26 February 2010

Menyambut Maulidirrasul itu salah?

Bismillah..
Kata Imam Jalaluddin Sayuti tentang sambutan agung ini:

Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Kata Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.

"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
...

Semalam, saya telah menyambut Maulidurrasul di Dewan Madhyafah, Saidina Hussein, Mesir.

Dan pada ketika itu, antara yang hadhir memberi ceramah adalah para Masyaikh Al-Azhar, antaranya Alfadhil Sheikh Usamah, Sheikh Mustafa Al-nadwi, Sheikh Jamal Farouq, dan beberapa sheikh lagi. Mereka adalah para ulama yang sangat disegani.

Sebelum memulakan majlis, kami bersolawat beramai-ramai, berqasidah dan berzanji memuji-muji Rasulullah, saya berasa sangat indah dan seronok. Kemudian, mulalah para Masyaikh memberi ceramah berkaitan tentang Mulidurrasul, dan sirah Nabawiyyah.
Saya tertarik dengan kata-kata dari Sheikh Jamal Farouk,(guru pelajaran Tauhid di U.Azhar) 

beliau berkata bahawa kita semua umat Islam jangan bimbang dan ragu-ragu bahawa sambutan ini adalah salah dan tidak boleh. Kerana sambutan ini adalah dijalankan tanpa membuat perkara sesat dan keluar dari syara’ , dengan puji-pujian ke atas Baginda, ceramah keilmuan tentang Baginda, dan sebagainya. 
Majlis ini akan membuatkan kita bertambah kenal akan Rasulullah di samping meningkatkan kecintaan kita kepada Baginda dan terus memperbanyak solawat dan puji-pujian. Semuanya malah disukai Baginda. Dan bukti cinta kita kepada Allah adalah dengan mencintai Rasulnya.


"Katakanlah, Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku(Rasulullah), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. " (Ali-Imran:31)

Bagi saya, kata-kata itu memang benar, malah saya sendiri pun sangat jarang bersolawat kepada Baginda. Dalam sehari pun tidak sampai puluhan, itu pun ketika membaca tahiyat di dalam solat dan ketika memulakan dan mengakhiri doa-doa. Lalainya saya, Astagfirullah....


Layakkah saya mendapat syafaat Baginda? Bagaimana pula dengan kalian? Sudah layakkah?


Tetapi ketika sambutan Maulidurrasul ini, setelah banyak berselawat beramai-ramai, saya semakin sedar dan bertekad untuk sentiasa meningkatkan solawat kepada Baginda. 


Mari kita sama-sama bersolawat...Allahumma Solli wa Sallim ala Saidina Wamaulana Muhammad....


Ada sesetengah orang Islam yang mengaku bahawa mereka merupakan umat Nabi Muhammad S.A.W, masih ragu-ragu untuk menyambut kelahiran Insan teragung di sisi Allah ini. Bahkan mereka menyebarkan dan menyeru umat Islam yang lain untuk turut tidak menyambut kelahiran Pembimbing manusia ke jalan yang lurus ini. 


Alasan mereka? Kerana sambutan ini adalah satu perkara yang diada-adakan dan berlawanan dengan sunnah Rasulullah S.A.W, dan para sahabat tidak pernah menyambut kelahiran Baginda , ianya satu perkara bid’ah.


Saya ingin bertanya kepada mereka beberapa soalan...
Adakah perkara ini pernah dilarang Rasulullah, ataupun adakah dalil bahawa menyambut kelahiran Baginda ini salah?
Tidak cintakah kalian kepada Nabi Junjungan kita?
Jika kita mencintai Rasul, apakah buktinya? Adakah dengan tidak menyambut kelahiran Baginda?
Tahukah kalian betapa Baginda sangat mencintai kita?

Dalam Shahih Bukhari diceritakan, sebuah kisah yang berkaitan tentang Tsuwaibah.
Tsuwaibah adalah hamba perempuan Abu Lahab (bapa saudara) Nabi Muhammad SAW. Tsuwaibah memberikan khabar kepada Abu Lahab tentang kelahiran Nabi Muhammad (anak saudaranya), tepatnya pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun Gajah. Abu Lahab berasa gembira sekali dengan kelahiran Baginda. Maka, dengan kegembiraan itu, Abu Lahab membebaskan Tsuwaibah.
Dalam riwayat disebutkan lagi, bahawa setiap hari Isnin di akhirat nanti, azab siksaaan Abu Lahab akan diringankan disebabkan pada hari itu,iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab turut bergembira dengan kelahiran Penghulu sekelian makhluk ini. 


Sedangkan musuh Islam pada zaman Nabi sendiri, iaitu Abu Lahab, pakcik saudara Nabi sendiri, berasa sangat gembira pada hari baginda lahir kerana kelahiran anak saudarannya, Nabi Muhammad. Dan Allah Tabaraka wata’ala mengurangkan azab Abu Lahab di jahannam.


Itu bagi orang kafir..


Bayangkan jika kita sebagai orang Islam yang bergembira menyambut hari kelahiran Baginda, tentu sangat banyak ganjaran daripada Allah. 


Kita menyambut kelahiran baginda adalah dengan niat untuk menambah ketakwaan dan keimanan serta kecintaan kepada Rasulullah, kerana pada zaman ini umat islam kian lupa dengan jasa besar serta kisah baginda, oleh kerana kemaksiatan dan nikmat dunia yang mengaburi, kita kini makin tenggelam dalam lembah hiburan dan kesenangan dunia, sehinnga terlalai dan lupa akan Allah dan RasulNya. 


Sedangkan para sahabat di zaman Baginda, mereka setiap saat malah setiap detik mendatangkan dan bertambah-tambah kecintaan dan keimanan kepada Rasullullah, itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka sangat mencintai Baginda, kerana pada zaman sahabat, iman mereka sangat tinggi, dan mereka sering berdamping dengan Baginda, Radhiallahuanhum. 

Kita juga menyambut kelahiran Baginda adalah untuk mengenang jasa Baginda, menghargai pengorbanan dan perjuangan Baginda yang berjerih perih demi kebaikan kita sebagai umat Baginda, kerana Baginda sendiri sangat mencintai kita sebagai ummatnya, bukankah kita sepatutnya lebih jauh berkaliganda lebih berhak mencintai Baginda?


Persoalannya, layakkah kita menjadi umat Baginda, Jika kita tidak mengamalkan sunnah Baginda, tidak mentaati Baginda, serta tidak menjauhi larangan Baginda? 



Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Semua ummatku itu dapat memasuki syurga, melainkan orang yang enggan (tidak
suka)" Beliau ditanya: "Siapakah orang yang enggan itu, ya Rasulullah?" Beliau menjawab:
"Barangsiapa yang taat kepadaku, maka ia dapat memasuki syurga dan barangsiapa
yang bermaksiat padaku (menyalahi ajaranku), maka dialah orang yang benar-benar enggan."
(Riwayat Bukhari)

Bahkan ketika Baginda nazak, baginda tetap merisaukan Umat Baginda,iaitu kita semua.
Ummati...Ummati...Ummati.. Berkali-kali, Baginda menyebut tentang kita sebagai umat Baginda, tanda kerisauan Baginda terhadap kita. Padahal Baginda adalah sangat dekat dengan kematian, namun tetap merisaukan kita semua umatnya.


Ayuh kita sama-sama bersolawat dan memuji Penghulu Sekelian Makhluk ini dalam mendapat syafaat Baginda serta melamar keredhaan dan keampunan Allah..


Sambung Bacaan>>>

Menyambut kelahiran Saidul Khalq.

Bismilllah

"Wahai Nabi sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi dan pembawa kabar gembira serta pemberi peringatan. Untuk menjadi penyeru pada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi."(Q.s. Al-Ahzab: 45-6).

"... Supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya terang-benderang..." (Q.s. Ibrahim: 1).

Allah swt. berfirman yang ditujukan kepada Ahlulkitab:
"... Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan." (Q.s. Al-Maidah: 15).
"Cahaya" dalam ayat itu adalah Rasulullah saw, sebagaimana Al-Qur'an yang diturunkan kepada Baginda adalah juga cahaya.

Ya Saiduna Rasullah, sesungguhnya setiap kegelapan yang bertukar kepada cahaya yang yang terang benderang adalah hanya kerana MU, keranaMU Panji Islam terkibar di seluruh dunia, keranaMU kami dapat merasakan nikmat Iman dan Islam. TanpaMu, siapalah kami, hinanya kami, hancurlah kami..

Kerana Allah menciptaMu sebagai rahmat untuk seluruh alam......

Baginda adalah Nabi pembawa cahaya dan Rasul pembawa hidayah, Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang-orang yang mengikuti petunjuk cahaya dan Sunnahnya. Amin...

Dalam Al-Quran nama Rasulullah saw., Muhammad, disebut sebanyak empat kali sebagaimana disebutkan pada ayat-ayat berikut:
1. Muhammad tidak lain hanyalah seorang Rasul. Sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul ..... (Ali Imran: 144).
2. Muhammad sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah ..... (Al-Abzab: 40).
3. Serta beriman (pula) kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan itulah yang hak dari Tuhan mereka ..... (Muhammad: 2).
4. Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang di antara mereka ..... ( Al-Fath: 29).



Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perumpamaanku dan perumpamaan kalian semua itu adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api, kemudian banyaklah kelkatu(sejenis serangga bersayap yang sukakan cahaya) yang jatuh dalam api tadi, sedang orang itu mencegah binatang-binatang itu jangan sampai terjun di situ. Saya ini, yakni Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang mengambil/memegang pengikat(tali pinggang) seluar serta sarungmu semua agar tidak sampai engkau semua terjun dalam neraka, tetapi engkau semua masih juga hendak lari dari peganganku." (Riwayat Muslim)

Bulan purnama telah terbit kepada kami,
Dari jalan-jalan bukit Al-Wada.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
Terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.
(Terjemahan Nasyid Ahli Madinah ‘Tala’al badru ‘alaina’ ketika menyambut Nabi)


Hampir satu alaf setengah, Rasulullah telah pulang kepada Allah, namun Baginda masih tetap terpatri di setiap sanubari umat Islam. Meninggalkan Mukjizatnya yang terbesar dan akan terus kekal, iaitu Al-Quran. Baginda seolah-olah masih hidup bersama kita, membimbing kita dengan Mutiara Hadis-Hadisnya dan Kalam Allah yang Agung, Al-Furqan yang sentiasa terukir dibibir-bibir umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di mana-mana sahaja, Al-Quran dan Hadis masih berterusan dilantunkan dan dipelajari seta diamalkan.

Baginda lahir pada 12 Rabiul awwal pada tahun gajah, tetapi sesetengah ulama mengatakan pada 9 Rabiul Awwal. Namun itu hanyalah perkara kecil untuk dibahaskan.

Justeru saya berpendapat adalah sangat baik untuk kita menyambut Maulidurrasul yang Agung ini selama satu bulan Rabiulawwal, sebagai memuliakan Nabi kita, kita muliakan juga bulan kelahiran Baginda.

Bagaimana kita menyambut Mauldirrasul ini?

Iaitu dengan ingat mengingati dalam mentaati Baginda, mengingati sejarah perjuangan Baginda, memperbanyak solawat ke atasnya, menambah amalan sunnah Baginda serta menjauhi larangan Baginda, meningkatkan pengetahuan tentang Al-Quran dan Hadis-hadis Baginda. Buktikan bahawa kita sangat mencintai Rasulullah!

Bukankah pada zaman ini Manusia kian lalai dan lupa akan Sunnah-sunnah dan sirah Baginda?

Bahkan jika ditanya, pasti ada yang tidak pernah baca tentang Sirah Baginda. Saya akui, saya sendiri hingga sekarang tidak pernah habis membaca Sirah Hidup Baginda.

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh
Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai,
mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar". (An-Nisa:13)


Alaihissolatuwassalam....







Sambung Bacaan>>>

18 February 2010

Puisi: Bumi Yang Sempit

Bismillah

Lega.
usai imtihan, rasa merdeka.
Namun bukan kemerdekaan mutlak
Kerana saya masih seorang hamba
kepada Sang Khaliq.

Lama tidak menulis, benak kian membeku.
Hanya mampu memapar sebuah puisi,
yang masih cacat cela....
Terimalah

BUMI YANG SEMPIT
                                                             Gambar Hiasan





Betapa indah gemerlapan malam
Dihiasi purnama juga bintang berkelipan
Angkasa Raya ciptaan Tuhan
Teguh tanpa tiang
Luas tiada bandingan

Alangkah indah diciptakan warna
Tanpanya dunia tak hilang pesona
Hijaunya pohonan mencetus Tasbih
Birunya lautan mencetus Tahmid
Sinaran Suria menerangi bumi
Alam sentiasa memuji
RabbulIzzati

Perhiasan dunia menggoda deria
Menjadi dugaan ahli Taqwa
Nyawa bukan dicipta sengaja
Ibadah amalan dituntut Yang Esa

Di kala kukuh iman di sanubari
Segala kelebihan disyukuri
Segala kekurangan diredhai
Iman membawa kebahagiaan sejati

Kita
Tanpa paksi keimanan
Bila kesenangan palsu menghiasi dunia
Harta adalah segala-galanya
Wanita adalah segala-galanya
Kuasa adalah segala-galanya

Bumi Tuhan dicemari noda
Maksiat bebas bermaharajalela
Kononnya bahagia sedang bertakhta
Kononnya bumi kita yang punya

Alam Tuhan tidak dihayati
Bumi yang cerah menjadi malap
Saat sukar datang pada diri
Kepada Siapa kita mengharap?

Jikalau bumi yang luas tidak di tafakur
Nikmat Allah tidak diikuti rasa syukur
Malah bangga dengan kufur
Menyangka kebahagiaan akan kekal subur

Sewaktu satu dari sekian nikmat dicabut
Penglihatan yg celik hilang deria
Derita sengsara merobek jiwa
Bumi yang terang menjadi gelap
Bumi Yang Luas Menjadi Sempit.

Nukilan-  Al-Faqir Azam Husni



Sambung Bacaan>>>

Paterikan nama anda di sini. Saya akan jejaki. Moga ikatan terus bersemadi..

Related Posts with Thumbnails