10 May 2013

Rejab: Bulan Bercucuk Tanam Amalan Menuju Ramadhan



Bismillah..

Berkata para ulama, "Rejab adalah bulan istighfar, dan Sya'ban adalah bulan berselawat kepada Nabi SAW dan Ramadhan adalah bulan al-Quran, maka bermujahadah dan berusungguh-sungguhlah kalian dalam beribadah di bulan Rejab moga Allah merahmati kalian, kerana ia adalah musim perniagaan(amalan), dan imarahkanlah waktu-waktu kamu di bulan ini kerana ia adalah waktu untuk kita mengimarahkan (menghidupkan dengan amalan), barangsiapa yang di kalangan pedagang(amalan), maka musimnya telah sampai, dan barangsiapa yang sakit dengan dosa dan noda, maka ubat-ubatnya telah dibawa sampai."

Berkata Wahb bin Munabbih r.a: "Sungai-sungai di dunia menziarahi telaga Zamzam di bulan Rejab sebagai penghormatan kepada bulan ini."

Berkata Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali, "Bulan Rejab pembuka bulan-bulan kebaikan dan keberkatan"

Berkata Abu Bakar Al-Warraq Al-Balkhi, "Bulan Rejab bulan bercucuk tanam, dan Sya'ban bulan mengairi tanaman, dan bulan Ramadhan adalah bulan menuai tanaman."

Kata beliau lagi, "Bulan Rejab umpama angin, dan bulan Sya'ban adalah umpama awan mendung dan bulan Ramadhan pula umpama titisan hujan."

Berkata sebahagian ulama, "Tahun itu umpama pohon, dan bulan Rejab adalah waktu pertumbuhan dedaunan, dan Sya'ban adalah waktu tumbuhnya dahan-dahan, dan Ramadhan adalah hari memetik buah-buahan(pahala)"

Rejab Antara Bulan-Bulan Haram:

Firman Allah:

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu(dengan perbuatan yang dilarang) dalam bulan yang empat itu."[At-Taubah: 36]

Sabda Nabi SAW

“Sesungguhnya zaman(tahun) telah berputar sebagaimana keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu terdapat dua belas bulan dan di antaranya ada empat bulan yang suci, tiga berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram dan keempatnya ialah bulan Rejab ‘Mudhar’ yang jatuh antara dua Jamadil (iaitu Jamadil Awal dan Jamadil akhir) dan Sya’ban”. ( Hadith Muttafaqun ‘Alaih).



Bulan Haram Yang Mana Paling Afdhal?

Terdapat perbezaan pendapat dalam perkara ini di mana menurut sebahagian Syafi'iyah, sebaik-baik bulan antara 4 bulan haram ini adalah bulan Rejab, pendapat ini dilemahkan Imam an-Nawawi, dan selainnya.
Imam Hasan Al-Basri pula berpendapat yang paling afdhal antaranya adalah Muharram, pendapat ini diutamakan dan disokong oleh Imam Nawawi kerana terdapat hadis sahih tentangnya, dan dikatakan juga bulan Dzulhijjah, ianya diriwayatkan dari Sa'id bin Jubair dan lain-lain dan Imam Ibnu Rejab al-Hanbali cenderung kepada pendapat ini(kerana bulan Haji).

Mengapa Dinamakan Bulan Haram?

*Haram adalah dari kata Harrama, Yuharrimu dan Al-Hurmah. Ianya boleh diertikan sebagai pengharaman(dari perkara keji) atau penghormatan dan pengagungan, ataupun bulan yang suci dari perkara-perkara yang dilarang.

Terdapat banyak pendapat mengapa bulan-bulan tersebut dinamakan bulan-bulan haram, antaranya:

  • Kerana besarnya kesucian dan kehormatan bulan-bulan ini serta beratnya dosa maksiat yang dilakukan di bulan ini.
Berkata Ali Ibnu Abi Talhah daripada Ibnu Abbas r.a.: "Allah telah mengkhususkan 4 bulan ini dan menjadikannya bulan haram dan mengagungkan kehormatannya, serta menjadikan dosa pada waktu tersebut lebih berat dan pahala amalan soleh lebih banyak."

  • Kerana diharamkan untuk berperang di bulan-bulan ini. Adalah perkara ini makruf di zaman jahiliyyah (mereka berperang pada bulan-bulan ini).

Firman Allah:

"Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar;.." [Al-Baqarah: 217]

  • Ianya (dimuliakan) sejak zaman Nabi Ibrahim AS
  • Dimuliakan dan diharamkan perang dan kekejian pada bulan-bulan ini kerana terdapat di dalamnya Haji dan Umrah. Haramnya bulan Dzulhijjah kerana ada ibadah Haji di dalamnya, haramnya bulan Dzulqaedah kerana manusia berkelana menuju ke Mekah untuk menunnaikan Haji pada bulan ini, dan haramnya Muharram pula kerana ianya tempoh pulang dari menunaikan Haji agar aman dari gangguan dan peperangan ketika perjalanan. Manakala haramnya bulan Rejab kerana biasanya mereka menunaikan Umrah di tempoh ini (pertengahan tahun).

Mengapa Dinamakan Rejab?

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali:

"Dinamakan bulan Rejab sebaga Rejab kerana bulan ini adalah bulan direjabkan(يُرْجَب), yakni yang diagungkan. Ianya dikatakan oleh al-Asma'i, al-Mufdhil dan al-Farra. Dan dikatakan bahawa malaikat memuliakan dengan bertasbih dan bertahmid di bulan ini."

Ini kerana perkataan arab bagi Rejab iaitu 'Rojabun' adalah berasal dari 'Rojaba' yang bererti memuliakan, menghormati dan mengagungkan. (Rujuk Qomusika m/s 669)

Nama Lain Bagi Bulan Rejab

Berkata Imam Ibnu Rajab, sebahagian ulama menyebut bahawa bulan Rejab mempunyai 14 nama, antaranya Syahrullah(bulan Allah) Rejab Mudhor, Al-Asom, Al-Asob, Manfas, Mutahhir,Ma'la, Muqim, Mubarri', Rojim, Fard, Manza'ul Asinnah dan lain-lain..

Solat Raghaib

Riwayat-riwayat berkenaan kelebihan solat raghaib di awal malam Jumaat bulan Rejab semuanya adalah palsu dan tidak sahih dan solat ini adalah satu bid'ah di sisi jumhur ulama.

Imam an-Nawawi di dalam Al-Majmu' menyatakan bahawa solat 12 rakaat di antara maghrib dan isya' di awal Jumaat bulan Rejab adalah amalan bid'ah yang mungkar.

Hukum berpuasa pada bulan Rejab

Said berkata: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” [HR Muslim]

Imam al-Nawawi mengatakan(dalam syarah Sahih Muslim): “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain."

Justeru itu, berpuasa di bulan Rejab adalah sunat di sisi mazhab as-Syafie..

Rujuk:

1) Al-Mughni al-Muhtaj,karya Al-Khatib as-Syirbini cet. Darul Hadith(jilid 2, m/s 237)
2) Al-Manhaj al-Qawim, Darul Minhaj, (m/s 420-421)
3) Hasyiah al-Bujairimi 'ala al-Khatib, Darul fikr(jilid 2, m/s 407)
4) Al-Mu'tamad, Dr. Muhammad az-Zuhaili (jilid 2, m/s 211-212)

Berkata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu'(6/386) : 

قال اصحابنا ومن الصوم المستحب صوم الاشهر الحرم وهي ذوالقعدة وذو الحجة والمحرم ورجب وافضلها المحرم 
قال الرويانى في البحر افضلها رجب وهذا غلط لحديث ابي هريرة الذى سنذكره ان شاء الله تعالى :افضل الصوم بعد مضان شهر الله المحرم 

"Berkata ulama syafi'iyah, antara puasa yang disunatkan untuk diamalkan adalah puasa di bulan-bulan haram, iaitu Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab.
Dan bulan yang paling afdhal antaranya adalah Muharram, Berkata ar-Ruyani di dalam al-Bahr, yang afdhal adalah bulan Rejab, dan ini adalah silap kerana ada hadis Abu Hurairah r.a yang akan kami sebutkan insyaAllah: "Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadhan adalah bulan Allah al-Muharram" [HR Muslim]

Bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat bahawa mengkhususkan untuk berpuasa penuh di bulan Rejab sahaja adalah makruh.

Kelebihan Berpuasa Di Bulan Rejab

Tiada dalil-dalil khusus berkenaan kelebihan berpuasa dari Nabi SAW dan para sahabat, tetapi diriwayatkan oleh seorang Kibar Tabiin iaitu Abu Qilabah, ia berkata, "Di syurga ada istana bagi orang yang berpuasa di bulan Rejab"

Berkata Imam Baihaqi, "Abu Qilabah adalah kibar tabi'in, beliau tidak akan meriwayatkan sesuatu kecuali jika telah sampai kepada beliau(dari para sahabat)."

Walaupun tiada kelebihan berpuasa di bulan ini secara khusus, akan tetapi terdapat hadis-hadis yang menggalakkan untuk berpuasa di bulan-bulan haram yang mana Rejab termasuk dalam bulan-bulan haram.

Sabda Nabi SAW kepada al-Bahili, "Berpuasalah di bulan-bulan haram dan tinggalkanlah" Dalam riwayat yang lain, "Berpuasalah di bulan-bulan haram" [HR Abu Daud dan Ibnu Majah]

Berkata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' setelah menyebut hadis ini secara panjangnya:

"Nabi SAW menyuruhnya sahabat tersebut untuk meninggalkannya kerana sahabat tersebut mengalami kesukaran dan keberatan untuk memperbanyakkan puasa sepertimana di awal hadis. Manakala bagi sesiapa yang tidak mengalami kesukaran untuk berpuasa, maka berpuasa penuh di bulan Rejab ini adalah satu amalan kelebihan yang baik."

Hadis panjangnya adalah: 

Datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah(tinggalkan dari berpuasa)! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” [Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik]

Berkata Imam Ibnu Rajab, "Adalah para salafussoleh berpuasa penuh pada setiap 4 bulan-bulan haram, antaranya Sayyiduna Ibnu Umar r.a, Imam Hasan al-Basri dan Abu Ishaq as-Sabi'i."

Berkata Imam at-Thauri, "Bulan-bulan haram lebih aku sukai untukku berpuasa pada waktunya"

Berpuasa Penuh Di Bulan Rejab

Berkata Sayyidah Aisyah r.a : وما رأيت رسول الله صلي الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa penuh kecuali Ramadhan" [HR Bukhari Muslim]

Berkata Imam Nawawi:
 قال العلماء وإنما لم يستكمل شهرا غير رمضان لئلا يظن وجوبه 
"Berkata para ulama, bahawasanya Nabi SAW tidak berpuasa penuh di bulan selain Ramadhan supaya umat tidak menyangka ianya amalan wajib"

كان رسول الله صلى الله عليه واله وسلم يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم 

"Adalah Rasulullah SAW berpuasa (pada bulan rejab) sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka, dan berbuka sehingga kami menyangka baginda tidak berpuasa" [HR Muslim dan Abu Daud]

Berkata Al-Muhaddith Khalil Ahmad As-Saharanpuri dalam kitabnya Bazlul Majhud syarah Sunan Abi Daud:

"Di atas (hadith) ini, maka thabitlah kelebihan berpuasa pada bulan rejab, dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w berpuasa pada bulan tersebut dengan banyak."(Bazlul Majhud, terbitan darul kutub al-ilmiyyah, jilid 11, m/s 166)

Daripada Abi Bakrah, beliau melihat bahawa keluarganya bersiap sedia untuk berpuasa di bulan Rejab, maka beliau berkata, "Adakah kalian menjadikan Rejab seperti Ramadhan?"(Menunjukkan beliau tidak menyukai perbuatan tersebut)

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa beliau kurang suka untuk berpuasa penuh di bulan Rejab, dan daripada Ibnu Umar dan Ibnu Abbas juga bahawa kedua-duanya berpendapat bahawa perlu ada hari-hari untuk tidak berpuasa(tidak boleh puasa penuh). Begitu juga Sayyiduna Anas dan Sa'id bin Jubair,Yahya bin Sa'id al-Ansari dan Imam Ahmad tidak menyukai perkara tersebut.

Berkata Imam as-Syafi'ie dalam mazhab qodim(lama), aku tidak menyukai jika seseorang berpuasa penuh(di selain Ramadhan) sepertimana di bulan Ramadhan, beliau memberikan dalil hadis Sayyidah 'Aisyah r.a, "Aku tidak pernah melihat Rasul SAW berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadhan", lalu ia berkata, aku tidak menyukainya agar tidak berlaku seorang jahil mengikuti amalannya dan menyangka ianya wajib, namun jika dia lakukan juga, maka ianya baik.

Perkataan Imam Syafiie ini dikuatkan lagi dengan perkataan Imam Nawawi yang telah dinyatakan di atas bahawa tidak haram untuk berpuasa penuh di bulan ini selagi ia mampu dan tidak berkeyakinan bahawa ianya adalah sunnah mahupun wajib, akan tetapi hanya sebagai amalan tambahan untuk mendekati Allah SWT.

Berkata Imam Ibnu Rajab, "Makruhnya berpuasa penuh di bulan Rejab terhapus sekiranya ia digandingkan dengan bulan-bulan lain di sisi sebahagian ulama mazhab Hanbali, seperti berpuasa setiap bulan-bulan haram atau Rejab dan Sya'ban."

Berumrah Di Bulan Rejab

Tiada dalil yang khusus tentang kelebihan berumrah di bulan ini, akan tetapi ianya adalah amalan para sahabat dan salafussoleh dahulu yang elok untuk diteladani.

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, "Sayyiduna Umar bin al-Khattab dan lain-lain menggalakkan untuk menunaikan umrah di bulan ini dan adalah Sayyidah Aisyah dan Ibnu Umar mengamalkannya. Dan dinaqalkan oleh Ibnu Sirin daripada salaf bahawa mereka mengamalkannya, dan bahawasanya sebaik-baik ibadah haji dan umrah adalah dengan memisahkan keduanya, yakni haji di perjalanan dan bulan Zulhijjah, dan Umrah di perjalanan dan bulan yang lain. ia juga merupakan pendapat majoriti sahabat seperti Sayyiduna Umar, Uthman, Ali r.a dan lain-lain."

Syair-Syair:

يا عبد أقبل منيباً واغتنم رجـــــــبا *** فإن عفوي عمن تاب قد وجـــبا

Wahai hamba datanglah dengan penuh penyesalan dan raihlah Rejab
Sesungguhnya kemaafanku bagi sesiapa yang bertaubat adalah satu kemestian.

Berkata Syaikh Abu Bakar al-Karji al-Wa'iz(w 478h):

بَيِّض صَحيفتَكَ السوداءَ فى رجب *** بصالح العملِ المُنجِى منَ اللهب
Putihkanlah lembaran hitam amalanmu di bulan Rejab,
Dengan amalan soleh yang menyelamatkanmu dari api yang menyala-nyala.

شهر حرام أتى من أشهر حُرم *** اذا دعا الله داع فيه لم يَخِبِ
Bulan haram yang datang dari bulan-bulan haram,
Jika ia berdoa kepada Allah, tidak akan tersia-sia.

طوبى لعبد زَكَى فيه له عمل *** فكف فيه عن الفحشاء والريبِ
Beruntunglah bagi hamba yang menyucikan diri dengan amalan
Dan berhenti di bulan ini dari perkara keji maksiat dan keraguan.

Rujukan:

Lataiful Ma'arif Fi Ma Limawasim al-'Ami Minal Wazhaif -Ibnu Rajab Al-Hanbali (m/s 157 cet. Darul Hadis)
Al-Majmu' Syarah Muhazzab -Imam an-Nawawi (Jilid 6 m/s 386-388)
Syarah Sahih Muslim -Imam Nawawi
Bazlul Majhud Syarah Sunan Abi Daud - Khalil bin Ahmad as-Saharanfuri
Laman Raudh ar-Rayaheen






Sambung Bacaan>>>

08 May 2013

Kewafatan Ramai Ulama: Mari Membakar Semangat Dalam Menuntut Ilmu


Bismillah..

Begitu tawadhu'nya para ulama, seorang guru ikut serta mendengar pengajian muridnya sendiri. Di dalam gambar ini, Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah mendengar kalam muridnya Syaikh Usamah Sayyid. Habib Ali Al-Jufri dan Syaikh Jamal Farouq juga turut serta dalam majlis ilmu ini.

Saban hari, kita mendengar banyak berita kewafatan dan pemergian ulama. Kita sedia maklum bahawa akhir zaman ini, ulama makin sedikit, ciri-ciri kiamat makin hampir telah zahir dimana Allah mencabut ilmu dari kita dengan mengambil para ulama kembali kepadaNya. Namun bukan itu sahaja, tambah buruk lagi di akhir zaman ini, himmah(semangat) bakal ulama(penuntut ilmu) pula makin merosot. Bagaimana akan muncul pelapis dan ulama2 yang bakal membimbing generasi mendatang jika kita tiada himmah?

Guruku Syaikh Usamah Sayyid pernah menceritakan bahawa umat terdahulu mempunyai himmah yg sangat tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau mengisahkan tentang bagaimana Imam Ya'qub bin Syaibah dihadhiri puluhan ribu(ada yg mengatakan 70 ribu)orang dari seluruh dunia dalam majlis hadisnya. Syaikh Usamah memberitahu bahawa jika di zaman ini, acara yang dihadhiri seramai itu mungkin di stadium bola sepak.. ya, zaman ini stadium perlawanan bola saja penuh, nak tonton bola di kaca tv pun datang awal di cafe.. tetapi jika menuntut ilmu, malas-malas, datang kadang-kadang, majlis ilmu di ruwaq Masjid Azhar pula hanya belasan yang hadhir..

Syaikhuna al-Allamah Dr. Ali Jum'ah(mantan mufti Mesir) pula pernah mengisahkan tentang himmah Al-Allamah al-Imam Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi'i. Syaikh Muhammad Bakhit adalah antara ulama paling faqih dan alim di dunia. Beliau adalah seorang yang sangat rajin dalam menuntut ilmu dan mengulang kaji. Oleh kerana minda beliau terlalu fokus dengan ilmu, beliau tidak boleh tidur. Tubuh beliau dijadikan Allah tidak boleh tidur sepanjang minggu kerana terlalu sibuk dengan ilmu hinggalah waktu asar hari Khamis, waktu itu barulah beliau basuh bajunya dan tidur. Oleh kerana tak tidur sepanjang minggu, maka tidur beliau menjadi sangat lama.. beliau tidur dari asar Khamis hingga pagi hari Sabtu selama 36-40 jam.. Setelah beliau bangun berulah beliau qadha semua solatnya, beliau telah dijadikan Allah begitu, dan tidak mampu mengubahnya... Syaikh Ali Jum'ah memberitahu bahawa bayangkan seseorang itu tidak boleh tidur!! Setinggi mana semangatnya dalam ilmu hingga begitu sekali..

Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah juga berpesan bahawa untuk keluar dari masalah umat, kejatuhan tamadun dan kejahilan masyarakat yang kronik adalah dengan HIMMAH yang menggunung.. Kita juga takkan mampu memimpin dunia sepertimana umat Islam terdahulu kecuali dengan himmah sama ada himmah dalam berkerja atau menuntut ilmu..

Dengan himmah, kita akan bersungguh2 dalam semua perkara dan mengambil berat segala tugas dan tanggungjawab kita sama ada bagi pekerja atau penuntut ilmu, dan inilah yang akan membentuk syakhsiyah kita, tamadun ummah dan tamadun dunia.. insyaAllah..

Sambung Bacaan>>>

04 May 2013

Mengundi: Satu Kewajipan Ijtima'iyah


Bismillah..
Guru saya, Al-Allamah Dr. Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah(mantan mufti Mesir) pun mengundi :)

Saya pernah mendengar pemikir Islam global dari Al-Azhar, Prof Dr. Muhammad Imarah dalam satu seminar bertajuk 'Sistem Politik Islam' pada bulan Februari lalu, beliau
mengatakan:

Islam ada dua jenis kewajipan:

1) Fardiyah(bersifat individual)
2) Ijtimai'yah(bersifat sosial)..

Jika di dalam Fiqh, ianya di boleh disebut sebagai Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Kewajipan yang bersifat fardi ataupun individual adalah seperti taat ibu bapa, solat, puasa dll, yang mana kewajipan ditujukan pada setiap individu mukallaf. Jika dia tidak melakukannya, dia seorang saja yang mendapat balasannya.

Tetapi kewajipan yang ditujukan kepada masyarakat dan ummah seperti jihad, pentadbiran, pembangunan, pertanian, perniagaan dll adalah kewajipan Ijtima'iyah(sosial), ianya boleh jadi lebih penting dari kewajipan individu.

Kerana kewajipan individu jika tidak dilakukan, kesannya hanya pada seorang individu itu saja, seperti jika tidak solat, kamu seorang saja yang berdosa, tetapi jika tiada pendidikan, pertanian, pembangunan dll, maka satu ummah berdosa..

Sebab itu menjadi peranan kita untuk mengundi dan memilih kerajaan yang baik dan adil serta yang praktikkan pemerintahan yang meraikan syari'ah dan menjamin maslahah negara yang membangun dalam rangka maqasid(objektif/tuntutan) syari'at.. Kerana mengundi adalah fardhu kifayah dan kewajipan ijtima'i(sosial) yang mana dengan undian dan pilihan kita, maslahah umat, pentadbiran yang baik dan sistem politik islam akan terjamin.. Jika kita undi dan menangkan yang tidak layak dan zalim, maka dosa jika pemerintahan zalim itu menang, boleh tertimpa pada kita, sebaliknya jika kita pilih yang layak dan adil, maka insyaAllah kita akan dapat pahala yang banyak kerana menyebabkan pemerintahan yang baik dan adil itu terlaksana disamping membantu untuk memberi maslahah pada ummat..

Sambung Bacaan>>>

24 April 2013

Ustaz Tak Berkeahlian Punca Masyarakat Keliru


A: Haritu ustaz saya kata macamni dan macamtu..

B: Eh..Apa pula.. ustaz saya yang lulusan Jordan tu kata lainlah..saya ingat lagi, sebenarnya begini dan beginila..

C: Heh..Ustaz korang semua salah..ustaz saya lulusan Madinah tau! Bukan calang-calang orang.. dia kata macamni..bla bla bla..

Di atas merupakan contoh sketsa masyarakat kini yang terpinga-pinga dan keliru dengan pendapat-pendapat para ustaz di tanah air berkenaan satu isu tertentu.

Mereka ingin mencari kebenaran, namun mereka keliru setelah mendapati terdapat banyak pendapat yang saling bercanggah dek ustaz yang tidak berkeahlian pun bersuara, lalu mereka biasanya akan terus membenarkan dan mengutamakan kata-kata ustaz di tempatnya sendiri berbanding ustaz lain. Pendapat yang salah mula diamalkan dan disebarkan masyarakat. Masyarakat yang jahil murakkab mula terbentuk.

Berkata Imam Al-Ghazali, "Jika berdiam saja mereka yang tidak tahu dan tidak berkeahlian, nescaya akan sedikitlah perbezaan pendapat"

Saranan Bagi Masyarakat Pengikut Ustaz:

1. Jangan terus menyalahkan pendapat orang lain dan taasub dengan pegangan sendiri. Jika isu tersebut memang banyak perbezaan pendapat, barangkali semua pendapat benar pada sudut yang berbeza ataupun masing-masing ada hujjah dan dalil sendiri. Berlapang dadalah! Namun, pastikan jawapan ustaz itu benar walaupun berbeza, jangan benarkan yang salah di sisi ulama muktabar! Sebab itu perlu laksanakan point kedua..

2. Kaji sendiri dahulu, banyak membaca dan merujuk, kemudian tanyalah ramai ustaz, jangan seorang ustaz saja. Berkata Sayyiduna Ibnu Abbas r.a,

"Aku pernah bertanya tentang satu masalah agama kepada 30 sahabat Nabi SAW". 

Utamakan pendapat ustaz-ustaz yang lebih berkaliber, berkeahlian,berpengalaman, alim, diiktiraf ahli ilmu lain dan diterima ramai..

3. Pastikan juga ustaz yang ditanya seorang yang berkeahlian dalam perkara yang hendak kita tanya. Jika kita tanya bab Fiqh kepada ustaz lulusan Bahasa Arab contohnya, apakah itu adil(meletakkan sesuatu pada tempatnya)??
Justeru, tanyalah pada ahlinya, bab hukum-hukum pada mufti dan ahli fiqh, bab politik pada ahli politik, bab hadis pada ahli hadis dan bab tafsir pada ahli tafsir dan seterusnya..

4. Selidik dahulu siapa ustaz yang kita tanya dan bakal membimbing kita. Siapakah gurunya, di manakah beliau belajar, apa kata ustaz-ustaz lain tentangnya, bagaimana ketaqwaan, kewara'an dan pengalamannya dll..
Yang penting, jangan pergi ke ustaz palsu yang tak jaga amal, tiada taqwa, tiada ilmu, tiada guru dan cakap hanya ikut nafsu..

Berkata Imam Ibnu Sirin r.a "Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka selidiklah dari siapa kamu mengambil agamamu" 

Saranan Bagi Ustaz-ustaz:

1. Jangan senang-senang hendak mengajar dan beri pendapat tanpa berkeahlian dan berguru. Jangan mengajar(bezakan antara mengajar dan menyampaikan tazkirah atau berceramah) kecuali setelah diberi keizinan mengajar oleh guru.

Ulama salafussoleh seperti Imam Abu Hanifah berguru dengan Imam Hammad selama puluhan tahun, setelah beliau menjadi faqih, gurunya masih tidak memberikan keizinan untuk mengajar, lalu beliau terus menyambung pengajian bersama gurunya hinggalah hampir 40 tahun berguru baru beliau menggantikan gurunya pula untuk mengajar.(menurut Syaikh Abu Zahrah pula, beliau berguru selama 18 tahun sahaja bersama Hammad)

Begitu juga Imam Ghazali, Imam Zakariya al-Ansari dll walaupun telah menjadi sangat hebat dan alim sejak muda lagi, namun mereka masih tidak berani mengajar kecuali setelah diberi keizinan mengajar oleh guru mereka sendiri.

Mengapa?

Kerana rasa diri layak mengajar dan alim itu adalah tipu daya nafsu dan syaitan. Dan kerana yang mengetahui tahap ilmu kita dan keahlian kita adalah guru dan pembimbing kita sendiri. Tuntutlah ilmu hingga menjadi pakar dan diiktiraf guru kita dan diberi keizinan untuk mengajar serta membimbing.

Jangan baru belajar sekerat-sekerat, terus berlagak alim, mengajar sana sini, sedangkan untuk menyampaikan agama Allah dan membimbing masyarakat, kita perlu beri ilmu yang benar, dan ilmu yang benar hanya diperoleh setelah dipelajari dengan lama, tekun dan dari guru yang muktabar.

Rasulullah SAW ketika ingin menghantar seseorang untuk mengajar dan menjadi qodhi/mufti di Yaman, Baginda tidak menghantar mana-mana sahabat seperti Sayyiduna Abu Bakar, Sayyiduna Bilal atau Sayyiduna Abu Hurairah r.a, tetapi menghantar sahabat yang paling berkeahlian dan diizinkan Nabi untuk berfatwa iaitu Sayyiduna Muaz bin Jabal r.a sepertimana sabda Baginda SAW,

Yang paling tahu akan yang halal dan haram di kalangan umatku adalah Mu’adz bin Jabal r.a”[HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad].

2. Jika tidak berkeahlian ataupun tidak tahu menjawab, maka berdiamlah atau beritahu saja anda tidak tahu.

Imam Malik r.a, seorang yang paling faqih di dunia di zamannya yang tiada tandingan, pernah ditanya 22 soalan, tetapi beliau hanya menjawab dua soalan sahaja.

Dalam kisah yang lain, diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Bar, bahawa seorang lelaki datang kepada Imam Malik sejauh 6 bulan perjalanan untuk bertanya masalah orang kampungnya, setelah ditanya, lalu Imam Malik menjawab "Aku tidak mampu menjawabnya". Maka tergamamlah lelaki dari jauh tadi seolah-olah dia datang kepada seorang yang tahu segala-galanya. Lalu dia berkata, apa yang akan kujawab kepada orang kampungku ketika aku pulang nanti?

Maka Imam Malik berkata, "Katakan kepada mereka, Malik tidak mampu menjawabnya.."

3.Terus menuntut dan mendalami ilmu serta perbanyakkan kajian dan membaca. Ahli ilmu perlu mempunyai pembacaan yang luas sebelum mengajar dan memberikan pendapat kerana barangkali, kita memberi suatu pendapat sedangkan ada pendapat yang lebih baik dan lebih tepat. Selain itu, dengan luasnya pembacaan, pemikiran lebih terbuka.

4. Banyak bertanya pada ulama muktabar yang lebih alim dari kita. Tuan-tuan guru di tanah air masih ada, jumpa dan bermuzakarahlah dengan mereka.

Faedah Tambahan:

Berkata Imam Al-Kauthari di dalam Maqalatnya (m/s 398), "Adalah para ulama dahulu dalam mengeluarkan pendapat, sangat berhati-hati, mereka sedaya upaya mengelakkan untuk menyampaikan ilmu mengikut hawa nafsu.

Bahkan mereka tidak akan mengajar dan menyampaikan pendapat kecuali setelah mereka yakin dengan ilmu dan jawapan mereka, jika tidak yakin, mereka akan mengatakan "Aku tidak tahu!" kerana takut jawapan yang salah akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka."

Ya. Begitulah taqwa para ulama dahulu dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa. Sehinggakan Imam Abul Ala' Ar-Razi (ulama kurun keenam) menulis kitab berjudul 'Al-Jam'u Baina at-Taqwa wa al-Fatwa'(Menggandingkan antara taqwa dan fatwa)

Berkata Imam Malik r.a:

“Aku tidak berfatwa sehinggalah tujuh puluh orang (ulama) mengakui bahawa aku layak berfatwa.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 8/96)

Kata Imam Malik r.a lagi,

"Sesiapa yang suka menjawab soalan-soalan, maka gambarkanlah di depannya ada syurga dan neraka, bagaimana akhir keadaannya di akhirat nanti, kemudian barulah menjawabnya"

Berkata Imam Abu Hanifah r.a: "Barangsiapa yang berkata dalam sesuatu daripada ilmu agama(dengan pendapatnya sendiri), lalu beramal dengannya, dan dia menyangka bahawa Allah tidak akan menanyakannya bagaimana dia mengeluarkan pendapat dan fatwa dalam agama Allah, maka dia telah memudahkan dirinya dan agamanya dalam bencana"

(Rujukan: Al-Faqih Wal Mutafaqqih karya Imam Al-Khatib Baghdadi dan Maqalat Al-Kauthari karya Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari)

Sambung Bacaan>>>

14 April 2013

Persepsi: Masyarakat Yang Tak Suka Membaca

Dua orang sang guruku yang dicintai, Syaikh Dr. Yusri Rusydi dan menantunya al-Muhadith Syaikh Usamah Sayyid hafizahullah sangat kuat membaca


Teringat pesan Syaikh Dr. Yusri Rushdi (pakar perubatan dan ilmu hadis, qiraat, sirah dll) hafizahullah bahawa zaman ini orang dah tak suka membaca. Beliau pernah sebarkan risalah beliau tentang isu khilafiyah tertentu sebanyak belasan ribu cetakan ke beberapa negara arab, tetapi masyarakat masih tak faham lagi, mengapa? Kerana mereka walau dapat buku, walau ada risalah banyak mana pun, tak nak baca. Sebab itu, walau buku-buku tentang kritikan manhaj ekstremis dan sesat serta mempertahankan ulama ASWJ dan manhaj aqidah dan ilmu yang benar ditulis dan dicetak banyak mana pun, tetap mesej tak sampai kerana orang tak baca.. bahkan buku di rak bilikku sendiri pun aku tak baca sangat..apatah lagi orang awam..

Jadi aku berfikir, bagaimana untuk menyebarkan ilmu dan kefahaman yang sahih kepada masyarakat yang jahil lagi tak suka membaca ini?

Aku melihat, masyarakat memang tak suka membaca, tetapi suka mendengar dan menonton. Yang suka membaca pun, kebanyakannya lebih suka baca buku berbentuk cerita/novel/kisah.

Sebab itu pemikiran masyarakat sekarang ini banyak dibentuk melalui kaca tv, Facebook, Twitter, Youtube, filem-filem dan akhbar. Sangat sedikit yang dibentuk melalui pembacaan. Yang membaca pun, bahan pembacaannya tidak bagus. Bagi bahan bacaan agama pula, mereka membaca tidak berguru; kefahaman yang sepatutnya difahami tidak sampai.

Lalu timbul idea di benakku, mungkinkah kelak aku akan menulis novel yang berisi dengan ilmu, manhaj dan kefahaman yang benar demi memahamkan dan membentuk masyarakat? Atau menulis silsilah buku kecil soal jawab berkenaan isu-isu musykil dalam agama? Atau aku mencebur saja bidang Vlogger di Youtube, dek masyarakat yang suka mendengar dan menonton, demi menyebarkan ilmu yang murni lagi benar secara lebih meluas? Di facebook pula, sebaran tidak terlalu meluas, aku tidak puas. Blog aku sendiri ni pun tiada orang ingin baca sampai habis kerana penulisanku bergenre fakta yang terlalu panjang...hmm.. Atau mungkin, aku ajak sahabat2 yang minat membaca dan banyak berguru menyampaikan manhaj dan kefahaman yang benar kepada mereka?

Tapi sebelum itu, aku perlu ajak para penuntut ilmu pergi ke majlis ilmu, kelas, kuliyah, talaqi, dan maktabah dahulu.. aku perlu bakar semangat membaca mereka dahulu...juga semangat mengkaji dan menuntut ilmu... berapa ramai yang rak dikamarnya penuh buku, tapi tidak satu buku pun pernah habis dalam masa setahun? (pesanan untuk aku sendiri)

Sambung Bacaan>>>

14 February 2013

Puisi: Apakah Al-Azhar As-Syarif?


Sambung Bacaan>>>

Manhaj Menyampaikan Ilmu yang Sahih: Kepentingan Sanad Daripada Rawi Yang Sampai Kepada Penulis Kitab

Bismillah..

Sebelum menulis, mengajar, menaqal dan menyampaikan isi kitab tertentu terutamanya kitab hadis, perlu dan penting untuk kita mempunyai sanad(rangkaian bersambung) dari guru yang sampai kepada penulis kitab tersebut.

Ini adalah pendapat Imam Ibnu Kheir Al-Isybili Al-Qurtubi(w 575H) dan telah dipersetujui oleh Imam Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqi (806H) dalam kitabnya 'Taqribul Asanid'. (Rujuk: Tadrib Ar-Rawi karya Imam As-Suyuti)

Antara sebab kepentingannya adalah:-

1] Kerana ditakuti kita akan berbohong atas nama Rasulullah SAW dan para ulama.

2]Kerana ilmu itu bukan di buku, tetapi di dalam dada, dari dada, melalui dada, hingga ke dada yang lain.

"العلم في الصدور وليس في السطور" 
'Ilmu itu di dalam dada, bukan pada baris-baris tulisan'

3]Supaya kefahaman sebenar, tujuan, maksud dan apa sebenarnya penulis hendak sampaikan melalui kitab tersebut sampai kepada kita. 

4]Agar kita terhindar dari memahami zahir teks seperti literalis yang kefahamannya bertentangan dengan tujuan asal penulis sehingga menggunakannya bukan pada tempatnya seperti menujukan perkataan penulis kepada orang Islam, sedangkan tujuan asal kata-kata penulis ditujukan kepada orang kafir!

5]Supaya kemurnian pancaran ilmu hingga Sayyiduna Rasulullah SAW terjaga dan sanad juga merupakan satu keistimewaan umat baginda SAW berbanding umat terdahulu. 

Dalam menyampaikan isi kandungan kitab-kitab pun perlu kepada sanad, apatah lagi Al-Quran, Hadis Nabi SAW dan ilmu agama, syariat dan hakikat?

Sambung Bacaan>>>

26 January 2013

Al-Ulum An-Nabawiyah: Ilmu-Ilmu Nabawi


Bismillah...

Syakhuna Al-Allamah Al-Murobbi Sayyidi Muhammad Abul Huda Al-Ya'qoubi Al-Hasani hafizahullah(Ulama Besar Syiria: Baca biografi beliau di Link) pernah menceritakan kepada kami dalam ziarah beliau ke Mesir baru-baru ini, sewaktu beliau masih kecil, ayah beliau Al-Allamah Ibrahim Al-Ya'qoubi r.a pernah berkata:

"Sibukkanlah diri kamu dengan Nabi SAW siang dan malam"

Lalu beliau menceritakan, beliau terfikir dan tertanya-tanya, bagaimanakah untuk melakukannya. Lama-kelamaan, beliau akhirnya tahu bahawa jika kita sentiasa sibuk dengan cinta dan mengingati Nabi SAW, maka ia menjadi satu kebiasaan yang telah menjadi darah daging dalam jiwa. Ibarat kita bernafas, kita kadang tidak perasan bahawa kita sedang bernafas kerana kita dah biasa dan ianya adalah satu kemestian dan automatik...Begitu juga dengan kecintaan kepada Nabi SAW. Kita perlu menyelam di dalam lautan cinta tersebut..

Kata beliau lagi,

"Janganlah jadikan dunia menyibukkan diri kita dari mengingati Nabi SAW. Jika kamu tidur di malam hari, maka jadikanlah perkara terakhir yang kamu fikir dan terbayang dalam minda adalah Nabi SAW supaya malammu menjadi ibadah, kerana kamu sibukkan tidurmu di malam hari dengan rindu Nabi SAW, begitu juga ketika bangun di pagi hari, jadikanlah yang pertama kamu ingat dan terfikir adalah Nabi SAW agar siangmu sentiasa terpaut dengan Nabi SAW dan begitulah seterusnya sehingga kita bertemu Allah.."

Saya sangat terkesan dengan kata-kata tersebut, subhanallah..

Justeru, sempena bulan Rabi'ul Anwar ini, eloklah untuk kita perbanyakkan kajian dan pengetahuan tentang Rasulullah SAW. Tingkatkanlah kecintaan kita kepada baginda SAW dengan mendalami tentang baginda SAW. Makin tinggi makrifah, makin dalamlah mahabbah.

Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Nabi SAW ataupun العلوم النبوية (Al Ulum An-Nabawiyah) terbahagi kepada 5:

[1] Ilmu Sirah: Berkenaan khabar dan cerita kehidupan baginda SAW siang dan malam dari beliau lahir hingga wafat.

[2] Ilmu Syamail: Berkenaan sifat-sifat dan ciri-ciri keperibadian baginda SAW dari sudut zahir dan batin serta nasab dan nama-namanya.

[3] Ilmu Fadha'il: Berkenaan kelebihan-kelebihan Nabi SAW, perbandingan dan perbezaan antara Nabi SAW dan para anbiya' lainnya.

[4] Ilmu Dalail: Berkenaan tanda-tanda dan bukti kenabian Nabi SAW, seperti mukjizat-mukjizat baginda SAW dll.

[5] Ilmu Khasais: Berkenaan khususiyah dan keistimewaan baginda SAW dari sudut Tafdhiliyah(tidak disyariatkan kepada umat) atau Tasyri'iyah (disyariatkan kepada umat) dan sama ada pada baginda SAW atau pada umatnya.

Antara kitab-kitabnya:


  •  Ilmu Sirah: 

1. تاريخ الأحوال والحوادث النبوية - العلامة السيد محمد علوى المالكي
2. فقه السيرة النبوية - د. سعيد رمضان البوطي
3. السيرة النبوية - د. مروان شيخ الأرض

  •  Ilmu Syamail:

1. الشمائل المحمدية للإمام الترميذي طبع دار المنهاج
2. وسائل الوصول الى شمائل الرسول - الشيخ يوسف النبهاني
3. سيدنا محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم شمائله الحميدة، خصاله المجيدة - المحدث عبد الله سراج الدين

  • Ilmu Khasais:

1. تهذيب الخصائص النبوية - المحدث عبد الله التليدي
2. غاية السول في خصائص الرسول -الإمام ابن الملقن

  • Ilmu Dalail:

1. المعجزات الأحمدية - بديع الزمان سعيد النورسي
2. دلائل النبوة - الإمام ابو نعيم الأصفهاني

  • Ilmu Fadhail:

1. الأحاديث المنتقاة في فضائل رسول الله - السيد عبد الله الغماري
2. جواهر البحار في فضائل النبي المختار - الشيخ يوسف النبهاني


Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails