Bismillah..
Tema blog ini berasaskan ayat Al-Quran:
"...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..." (ar-Ra'd: 11)
“Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengannya ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim”. (At-taubah:109)
Dalam membangun sesebuah bangunan, kita memerlukan asas yang kukuh agar ianya kukuh dan selamat. Individu itu sendiri merupakan batu pertama dalam pembangunan masyarakat, dan batu pertamalah yang menentukan kekukuhan bangunan tersebut.
Jadi, sebelum kita membina sesebuah bangunan, kita perlu membuat permulaan yang tepat. Struktur asas yang kukuh akan menghasilkan bangunan yang kukuh, justeru akan dijadikan contoh untuk membina bangunan yang lain.
Sesebuah pembangunan perlu berdasarkan kekukuhan bangunan yang pertama. Jika bangunan yang pertama tidak kukuh, bagaimana untuk membangun bangunan yang lain? Dan bagaimana sesebuah kawasan itu akan membangun?
Kita perlu memulakan pembangunan masyarakat dan umat dengan pembinaan individu yang kukuh dan mantap secara menyeluruh agar individu itu tidak goyah dan runtuh walaupun pelbagai rintangan dan cabaran datang menyerang.
Bukanlah bermakna saya ini telah kukuh untuk membangun masyarakat, akan tetapi saya ingin menjadikan pembangunan itu satu cermin untuk menjadikan diri ini sebuah binaan yang sentiasa perlu dibaikpulih, dikoreksi ditingkatkan dan dibaiki. Dalam membaiki diri sendiri dan dalam masa yang sama membangun yang masyarakat.
Bukankah kita juga dapat membina diri dengan menyeru dan membangun yang lain?
Bagaimana?
Iaitu dengan membangun yang lainlah kita semakin meningkat.
Sebab itu, kedua-duanya sangat berkait, ianya perlu berjalan serentak. Tidak mugkin kita dapat membina diri dengan sempurna dulu baru menyeru yang lain.
Jika sesebuah pembangunan yang baik memerlukan permulaan yang baik dan kukuh serta tepat dengan struktur asas yang tidak akan mudah runtuh dan jatuh, begitu juga kita, kita perlu menjadi ‘struktur asas itu’. Kita perlu menjadi individu yang sentiasa terbina dengan paksi iman yang kukuh, sebelum membangun umat dan masyarakat yang baik, dalam mencetak dan melahirkan generasi rabbani yang soleh wal musleh.....
Inilah sebenarnya yang menjadi dasar bagi setiap usaha perbaikan, perubahan, dan pembinaan sosial. Iaitu usaha yang dimulai dari individu, yang menjadi fondasi bangunan secara menyeluruh. Kerana kita tidak mampu untuk mendirikan sebuah bangunan yang selamat dan kukuh jika batu-batu fondasinya reput dan rosak.
Individu manusia merupakan batu pertama dalam bangunan masyarakat. Oleh sebab itu, setiap usaha yang diupayakan untuk membentuk manusia menjadi muslim yang sejati dan mendidiknya dengan pendidikan Islam yang sempurna harus diberi prioriti mengatasi usaha-usaha yang lain. Kerana sesungguhnya usaha pembentukan manusia menjadi muslim yang sejati sangat diperlukan bagi segala macam pembinaan dan perbaikan yang seterusnya. Itulah pembinaan yang berkaitan dengan diri manusia.
Tugas terpenting yang mesti kita lakukan pada hari ini apabila kita hendak melakukan perbaikan terhadap keadaan umat kita ialah melakukan permulaan yang tepat, iaitu membina manusia dengan pembinaan yang hakiki dan bukan hanya dalam bentuk luarnya saja.
Kita harus membina dalaman, akal, rohani, jasmani, dan perilakunya secara seimbang. Kita membina akalnya dengan ilmu pengetahuan, membina rohnya dengan ibadah, membina jasmaninya dengan riadhah, dan membina perilakunya dengan akhlaq yang mulia.
Kita harus melaraskan agama dan dunia secara seimbang agar menjadi manusia yang baik, justeru dapat mempengaruhi orang untuk berbuat baik, sehingga kita terhindar dari kerugian di dunia dan akhirat..
Rujukan: Fiqh al-Awlawiyat, karya Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Seperti karangan dalam peperiksaan. Tahniah. Setuju. Bagus. Gunakan analogi pokok. Mula dengan akidah, kemudian pembuktian akidah dengan melakukan ibadah. Seterusnya akhlak yang menjadi buah sebagai hasil hablum minannas dan hablumminallah. Wallahua'lam. -Akak
ReplyDelete