23 July 2015

Menghadapi Krisis Akhir Zaman: Apa Manhaj Kita?

Bismillah..

Bimbang, sedih dan perih yang membuak-buak di jiwa tidak tertahan lagi, barangkali dengan mencurahkan sedikit coretan buah fikir ini, bisa merawatnya.

1. Menanggapi pelbagai isu dan krisis umat akhir zaman yang meruncing mutaakhir ini, suka untuk alfaqir berpesan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat untuk lazimi dan hayati al-Quran al-Karim, hadis-hadis dan sirah Nabi SAW, sejarah dan turath-turath Islam. Ini kerana ianya penuh dengan bimbingan, manhaj kehidupan dan tatacara berinteraksi dengan realiti semasa di zaman fitnah.

2. Selain itu, seringlah ke majlis-majlis ilmu yang menyiram kekosongan rohani dan dampingilah para ulama rabbani dan orang-orang soleh. Ringkasnya, ciri-ciri orang soleh adalah yang melazimi Masjid.

3. Dalam menerima khabar-khabar, berita dan informasi contohnya, sebatikanlah ke dalam jiwa bimbingan al-Quran dalam surah al-Hujurat untuk kita berwaspada dengan penyebaran berita dan menyelidiki kebenarannya sebelum menghukum. Bahkan kata ulama, ayat tersebut merupakan asas dan asal bagi terciptanya ilmu hadis khususnya ilmu al-Jarh wa at-Ta'dil dalam berinteraksi dengan para perawi dan pembawa khabar demi menjaga hadis-hadis Nabi SAW.

4. Tidak semua isu dan berita kita perlu ulas dan sebarkan. Selain menyelidiki keabsahannya, fikirkan dahulu implikasi dan kesan mendatang, adakah ia membawa kebaikan atau keburukan, kesatuan atau perpecahan, provokasi atau solusi?

5. Kita harus ambil berat dengan prioriti dan kewajipan semasa, usahlah sibuk dengan hal kecil dan kurang penting hingga mengabaikan perkara yang lebih utama, seperti sibuk mengulang masalah khilafiah(ada perbezaan pendapat) sehingga mengabaikan usaha bersatu mencari titik kesepakatan umat membantu golongan tertindas.

Sibuk mengulas kejahatan manusia di 'Metro Harian' sedangkan hubungan kekeluargaan sendiri haru-biru !

6. Kita perlu bijak dan berhikmah dalam melakukan setiap perkara, perlu untuk kita raikan Maqasid Shari'ah, maslahah dan mafsadah, serta faham akan realiti semasa(Fiqh Waqi') dan kesan mendatang(Fiqh Tawaqqu').

Nabi SAW melarang para sahabat untuk mencela sembahan-sembahan kaum musyrikin walaupun zahirnya dibolehkan demi mengelakkan implikasi buruk, yakni menjadi penyebab mereka membalasnya dengan mencela Allah Ta'ala.

Nabi SAW juga tidak membunuh musuh Islam golongan munafiq yang berada di Madinah walaupun ianya boleh membawa keburukan yang besar terhadap kerajaan Islam demi menjaga imej Islam di mata dunia dan umat mendatang dimana sabda Nabi SAW

"Agar mereka tidak mengatakan setelahku bahawa Muhammad SAW membunuh para sahabatnya."

Mari muhasabah kembali adakah dengan mengulang-ulang isu dan menimbulkan provokasi seperti yang dilakukan sebahagian pihak terhadap golongan tariqat dan tasawuf dapat menyatukan umat? Dapat menyelesaikan masalah? Sedangkan Malaysia sejak awal kedatangan Islam lagi mengamalkan ajaran tasawuf dan bertariqat. Ahli tasawuflah yang menjadi pahlawan menentang penjajahan barat seperti Tok Janggut.

Begitu juga dari sudut menjaga imej Islam di mata orang bukan Islam. Tidak malukah kita tatkala orang Cina dan India melihat kita sesama bangsa dan agama sibuk berbalah sesama sendiri sehingga penuh di akhbar dengan isu kritikal agama dan politik kita setiap hari. Mereka malah menjadi jemu dan semakin menjauh bahkan membenci agama kita.

7. Penting untuk kita kaji sejarah Islam dahulu apakah rahsia dan kaedah para Ulama dan 'Think Tanks' muslimin dahulu dalam berinteraksi dengan krisis semasa di zaman mereka. Ini kerana sejarah dan fitnah berulang-ulang.

Jika kita soroti peristiwa besar serangan genocide kaum Tatar Monggol terhadap empayar khilafah Abbasiyah, dimana jutaan kaum Muslimin diseksa dan dibunuh dengan kejam (populasi manusia seluruh dunia ketika itu tidak seramai sekarang), turath khazanah Islam dan harta benda dibakar dan dibuang, bagaimakah interaksi ulama Islam terhadapnya?

Peristiwa yang dikatakan kedua paling dahsyat dalam sejarah setelah banjir besar zaman Nabi Nuh a.s. ini, apakah pengakhirannya? Bagaimanakah ianya diselesaikan?

Cuba kita kaji.
Cuba kita teliti.

Krisis yang diawali dengan kezaliman dan kelalaian pemimpin dengan kemewahan dunia serta persaingan politik yang meruncing sehingga menjadi faktor pecah-belah dan kelemahan umat di akhir zaman Abbasiyah ini, bagaimanakah ianya berjaya diselesaikan dengan hikmah?

Para ulama dan pendakwah Islam yang berjaya mempamerkan akhlak mulia, mengawal emosi dan kemarahan mereka serta teguh mengaplikasikan perintah Allah berlandaskan manhaj Nabawi yang meraikan Maqasid Syari'ah dan maslahah akhirnya membuahkan hasil.

Kaum Monggol berbondong-bondong masuk Islam.

Golongan yang berasal dari pergunungan dan hutan yang kasar nan bengis ini hampir kesemuanya memeluk agama Islam. Pertama kali dalam sejarah dunia penjajah berjaya didakwah sehingga memeluk agama tanah jajahannya.

Nampak mustahil bukan?

Tapi itulah yang berlaku.

Dan yang menariknya, al-Imam an-Nawawi dan Ibnu Taimiyyah hidup pada zaman ini. Ketika Baghdad diserang, an-Nawawi masih belia remaja sekitar usia 25 tahun. Masih menuntut ilmu.

Mereka bersatu dibawah agama yang sama, tanggungjawab yang sama, misi yang sama, prioriti yang sama, manhaj yang sama.

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضًا فيما اختلفنا فيه

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam

Sambung Bacaan>>>

21 July 2015

Aku, al-Qaradhawi dan Syed Qutub : Kefahaman Yang Harus Diperbetulkan

Bismillah

Sejak belasan tahun lagi aku telah mengenali Syed Qutub r.a melalui tafsirnya 'Fi Zilal', kerana ayahandaku sememangnya mengumpul karya-karya beliau dan karya Dr. Yusuf Qaradhawi hafizahullah dan ianya tersusun rapi di rak rumahku. Aku berasa ingin tahu, apakah yang menyebabkan ayahanda begitu kagum terhadap mereka berdua, bahkan meletakkan nama 'Qaradhawi' di penghujung namaku. Beberapa tahun kemudian, Tafsir Fi Zilal diterjemahkan ke dalam bahasa melayu(terjemahan Yusoff Zaky 16 jilid), dan ayahku terus memilikinya. Gembira tak terkata, aku mula membaca terjemahan 'Fi Zilal'. Muka surat demi muka surat, aku menjadi ketagih. Keindahan bahasanya, uslubnya, masyaAllah!

Ketika di Mesir, selain membaca versi arab Fi Zilal, aku mula ingin mengumpul karya-karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Namun aku tidak mengetahui di mana ianya dijual. Suatu hari aku menghadhiri pengajian Syaikh Nuruddin Banjari di rumah kedah hayyu sabek pada bulan Ramadhan. Tatkala menunggu kedatangan syaikh di maktabah/musolla, kebetulan aku duduk di sebelah sebuah bahagian rak yang dikhususkan untuk karya-karya al-Qardhawi, aku meneliti tajuk setiap kitab yang ada sehingga aku tertarik untuk mengambil satu buku berkenaan biografi beliau berjudul 'Ibnul Qoryah wal Kuttab'(3 juzu').

Aku mula membacanya setiap kali menghadhiri kelas Syaikh Nuruddin. Beberapa hari kemudian aku membelek-belek juzu' terakhirnya hingga sampai kepada pandangan beliau tentang Syed Qutub rhm, beliau ada memujinya, tetapi saya tertarik dengan kata beliau:

 فالحقيقة في نظر سيد قطب أن كل المجتمعات القائمة في الأرض أصبحت مجتمعات جاهلية. تكون هذا الفكر الثوري الرافض لكل من حوله وما حوله، والذي ينضح بتكفير المجتمع، وتكفير الناس عامة
(ابن القرية والكتاب: ص56 ج3-دار الشروق) 

"Realiti(umat) pada pandangan Syed Qutub adalah bahawa seluruh masyarakat di dunia ini telah menjadi masyarakat jahiliyyah. Ianya membuahkan ideologi revolusi yang menolak semua orang yang berada di sekitarnya dan apa yang disekelilingnya, dan (ideologi) yang memercikkan bibit-bibit mengkafirkan masyarakat, dan mengkafirkan orang ramai." 

Aku merasa hairan. Mengapa Syaikh al-Qaradhawi mengkritik ideologi tokoh yang merupakan satu jemaah dengannya? Aku lantas terimbau kata-kata ayahanda yang pernah mengikuti kursus bersama Syaikh al-Qaradhawi di Islamabad, bahawa Syaikh al-Qaradhawi mempunyai prinsip 'Wasatiyah', beliau sangat tegas dalam mempertahankan agama dan kebenaran tidak kira dari siapa pun jua, الحق أحق أن يتبع(Kebenaran lebih berhak untuk dituruti). Kata Sayyiduna Ali r.a: 

"Sesungguhnya kebenaran tidak dikenalpasti/diukur dari orang-orang, tetapi orang-orang (ahli kebenaran) itu yang dikenali melalui kebenaran. Kenalilah kebenaran dahulu, nescaya kamu akan ketahui siapa ahlinya." 

Sejak itu, aku ingin mengikuti jejak Syaikh al-Qaradhawi. Aku ingin menuntut ilmu bersungguh-sungguh agar mendapatkan mekanisme dalam menilai kebenaran seperti dalam perjalanan hidup beliau di waktu muda. Agar aku tidak terikut-ikut dengan orang lain atau media. Tanpa ilmu dan alat untuk menilai, aku kan terjerumus dalam penilaian akalku yang cetek nan jahil.

Beberapa tahun kemudian, guruku yang mulia as-Syaikh Usamah Sayyid al-Azhari menerangkan di televisi tentang pemikiran Syed Qutub, tidak lama kemudian, satu buku berkenaannya dicetak berjudul 'الحق المبين في الرد على من تلاعب بالدين'.


Aku membacanya dengan teliti. as-Syaikh menyebutkan bahawa ada dua manhaj pemikiran, satunya adalah yang menggunakan disiplin dan ilmu dalam berinteraksi dengan nas dan realiti, dan satu lagi adalah bercelaru dengan emosi, kemarahan, tergesa-gesa dan tidak punya mekanisme dalam memahami realiti dan nas al-Quran.(m.s 11) Menurut beliau lagi, dalam memerangi ekstremisme dan terrorisme di kalangan umat Islam zaman ini seperti ISIS, kita harus menganalisa apakah akar dan punca bagi masalah yang berlaku. Itulah yang dilakukan para ulama salaf dan khalaf, iaitu menyelesaikan masalah dengan mencantas akarnya terlebih dahulu.

Bila dibaca buku-buku anggota gerakan ekstremis seperti Risalatul Iman karya Soleh Siriyah, al-Faridhah al-Ghaibah karya Muhammad Abdussalam Farj, Syukri Mustafa dan lain-lain, semuanya terpengaruh dengan ideologi hakimiyah dan masyarakat jahiliyah dari Syed Qutub. Sehinggakan Turki Bin Mubarak al-Ban'ali dalam bukunya 'al-Lafzu al-Lisani Fi Tarjamati al-Adnani' yang menceritakan biografi seorang pimpinan utama ISIS bernama Abu Muhammad Al-Adnani menyebutkan bahawa al-Adnani sangat terkesan dengan tafsir Fi Zilal Syed Qutub, dan bahawa kitab tersebut adalah yang paling dicintainya sehingga ia mempelajarinya selama 20 tahun dan berniat untuk menyalinnya dengan tangannya sendiri.(m.s 18)

Perkara tersebut menjelaskan bahawa antara punca krisis terrorisme dan takfir yang berlaku adalah kejahilan terhadap disiplin ilmu Islam, pengaruh ideologi yang menular dan kesilapan dalam memahami wahyu. Ini mewajibkan para ulama untuk menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan wahyu dan memperbetulkan kefahaman yang terpesong sehingga memburukkan pandangan dunia terhadap Islam.

Ya, itulah maqasid Syariah yang pertama iaitu Hifzu ad-Din(menjaga agama). kata Syaikh Usamah lagi, mafhumnya: 'Perlu untuk diingat dan diberi perhatian bahawa individu Syed Qutub itu bukanlah yang dimaksudkan kami dalam mengkritik, kerana beliau telah pun pergi meninggalkan kita ke alam sana, akan tetapi yang kita bahaskan dengan ilmiah adalah kesilapannya dalam memahami beberapa ayat Quran yang dijadikan hujjah bagi golongan ekstremis untuk mengkafirkan umat Islam. Tidak kira dari siapa pun datangnya ideologi tersebut, kita wajib untuk mengkritiknya dalam menjaga kefahaman al-Quran dari ta'wil yang terpesong.'

Fadhilatu as-Syaikh Ali Jum'ah pernah menyebut, Tafsir Fi Zilal ini ibarat susu yang elok(boleh diminum sesiapa dan mendapatkan manfaat), sehingga beliau ada membeli cetakan pertama Fi Zilal di percetakan 'Isa al-Halabi untuk mendapatkan manfaat. Namun pada cetakan yang lain, yang tercetak adalah tafsir Fi Zilal yang telah ditambah dan diubah Syed Qutub ketika di dalam tekanan penjara, yang mana di dalamnya terdapat ideologi dan kefahaman yang salah. Muqaddimahnya saja sudah menyebut tentang jahiliyah society.

Tafsir yang pada awalnya ibarat susu, kini di dalamnya ibarat racun yang berada di dalam susu. Oleh kerana itu wajib untuk para ulama membuang racunnya agar tidak membawa padah terhadap pembacanya, barulah susunya dapat diminum dengan tenang. Lihatlah betapa beradab dan adilnya beliau terhadap Syed Qutub r.a. 'Buang yang keruh, ambil yang jernih'.

Sahabat yang mulia, jika kita lihat pada hari ini, Tafsir Fi Zilal telah tercetak lebih dari 40 kali, tersebar ke seluruh dunia dan diterjemah ke pelbagai bahasa. Orang yang menyertai ISIS pula makin meningkat setiap hari. Ratusan. Sekiranya kita tidak sama-sama bekerjasama dalam mencerahkan kefahaman dan mempertahankan Islam dan wahyu, nescaya musuh akan bersorak gembira, sesama Islam pula sibuk perang dan berbalah.

Sahabat, usaha ini adalah salah satu usaha murni dalam memperjuangkan Islam. Kita juga harus bersama-sama dalam isu Palestin. Kita juga harus menentang kezaliman. Namun dalam menentang kezaliman ada manhaj dan caranya, ada qawaid dan maqasidnya. Ulama al-Azhar tidak sekali redha dengan kezaliman, akan tetapi mereka mempunyai basirah dan cara tertentu dalam berinteraksi dengan kezaliman, yang mungkin kita belum tahu. 

Pandanglah dengan positif dan bertanyalah, teliti dahulu apa yang disampaikan sebelum mengkritik, berdepanlah dengan mereka jika ragu-ragu. Jika tidak setuju, jangan pula emosi dan biadab, teruskan menuntut ilmu dan membina masyarakat. Hapuskan kejahilan dan tanam keimanan dalam jiwa masyarakat kerana itu antara punca kezaliman yang berlaku. Itulah yang diajarkan Nabi kita SAW yang berakhlak mulia.

 Akhir kalam, dalam mendengar apa-apa isu, ikuti manhaj positif الإنارة(pencerahan) dan jauhilah manhaj negatif الإثارة (sentimen/provokasi). Bagi saya, majlis-majlis ilmu yang diadakan bersama ulama tidak seharusnya dihalang untuk menyertainya, begitu juga program-program yang bermanfaat, bahkan menurutku, sejak wujudnya anjuran majlis ilmu bersama as-Syaikh Ali Jum'ah, makin banyak program diadakan di sana sini(Cairo). Ini adalah perkembangan yang baik. Ya, sepatutnya yang kita larang adalah golongan yang sibuk membuang masa, tidak ke kuliyah dan majlis ilmu, bukannya yang mengisi masanya di rumah Allah dan taman-taman syurga!

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam..

*Untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang dan pemikiran Syed Qutub r.a, saya mencadangkan untuk menonton video dokumentari ini(ada subtitle melayu): https://www.youtube.com/watch?v=0aV9bU2O9SA

Sambung Bacaan>>>

Intelektualisme, Turath Islam, Dan Kedalaman Bahasa Arab

Bismillah..

Dalam usaha menjadi seorang intelek, Think Tanks seperti para ilmuwan Islam zaman dahulu seperti al-Imam as-Syafi'ie, Imam Abul Hasan al-Asy'ari, Sibawaih, Ibnu Sina, al-Ghazali, Fakhruddin ar-Razi, at-Taftazani, al-Attar r.a dan lain-lain, haruslah untuk kita mengakses khazanah turath-turath Islam untuk meneliti ilmu-ilmu mereka, akal pemikiran mereka dan mengkaji cara mereka berfikir. 





Seorang yang bijak nan kuat membaca(bibliophile) sekalipun sekiranya hanya membaca karya-karya para pemikir moden semata-mata dan tidak mendalami turath Islam yang mengandungi buah fikiran dan pemikiran sarjana agung islam, bagi saya masih agak sukar untuk menjadi ilmuwan pemikir rabbani seperti mereka yang telah membina tamadun Islam yang megah itu. Bahkan golongan orientalis bersungguh-sungguh mempelajari turath-turath kita untuk mengembangkan pemikiran dan memajukan negara mereka. Kerana mereka sedar, kitab-kitab klasik Islam ini bukan sahaja merangkumi kunci, rahsia dan khazanah ketamadunan agung Islam dahulu, bahkan dapat mempertajam akal kita untuk menjadi seorang intelek yang produktif, generatif dan membangun.

Jika kita meneliti golongan yang berideologi liberalisme, ekstremisme dan yang gopoh dalam mengkritik dan menghukum turath, kita akan dapati pemikiran mereka sangat 'sathiy سَطْحِي'(dangkal/cetek) dalam semua perkara terutamanya dalam memahami permasalahan ilmu di dalam turath. Ya, mungkin mereka turut membaca turath, tetapi mereka tidak memahaminya dengan benar bahkan tatkala mengaplikasikannya pada realiti semasa, mereka tersadung. 


Mengapakah itu berlaku?

Kerana mereka masih belum cukup alat untuk memahaminya dengan mendalam.

Mereka tidak mempunyai ilmu lughah.(di sana masih banyak ilmu-ilmu alat lain seperti mantiq dan usul fiqh)

Belajar bahasa arab komunikasi semata-mata tidak menjadikan seseorang itu alim, nahwi(ahli nahu) dan lughawi(ahli lughah) yang berkebolehan untuk mempelajari turath secara mendalam, begitu juga keluaran-keluaran pusat-pusat bahasa arab dan lain-lain. Untuk mengakses turath-turath agung Islam, tidak cukup dengan menghafal kamus Arab-Melayu dan mempelajari kaedah-kaedah nahu sahaja, lagi-lagi untuk membaca hawasyi(syarahan kepada syarah/super komentar bagi matan) kitab turath, kerana di sana ada banyak lagi cabang ilmu-ilmu lughah seperti sorof, balaghah, usul nahu, usul lughah, fiqh lughah, ilmu wadh'(الوضع) untuk dipelajari. Sebab itu peranan guru sangat penting dalam mempelajari turath-turath Islam.

Kata al-Imam as-Syafiie r.a:

أَصْحَابُ الْعَرَبِيَّةِ جِنُّ الإِنْسِ ، يُبْصِرُونَ مَا لا يُبْصِرُ غَيْرُهُمْ

"Ahli bahasa Arab ibarat jin dikalangan manusia, mereka dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh orang lain."(Ibn Abi Hatim ar-Razi - Adab as-Syafiie Wa Manaqibuh)

Ya, orang yang mendalami ilmu lughah dapat memahami lebih dalam dan mengetahui rahsia-rahsia ilmu yang pelbagai kerana ia merupakan kunci bagi segala ilmu Islam.

Sekiranya benar-benar ingin menjadi seorang pakar dan alim dalam apa-apa bidang ilmu sekali pun, contohnya dalam ilmu Kalam(Teologi Islam), haruslah menjadi seorang alim dalam ilmu lughah kerana ia merupakan kunci bagi segala ilmu, alim dalam erti kata tidak muqallid(bertaqlid/tak tahu dalil dan sebab) dan sathiy(dangkal/tidak mendalam).

Para ulama mutakallimin(pakar ilmu kalam) al-muhaqqiqin seperti al-Baqillani, ar-Razi, al-Iji, at-Taftazani, al-Jurjani, al-Attar r.a dan lain-lain, mereka sangat pakar dalam ilmu lughah, banyak karya-karya mereka adalah merupakan syarah atau hasyiah bagi ilmu-ilmu lughah, terutamanya at-Taftazani. Jika kita teliti kitab-kitab hawasyi(plural bagi hasyiah) yang dikarang beliau, kita akan dapati ianya penuh dengan daqaiq lughawiyah(perbahasan lughah yang sangat dalam). Oleh kerana itu Sa'duddin at-Taftazni digelar al-Muhaqqiq dan al-Mudaqqiq.

Bahkan ada 5 level kedalaman ilmu bahasa di dalam turath bak kata Syaikhul Islam Burhanuddin al-Bajuri r.a:

1)at-Tahqiq
2)at-Tadqiq
3)at-Tarqiq
4)at-Tazwiq
5)at-Tanmiq (Mungkin diterangkan pada penulisan yang lain)


Dalam ilmu nahu contohnya, bagi saya, paling kurang perlu untuk kita faham 'ilal-'ilal nahwiyah ataupun ilmu Usul Nahu agar kita faham lebih mendalam lafaz, makna, i'rab berserta dalil dan sebabnya. Ilmu Nahu dan Usul Nahu ibarat antara ilmu Usul Fiqh dan Fiqh. Kedua-duanya harus seimbang. Contohnya, kata kerja 'Kataba'(menulis) yang i'rabnya 'mabni alal fath'(kekal terbina baris hujungnya dengan fathah), mengapa ia berubah menjadi 'mabni ala as-sukun'(kekal terbina baris hujung dengan sukun) ketika bersambung dengan 'Ta Fa'il'(ta yang menunjukkan si pelaku) seperti 'Katabtu'? Sedangkan Fi'il Madhi(Past Tense) itu di dalam kaedah asal sentiasa kekal mabni ala as-sukun. Mengapa tidak kekalkan asalnya yang berbaris fathah di atas huruf ba, yakni 'Katabatu' sahaja? Kata ulama, ianya kerana untuk mengelakkan 'at-thiqol الثقل'(kesukaran untuk menyebutnya), kerana orang Arab tidak suka menyebut suatu perkataan yang mempunyai 4 baris berturut-turut tanpa sukun, justeru, ba disukunkan menjadi 'katabtu'. Ya, berdasarkan kefahaman dan pengetahuan akan sebab-sebab bagi perubahan ini, para ulama nahu memperincikan cara i'rabnya.

Bagi yang mempelajari ilmu nahu, ini contoh i'rab yang diajarkan guru kami di al-Azhar as-Syarif yang merangkumi dalil dan 'ilal nahwiyah; i'rabnya golongan muhaqqiqin :


كَتَبْتُ
أصله: كَتَبَتُ

إعراب غير محقق: فعل ماضي مبني على السكون لاتصاله بتاء الفاعل

التدقيق في الإعراب: فعل ماضي مبني على الفتحة المقدرة على آخره منع من ظهورها اشتغال المحل بالسكون العارض لدفع كراهية توالي أربع متحركات في ما هو ككلمة واحدة

Untuk mempelajari lebih dalam bab ini('Ilal Nahwiyah/Usul Nahu), eloklah untuk kita mentelaah kitab 'al-Iqtirah Fi 'Ilmi Usul an-Nahw' karya al-Imam as-Suyuti yang merupakan ringkasan bagi kitab 'al-Khasais الخصائص' karya Ibnu Ginni, atau merujuk kitab al-Khasais(3 jilid) itu sendiri..

Wallahu Ta'ala A'la wa A'lam.

Nota:

1. Maaf sekiranya merasakan penulisan ini agak berat dan kurang sesuai untuk selain penuntut ilmu agama dan bahasa arab, al-faqir hanya ingin menggambarkan setitik daripada lautan ilmu turath, agar kita sedar, bahawa sebenarnya banyak lagi yang kita tidak tahu disamping menekankan untuk kita jangan menjadi seperti golongan yang sathiy pemikirannya.

2. Oleh kerana itu para ulama silam mengambil masa yang sangat panjang dalam menuntut ilmu. Ada yang 20 tahun, 30 tahun, bahkan ada yang 40 tahun! belajar selama 4 tahun sahaja tidak cukup untuk bergelar seorang 'alim yang berautoriti, kerana terdapat pelbagai disiplin ilmu lagi yang harus dikuasai dengan mendalam.

3. Ini hanyalah pandangan peribadi al-faqir dalam usaha mendalami lautan ilmu turath dan membina kembali tamadun Islam, kerana di sana ada juga yang berpendapat cukup untuk sekadar belajar ilmu nahu seperti di dalam al-Kawakib ad-Durriyyah contohnya, dan tak perlu terlalu mendalami ilmu ini sekiranya tidak menceburi bidang lughah. 

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails