24 April 2013

Ustaz Tak Berkeahlian Punca Masyarakat Keliru


A: Haritu ustaz saya kata macamni dan macamtu..

B: Eh..Apa pula.. ustaz saya yang lulusan Jordan tu kata lainlah..saya ingat lagi, sebenarnya begini dan beginila..

C: Heh..Ustaz korang semua salah..ustaz saya lulusan Madinah tau! Bukan calang-calang orang.. dia kata macamni..bla bla bla..

Di atas merupakan contoh sketsa masyarakat kini yang terpinga-pinga dan keliru dengan pendapat-pendapat para ustaz di tanah air berkenaan satu isu tertentu.

Mereka ingin mencari kebenaran, namun mereka keliru setelah mendapati terdapat banyak pendapat yang saling bercanggah dek ustaz yang tidak berkeahlian pun bersuara, lalu mereka biasanya akan terus membenarkan dan mengutamakan kata-kata ustaz di tempatnya sendiri berbanding ustaz lain. Pendapat yang salah mula diamalkan dan disebarkan masyarakat. Masyarakat yang jahil murakkab mula terbentuk.

Berkata Imam Al-Ghazali, "Jika berdiam saja mereka yang tidak tahu dan tidak berkeahlian, nescaya akan sedikitlah perbezaan pendapat"

Saranan Bagi Masyarakat Pengikut Ustaz:

1. Jangan terus menyalahkan pendapat orang lain dan taasub dengan pegangan sendiri. Jika isu tersebut memang banyak perbezaan pendapat, barangkali semua pendapat benar pada sudut yang berbeza ataupun masing-masing ada hujjah dan dalil sendiri. Berlapang dadalah! Namun, pastikan jawapan ustaz itu benar walaupun berbeza, jangan benarkan yang salah di sisi ulama muktabar! Sebab itu perlu laksanakan point kedua..

2. Kaji sendiri dahulu, banyak membaca dan merujuk, kemudian tanyalah ramai ustaz, jangan seorang ustaz saja. Berkata Sayyiduna Ibnu Abbas r.a,

"Aku pernah bertanya tentang satu masalah agama kepada 30 sahabat Nabi SAW". 

Utamakan pendapat ustaz-ustaz yang lebih berkaliber, berkeahlian,berpengalaman, alim, diiktiraf ahli ilmu lain dan diterima ramai..

3. Pastikan juga ustaz yang ditanya seorang yang berkeahlian dalam perkara yang hendak kita tanya. Jika kita tanya bab Fiqh kepada ustaz lulusan Bahasa Arab contohnya, apakah itu adil(meletakkan sesuatu pada tempatnya)??
Justeru, tanyalah pada ahlinya, bab hukum-hukum pada mufti dan ahli fiqh, bab politik pada ahli politik, bab hadis pada ahli hadis dan bab tafsir pada ahli tafsir dan seterusnya..

4. Selidik dahulu siapa ustaz yang kita tanya dan bakal membimbing kita. Siapakah gurunya, di manakah beliau belajar, apa kata ustaz-ustaz lain tentangnya, bagaimana ketaqwaan, kewara'an dan pengalamannya dll..
Yang penting, jangan pergi ke ustaz palsu yang tak jaga amal, tiada taqwa, tiada ilmu, tiada guru dan cakap hanya ikut nafsu..

Berkata Imam Ibnu Sirin r.a "Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka selidiklah dari siapa kamu mengambil agamamu" 

Saranan Bagi Ustaz-ustaz:

1. Jangan senang-senang hendak mengajar dan beri pendapat tanpa berkeahlian dan berguru. Jangan mengajar(bezakan antara mengajar dan menyampaikan tazkirah atau berceramah) kecuali setelah diberi keizinan mengajar oleh guru.

Ulama salafussoleh seperti Imam Abu Hanifah berguru dengan Imam Hammad selama puluhan tahun, setelah beliau menjadi faqih, gurunya masih tidak memberikan keizinan untuk mengajar, lalu beliau terus menyambung pengajian bersama gurunya hinggalah hampir 40 tahun berguru baru beliau menggantikan gurunya pula untuk mengajar.(menurut Syaikh Abu Zahrah pula, beliau berguru selama 18 tahun sahaja bersama Hammad)

Begitu juga Imam Ghazali, Imam Zakariya al-Ansari dll walaupun telah menjadi sangat hebat dan alim sejak muda lagi, namun mereka masih tidak berani mengajar kecuali setelah diberi keizinan mengajar oleh guru mereka sendiri.

Mengapa?

Kerana rasa diri layak mengajar dan alim itu adalah tipu daya nafsu dan syaitan. Dan kerana yang mengetahui tahap ilmu kita dan keahlian kita adalah guru dan pembimbing kita sendiri. Tuntutlah ilmu hingga menjadi pakar dan diiktiraf guru kita dan diberi keizinan untuk mengajar serta membimbing.

Jangan baru belajar sekerat-sekerat, terus berlagak alim, mengajar sana sini, sedangkan untuk menyampaikan agama Allah dan membimbing masyarakat, kita perlu beri ilmu yang benar, dan ilmu yang benar hanya diperoleh setelah dipelajari dengan lama, tekun dan dari guru yang muktabar.

Rasulullah SAW ketika ingin menghantar seseorang untuk mengajar dan menjadi qodhi/mufti di Yaman, Baginda tidak menghantar mana-mana sahabat seperti Sayyiduna Abu Bakar, Sayyiduna Bilal atau Sayyiduna Abu Hurairah r.a, tetapi menghantar sahabat yang paling berkeahlian dan diizinkan Nabi untuk berfatwa iaitu Sayyiduna Muaz bin Jabal r.a sepertimana sabda Baginda SAW,

Yang paling tahu akan yang halal dan haram di kalangan umatku adalah Mu’adz bin Jabal r.a”[HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad].

2. Jika tidak berkeahlian ataupun tidak tahu menjawab, maka berdiamlah atau beritahu saja anda tidak tahu.

Imam Malik r.a, seorang yang paling faqih di dunia di zamannya yang tiada tandingan, pernah ditanya 22 soalan, tetapi beliau hanya menjawab dua soalan sahaja.

Dalam kisah yang lain, diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Bar, bahawa seorang lelaki datang kepada Imam Malik sejauh 6 bulan perjalanan untuk bertanya masalah orang kampungnya, setelah ditanya, lalu Imam Malik menjawab "Aku tidak mampu menjawabnya". Maka tergamamlah lelaki dari jauh tadi seolah-olah dia datang kepada seorang yang tahu segala-galanya. Lalu dia berkata, apa yang akan kujawab kepada orang kampungku ketika aku pulang nanti?

Maka Imam Malik berkata, "Katakan kepada mereka, Malik tidak mampu menjawabnya.."

3.Terus menuntut dan mendalami ilmu serta perbanyakkan kajian dan membaca. Ahli ilmu perlu mempunyai pembacaan yang luas sebelum mengajar dan memberikan pendapat kerana barangkali, kita memberi suatu pendapat sedangkan ada pendapat yang lebih baik dan lebih tepat. Selain itu, dengan luasnya pembacaan, pemikiran lebih terbuka.

4. Banyak bertanya pada ulama muktabar yang lebih alim dari kita. Tuan-tuan guru di tanah air masih ada, jumpa dan bermuzakarahlah dengan mereka.

Faedah Tambahan:

Berkata Imam Al-Kauthari di dalam Maqalatnya (m/s 398), "Adalah para ulama dahulu dalam mengeluarkan pendapat, sangat berhati-hati, mereka sedaya upaya mengelakkan untuk menyampaikan ilmu mengikut hawa nafsu.

Bahkan mereka tidak akan mengajar dan menyampaikan pendapat kecuali setelah mereka yakin dengan ilmu dan jawapan mereka, jika tidak yakin, mereka akan mengatakan "Aku tidak tahu!" kerana takut jawapan yang salah akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka."

Ya. Begitulah taqwa para ulama dahulu dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa. Sehinggakan Imam Abul Ala' Ar-Razi (ulama kurun keenam) menulis kitab berjudul 'Al-Jam'u Baina at-Taqwa wa al-Fatwa'(Menggandingkan antara taqwa dan fatwa)

Berkata Imam Malik r.a:

“Aku tidak berfatwa sehinggalah tujuh puluh orang (ulama) mengakui bahawa aku layak berfatwa.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 8/96)

Kata Imam Malik r.a lagi,

"Sesiapa yang suka menjawab soalan-soalan, maka gambarkanlah di depannya ada syurga dan neraka, bagaimana akhir keadaannya di akhirat nanti, kemudian barulah menjawabnya"

Berkata Imam Abu Hanifah r.a: "Barangsiapa yang berkata dalam sesuatu daripada ilmu agama(dengan pendapatnya sendiri), lalu beramal dengannya, dan dia menyangka bahawa Allah tidak akan menanyakannya bagaimana dia mengeluarkan pendapat dan fatwa dalam agama Allah, maka dia telah memudahkan dirinya dan agamanya dalam bencana"

(Rujukan: Al-Faqih Wal Mutafaqqih karya Imam Al-Khatib Baghdadi dan Maqalat Al-Kauthari karya Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari)

Sambung Bacaan>>>

14 April 2013

Persepsi: Masyarakat Yang Tak Suka Membaca

Dua orang sang guruku yang dicintai, Syaikh Dr. Yusri Rusydi dan menantunya al-Muhadith Syaikh Usamah Sayyid hafizahullah sangat kuat membaca


Teringat pesan Syaikh Dr. Yusri Rushdi (pakar perubatan dan ilmu hadis, qiraat, sirah dll) hafizahullah bahawa zaman ini orang dah tak suka membaca. Beliau pernah sebarkan risalah beliau tentang isu khilafiyah tertentu sebanyak belasan ribu cetakan ke beberapa negara arab, tetapi masyarakat masih tak faham lagi, mengapa? Kerana mereka walau dapat buku, walau ada risalah banyak mana pun, tak nak baca. Sebab itu, walau buku-buku tentang kritikan manhaj ekstremis dan sesat serta mempertahankan ulama ASWJ dan manhaj aqidah dan ilmu yang benar ditulis dan dicetak banyak mana pun, tetap mesej tak sampai kerana orang tak baca.. bahkan buku di rak bilikku sendiri pun aku tak baca sangat..apatah lagi orang awam..

Jadi aku berfikir, bagaimana untuk menyebarkan ilmu dan kefahaman yang sahih kepada masyarakat yang jahil lagi tak suka membaca ini?

Aku melihat, masyarakat memang tak suka membaca, tetapi suka mendengar dan menonton. Yang suka membaca pun, kebanyakannya lebih suka baca buku berbentuk cerita/novel/kisah.

Sebab itu pemikiran masyarakat sekarang ini banyak dibentuk melalui kaca tv, Facebook, Twitter, Youtube, filem-filem dan akhbar. Sangat sedikit yang dibentuk melalui pembacaan. Yang membaca pun, bahan pembacaannya tidak bagus. Bagi bahan bacaan agama pula, mereka membaca tidak berguru; kefahaman yang sepatutnya difahami tidak sampai.

Lalu timbul idea di benakku, mungkinkah kelak aku akan menulis novel yang berisi dengan ilmu, manhaj dan kefahaman yang benar demi memahamkan dan membentuk masyarakat? Atau menulis silsilah buku kecil soal jawab berkenaan isu-isu musykil dalam agama? Atau aku mencebur saja bidang Vlogger di Youtube, dek masyarakat yang suka mendengar dan menonton, demi menyebarkan ilmu yang murni lagi benar secara lebih meluas? Di facebook pula, sebaran tidak terlalu meluas, aku tidak puas. Blog aku sendiri ni pun tiada orang ingin baca sampai habis kerana penulisanku bergenre fakta yang terlalu panjang...hmm.. Atau mungkin, aku ajak sahabat2 yang minat membaca dan banyak berguru menyampaikan manhaj dan kefahaman yang benar kepada mereka?

Tapi sebelum itu, aku perlu ajak para penuntut ilmu pergi ke majlis ilmu, kelas, kuliyah, talaqi, dan maktabah dahulu.. aku perlu bakar semangat membaca mereka dahulu...juga semangat mengkaji dan menuntut ilmu... berapa ramai yang rak dikamarnya penuh buku, tapi tidak satu buku pun pernah habis dalam masa setahun? (pesanan untuk aku sendiri)

Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails