25 May 2011

Tiga Kosong


Gambar Hiasan: Kekosongan jawatan mana yang bakal kita sandang? Sama-sama kita muhasabah..

Bismillah..

3 0?

Apa dia tentang tiga kosong ni Zam?

Keputusan perlawanan bola ke?

Oh, bukanlah.. kalau nak tahu, baca dan hayatilah post ni sampai ke noktah terakhir.. ;)

Ianya sangat penting sepenting mewujudkan keharmonian menyeluruh di dunia, bukan seperti keputusan perlawanan bola yang tiada faedah lagi sia-sia itu..

Telah zahir pada kita bahawa insan, masyarakat dan dunia kini mengalami kemerosotan dahsyat dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada dari segi agama, budaya, moral, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

Di negara tumpahnya darah kita contohnya, masalah politik yang tidak stabil seolah-olah memberi jalan yang luas untuk jenayah bermaharajalela yang kini kian meruncing dan sangat sukar untuk dibendung di samping masalah gejala sosial yang sangat parah untuk dipulihkan..Moral para remaja makin lama makin runtuh, jauh dari yang digariskan dalam agama..

Itu belum lagi kita lihat negara-negara lain, macam-macam keparahan berlaku, bahkan ada yang lebih dahsyat.. Lihat saja apa yang berlaku di Libya.. =((

Erk... Zam, jadi apa kena mengena apa yang kau cakap ni dengan 'Tiga Kosong' tadi?

Oh ya..okay, straight to the point..sebenarnya saya terfikir tentang 3 masalah utama manusia yang menjadi punca masalah negatif, kejahatan, kepincangan dan kerosakan di dunia ini.

Ada tiga kekosongan yang apabila wujud dalam diri, kita sebagai manusia sering kecundang :

Kosong Perut

Kosong yang pertama adalah kosong perut.

Oleh kerana makanan dan minuman merupakan keperluan asas manusia yang utama, kita mesti berusaha untuk mencarinya dan mendapatkannya untuk hidup. Itulah fitrah manusia.

Makan untuk hidup. Tetapi bukan hidup untuk makan.

Demi makanan, apabila perut kosong, manusia sanggup buat apa sahaja untuk hidup. Ada yang menggunakan cara yang halal dan ada juga yang haram.

Jadi, tidak mustahil seseorang yang perut kosong dan tidak berkemampuan sanggup mencuri, merompak, membunuh malah ada juga yang sanggup murtad asalkan dapat mengisi perut mereka..Wal’iyazubillah..

Hanya kerana kosong perut seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja. Jenayah kecil atau besar, halal atau haram tidak menjadi masalah asalkan dapat mengisi perut..

Sebab itu banyaknya suruhan-suruhan agama yang menuntut kita untuk berusaha mencari rezeki agar perut kita sentiasa terisi dengan cara yang halal disamping tidak kurang juga galakan agama untuk kita membantu golongan yang memerlukan, semuanya demi menjaga keharmonian dunia.

Bahkan Rasulullah sendiri berdoa memohon perlindungan dari kelaparan dan kekosongan perut:


“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kelaparan, kerana sesungguhnya kelaparan itu seburuk-buruk teman berbaring, dan aku memohon perlindungan kepadaMu dari khianat, karena sesungguhnya khianat itu seburuk-buruk teman”. (HR Abu Dawud dan Ibnu Majah)

So, disamping berdoa memohon perlidungan dari kelaparan, pastikan juga kita dan orang sekeliling kita terisi perutnya dengan cara yang halal..

Bagaimana pula tentang ada juga yang terisi perutnya, tetapi masih terbabas di dalam kerosakan hidup?

Ya, mungkin dia mengalami kekosongan yang kedua..

Kosong Wang

Seperti juga kes kekosongan perut, setiap insan bila ketiadaan wang, segala jenis kejahatan boleh tercetus untuk dilakukan demi wang.. Melacur, menipu, meragut, merompak dan pelbagai perkara negatif boleh berlaku. Wang seolah-olah sumber kehidupan manusia moden kerana tanpa wang, tiadalah makanan dan keperluan asas yang lain dan tanpa semuanya itu, tiadalah kehidupan boleh bertahan..

Lihat saja golongan faqir miskin dan yang tidak berkemampuan, ada di kalangan mereka yang terpaksa berhutang, mengemis, menipu dan sebagainya. Lalu berlakulah penipuan, pembelasahan dan pembunuhan apabila mereka tidak membayar hutang yang mana kemudiannya menyebabkan mereka sanggup lakukan apa saja demi melangsaikannya dan akhirnya hidupnya menjadi tak tentu arah seolah-olah mereka hidup demi melangsaikan hutang kerana takut nyawa melayang..

Sebab itu Rasulullah sendiri memohon perlindungan dari perhutangan dan kefakiran:


“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kekafiran dan kefakiran dan azab kubur”. (Hadits Sahih atas syarat Muslim dikeluarkan oleh Imam Ahmad)

Dari Aisyah ra.: Bahawa Rasulullah saw. dalam solatnya berdoa:

"Ya Allah. Sesungguhnya aku mohon perlindungan kepadaMu dari siksa kubur. Aku mohon perlindungan kepadaMu dari fitnah Al masih Dajjal. Aku mohon perlindungan kepadaMu dari fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku mohon perlindungan kepadaMu dari dosa dan hutang.

Seseorang berkata kepada baginda: Betapa seringnya Anda memohon perlindungan dari beban hutang ya Rasulullah. Rasulullah menjawab: "Sesungguhnya, seseorang bila hutang, maka dia berbicara lalu bohong"...

Namun, dengan banyaknya wang juga, seseorang itu boleh tersungkur. Fitnah boleh datang melalui kekayaan harta benda..

Money is everything sayang!” Kata Maher kepada isterinya.

No. Why is that? Abang can't purchase heaven with your money nor any of your property can you?” Sanggah isterinya.

Kadang kala manusia berlumba-lumba mencari wang hingga haloba menguasai dirinya, lalu mengaburi tujuan hidupnya, lupa pada tanggungjawabnya sebagai hamba dan akhirnya lupa pada Tuhan. Sampai satu tahap, wang dianggapnya Tuhan..

Ya, bukan wang yang menjamin kebahagiaan kita. Hidup ini tidak percuma. Kita perlu bayar setiap nafas yang Allah beri, segala nikmat yang Tuhan beri. Tapi bukan dengan wang, sebaliknya dengan amal ibadah..

Kita hanya mendapatkan wang demi keperluan dalam kehidupan, tidak perlu menjadi terlalu kaya, tidak perlu juga menjadi terlalu miskin. Kita perlu hidup dengan sederhana dan berpada-pada. Begitulah sunnah yang ditunjuk Rasulullah.

Rasulullah S.A.W ada berdoa:

“Ya Allah, sesungguh-nya aku memohon perlindungan kepadaMu daripada fitnah neraka dan azab neraka, dan daripada fitnah kubur dan azab kubur, dan daripada kejahatan fitnah kekayaan, dan daripada kejahatan fitnah kefakiran.” (Muttafaqun 'alaih)

Bagaimanapun ada juga yang telah terisi perutnya dan mempunyai cukup wang, tetapi tetap juga berada dalam penyimpangan.. Mengapa? Kerana sebenarnya ada satu lagi kekosongan dalam diri manusia ini yang paling perlu diutamakan yang tanpanya, hidup seperti tiada 'break', mudah saja terbabas di gaung gelita..

Kosong Iman

Inilah punca utama kerosakan manusia. Apabila tiada iman, manusia sering jatuh, sering kalah dengan nafsu dan perhiasan dunia..

Lantaran itu, walaupun penuhnya perut dengan makanan, penuhnya wang dalam bank, seseorang itu masih lagi di dalam kepincangan dan kerugian jika kosongnya iman. Dengan kosongnya iman, terjadilah pergaulan bebas, free sex, curang, rogol, rasuah, jenayah, dan lain-lain..Sebaliknya jika terisinya iman dalam diri, kekosongan perut dan wang tidak menjadi masalah baginya.. Arah hidupnya masih belum mudah terbabas kerana 'break' iman masih ada..

Dengan iman, hidup masih terarah, manusia tidak mudah kecundang, nafsu dapat dikekang, syaitan dapat dilawan, dunia tidak dipandang.. Di situlah sebenarnya penawar utama keparahan dunia ini.

Namun, kekosongan perut dan wang juga tidak dapat dinafikan dapat menggugat kestabilan iman seseorang itu. Boleh jadi, iman seseorang itu pudar apabila kekosongan perut dan wang.

Justeru, pentingnya untuk kita sentiasa memastikan iman kita terisi demi kebahagiaan kita di dunia dan akhirat sana.. Begitu juga dengan perut dan wang kita, agar iman kita sentiasa terjaga dan stabil..

Let us together recharge our iman again and always.. =-)

Nota Tambahan: Agak-agak si kejam Muammar Gaddafi(Presiden Libya) tu kosong apa? kosong jiwa? kosong hati perut? atau kosong akal? Keras kepala betul..ishhh..geram! Sama-sama kita kirim doa untuk rakyat di Libya, Syiria, Palestin dan umat Islam seluruhnya..

Sambung Bacaan>>>

24 May 2011

Bersykurlah: Tiada Sebab Untuk Kita Mengeluh!

Bismillah

(T_T) Sayu: Setiap kali kuhayati video ini, sebak menyelubungi setiap sendi-sendi; menusuk sukma ini.


Terjemahan lirik:


Hari ini, tatkala menaiki sebuah bas
kulihat seorang gadis kecil berambut perang emas
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika wajahku seindah paras rupanya
tiba-tiba
kulihat dia bersusah-payah untuk turun dari bas itu
rupa-rupanya, gadis kecil itu hanya mempunyai sebelah kaki,
dan dia memakai tongkat
namun, sewaktu gadis kecil itu berjalan melaluiku
dia tersenyum bahagia
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang kaki
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Aku berhenti untuk membeli manisan
penjual manisan itu mempunyai wajah yang indah
aku berbual dengannya, dan dia kelihatan sangat bahagia
aku berkata di dalam hati
alangkah bagus jika aku tampan dan bahagia sepertinya
sewaktu aku mahu meninggalkan kedainya, seraya dia berkata kepadaku --
“Terima kasih, Tuan seorang yang berhati mulia”
“Untuk pengetahuan Tuan,” katanya. “Saya cacat penglihatan”
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang mata
Dunia adalah milikku(betapa bertuahnya diriku)

Kulihat seorang anak kecil bermata biru
dia duduk sendirian -- melihat rakan-rakannya bermain
dia tak tahu apa yang perlu dilakukannya
aku pun berhenti sejenak, dan bertanya,
“Kenapa tak bermain bersama teman-temanmu?”
dia merenung kosong, tanpa mengungkap sebarang kata
dan kemudian baharulah kutahu -- dia tak mampu mendengar
Oh TUHAN, ampunkanlah hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
aku punya sepasang telinga
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)

Dengan kaki untuk membawa ke mana kuingin pergi
dengan mata untuk melihat cahaya mentari senja
dengan telinga untuk mendengar apa yang aku ingin ketahui
Oh TUHAN, ampunkanlah maafkan hambaMU ini, bilamana selama ini aku mengeluh
sungguh, hidupku dirahmati
Dunia adalah milikku (betapa bertuahnya diriku)..

Firman ALLAH:


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak
mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan
hati, agar kamu bersyukur." (QS. An-Nahl:78)

Dalam soal jawab Iblis dengan ALLAH, Iblis berkata,


"Kemudian, sungguh aku datang(memperdayakan) mereka dari hadapan mereka, belakang, kanan
dan kiri mereka. Dan TIDAKLAH Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan
daripada mereka bersyukur." (QS. al-A'raaf: 17).



Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur?

Menurut Imam al-Junaid,


"Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan
maksiat kepada-Nya."

Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepadaNya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan dan bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

Syukur dengan lidah: Iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah:


"Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan
kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11)

Syukur dengan anggota badan: Iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah.

Syukur dengan hati: Iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firmanNya bermaksud:

"Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS.
an-Nahl: 53)

Ibnu Atha'illah Assakandari pula berkata:

"Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."

Begitu juga seperti mana yang kita tahu, bagaimana Rasulullah memberi tauladan pada kita, cara untuk kita bersyukur ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad menjawab,

"Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada Allah."

Marilah sama-sama kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri, bahkan dengan nikmat Islam, Iman dan bolehnya kita bernafas pun sudah memadai untuk kita rasa tiada sebab langsung untuk kita mengeluh.. Alhamdulillah..

Bagi sesiapa yang acap kali mengeluh, baca juga Ayat-ayat cinta Allah di post 'Jangan Mengeluh' untuk lebih menenangkan jiwa kita. Sama-sama kita renungkan. =)

Sambung Bacaan>>>

05 May 2011

Perkenalan: Maahad Buuth Al-Islamiah Sekolah Saya di Mesir

Bismillah..

(Maaf, awal perbualan sengaja dipotong) =D

"Alhamdulillah, saya sihat macam biasa Zam, lama tak jumpa..last jumpa pun time PMR, tiga tahun lepas.. Sekolah mana sekarang?" Soal sahabat lama Azam ketika dia pulang ke Malaysia baru-baru ini disebabkan pergolakan yang berlaku di Mesir. Sudah lama mereka tidak bersua.

"Itulah, lama benar kita tak bersua.. Tak sangka Allah takdirkan untuk kita bertemu di sini. Saya sekarang belajar di Mesir.."

Seperti lazimnya, apabila terdengarnya perkataan 'Mesir', rasa kagum dan takjub menyergah diri si pendengar. Mata bundarnya makin membesar, senyumannya makin melebar..

"Perghh, MasyaAllah! Hebatnya anta.. muda lagi dah belajar di Mesir.. anta di Al-Azhar ya?

"Eh, takde lah.. Ana masih di sekolah menengah Al-Azhar.. Mesir yang hebat, Al-Azhar yang hebat.. ana biasa-biasa saja.. Tiada apa-apa sangat.."

"Subhanallah!! Kira mantap juga dapat sekolah menengah di sana...wah!.. pertama kali dengar ni.. Apa nama sekolahnya?"


**************

Sebenarnya saya ingin menceritakan banyak, dari bidayah kehidupan seorang remaja 16 tahun yang terkapai-kapai di bumi seribu menara Mesir, termasuk tentang Maahad Buuth ini, hingga dia berjaya ke universiti Al-Azhar di dalam sebuah cerpen bersiri.. Namun, saya masih belum ada masa untuk melengkapkannya.. Mungkin setelah saya benar-benar menjejak kaki di Al-Azhar.. Mudah-mudahan Allah bantu..

Justeru, di ruang ini saya hanya menceritakan sedikit sahaja dahulu tentang tempat saya meneguk dan menghirup ilmu di Bumi Kinanah..

Al-kisah, usai mendapat keputusan PMR pada 2008, saya berkelana di bumi seribu menara menyambung perjuangan, mencari keikhlasan..

Mungkin ramai yang masih belum kenal mahupun dengar tentang maahad atau sekolah ini, jadi di sini, saya akan perkenalkan secebis tentang Maahad Al-Azhar ini..


Maahad Buuth: 2009

Maahad Buuth Al-Azhar ini terletak di kota Kaherah Mesir, lebih kurang 5 minit dari Universiti dan Masjid Al-Azhar(jika menaiki kenderaan).

Sekolah ini juga adalah seperti International School jika di Malaysia.. Ianya merupakan sebuah sekolah menengah di bawah Al-Azhar. Bahkan gaji guru-guru dan yurannya juga ditanggung Al-Azhar.. Saya hanya perlu beli kitab-kitabnya sahaja setiap tahun..

Benar! Saya tidak perlu membayar satu sen pun untuk yuran persekolahan ^^..

Dari segi tempoh pembelajaran pula, para pelajar perlu mengambil masa 6 tahun, 3 i'dadi(menengah rendah) dan 3 thanawi(menengah tinggi) untuk menamatkan pembelajaran..

Bagaimanapun, para pelajar boleh mengambil peperiksaan tahdid mustawa(penentuan tahap), juga dikenali sebagai exam loncat jika ingin menyingkatkan tahun pembelajaran.

Syukur, saya dapat loncat terus ke tahun kelima, iaitu 2 thanawi pada ujian tahdid mustawa tahun lalu dan saya kini berada di tahun akhir Maahad Buuth Al-Islamiyah Al-Azhar ini.. Jadi, saya belum boleh bergelar seorang 'azhari', saya masih berstatus 'bakal mahasiswa Al-Azhar'.. Doakan saya dapat menjejak Al-Azhar hujung tahun ini..

Seterusnya, sijil lulusan sekolah ini adalah salah satu wasilah untuk memasuki Menara Gading Al-Azhar selain dengan menggunakan sijil STAM.. Malah lulusan dari sekolah ini adalah lebih mudah..

Ramai para pelajar yang telah menjadi mahasiswa Al-Azhar pada umur yang cukup muda. Mereka mula bersekolah di sini pada umur yang muda, lalu mengambil ujian loncat tahun..

Tidak hairanlah ada seorang sahabat saya yang telah pun bergelar mahasiswa Al-Azhar pada umur 16 tahun!

Di samping itu, jika lulusan dari sekolah ini mendapat keputusan yang bagus, mereka boleh memilih mana-mana Universiti di negara arab termasuk Universiti Ummul Qura, Mekah untuk menyambung pelajaran..




Saya tidak pasti entah berapa puluh bangsa yang belajar di sini. Mereka datang dari seluruh benua dan pelosok dunia termasuk Amerika, England, France, Russia, Somalia, Turkey, Uzbekistan, India, China dan lain-lain.. Hanya lebih kurang 40 pelajar Malaysia yang belajar di sini..

Maka tidak hairanlah apabila sekolah ini menjadi sesak hampir setiap hari. Kelas saya sendiri pun hanya memuatkan 40 orang pelajar, tetapi nama yang tertera di dalam senarai nama penghuni kelas adalah seramai 80 orang lebih! huhu, ya... siapa lambat berdiri.. =(

 Sekolah ini tidaklah canggih mana..





Kuno: Pihak Al-Azhar ingin menyajikan mujahadah dan terbiyyah kepada para pelajar untuk menghasilkan ulama-ulama yang benar-benar berwibawa dalam menerajui ummah..

Saya rasa beginilah sekolah nenek moyang kita dahulu.. Sakit pinggul jika duduk lama di samping mejanya yang kurang rata.. penuh mujahadah!!

Kadang-kadang saya pun hampir putus asa bersabar... Allahumma sallim sallim... ^^

Kelas saya di kala sesak: Para pelajar tengah menunggu ustaz.. Sabar je lah...fuh~

Bagaimana nak mendaftar masuk sekolah ini?

Hmm.. Syarat-syaratnya adalah mudah, tidak perlu keputusan yang cemerlang, hanya 1 juz Al-Quran paling kurang, boleh menulis tulisan arab dan mempunyai asas-asas ilmu bahasa arab.. mudah kan?

Ya, memang ianya kelihatan mudah, tetapi urusannya yang payah.. Saya sendiri mengambil masa 5 bulan untuk benar-benar terdaftar dalam Maahad Al-Azhar ini..

Itu saja yang saya boleh kongsi kali ini, insyaAllah saya akan bercerita lagi tentang sekolah ini di masa mendatang.. =)

Berminat untuk bermujahadah di sekolah ini? Ingin belajar di Al-Azhar, tapi tiada sijil STAM? Sebarang pertanyaan lanjut, sila layari website sahabat saya Ustaz Syihab di http://syihab-educonsult.blogspot.com

atau tonton video promosi kami di:




Sambung Bacaan>>>

01 May 2011

Dari Oxford ke Gombak: Satu Catatan Ringkas 'Pencerahan' daripada Syeikh Dr. Afifi Al-Akiti

Bismillah walhamdulillah..

Sungguh mencerahkan dan bermanfaat. Saya sangat tertambat dengan sebuah artikel dan sangat teruja untuk berkongsi kepada para pembaca terutamanya para penimba ilmu yang berdisiplin. Coretan ini dinukil salah seorang yang hadhir dalam wacana Sheikh Dr. Afifi Al-Akiti pada 24 Disember 2010 di UIAM, Gombak..

Dicoret oleh: Sara Izutsu

Barangkali kita tak punya banyak cendekiawan muda yang ilmunya meluas, yang fasih dengan tradisi dan kontemporari, yang engage dan maklum akan timur dan barat, yang bicaranya di fahami generasi muda, yang susun atur katanya menyentuh hati kalangan dewasa, penampilannya berimej segar, gayanya memukau dalam bersahaja, dan syarahannya menyentuh nurani ke dasar rasa yang paling dalam.

Perjalanan intelektual Syeikh Afifi jika disoroti, menarik dan unik berbanding orang kebanyakan. Menyertai pengajian pondok/madrasah di Indonesia yang dengannya beliau berhasil menguasai bahasa Arab dengan baik, kemudian tanpa mengambil SPM sebaliknya menduduki A-level, membolehkan beliau terbang ke bumi Eropah menyambung pengajiannya, di Universiti Queen Belfast. Dan atas kecerdasan fikiran yang dikurniakan Allah kepadanya dan hasil usahanya yang sungguh-sungguh, beliau meneruskan pengajian di Oxford (sarjana dan doktor falsafah). Dan kini, sebagai anak Melayu pertama yang menjadi tenaga pengajar di Universiti Oxford.

Pengalaman mendengar syarahan/tazkirah/wacana darinya kira-kira hampir 2 jam di Shafie Conference Room malam Sabtu, 24 Disember yang lalu nyata masih tidak cukup buat para hadirin, yang masih dahagakan nasihat-nasihat berguna darinya. Detikan waktu umpama berhenti seketika, mulut terlopong mendengar penuh khusyuk sambil mata seakan tidak mahu berkedip mendengar ‘pencerahan’ dari Sang Guru. Dalam syarahan yang bertajuk “The Muslim Ummah & The Intellectual Challenge: Lesson from Islamic Tradition”, banyak isi penting yang sangat baik yang perlu diambil perhatian dan sama-sama dijadikan panduan bagi diri selaku pelajar, apatah lagi sebagai seorang Muslim dalam perjalanan menuntut ilmu di zaman yang serba mencabar ini.

Pertamanya, asas-asas penting dalam setiap disiplin ilmu-Mabadi’ al-‘Asyara (10 Pengenalan Asas)- yang memandu kita dalam menuntut mana-mana displin ilmu supaya pengajian kita akan lebih terarah. Katakan kita ambil ilmu usul fiqh sebagai mithalan. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilmu usul fiqh itu? Apakah ilmu-ilmu lain yang diperlukan dalam menguasai prinsip asas dalam ilmu usul fiqh dengan baik? Bagaimana pula dengan Maudu' (topik perbincangan), ghayah (matlamat), faedah, istimdad (tempat rujukan / punca terbit) ilmu usul fiqh tersebut?

Selain itu, beliau menegaskan masalah utama sistem pendidikan kita pada masa kini ialah ia melahirkan graduan yang blanket specialization. Katakan pelajar kejuruteraan sebagai mithalan, tiadalah yang diketahui olehnya selain apa yang terkandung dalam disiplin ilmunya semata. Displin ilmu lain seperti Falsafah, Sejarah, dan lain-lain termasuklah cabang-cabang dari ilmu kejuruteraan yang bersifat empirical itu seperti sains, biologi pun tiada diperhatikannya. Maka lahirlah manusia-manusia yang umpama katak di bawah tempurung, kerana disebabkan pengkhususan di universiti memberi kesan yang bukan sedikit- seakan ‘terhijab’ kita daripada cabang ilmu pengetahuan lain. Dan hal ini amat mendukacitakan kerana (i) tidak mampu kita mempertahankan tradisi ilmuwan Islam dahulu yang berjaya menguasai pelbagai cabang displin ilmu dengan baik (ii) memberi kesan kepada kehidupan harian manusia sejagat, kerana bukankah kehidupan kita merupakan satu bentuk inter-connection antara satu bahagian dengan bahagian lainnya?

Meskipun umat Islam dituntut untuk menimba ilmu seluas mana yang boleh, hendaklah juga diketahui bahawa tidak semua orang mampu melakukan setiap jenis perkara, walaupun ia sebenarnya bukanlah mustahil. Justeru, adalah penting untuk kita mengenal pasti our own strength and limitation. Ini kelihatan seperti bertentangan dengan apa yang disebutkan pada awal tadi. Yang dimaksudkan pada perenggan sebelum ini ialah, paling tidak bagi kita, untuk tidak terus-terusan menjadi mangsa ‘pengkhususan yang membelenggu’ itu, mempunyai idea-idea asas (kerana untuk mengetahui dan menguasai setiap satu cabang ilmu dengan terperinci dan mendalam adalah agak sukar) -yang membolehkan kita melihat big picture bagaimana sesebuah sistem berdiri, (hasil penggabung jalinan setiap cabang displin ilmu) -sehingga membentuk sebuah sistem yang sempurna. Dalam masa yang sama, kita harus sabar dan jangan gelojoh nak buat semua perkara, seakan-akan kita tahu semua benda. Be prioritize. Read widely. Read wisely!

Syeikh Afifi juga mengutarakan betapa pentingnya bijak pandai/ilmuwan untuk bukan saja mahir dalam berwacana, juga berupaya mempersembahkan idea mereka sesuai dengan kefahaman massa/ummah. Beliau memberi contoh perbezaan dua ilmuwan agung dalam tradisi ilmu Islam iaitu Ibnu Sina dan Ibnu al-Haytham. Public engagement di zaman moden kini sangat perlu dan mustahak.

Seterusnya beliau menghurai lanjut kepentingan tiga komponen iaitu memorization (penghafalan), comprehension (pemahaman), dan argumentation (jidal/perdebatan) dalam tradisi ilmu Islam. Beliau mengaitkan kepentingan penghafalan dengan kisah terkenal Imam al-Ghazali dengan penyamun. Dalam menerangkan signifikannya pemahaman dalam menguasai ilmu dan tidak bersandarkan kepada apa yang diingat sahaja, beliau sempat bertanya hadirin dalam suasana penuh santai, apakah kedudukan beliau sebagai pengajar di Oxford sekarang satu bentuk achievement kepada Malaysia atau brain drain? Hadirin menyambut dengan gelak tawa, kerana memang betul soalan sebegitu bukanlah boleh dijawab dari ingatan dalam minda sebaliknya ia memerlukan usaha seseorang untuk berfikir dan membuat penilaian. Begitu juga dengan seni berdebat/berhujah yang umat Islam sudah lama tinggalkan. Anda boleh lihat budaya ini mekar di Oxford. Namun begitu berhujahlah apabila kita empunya ilmu alat (bahasa terutamanya-bahasa Arab dan Inggeris) yang cukup dan ilmu kandung (logik, falsafah, sejarah, dan lain lain) yang betul.

Antara ciri utama ulama silam ialah sifat tawadhuk yang ada pada mereka. Seringkali kita temui dalam teks-teks nukilan mereka, apabila ‘alim ulama’ menulis pandangan mereka tentang isu-isu tertentu, digunakan lafaz “Ra’yi” (pandangan saya), bukan ‘Islam mengatakan….’ padahal mereka ini sememangnya ulama’ besar yang memang telah menguasai pun ilmu-ilmu agama dengan baik sekali. Persoalan adab dalam ilmu, di mana Syeikh Afifi menekankan penting bagi seseorang bukan saja memberi perhatian kepada potensi inteleknya bahkan aspek spiritualnya juga perlu dibangunkan, kerana kekuatan dalamanlah yang akan menghindarkannya dari sifat arrogant (sombong) dengan luasnya ilmu yang dipunyainya. Sekali lagi beliau membawa contoh kisah Imam Ghazali dengan anak didiknya, yang telah bertanya kepada Sang Gurunya, tentang apakah itu ilmu yang bermanfaat? Syeikh Afifi menjelaskan tanda kematangan seseorang ialah apabila dia tahu apa yang bermanfaat bagi dirinya sendiri kerana orang lain tidak akan tahu dengan lebih mendalam akan diri kita kecuali diri kita sendiri. Syeikh Afifi memetik sebuah hadis yang membawa maksud sebaik-baik keislaman seseorang adalah tarkuhu ma la ya’nih yakni meninggalkan apa yang tak berkenaan dengannya. Dan apabila menyentuh apakah itu ‘perkara yang tidak berkenaan’ Syeikh Afifi berkata ringkas ‘knowledge that does not benefit, ignorance of which does not harm’ (pengetahuan dengannya yang tidak membawa manfaat, yang kejahilan dengannya tidak membawa mudarat).

Beliau turut memberi pesanan, intellectual & spiritual preparation are something that does not need one to say it outloudly, something that you done it by yourself. (Masya Allah!) Sebelum mengakhiri syarahannya, beliau turut memberi ingatan bahawa kita ini sedang berada antara dua tahun baru (hijri-yang baru saja disambut beberapa minggu lepas dan tahun baru masihi-yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi). Bulan Muharram merupakan bulan untuk membentuk azam tahun baru selepas melepasi Dzulhijjah yang merupakan bulan pengorbanan. Untuk melaksanakan azam baru (yang selalunya diri kita tidak biasa dengannya) tidak akan berhasil tanpa pengorbanan dari empunya diri itu sendiri. Maka seharusnya kita bersedia untuk meninggalkan tabiat buruk demi melaksanakan tabiat baik. Kebaikan dan kebatilan tidak akan dapat berpadu.

Syeikh Afifi meruntun hati para hadirin malam itu saat beliau mengungkapkan doa-memohon agar kami semua dikurniakan hidayah oleh Yang Maha Memberi Petunjuk, dianugerahkan dengan hikmah dan kebijaksanaan, dituntun jalan agar kami diberi peluang untuk mengenali diri dan supaya dengannya diberi jalan mengenali Allah dan masya-Allah tiadalah mampu untuk dicoretkan apa yang dirasakan saat itu di sini…

Syeikh Afifi pada umurnya yang cukup muda, biarpun dengan segala apa yang Allah kurniakan kepadanya, kecerdasan akal, kejernihan sukma, kepetahan bersyarah, dan posisi yang dipegangnya kini, tetap merendah diri seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Memang benar, tidak rugi mengenali ‘alim ulama, melihat wajahnya sahaja sudah memberi kedamaian dan ketenangan. Tidak perlu mereka datang kepada kita dan menasihatkan kita atas kekhilafan yang kita lakukan, hanya melihat kepada tindak tanduk mereka sahaja sudah cukup untuk buat kita malu kepada diri sendiri.. 


Sumber: Rausyanfikir.com

MasyaAllah! Terkesima. Sangat teringin untuk hadhir dalam wacana beliau dan berjumpa dengannya. Pencerahan yang sangat bermanfaat. Percikan kesedaran menambah bara semangat menuntut ilmu setelah mengamati ini. Moga Allah beri kekuatan untuk kita jadi seperti Sheikh Dr. Afifi Al-Akiti.. Ameen.

Nota Tambahan: Idola saya kini bertambah seorang lagi ^^



Sambung Bacaan>>>

27 April 2011

Menjejak Cara Salafussoleh Membudayakan Al-Quran

Bismillah.

Imam Nawawi menukilkan dalam bukunya At-Tibyan Fi Aadaab Hamalatil-Qur'an:

" Digalakkan untuk kita mengkhususkan waktu dalam membaca Al-Quran, menjaga waktu pembacaan dan melakukan peningkatan dalam pembacaan.

Adalah salafussoleh(orang soleh terdahulu) radhiallahuanhum membiasakan pengkhataman Al-Quran dalam tempoh masa yang berbeza-beza..

Ibnu Abi Daud telah meriwayatkan bahawa sebahagian golongan salaf menyelesaikan sekali khatam Al-Quran dalam masa dua bulan.

Sebahagian yang lain mengkhatamkan Al-Quran setiap bulan.

Dan sebahagian yang lain pula ada yang menyelesaikan satu khatam dalam masa sepuluh hari, antaranya adalah Hasan Al-Basri. Ada juga yang mengkhatamkannya setiap hari kelapan seperti sahabat Nabi, Ubay bin Ka'ab r.a..

Sebahagian besar daripada mereka menyelesaikan Al-Quran dalam tempoh seminggu, antaranya Abdullah bin Mas'ud, Alqamah bin Qays dan lain-lain.

Segelintir yang lain seperti Al-Asud bin Yazid mengkhatamkan dalam masa enam hari, dan ada juga setiap lima hari.

Sebilangan daripada mereka mengkhatamkan pada setiap empat hari seperti Abu Darda' r.a..

Bahkan sebahagian besar salafussoleh mengkhatamkan Al-Quran setiap tiga hari seperti Abdullah bin 'Amr.

Beberapa yang lain menghabiskan pada setiap dua malam seperti 'Ataa bin As-Sa'ib dan kebanyakannya menghabiskan pengkhataman kitab suci Al-Quran pada setiap hari seperti Abdullah bin Az-Zubair.

Antara yang mengkhatamkan ayat-ayat cinta Allah ini pada setiap siang dan malam adalah Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim Ad-Dariy, Sa'id bin Jubair, Mujahid Al-Makki, Imam As-Syafi'i radhiallahuanhum dan lain-lain.

Malah ada juga yang melengkapkan dua kali khatam sehari, sekali khatam pada siang hari, dan sekali pada malamnya seperti Abdul Rahman bin Al-Qasim dan ada juga tiga kali khatam sehari seperti Sulaim bin 'Itr, empat kali sehari seperti Abu Umar Al-Kindi dan lapan kali sehari seperti Ibnu Al-Katib rahimahumullah(4 kali siang 4 kali malam)..

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dawud dengan sanad yang sahih, bahawa Mujahid Al-Makki pernah mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan antara waktu maghrib dan isya'.

Beberapa golongan tabi'ien juga pernah menyempurnakan dua khatam antara maghrib dan isyak selama bulan Ramadhan.

Diriwayatkan juga bahawa sangat ramai dari salafussoleh yang menyelesaikan seluruh Al-Quran dalam satu raka'at. Antaranya adalah Sayyidina Uthman bin' Affan, Tamim Ad-Dariy dan Sa'id bin Jubair radhiallahuanhum. "

Tindakan Kita

Menetapkan target:Agak-agak tempoh yang kita mampu untuk mengkhatamkan Al-Quran, dan tetapkannya. Contoh: Sekali khatam setiap bulan.

Cara mencapai target:Rangka berapa banyak yang perlu kita baca setiap hari untuk mencapai target. Contoh: Jika targetnya sekali khatam setiap bulan, maka sehari satu juz. (Ingat! mesti semampu kita dan realistik).

Luangkan waktu khusus untuk membaca Al-Quran:Tetapkan waktu khusus dalam sehari yang mana kita dapat mendedikasikan masa hanya untuk baca dan fahami Al-Quran.

Istiqamah:Sentiasa jaga konsistensi pembacaan Al-Quran sehari-hari dan perlahan-lahan tingkatkannya. Contoh: Mulakan dengan membaca satu muka sehari, lalu seiring berjalannya waktu, naikkan menjadi dua muka, tiga muka dan seterusnya semampu yang boleh.

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:


"Dikatakanlah (kelak ketika akan masuk syurga) kepada ahli Al-Quran (yakni gemar membaca, menghafal serta mengamalkan isinya): "Bacalah dan naiklah darjat/martabatmu(dalam syurga) serta tartilkanlah (yakni membaca dengan tartil) sebagaimana engkau mentartilkannya dulu ketika di dunia, kerana sesungguhnya tempat kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca." 


Maksudnya, jika kita membaca seluruh Al-Quran adalah di martabat tertinggi, maka jika kurang daripadanya adalah di bawahnya menurut kadar banyak dan sedikitnya pembacaan kita. (HR Imam Abu Dawud dan Tarmidzi dan Tarmidzi mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan sahih..

Selamat beramal! ^_~




Si bongsu, Ahmad Furqan Zahrawy(1 tahun 2 bulan) membaca Al-Quran dengan penuh khusyu', mengalahkan abangnya. ^_^

Sambung Bacaan>>>

25 April 2011

Let Us Recharge Our E-man

Bismillah..

"Marilah kita duduk untuk beriman sejenak"
- berkata Muadz bin Jabal mengingatkan sahabatnya

"Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak"
- berkata Ibnu Rawahah kepada Abu Darda' sambil memegang tangannya.

Begitulah rutin para sahabat Nabi yang senantiasa ingat-mengingati tentang iman. Sedangkan iman mereka sangat jauh bandingnya dengan kita. Iman para sahabat Nabi telah mencapai tahap kesempurnaan yang mana apabila dinampakkan syurga dan neraka di hadapan mereka, nescaya iman dan keyakinan mereka tidak akan meningkat mahupun berubah. Radhiallahuanhum.

Itu para sahabat. Bagaimana pula dengan kita yang masih cacat imannya ini?

Bateri yang kong perlukan charger. Begitu juga iman.

Manusia boleh bersungguh-sungguh berusaha menuntut ilmu, berusaha mencari rezeki, berusaha mendapat kemegahan dunia, tetapi untuk perkara sepenting iman, tak ingin berusaha meningkatkannya? Tak ingin berfikir tentangnya walau seketika?

Iman Meningkat dan Menurun

Graf Iman: Iman kita sepatutnya begini.
Al-Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama ilmu kalam berpendapat bahawa iman tidak meningkat mahupun menurun.

Manakala jumhur(majoriti) ulama antaranya Imam Bukhari dan Imam Burhanuddin Al-Laqqani(penulis matan Jauharah Tauhid) berpendapat bahawa Iman itu meningkat dan menurun.

Lalu Al-Imam Fakhrurrazi menyimpulkan bahawa masalah khilaf dalam hal ini adalah perbezaan dari sudut lafaz sahaja. Ini kerana ulama yang mengatakan iman itu tidak meningkat dan tidak menurun adalah disebabkan penafsiran mereka bahawa iman itu adalah 'tasdiq' yakni keyakinan di dalam hati.

Sebaliknya ulama yang mengatakan bahawa iman itu meningkat dan menurun adalah kerana mereka menafsirkan iman itu 'tasdiq bil a'mal' yakni keyakinan yang diiringi dengan amalan.

Maka saya sangat tertarik untuk berkongsi tentang kata-kata Imam Nawawi yang indah dan bernas dalam merungkai bab ini:

"Iman adalah ibarat Matahari yang keterikan cahayanya berubah-ubah mengikut litupan awan yang bergerak dan ketebalannya. Jika ada awan yang menghalang matahari, maka cahayanya akan redup."

Ya. Iman memang tidak akan berubah seperti tidaknya Matahari kerana kita memang tetap meyakini dengan keenam-enam rukun iman. Tetapi cahaya iman akan pudar dengan awan-awan gelap noda dan maksiat, yang mana menyebabkan cahaya iman itu tidak sampai ke seluruh anggota badan untuk kita beramal. Sebaliknya jika kita tidak bermaksiat dan sentiasa membersihkan iman dengan zikir dan Al-Quran, maka cahayanya akan tetap terpancar menyilaukan..

Iman Umpama Bateri

Setiap insan pasti akan berasa kekurangan tenaga, letih dan penat. Kita mengumpul kembali tenaga jasmani kita dengan makan, minum, rehat dan tidur. Kita umpama mengecas jasad kita dengan tidur. Tiada manusia yang mampu hidup tanpa tidur.

Soalnya, jika jasmani kita perlu dicas, bagaimana pula dengan rohani kita? Iman kita? Bahkan rohanilah yang patut diberikan lebih keutamaan dan penjagaan. Tanpa kekuatan tenaga rohani, hidup akan menjadi gundah, jasmani akan bekerja tanpa ketenangan dan kebahagiaan.

Iman adalah ibarat bateri dalam diri insan untuk menghidupkan enjin amal. Jika bateri kita tidak dicas, maka kekuatan kita untuk melakukan amal ibadah akan menjadi lemah.

Justeru orang yang benar-benar beriman akan sentiasa memastikan bateri dirinya dalam keadaan yang stabil.

Jadi, apakah charger nya?

Charger E-man



Rasulullah ada bersabda tentang cara untuk kita recharge kembali iman kita dalam hadis daripada Abu Hurairah:

Baginda bersabda, "Perbaharuilah iman kalian!"

Para sahabat bertanya, "Bagaimana untuk kami perbaharui iman kami Ya Rasulallah?"

Rasulullah menjawab, "Perbanyakkanlah kalian menyebut 'La Ilaha illallah'"

(HR Imam Ahmad dengan sanad hasan)

Begitu juga dengan membaca Al-Quran, berzikir, memikirkan dan sering berbicara tentang kebesaran Allah, berbicara tentang hari akhirat dan doa..

Apa kita tunggu lagi? Jom cas.. La Ilaha illallah 100x.. =)

Mari Mencapai Kesempurnaan Iman


{إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانا وعلى ربهم يتوكلون}


"Sesungguhnya orang-orang yang (sebenar-benar)beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."{Al-Anfal:2}

Begitulah tahap kesempurnaan iman yang ada dalam diri para sahabat. Sehinggakan apabila terdengarnya nama Allah dalam seruan azan 'Allahuakbar', bergetar hati mereka, lalu dengan segera terus ke rumah Allah tanpa berlengah-lengah.

Bahkan apabila mereka membaca Al-Quran, bertambah-tambah iman mereka sehingga menyebabkan mereka tidak tidur malam dengan tangisan dan pembacaan Al-Quran seperti mana kita tahu bahawa Sayyidina Uthman pernah mengkhatamkan Al-Quran hanya dalam satu rakaat!

Mereka bukan malaikat mahupun Nabi, tetapi mereka hanyalah insan biasa seperti kita.

Justeru, mari kita sama-sama mencontohi mereka, tingkatkan iman kita dengan banyak berzikir, menyebut kalam-kalam dan berbicara tentang keagungan Allah 'Azza wajalla..

Semoga Allah kurniakan kita hakikat iman yg mana jiwa kita bergetar apabila mendengar setiap kalam-kalam Allah..Ameen.

Akhir kalam, setiap abjad dan kalimah yang saya tulis adalah untuk saya sendiri yang tidak stabil imannya ini pertamanya, dan saya berkongsi dan mengajak kalian untuk sama-sama tingkatkan iman kita atas dasar menuju kesempurnaan iman. Ya, kerana saya mencintai kalian. =)


"Tidak beriman(dengan sempurna) setiap daripada kamu sehingga dia mencintai dan mengasihi saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri" -Rasulullah S.A.W.(Muttafaq 'alaih)
Pastikan Iman kita stabil dan sentiasa berusaha mencapai tahap iman 100%

Sambung Bacaan>>>

21 April 2011

Diari: Sketsa Amukan Di Mesir (Akhir)

Bismillah walhamdulillah..


Video sekilas tentang revolusi hebat yang terpahat dalam sejarah. Revolusi 25 Januari Bumi Kinanah, dalam kenangan..


Maafkan kelemahan penulis. Hm, lama sungguh kita tidak bersua ya.. berkarat sudah blog ini.. Penulis kebelakangan ini ditimpa pelbagai kesulitan. Di samping ketidakstabilan iman, penulis juga agak sibuk dengan pengajian, persediaan untuk menghadapi imtihan tahun akhir di Maahad dan hafazan Al-Quran yang terumbang-ambing.. Saya juga diberitakan doktor bahawa diri ini dianugerahkan penyakit Sinusitis, Hyperacidity dan Low Blood Pressure. Doakan saya agar cepat sembuh. Syukur kerana masih boleh tersenyum. =-)

Demi menepati janji, saya akan nukilkan jua sambungan sketsa saya ketika revolusi di mesir beberapa bulan yg lalu agar tidak terbiar basi berkulat di gudang draft blog... =)


3 Febuari 2011

Argghhhhhhh...

Dah macam zaman Jepun.. Sampai bila nak jadi begini? Dah jadi parah macam ni Mubarok masih lagi membisu. Dahsyat sungguh kedegilan si Mubarok tu... Masa aku untuk mengikut pengajian di Masjid Al-Azhar habis terbuang oleh si keparat berkepala keras itu...

Jam 11 malam, 5 orang pelajar datang menumpang ke bilik saya hari ini... Mereka adalah pelajar perubatan dari muhafazah (negeri) Zaqaziq.. Mereka dan beratus lagi datang untuk turut menyertai kami dalam Operasi Piramid ini. Seperti biasa kami saling berkenalan dan bertukar contact..
Saya kurang keluar dan mendapat berita hari ini. Saya lebih banyak kemas barang-barang di kamar dan menziarahi sahabat-sahabat..

Jam 12.00 am pengumuman kedengaran di speaker seluruh ARMA.. Ianya tentang nombor giliran yang akan berlepas pada besok pagi. Pelajar yang nombornya disebutkan perlu segera bersiap-siap. Belum disebutkan nomborku.....

Aku bingung, seawal inikah aku perlu pulang? Ergh... aku tidak ingin pulang sebenarnya.. Tahun ini merupakan tahun akhir aku di Maahad Al-Azhar ini, peperiksaan pada tahun inilah penentu untuk aku masuk ke Universiti tersohor Al-Azhar bulan Oktober ini.. Aku masih belum bersedia untuk pulang... Apa aku nak buat di sana?? Di sini pula, sama juga, malah lebih teruk.. Ya Allah!!

4 Febuari 2011

2.00 am. Aku masih tak dapat lena. Pengumuman kerap kali kedengaran di speaker. Bilik penuh, di luar hiruk-pikuk dengan bunyi pelajar bersiap-siap.. Argh, mungkin aku tidak tidur hari ini, biar sahabat-sahabat yang datang dari jauh ini saja yang tidur di tempatku.. Lagipun malam ini malam Jumaat..

Jam 3.00 pagi. Tiba-tiba kotak speaker memperdengarkan “Maaf, kepada semua penghuni tetap ARMA lelaki, sila bersiap-sedia untuk berlepas dan berkumpul di dewan makan dengan kadar segera!”
Aduh.. ini benar-benar mengejutkan.. Hari ini juga??? Awal-awal begini??
Masih dalam keadaan runsing, tekanan dan menjengkelkan, aku bingkas bersiap-siap, mengemas pakaian dan membersihkan diri..

Tidak banyak yang aku persiapkan untuk pulang. Kerajaan hanya benarkan kami membawa barang seberat 7 kilo. Tidak boleh lebih. Jika beg laptop dah 3 kilo, maka beg pakaianku hanya 4 kilo sahaja!

Sampai di bawah, dataran ARMA penuh dengan kaum hawa yang akan berangkat tidak lama lagi. Setelah memastikan nombor dan group masing-masing di papan pengumuman kami diarahkan untuk berkumpul di dewan makan.. Berjam-jam kami tunggu arahan seterusnya.

Subuh menjelang tiba, usai solat, kami diarahkan untuk tunggu lagi. Aku sudah tidak tahan lagi, aku perlu tidur merehatkan badan. Aku tumpang kamar seorang rakan untuk berehat seketika dan memintanya untuk mengejutkan saya jika ada apa-apa pengumuman..

Satu jam sebelum solat Jumaat, kami diarahkan untuk berkumpul di dataran mengikut kumpulan masing-masing. Setelah mendengar sedikit taklimat dan rangka perjalanan yang akan kami tempuh hari ini, kami bersiap-siap untuk solat Jumaat.

Bas tiba betul-betul sesampainya kami dari masjid..

Lebih kurang sejam kemudian kami sampai di Cairo International Airport. Beratus-ratus mahasiswa masih beratur menunggu di luar Airport.. Kami yang baru sampai turut menyertai mereka di belakang sekali. Agak hairan mengapa sampai perlu tunggu di luar..




Rupanya segala urusan untuk menaiki pesawat termasuk boarding bagi mahasiswa Malaysia yang mengikuti Operasi Pyramid ini dijalankan di luar lapangan terbang.. Malam itu, seusai isha', akhirnya tiba masanya untuk kami menaiki pesawat Tentera Udara Malaysia untuk berlepas ke Jeddah. Kami menaiki penerbangan ke-3 pesawat TUDM pada hari ini.



Tanpa nama: Boarding pass paling aneh pernah saya dapat. =)

Ya, pengalaman pertama menaiki pesawat perang. Rasa teruja.. ^^




Setelah memberi beg pakaian dan beg laptop kepada yang bertugas, dan dibalas pula dengan plastiik berisi makanan dan minuman oleh si petugas, aku agak lewat sampai ke dalam pesawat, tempat duduk di kanan dan kiri telah pun penuh, lalu saya disuruh untuk duduk di lantai.. Saya di barisan paling hadapan, diikuti oleh yang lain di belakang saya. Lantai kini penuh dan sesak. Kami disuruh berhimpit dan merapat-rapatkan lagi agar dapat memberi ruang pada yang masih berdiri dan tiada tempat untuk duduk.


Dalam keadaan yang sungguh tidak selesa dan sempit, akhirnya semua orang dapat tempat duduk dan pesawat bersedia untuk berlepas. Aku rasa kira-kira 200 pelajar berada dalam ruang pesawat ini. Mungkin lima kali ganda dari bilangan tempat duduk yang disediakan.

Di bahagian tengah pesawat: yang duduk di lantai terpaksa banyak bersabar..

Hampir satu jam aku terperosok di barisan paling hadapan orang yang duduk di lantai. Betul-betul di hadapanku adalah enjin si burung besi ini yang mengeluarkan haba. Aku keletihan, tetapi keadaan tidak mengizinkan aku untuk tidur. Tidak ramai yang dapat tidur dek kepanasan persekitaran, kesempitan ruang, kekurangan oksigen dan pergerekan pesawat tentera ini yang agak 'agresif' ke kiri dan ke kanan seperti mana biasanya keadaan pesawat perang yang lain apabila berada di ruang angkasa..

Aku merasakan jasadku sudah hampir menjadi belacan terhimpit-himpit. Wajahku pula mungkin agak gelap terkena bahang dan haba si enjin.. Ya Rabb, kepadaMu aku berserah. Selamatkanlah perjalanan ini. Lancarkanlah..

Sabar+Mujahadah: (Gelap ketika dalam perjalanan) Mungkin beberapa jam lagi kami akan menjadi 'nasi himpit'

Hampir 3 jam perjalanan, akhirnya Pesawat mendarat di Lapangan terbang Jeddah..

5 Febuari 2011

Ramai mahasiswa yang telah tiba beberapa jam yang lalu masih lagi di ruang menunggu.. Aku mendapati ada di kalangan pekerja berbangsa India yang bertugas membersihkan kawasan di situ ada menjual sim card nombor Saudi. Saya membelinya dengan wang Malaysia yang masih disimpan sejak awal kedatangan ke Mesir lagi. Tak sangka dia menerimanya. Saya sangat memerlukannya untuk memberi khabar kepada keluarga dan bertanya khabar..

Mungkin semua yang berkerja sebagai pembersih di Lapangan Terbang ini berbangsa India, kerana mereka saja yang saya nampak bertugas.. Tetapi pegawainya adalah di kalangan rakyat di sini..

Tidak lama kemudian, salah seorang petugas di Asrama tabung Haji di Jeddah menyambut para pelajar yang menyertai Operasi Piramid ini. Tetapi bukan rombongan penerbangan ke-3 yang baru sampai seperti kami. Petugas itu menyambut mereka yang telah lama menunggu sejak penerbangan pertama dan kedua sampai ke sini beberapa jam yang lalu..

Agak kecewa dan letih..

Berjam-jam kami menunggu di ruang ketibaan. Entah berapa kali rombongan berbangsa India dan Indonesia kelihatan tiba dan masuk ke negara ini. Seolah-olah Saudi 'mengimport' mereka. Kemungkinan besar mereka datang untuk berkerja. Tiada ciri-ciri yang menunjukkan mereka datang untuk berumrah atau belajar..

Setelah menunaikan solat subuh berjamaah di ruang yang agak lapang, kami kembali menunggu, dan menunggu.. Tiada siapa yang datang menyambut.

Pagi menyingsing, ada yang telah tertidur, ada yang berzikir, membaca Al-Quran, ada juga yang bermain laptop. Aku melelapkan mata seketika melayan kepenatan yang tak tertahan lagi.

Dua jam kemudian seorang pegawai datang mengumpul passport. Setelah itu kami diminta terus menunggu di ruang yang lain sehingga nama dipanggil..

Aku mengulang hafazan Al-Quran sementara menunggu nama dipanggil untuk meingisi masa kosong. Satu jam kemudian, akhirnya namaku dipanggil. Aku mendapat passport lalu membukanya sekilas. Kami mendapat visa khas. Emergency Visa. Hanya bertahan selama seminggu.

Aku lega. Aku benar-benar ingin berehat di tempat yang lebih selesa.

Kami lalu menaiki bas ke Asrama Tabung Haji 45 minit dari lapangan terbang.. Asrama tersebut asalnya adalah tempat jamaah haji Malaysia menetap ketika musim haji... Syukur akhirnya, kami selamat sampai. Alhamdulillah...

6-8 Febuari 2011

Kullulhamdulillah.

Allah bagi tempat yang selesa. Asrama Tabung Haji ini sungguh luas. Ada banyak blok, A, B, C, D,dan blok E. Saya di blok B. Setiap bangunan blok ada puluhan bilik dorm. Satu bilik dorm mempunyai lebih kurang 15 katil double-decker. Terkenang pula zaman sekolah berasrama penuh dahulu. Lebih tiga ribu kini menumpang di Asrama ini.

Yang menariknya ada kedai mamak di sini. Beberapa warga India mengambil peluang untuk berniaga di sini. Roti canai jugalah yang pertama aku order. Oh, lama sudah... ^^

Restoran mamak ini menyediakan televisi. Channel Al-Jazeera terus menyumbang berita. si Hosni masih belum turun. Tekanan makin hebat dari rakyat. Jumaat ini adalah tempoh terakhir yang diberi rakyat. Berjuta-juta berada di medan Tahrir kini.

Yemen, Syria, Morocco dan beberapa negara arab lain juga turut mula mengikut jejak langkah Tunisia dan Mesir. Peperangan kecil berlaku di Yemen.. Semoga Allah bantu dan selamatkan mereka.

Wifi yang disediakan lebih memudahkan kami untuk berhubung. Aku memanfaatkannya untuk memberi khabar kepada keluarga di Malaysia serta mengambil tahu berita-berita dunia.

Aku mendapat berita bahawa pencetus Revolusi 25 Januari ini adalah seorang pemuda Mesir yang berkerja di Google sebagai Marketing manager. Menurut berita, pemuda tersebut yang bernama Wael Ghonim yang mula menyebar mesej-mesej pembakar di laman sosial Facebook. Dia dilaporkan hilang pada 27 januari lalu dipercayai ditangkap dan dipenjara.. Aku mula mengagumi pemuda-pemuda mesir. mereka umpama pahlawan yang menyayangi generasi masa depan. Mereka sentiasa bersatu tidak kira agama. Mereka sentiasa jaga solat berjamaah. Sehingga ketika demonstrasi di Tahrir pun mereka tidak melupakan solat berjamaah...


Aku mula rasa seperti seorang yang ingin jatuh sakit. Ya Allah, berilah aku kekuatan.

Hari ketiga di sini, akhirnya masa untuk kami benar-benar pulang ke Malaysia tiba pada petang ini. Syukur, Anak Raja Arab Saudi menyumbang 2 Kapal Terbang Saudi Airlinesnya.. Operasi berjalan semakin lancar. Setiap hari ratusan dan ribuan lagi sampai ke asrama ini. Tempat makin padat hingga ada yang terpaksa tidur di surau...

Kullulhamdulillah. Setelah lebih kurang 10 jam mendiami burung besi besar Saudi Airlines yang terbang melintasi beberapa lautan dan benua, akhirnya aku menjejak ke KLIA..

Seperti yang dijangka, puluhan kamera dan wartawan serta-merta fokus kepada kami setibanya kami di ruang hadapan lapangan terbang.. Ada yang memberi air, makanan dan sebagainya.. Aku dengan rasa bahagia terus menunggu sambutan keluarga yang dirindui hadhir.

Syukur kepada Allah. Terima kasih juga kepada yang terlibat dalam Operasi Piramid ini. Semoga Allah balas jasa-jasa kalian....

Beberapa hari kemudian

Ya, benar-benar seperti yang dihadkan rakyat mesir tentang tempoh kedegilan Mubarak, pada Jumaat 12 Febuari 2011, Rakyat Mesir turun dan keluar beramai-ramai di Medan Tahrir. Setelah 3 kali Jumaat, tekanan demi tekanan menyebabkan Hosni Mubarak akhirnya turun jawatannya dengan penuh hina.. Allahuakbar!!

Dan yang mungkin kebetulan, tarikh 12 Febuari kejatuhan Mubarok ini adalah bertepatan dengan tarikh Imam As-syahid Hassan Al-Banna wafat iaitu pada 12 Febuari 1949. Subhanallah! Maha Perancang Allah..

Pahlawan Mesir, Wael Ghonim pula dilaporkan telah dibebaskan. http://www.huffingtonpost.com/2011/02/11/egypt-facebook-revolution-wael-ghonim_n_822078.html


Revolusi 25 Januari Mesir kini terpahat di dalam sejarah sebagai antara revolusi paling berjaya di dunia..http://en.wikipedia.org/wiki/2011_Egyptian_revolution

Saya sangat berharap kejatuhan rejim Mubarok yang zalim itu akan membuahkan masa depan yang cerah bagi umat Islam di seluruh dunia. Mari kita doakan agar Bumi Anbiya' Mesir ini tidak lagi jatuh di tangan musuh-musuh Allah. Semoga Mesir dipimpin oleh seorang pejuang yang berjiwa khalifah yang akan membangun kembali sistem khalifah di setiap negara Islam. Saya tak boleh bayang betapa gemilangnya Islam ketika itu yang mana apabila Mesir jatuh ditangan mujahid Islam, maka Palestin sudah tentu akan kembali bebas dan Zionis Israel pasti dihancurluluhkan.. Allahuakbar!!

Saya rasa musuh-musuh Allah pasti seperti cacing kepanasan dan tidak akan berdiam diri dengan apa yang berlaku. Apakah rancangan dan strategi mereka seterusnya?

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللهُ وَاللهُ خَيْرُ الْمَاكِرِيْنَ
“Orang-orang kafir itu merancang muslihat/ tipu daya dan Allah merancang muslihat (pula). Dan Allah sebaik-baik perancang muslihat.”{Al-Imran: 54}

"Dan mereka merancang muslihat dengan sungguh-sungguh dan Kami merancang muslihat (pula), sedang mereka tidak menyedari" {An-Naml: 50}

Mari kita sama-sama juga merafa'kan tangan kita ke kepada Allah mendoakan mereka-mereka yang masih berjuang menumbangkan kebatilan dan kefasadan serta menegakkan kebenaran agar Allah sentiasa bersama mereka dan merahmati mereka. Oh ya, kita juga sebenarnya harus termasuk di kalangan pejuang-pejuang Allah juga, jadi, doakan untuk semua juga lah. ^_^ Ameen..

Semoga kita terus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah ini dan pastikan kita terus berjuang dan berjuang menjulang kalimah Allah dalam apa keadaan dan perkara yang kita lakukan..

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." {QS Muhammad: 7} 





Sambung Bacaan>>>

25 February 2011

Pemuda 160 Tahun

Bismillah..

Tetiba terngiang-ngiang tentang pengajian dan talaqi-talaqi di Masjid Al-Azhar.. Dah hampir tiga minggu terpaku di bumi melayu ini menjenguk-jenguk kerinduan pada bumi 'Seribu Menara', digelar lantaran terlalu banyaknya menara-menara azan. Entah bila daku akan ke gudang ilmu itu kembali... Ya Rabb..

Pernah suatu hari ketika mengikut pengajian rutin di Masjid Al-Azhar yang percuma kepada siapa saja yang gila ilmu, Sheikh Ahmad Al-Hajeen, seorang pakar bidang Fiqh As-syafi'ie ketika itu sedang mengajar kitab agung mazhab Al-syafi'ie: Al-Iqna', karya Imam Al-khatib Al-syirbini, syarah kepada matan Al-ghayah wa At-taqreeb karya Al-Qadhi Abi syuja' (Ahmad bin Husain bin Ahmad Al-Ashbahani)...


Sebelum kelas bermula, Sheikh menceritakan sedikit tentang kisah menarik Imam Al-Allamah Abi Syuja'..

Al-Allamah Al-Qadhi Abi Syuja' adalah seorang yang dipanjangkan umurnya oleh Allah Ta'ala sehingga lebih dari 160 tahun, namun demikian tak satu anggota badan dan pancaindera pun yang terganggu ditelan zaman. Giginya masih kuat dan putih tersusun rapi. Matanya masih kekal celik tanpa berkaca mata seperti saya...

Ketika ditanya tentang nikmat dan kurnia Allah itu kepada beliau, Al-Qadhi Abi Syuja' hanya menjawab ringkas:

"Aku menjaga anggotaku (dari maksiat) sewaktu muda, maka Allah menjaganya di waktu aku tua"

Lantaran itu, selaku insan yang masih muda, ayuh kita jaga diri kita, anggota kita, pancaindera kita yang dipinjamkan Allah ini dari segala noda dan maksiat agar Allah sentiasa menjaga kita terutamanya di waktu tua berkedut kelak..

Benarlah sabda Baginda Rasulullah ketika menasihati Abdullah Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma:

"Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.

Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."

(HR Al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih)

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails