenarnya Kita Diciptakan?

Sama-sama muhasabah..

1 comment:

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails